Pages

Monday, 10 January 2011

Selidiki apa-apa perkhabaran

Sekadar hiasan sahaja

Saya diperingatkan beberapa perkara tentang kesahihan maklumat yang diterima oleh seorang rakan. Kerana sekarang ini terlalu banyak maklumat sama ada benar atau tidak, jelas atau tidak, pasti atau tidak dan semuanya mudah diperolehi.

Kadang-kala maklumat yang diterima itu bunyinya macam baik, mengajak kebaikan atau kebajikan dan logik sahaja. Walhal, rupanya hendak menguji kepekaan kita sebagai seorang Islam. Adakah benar kita masih mempertahankan kesucian agama kita.

Peringatan

Wahai orang-orang yang beriman , Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa sesuatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu. (Surah Al Hujurat [49] : 7)

Di dalam Al Quran sendiri telah menegaskan kepada kita supaya jangan terus mempercayai berita yang disampaikan oleh mereka yang fasik (seorang Islam yang melakukan dosa), inikan pula berita dan maklumat dari mereka yang benar-benar hendak menghancurkan agama Islam.

Ayat Quran yang telah termaktub sejak 1431 tahun yang lalu, semakin relevant dengan suasana sekarang ini. Sungguh 'ajaib' dengan peringatan dari Allah sedemikian rupa walaupun ketika itu medium saluran komunikasi tidaklah secanggih seperti sekarang. 

Accessible

Penyebaran maklumat di akhir zaman ini terlalu pantas dan banyak serta senang diperolehi (accessible). Katanya, kalau hendak tahu, klik sahaja dengan pakcik Google, Wikipedia atau apa sahaja... Malah ada yang belajar agama Islam secara langsung melalui internet tanpa berguru langsung dengan guru-guru yang hidup di depan mata. Ini adalah satu kaedah pembelajaran yang sangat bahaya dan akan menghancurkan institusi pengajian dan sistem-sistem Islam.

Perlulah kita berhati-hati dan teliti kerana mungkin maklumat yang diperolehi itu cuba dimanipulasikan oleh golongan tertentu untuk memecah-belahkan kesatuan dalaman, menyelewengkan aqidah dan keyakinan, menjatuhkan maruah dan prinsip dan sebagainya. Dan ada pula hendak menegakkan ideologi dan falsafah yang bertentangan dengan syariat Islam, kerana sumber ilmu yang diperolehi lebih banyak difahami secara sendirian tanpa melalui guru yang sahih.

Ghairah

Mungkin, ada pihak-pihak tertentu sengaja mengada-adakan cerita dan disalurnya ke saluran internet untuk melihat betapa ghairahnya penerima menerima maklumat dan terus dipercayai tanpa diselidiki tentang diteliti kesahihan maklumat tersebut, lalu di'circulate' maklumat ini merata-rata sehingga capaian sedunia dengan kemudahan internet yang mempunyai kelajuan yang 'luar-biasa'.

Hati-hati

Dalam hal ini Al Quran menyuruh kita berhati-hati dengan segala perkhabaran yang diterima,

1. Teliti dan selidiki dahulu kebenaran maklumat
2. Mengenal pasti sumbernya
3. Siapa pembawanya atau penyampainya
4. Apa tujuannya
5. Apakah hasil tindakannya

Itulah kecantikan AlQuran yang sentiasa menjadi pedoman dan panduan kepada kita semua, kerana sentiasa menyuruh kita berhati-hati di dalam urusan komunikasi sesama manusia.

Wallahu 'alam

abuzorief @ sheffield
9/1/2011, Ahad

No comments:

Post a Comment