Pages

Monday, 6 December 2010

Islamkah saya?...


Agamaku..

Kenapa perlu dan apakah pentingnya kita mengabungkan diri kita di dalam Islam?

Kita telah Islam sejak dilahirkan.  Dididik dan diasuh sejak kecil lagi di dalam suasana Islam, emak dan ayah serta saudara-saudara lainnya semuanya adalah muslim, makan minum yang halal, pergi masjid dan surau, solat wajib 5 waktu sehari, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, mengerjakan haji dan umrah di Makkah dan melafazkan kalimat syahadah berkali-kali. Malah menjadi satu kebanggaan bagi diri kita kerana tercatat agama Islam di dalam surat beranak dan kad pengenalan. Apakah ini sudah cukup bagi kita menyatakan bahawa kita telah mengabungkan diri kita di dalam Islam?

Benar, semua perkara di atas adalah benar dan tepat dan malah berbangga kerananya, kerana kita yang telah mengucap kalimah syahadah dan mengaku sebagai seorang Muslim. Kita berupaya mempertahankan diri kita sebagai seorang Muslim. Kita marah apabila ada orang lain yang memperlekehkan dan cuba menjatuhkan maruah Islam di depan mata kita sama ada di kaca TV, di media massa tempatan atau luar, melalui demo-demo, melalui penulisan, ucapan dan sebagainya. Acapkali kita akan melakukan protes sekiranya ada yang menghina Islam seperti menghina Nabi kita, membakar dan memijak-mijak Al Quran, menentang pemakaian tudung untuk menutup aurat dan sebagainya.

"Islamism and democracy are incompatible. The more Islamism we have, the more freedom we will lose and this is something worth fighting for"...  "I have a problem with Islam. I have a problem with this fascist ideology of Islam" Ucapan jahat Geert Wilders ketika berucap di Parlimen British pada 6 Mac 2010, dan beliau sekali lagi mengutuk kitab suci Al Quran.

Ini menunjukkan betapa sayangnya kita dengan kehidupan Islam dan agama Allah yang suci ini. Malah kita sanggup pula untuk mengorbankan diri sendiri demi untuk menjaga kedaulatan maruah agama Islam itu sendiri. Ala kulli hal, itu bagi mereka yang amat sayang dan masih ada rasa sensitif terhadap agama Islam. Tetapi bagi mereka yang tidak sensitif maka sedikit pun tidak ada rasa hirau dan endah dengan apa yang berlaku.

Kenapa perlu mempertahankannya

Tetapi tahukah kita apabila kita telah mengabungkan diri di dalam Islam, maka kita akan memperolehi kesejahteraan dan selamat di dalamnya?

"... Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu..." (Al Ma'idah [5] : 3)

Islam membela, menjaga dan melindungi keselamatan hidup kita di dunia. Memberikan kita kekuatan, kesejahteraan, kesempurnaan hidup, ketenangan dan kedamaian, malah di akhir nanti, kita akan mendapat habuan dan syurga Allah Taala. Mana mungkin kita menganggap Islam itu sebagai beban kepada kita, kerana alasannya kita terpaksa mempertahankan Islam bukannya Islam mempertahankan kita.

Dari Abu Musa, yakni Abdullah bin Qais al-Asy'ari r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w ditanya perihal seseorang yang berperang dengan tujuan menunjukkan keberanian, ada lagi yang berperang dengan tujuan kesombongan - ada yang ertinya kebencian - ada pula yang berperang dengan tujuan pameran - menunjukkan pada orang-orang lain kerana ingin berpamer. Manakah di antara semua itu yang termasuk dalam jihad fi-sabilillah? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Barangsiapa yang berperang dengan tujuan agar kalimat Allah - Agama Islam - itulah yang luhur, maka ia disebut jihad fi-sabilillah." (Muttafaq 'alaih)

Ya, bagi mereka yang kurang mengerti, maka sedemikianlah anggapan mereka. Pernahkan kita bertanya kepada diri kita sendiri, tenang dan bahagiakah orang-orang kafir? Sejahterakah mereka yang menganut agama mereka? Atau adakah kita merasa bahawa kita dengan mereka sama sahaja di dalam kehidupan di dunia ini sepertimana kaum Atheis beranggapan?

Kegelapan

Ada segelintir dari kita masih mencari 'cahaya' yang dapat menerangi 'kegelapan' hidup. Kerana kita semua berhadapan dengan dunia kehidupan di sekeliling yang penuh dengan zulumat atau kegelapan atau berada di dalam suasana jahiliyyah beredisi alaf baru yang tidak pernah menunjukkan jalan keimanan yang benar dan jelas. Melaluinya juga, akan ada dikalangan kita yang akan hidup terumbang-ambing walaupun secara fizikalnya kita lihat mereka cukup bahagia kerana kebahagian itu dibahagiakan dengan harta kekayaan yang banyak.

"Allah pelindung orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya adalah Syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Mereka adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya" (Al Baqarah [2] : 257) 

Tetapi beruntung bagi kita yang berjaya mengharungi dugaan ini kerana kita sentiasa berada di dalam hidayah dan taufik Allah serta kita sentiasa menyakini bahawa Allah sahajalah pencipta yang maha agung yang tiada tandingan. Keyakinan dan tanggungjawab ini terus mekar kerana kita akan diperingatkan melalui asal usul penciptaan kita yang bermula dari air mani yang hina, berkeadaan begitu tidak sempurna, lemah, perlu dibelai di awal usia sehinggalah perlu diberikan perhatian apabila tiba di peringkat dewasa dan tua.

Agak malanglah bagi segelintir dari kita yang tergelincir atau terkeluar dari landasan Islam dan seterusnya tersisih jauh dari bimbingan Allah. Mereka merasa cukup angkuh dan berlagak dengan mendepang dada untuk menafikan kemuliaan dan keesaan maha pencipta. Akhirnya mereka gagal di dalam kehidupan kerana mengambil sikap tidak peduli dengan hukuman dan perintah dari Allah Taala.

Intima' di dalam Islam

Apabila kita hendak mengabungkan (intima') diri kita di dalam Islam maka beberapa tuntutan perlu diberikan perhatian dan penekanan. Perlu diingatkan bahawa jalan untuk mendapatkan keselamatan dan kesejahteraan bukanlah dengan jalan mudah dan cepat. Bukan diberikan dengan percuma. Kita perlu melalui jalan sukar untuk mendapatkannya. Kita perlu memberikan sepenuh pengorbanan dari sudut harta dan nyawa untuk berada di dalam Islam. Tuntutan sebeginilah yang akan menyelamatkan diri kita, memberikan ketenangan dan diri kita akan berasa sejahtera berada bersamanya.

Antara tuntutannya ialah:-
  • Menjaga keaslian dan ketulinan Akidah.
  • Melaksanakan Ibadah yang sahih dan bukan rekaan dan serasi dengan hawa nafsu.
  • Memperelokkan budi pekerti atau akhlak sepertimana di dalam Al Quran dan As Sunnah.
  • Menuntut sepenuh tanggungjawab kita untuk memastikan Islam sebagai Din Allah di atas muka bumi ini.
Maka barulah kita boleh berbangga dengan mengatakan kita sebagai seorang Muslim yang beriman dengan Allah Taala. Kita meletakkan hak kita sebagai hamba yang beriman mutlak dengan Allah Taala.

Ketulenan Akidah

Akidah Islam berbeza dengan keyakinan yang berteraskan hawa nafsu. Akidah yang kita yakini ini tidak boleh bertolak ansur dan mesti diterima sepenuhnya hal-hal keesaan atau ketauhidan kepada Allah Taala. Apabila kita mengucap kalimat syahadah, itu sudah cukup menandakan bahawa kita mempunyai sepenuh tanggungjawab dan kewajipan berusaha untuk merealisasikan segala isi dan tuntutannya.

Iman mesti diberikan sepenuh perhatian kerana iman merupakan teras dan tunjang kepada pengabdian diri kita kepada Allah Taala. Iman yang benar dan sahih berupaya meletakkan diri kita di dalam lingkungan pentauhidan atau pengesaan Allah Taala. Justeru, kita jelas dengan matlamat hidup kita iaitu sebagai hamba yang menyembah Allah Taala.

"Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Barangsiapa ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya, dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah maha mendengar, Maha mengetahui" (Al Baqarah [2] : 256)

Kerana disitulah juga merupakan titik-tolak supaya kita dapat menafikan segala illah dan penyembahan thoghut selain dari Allah. Tidak ada Illah yang boleh disembah, baik dalam apa bentuk sekalipun seperti Iblis dan Syaitan, manusia, Jin, hawa nafsu, black magic atau sihir-sihir dan segala slogan-slogan yang palsu. Dalam hal yang sama, kita tidak boleh juga sama sekali berkompromi dengan desakan dan prinsip rekaan manusia seperti Komunisme, Liberalisme, Sosialisme, Nasionalisme, Kapitalisme dan segala isme yang boleh menyesatkan pegangan akidah kita. Yang mesti kita sembah hanya kepada Allah sahaja.  Keyakinan mestilah dengan keyakinan yang teguh kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma wal Sifat.

"Sesungguhnya orang yang beriman itulah mereka yang beriman (percaya) kepada Allah dan RasulNya, kemudian itu mereka tidak ragu-ragu..." (Al Hujurat : 15)

Maka, beriman dengan rukun Iman mestilah direalisasikan menerusi ikrar dengan lisan, membenarkan dengan hati dan melaksanakan dengan amal.  Selagi mana masih ada keraguan makaselagi itulah ia masih belum meletakkan sepenuh keyakinannya terhadap apa yang dituntut.

Kesahihan Ibadah

Ibadah yang  sahih perlulah dipraktikkan melalui apa yang telah diajarkan di dalam Al Quran dan sunnah Rasulullah. Kita tidak boleh menokok-tambah di dalam hal yang berkaitan dengan ibadah. Walaupun tokok-tambah itu menampakkan unsur-unsur kebaikan dan mendatangkan banyak kekhusyukan. Di antara hasil baik bukan amalan syariat dan kelebihan tuntutan syariat amatlah berbeza.

Kita wajib menjaga setiap inci kesahihan ibadah apabila melakukan ubudiyyah kita kepada Allah, kerana beribadah di dalam Islam itu penuh dengan ketenangan dan kemanisan terhadap iman.

Maruah kita?

Kenapakah maruah kita sebagai seorang Islam selalu sahaja diperkotak-katikkan?

Secara asasnya ia amat mudah untuk dijawab dan mampu dihuraikan secara baik oleh kita semua yang beragama Islam, dan menjadi persoalan pula kenapakan kita berhadapan dengan kelemahan akhlak yang tidak pernah selesai yang berterusan mengugat kesejahteraan hidup kita untuk beribadah kepada Allah di atas muka bumi ini.

Kita menyakini betapa gigihnya usaha pemulihan imej dan maruah Islam dilakukan oleh orang perseorangan, persatuan, kerajaan atau mana-mana badan Islam sedunia. Dalam masa yang sama juga kita semua berhadapan dengan masalah kemerosotan kualiti keimanan dan kehidupan ummah ketika ini. Masalah ini telah memberikan satu perspektif yang buruk kepada maruah Islam itu sendiri. Di tambah pula dengan berbagai-bagai masalah dan rintangan serta asakan jahat yang bertubi-tubi dari golongan kuffar untuk menjatuhkan maruah Islam.

"Hai sekalian orang yang beriman, siapa yang bermurtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan kaum yang dicintai olehNya dan merekapun mencintaiNya. Mereka itu bersikap lemah-lembut kepada kaum mu'minin dan bersikap keras terhadap kaum kafirin. Mereka berjihad fi sabilillah dan tidak takut celaan orang yang suka mencela. Demikian itulah keutamaan Allah, dikurniakan olehNya kepada siapa yang dikehendakiNya dan Allah adalah Maha Luas kurniaNya serta Maha Mengetahui." (Al-Maidah: 54)

Maka, mahu tidak mahu, kita semua telah digelar sebagai terrorist atau pengganas. Agak sukar juga untuk mengikis dan buang segala label jahat terhadap kita semua oleh mereka yang bertujuan jahat. Sekali kesilapan dikalangan kita berlaku, maka Islamlah mula-mula yang dipersalahkan. Bukannya puak atau kelompok yang jahat itu patut dipersalahkan. Alasan mereka kerana yang melakukan itu adalah orang Islam. Adilkah Islam dihukum sedemikian hendaknya? Kini, secara realitinya kita dipijak dan diinjak sehingga kita tidak mampu untuk bangkit mempertahankan maruah kita sendiri.

Cara kita menghadapi krisis ini mestilah mengikut saranan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Selama ini, kita sering menolak ketepi budi bicara, diplomasi dan hikmah apabila hendak menyelesaikan permasalahan ummah. Menyorot kembali, bagaimana tingginya akhlak Rasulullah, baginda masih mampu menziarahi orang sakit yang selama ini telah berkelakuan jahat dan melemparkan najis-najis ke atas baginda malah masih bersabar ketika mana baginda dilumuri najis di kepala semasa baginda sujud menunaikan solat di depan Kaabah.

Kita sentiasa dipengaruhi dan tunduk dengan segala macam rentak dan hasutan serta perancangan jahat golongan kafir. Kita hilang segala adab dan akhlak yang dikehendaki di dalam Islam semata-mata untuk bertindak balas terhadap mereka yang kafir. Maka ada di kalangan dari kelompok tertentu telah mengambil jalan singkat dengan melakukan siri-siri letupan ditempat-tempat awam dan telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa. Apakah ini menjadi penilaian mereka terhadap kita semua?.

Oleh itu kita semua berkewajipan untuk membersihkan kembali maruah Islam yang tercalar, memperkuatkan kesatuan ummah, meningkatkan kualiti akhlak dan keimanan, sehinggalah kita beroleh menguasai dan memerintah kembali  dunia ini sepertimana mereka-mereka terdahulu mampu memerintah hampir 2/3 dunia.

Nota:
[1] Tafsir Al Quran dan terjemahannya
[2] Riyadussalihin - Imam Nawawi

abuzorief @ sheffield
6/12/2010, Isnin

No comments:

Post a Comment