Bandar Malaga
Kapal terbang Easy Jet selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Malaga (Aeropuerto de Malaga).
Welcome/Bienvenido!.
Inilah pertama kali, peluang saya dan ahli keluarga menjejakkan kaki di bumi Spain.
Negara ini merupakan kawasan yang bertanah subur di pendalaman, berbukit-bukau di kebanyakan tempat, bergunung-ganang di sebelah timurnya (Utara sehingga Selatan) dan beriklim Mediterranean dengan purata 16 deg. C. Tidak hairanlah, dibumi ini banyak menanam pokok Zaiton dan pokok buah-buahan Mediterranean yang sedap dan segar. Persekitaran yang mengasyikkan, laut Mediteranean yang luas membiru serta udara yang segar nyaman.
Andalucia
Suatu ketika dahulunya dikenali sebagai Andalucía. Kawasan yang dilingkungi hampir 2/3 dari bumi Spain bermula dari selatan negara. Bumi yang penuh bersejarah dan menjadi salah satu tempat pemerintahan Khalifah Islam Umayyah yang cukup gemilang, empayar peradaban Ilmu yang tersohor serta penghasilan dan penemuan baru di dalam dunia penyelidikan dan kajian di atas muka bumi ini.
Keagungan dan kegemilangan Islam itu telah memberikan nafas dan peluang manusia di atas muka bumi ini menimba, mengali sebanyak mungkin khazanah-khazanah dan perbendaharaan Ilmu yang tidak terhingga banyaknya sepertimana yang terdapat di dalam Al-Quran Al-Karim dan Hadis Nabi SAW.
Keunggulan empayar itu bukan sahaja kepada system pemerintahan tetapi merangkumi system pendidikan, penyelidikan dan penemuan ilmu, ketenteraan, kejuruteraan pembinaan, pertanian, perubatan, perdagangan dan sebagainya.
Pembukaan
Sebelum kemasukan tentera Islam, Spain telah diperintah oleh Raja Visigoth (Goth) iaitu Witiza. Persengketaan telah berlaku diantara Roderick dan Witiza, lalu beliau telah ditewaskan. Pemerintahan bertukar tangan. Semasa Roderick memerintah, beliau telah mencabuli kehormatan anak perempuan Julian, Gabenur Ceuta yang sedang belajar di Toledo dimana ia adalah Pusat pemerintahan kerajaan Visigoth ketika itu. Kebencian Julian terhadap Roderick bertambah dengan perlakuan jahat beliau terhadap anaknya dan pembunuhan Witiza, yang telah sekian lama menjadi teman karibnya.
Julian telah pergi berjumpa dengan Musa Bin Nusair, Gabenur Islam di Afrika Utara, supaya Musa dan tenteranya pergi menyerang kerajaan Roderick. Setelah mendapat keizinan dari Khalifah Al Walid dari Damsyik, Musa telah melantik Tarif (Abu Zur'ah Bin Malik Al Nakha, berketurunan Arab) dengan 500 orang tentera untuk menyerang selatan Sepanyol pada tahun 710M. Julian telah menyediakan kapal-kapal untuk tentera Islam, dan akhirnya tentera Islam telah mencapai kemenangan.
Sempena dengan pendaratan pertama Tarif dan bala tenteranya di selatan Sepanyol maka tempat itu kekal sehingga sekarang dengan nama Tarifa.
Gibraltar - Jabal Tariq
Kedudukan Tanjung Gibraltar dengan tanah Morrocco (Afrika Utara) tidaklah begitu jauh. Jauhnya hanya kerana dipisahkan oleh Selat Gibraltar. Gibraltar bukanlah milik Spain tetapi ia adalah Tanah jajahan British (British Autonomi). Sistem dan undang-undangnya adalah dibawah kerajaan British (UK Government). Kebanyakkan kawasan di tanjung ini berbatu dan berbukit. Tidak ada apa yang menarik selain menjadi tempat panduan (light house) untuk kapal-kapal memasuki selat di sepanjang perairan. Laluan lapangan kapal terbang di sini adalah paling sibuk dengan persimpangan laluan trafik kenderaan dan dikatakan paling berbahaya di dunia.
Landasan kapal terbang bersimpang dengan laluan kenderaan
Pada tahun berikutnya iaitu 711M, maka bermula disinilah tempat pendaratan kali kedua tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq Bin Ziyad (berketurunan Barbar) dengan bala tentera seramai 7000 orang untuk mengalahkan Roderick dan Kerajaan Visigoth. Akhirnya Roderick berjaya dibunuh dan ramai tenteranya melarikan diri, sehinggalah Spain dibuka luas oleh tentera-tentera Islam sehingga hampir ke Utara Spain.
Marcado
Majoriti penduduk di sini beragama Kristian. Bar dan kedai menjual daging babi mudah diperolehi disana-sini termasuklah di pasaraya-pasaraya besar (supermercado) TESCO dan Carefour. Agak menjijikkan bagi saya tetapi tidak kepada mereka yang telah menjadi sumber rutin makanan harian.
Pekan
Pekan-pekan yang bersih dan dipenuhi dengan pokok-pokok hiasan yang menarik. Yang menariknya, disepanjang jalan, ditanam pokok-pokok limau yang sangat lebat buahnya. Awas!, buah yang segar tetapi masyaallah, masam rasanya. Patutlah tidak ada siapa yang teringin memetiknya.
Kebanyakan warga Muslim di selatan Spain ini berasal dari Morocco. Mereka juga aktif di dalam perniagaan. Banyak kedai-kedai makan dan masjid-masjid telah dibina disini dan alhamdulillah boleh dimanfaatkan oleh orang-orang Islam disekitarnya mahupun pelancong seperti saya. Besar rahmatnya apabila saya menemui kedai Halal dicelah-celah kedai makan yang tidak menyenangkan.
Masjid Jamek Fuengirola, Malaga
Zaiton
Sepanjang perjalanan saya ditanah rata bumi ini, banyak sekali ladang-ladang besar yang menanam pokok Zaiton. Minyak Zaiton adalah hasil dan produk penggunaan utama rakyat di negara ini. Harganya murah dan mampu dibeli oleh rakyat jelata. Mudah diperolehi dikedai-kedai dan pasaraya besar.
Ladang Zaiton
Pokok Zaiton
Tergamam saya sebentar bila mengenangkan kehidupan Khalifah Umar Bin Abd Aziz berkaitan dengan cerita roti dan minyak ini.
Semasa pemerintahan beliau, keadaan tubuh beliau amat kurus sekali. Beliau ditanya oleh salah seorang Gabenornya, Wahai Khalifah, apakah kamu sakit atau tidak mempunyai makanan?, sedangkan Baitul Mal adalah dibawah kamu dan kamu berhak keatasnya. Jawab Khalifah, tidak sekali-kali aku mengambilnya. Makanan aku hanyalah roti dan minyak. Apakah kamu selera dengan makanan itu?. Lalu jawab Khalifah Umar, aku akan makan sekiranya aku benar-benar lapar.
Teringat saya sepertimana firman Allah di dalam Surah An-Nur (24) ayat 35:
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Rahmat 'cahaya' yang terdapat dinegara ini benar-benar menyentuh hati saya. Begitu gemilangnya bumi ini suatu ketika dahulu yang menjadi pusat pemerintahan Islam yang tersohor.
Kini 'cahaya-cahaya' itu tidak lagi terang bergemerlapan di lubuk hati rakyat jelatanya.
Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia tidak dapat melihatnya sama sekali dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayat petunjuk) maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).[Surah An-Nur 24:40]
Senibina
Semasa berada di Al-Hamra, Granada, keunikan binaan dengan senikhatnya disetiap sudut amat menakjubkan. Di setiap sudut akan terpahat tulisan La Ghalibu Illallah (Di dalam tulisan Arab) yang bermaksud Tiada kemenangan Melainkan Allah. Apakah kalimah ini yang telah menaikkan roh juang mereka untuk menjadi Khalifah Allah di atas muka bumi?.
Al-Hamra, Granada
Salah satu pintu di dalam Al-Hamra
Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri. [Ali-Imran : 160]
Kehebatan senibina dan khat Islam yang terdapat pada bangunan-bangunan memang tidak dapat dinafikan dan disanggah. Saya terpegun seketika memerhatikan betapa halusnya seni itu. Kalau senibinanya pun halus, sudah tentu ketika itu manusia-manusia yang 'dihasilkan' semasa empayar gemilang itu halus budi pekerti dan akhlaknya, tajam pemikiran, kreatif dan berinnovasi. Sehingga kesan keseniannya dapat 'diselami' sehingga sekarang.
Begitulah juga, betapa hebatnya Rasulullah mendidik dan mentarbiah para sahabat dengan wahyu Allah sehingga terjelma karakter atau sifat-sifat unik Quranik di dalam setiap peribadi sahabat. Kehalusan akhlak mereka adalah kerana sibqah (acuan) atau tempaan wahyu Allah yang suci iaitu Al-Quran melalui keperibadian Rasulullah yang terpuji. Kerana manusia-manusia seni inilah yang mampu membuka luas empayar Islam hampir seluruh dunia.
Kemusnahan
Sejak peristiwa pembunuhan, pembakaran dan pengusiran orang-orang Islam dengan kejamnya oleh puak-puak tentera Salib, tidak banyak lagi peninggalan sejarah Islam ditinggalkan atau dikekalkan. Mereka telah menghapuskan sama sekali peradaban Islam ini semata-mata kerana perasaan marah, dendam dan hasad yang mendalam ke atas orang-orang Islam. Kelihatan, kebanyakkan masjid-masjid terkenal telah dijadikan Gereja dan Museum. Begitu terhirisnya hati saya melihat keadaan ini. Sama sekali apa yang terjadi di negara Palestin dan Syria sekarang ini.
Madinat Az-Zahra, Cordoba
Kemusnahan Madinat Az-Zahra
Banyak bangunan bercorakkan senibina Islam hancur semasa perang salib dan dibiarkan begitu sahaja terutamanya di Madinat Azzahra, bandar dan Istana Khalifah Ummayyah Cordoba, Sultan Abdul Rahman III An Nasir ((912–961).
Masjid Cordoba
Menara Masjid Cordoba tempat Muazzin telah diubahsuai dengan dimasukkan loceng besar
Tiang-tiang di dalam Masjid Cordoba
Mehrab
Dewan utama dijadikan Dewan Baptist Gereja
Masjid Cordoba diubah menjadi gereja dan orang-orang Islam dilarang bersembahyang didalamnya. Mehrab hanya menjadi tempat tatapan pelancong. Walaupun timbul rasa megah dengan senibina yang cantik dan kemas, tetapi tidak lagi timbul megah dan gah di dalam hati kerana ia bukan milik umat Islam lagi. Seolah-olahnya, hanya cerita mitos yang bermain sebagai khayalan.
Kota Malaga
Perkara yang sama juga terjadi kepada Masjid Besar Malaga, yang telah berubah statusnya kepada Gereja. Bahkan benar, itulah apa yang telah saya lihat sendiri, dan banyak lagi masjid-masjid lama yang telah menerima nasib yang serupa.
Masjid Al-Baicin dipuncak Bukit
Lorong-lorong di Al-Baicin
Al-Baicin adalah kawasan penempatan padat yang menarik, terletak di kawasan Tanah tinggi, berhampiran dengan Istana Al-Hamra. Asalnya adalah satu perkampungan Arab sebelum pengusiran dan pembunuhan besar-besar berlaku.
Jaulah
Perjalanan jaulah saya sekeluarga sejauh 1200km terasa sekejap sahaja. Banyak lagi tempat-tempat yang belum dilawati dan terasa cemburu pula dengan pejuang-pejuang Islam ketika itu membuka kota-kota dengan menempuh kawasan berbukit dan bergunung dengan berkuda, berjalan dan menggunakan Kudrat yang ada.
abuzorief @ malaga
16-23/12/2010
Holla........
No comments:
Post a Comment