Pages

Friday, 31 December 2010

Harta dunia dan kesenangan isinya


Kalam tuhan

Sesungguhnya Qarun termasuk kaum Musa, tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka dan kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya, Janganlah engkau terlalu bangga, Sungguh Allah tidak menyukai orang yang membanggakan diri. (Surah Al Qasas [28] : 76)

Harta kekayaan

Betapa banyaknya harta kekayaan kita di dalam hidup ini, ia perlu digunakan sebaik mungkin terutamanya untuk membela agama Allah. Para sahabat di zaman Rasulullah telah membuktikan bahawa mereka menguasai harta dan kekayaan untuk membela perjuangan untuk meletakkan Islam di persada dunia sehingga kegemilangan Islam mampu diperluaskan sehingga 2/3 dunia.

Harta kekayaan ini diuruskan sehinggakan semua manusia dapat merasai betapa Islam itu membawa kemajuan hidup bukan sahaja untuk akhirat sahaja tetapi ia juga untuk memberikan keselesaan hidup di dunia ini. Islam tidak menghalang kemajuan hidup di dunia malah Islam menyuruh kita mentadbir dunia dan segala isinya sebaik mungkin.

Cemas dan keluh-kesah

Berbalik tentang masalah kesempitan hidup di dunia ini, memiliki harta dan tabiat menguruskannya, ia secara tidak langsung sedikit sebanyak mendatangkan perasaan cemas dan gundah-gulana. Lihat sahajalah apa yang berlaku pada kehidupan seharian diri kita sendiri. Keluh kesah dibuatnya apabila belum sampai hujung bulan, duit gaji sudah kehabisan. Banyak pula hutang yang perlu dilangsaikan. Bank sudah mula telepon sana-sini. Surat saman sudah mula sampai ke rumah suruh dibayar itu dan ini. Bil-bil air, elektrik, telephone dan lain-lainnya berkeping-keping tetap setia menjengah ke rumah. Setiap kali itulah terasa hendak 'demam tak demam' dan 'senak tak senak'. Dan boleh juga dikatakan tidur tak lena, mandi tak basah. Bukan sahaja peribahasa ini boleh digunakan kepada mereka yang dilamun cinta, tetapi ia terasa juga bagi mereka yang tenat dengan masalah kewangan.

Beban kewangan

Semakin hari semakin tersepit kehidupan dengan beban kewangan sehingga kadang-kadang tidak nampak punca lagi untuk menyelesaikan kemelut ini. Hendak pinjam kepada ibu-bapa, kawan atau saudara mara, mungkin boleh, dan mungkin juga tidak. Atau situasi keluarga dan kawan kita pun serupa macam kita juga, menanggung beban kesempitan yang sama.

Apabila sampai tempoh untuk membayar hutang dan sebagainya, kita tidak dapat melunaskan pembayaran sudah pasti hubungan persaudaraan pun boleh terjejas malah hubungan kekeluargaan dan ukhuwwah boleh terputus dan api persengketaan pun bermula. Malah perseteruan ini akan menjadi hebat apabila sudah mula timbul bibit-bibit fitnah-menfitnah, caci-mencaci, bomoh-membomoh dan serang-menyerang. Semuanya terjadi kerana harta dan ia akan terus berpanjangan tanpa berkesudahan sekiranya ia tidak ditangani dengan sebaik mungkin.

Kad kredit

Memiliki kad kredit memang mendatangkan banyak masalah. Kita menjadi murung bila kita tidak mampu membayar pada waktunya. Interest dan penalty fee semakin meningkat dan bertambah-tambah charge lain dikenakan. Pembayaran menggunakan kad kredit bermakna kita telah meminjam duit dari bank dengan faedahnya. Dengan had atau limit tertentu dan boleh dikatakan banyak juga, maka seronoklah kita berbelanja tanpa memikirkan risiko yang akan menimpa. Perbelanjaan mewah tanpa batasan sebegini seolah-olahnya menentang tradisi ukur baju di badan sendiri. Tanpa disedari, kewangan diri kita sudah berada di tahap kritikal apabila tidak mampu untuk membayar dan mula kehidupan harian tersepit akibat daripadanya ibarat kata orang tua-tua apabila telur berada di hujung tanduk.

Kad debit

Berlainan pula apabila kita memiliki kad debit. Di negara UK dan negara-negara maju lain, penggunaan kad debit lebih realistik dan praktikal. Semua transaksi boleh digunakan secara online atau melalui mesin pembayaran yang terdapat di kedai-kedai runcit sehinggalah di pasaraya besar. Selagi ada duit di dalam akaun, selagi itulah kita boleh menggunakan kad debit untuk membuat pembayaran. Kita membayar menggunakan duit yang kita miliki sahaja. Tidak seperti penggunaan kad kredit. Pengunaan kad debit ini lebih selamat dari kita mengunakan kad kredit.

Hasutan

Harta kemewahan kalau tidak diuruskan dengan cermat dan berhemah akan mendatangkan banyak masalah di dalam kehidupan. Ia boleh mendatangkan sifat tamak, takabbur, sombong, ego, bermewah-mewah dan menindas dan merendah-rendahkan golongan fakir miskin.

Bukan boleh tengok orang lain senang sikit. Lumrahnya, jika jiran sebelah tukar TV plasma, sibuk juga kita hendak menukar TV plasma malah lebih besar sikit darinya atau jika kawan-kawan pakai kereta baru, maka panaslah papan punggung untuk menukar kereta yang sedia ada dan begitulah seterusnya.

Dalam hal ini, hasutan syaitan telah memainkan peranan utama untuk menyesatkan manusia. Habis semuanya dibisik-bisik dan diapi-apikan supaya membangkitkan selera baru. Persengketaan dan pergaduhan akan tercetus dik kerana hasad dengki dan dendam kesumat yang bermaharajalela.

Pengurusan hidup

Sekiranya kita bijak menguruskan harta atau kewangan kita maka kitalah orang yang bijak mengatur urusan hidup.

Banyak kaedah-kaedah pengurusan terkini mampu kita contohi dan ikuti. Carilah peluang untuk belajar mengurus hal ehwal diri dan keluarga dengan baik supaya kita pula dapat berperanan untuk membela perjuangan Islam kembali memerintah seluruh dunia.
  • Perlu uruskan peribadi
  • Perlu uruskan harta sendiri dan keluarga.
Wallahu 'alam


abuzorief @ benalmedina, malaga spain
23/12/2010 Rabu

Saturday, 25 December 2010

Andalucia

Bandar Malaga

Kapal terbang Easy Jet selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Malaga (Aeropuerto de Malaga).

Welcome/Bienvenido!.

Inilah pertama kali, peluang saya dan ahli keluarga menjejakkan kaki di bumi Spain.

Negara ini merupakan kawasan yang bertanah subur di pendalaman, berbukit-bukau di kebanyakan tempat, bergunung-ganang di sebelah timurnya (Utara sehingga Selatan) dan beriklim Mediterranean dengan purata 16 deg. C. Tidak hairanlah, dibumi ini banyak menanam pokok Zaiton dan pokok buah-buahan Mediterranean yang sedap dan segar. Persekitaran yang mengasyikkan, laut Mediteranean yang luas membiru serta udara yang segar nyaman.

Andalucia

Suatu ketika dahulunya dikenali sebagai AndalucĂ­a. Kawasan yang dilingkungi hampir 2/3 dari bumi Spain bermula dari selatan negara. Bumi yang penuh bersejarah dan menjadi salah satu tempat pemerintahan Khalifah Islam Umayyah yang cukup gemilang, empayar peradaban Ilmu yang tersohor serta penghasilan dan penemuan baru di dalam dunia penyelidikan dan kajian di atas muka bumi ini.

Keagungan dan kegemilangan Islam itu telah memberikan nafas dan peluang manusia di atas muka bumi ini menimba, mengali sebanyak mungkin khazanah-khazanah dan perbendaharaan Ilmu yang tidak terhingga banyaknya sepertimana yang terdapat di dalam Al-Quran Al-Karim dan Hadis Nabi SAW.

Keunggulan empayar itu bukan sahaja kepada system pemerintahan tetapi merangkumi system pendidikan, penyelidikan dan penemuan ilmu, ketenteraan, kejuruteraan pembinaan, pertanian, perubatan, perdagangan dan sebagainya.

Pembukaan

Sebelum kemasukan tentera Islam, Spain telah diperintah oleh Raja Visigoth (Goth) iaitu Witiza. Persengketaan telah berlaku diantara Roderick dan Witiza, lalu beliau telah ditewaskan. Pemerintahan bertukar tangan. Semasa Roderick memerintah, beliau telah mencabuli kehormatan anak perempuan Julian, Gabenur Ceuta yang sedang belajar di Toledo dimana ia adalah Pusat pemerintahan kerajaan Visigoth ketika itu. Kebencian Julian terhadap Roderick bertambah dengan perlakuan jahat beliau terhadap anaknya dan pembunuhan Witiza, yang telah sekian lama menjadi teman karibnya.

Julian telah pergi berjumpa dengan Musa Bin Nusair, Gabenur Islam di Afrika Utara, supaya Musa dan tenteranya pergi menyerang kerajaan Roderick. Setelah mendapat keizinan dari Khalifah Al Walid dari Damsyik, Musa telah melantik Tarif (Abu Zur'ah Bin Malik Al Nakha, berketurunan Arab) dengan 500 orang tentera untuk menyerang selatan Sepanyol pada tahun 710M. Julian telah menyediakan kapal-kapal untuk tentera Islam, dan akhirnya tentera Islam telah mencapai kemenangan.

Sempena dengan pendaratan pertama Tarif dan bala tenteranya di selatan Sepanyol maka tempat itu kekal sehingga sekarang dengan nama Tarifa.

Gibraltar - Jabal Tariq

Kedudukan Tanjung Gibraltar dengan tanah Morrocco (Afrika Utara) tidaklah begitu jauh. Jauhnya hanya kerana dipisahkan oleh Selat Gibraltar. Gibraltar bukanlah milik Spain tetapi ia adalah Tanah jajahan British (British Autonomi). Sistem dan undang-undangnya adalah dibawah kerajaan British (UK Government). Kebanyakkan kawasan di tanjung ini berbatu dan berbukit. Tidak ada apa yang menarik selain menjadi tempat panduan (light house) untuk kapal-kapal memasuki selat di sepanjang perairan. Laluan lapangan kapal terbang di sini adalah paling sibuk dengan persimpangan laluan trafik kenderaan dan dikatakan paling berbahaya di dunia.

Landasan kapal terbang bersimpang dengan laluan kenderaan

Pada tahun berikutnya iaitu 711M, maka bermula disinilah tempat pendaratan kali kedua tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq Bin Ziyad (berketurunan Barbar) dengan bala tentera seramai 7000 orang untuk mengalahkan Roderick dan Kerajaan Visigoth. Akhirnya Roderick berjaya dibunuh dan ramai tenteranya melarikan diri, sehinggalah Spain dibuka luas oleh tentera-tentera Islam sehingga hampir ke Utara Spain.

Marcado

Majoriti penduduk di sini beragama Kristian. Bar dan kedai menjual daging babi mudah diperolehi disana-sini termasuklah di pasaraya-pasaraya besar (supermercado) TESCO dan Carefour. Agak menjijikkan bagi saya tetapi tidak kepada mereka yang telah menjadi sumber rutin makanan harian.


Pekan

Pekan-pekan yang bersih dan dipenuhi dengan pokok-pokok hiasan yang menarik. Yang menariknya, disepanjang jalan, ditanam pokok-pokok limau yang sangat lebat buahnya. Awas!, buah yang segar tetapi masyaallah, masam rasanya. Patutlah tidak ada siapa yang teringin memetiknya.


Kebanyakan warga Muslim di selatan Spain ini berasal dari Morocco. Mereka juga aktif di dalam perniagaan. Banyak kedai-kedai makan dan masjid-masjid telah dibina disini dan alhamdulillah boleh dimanfaatkan oleh orang-orang Islam disekitarnya mahupun pelancong seperti saya. Besar rahmatnya apabila saya menemui kedai Halal dicelah-celah kedai makan yang tidak menyenangkan.

Masjid Jamek Fuengirola, Malaga

Zaiton

Sepanjang perjalanan saya ditanah rata bumi ini, banyak sekali ladang-ladang besar yang menanam pokok Zaiton. Minyak Zaiton adalah hasil dan produk penggunaan utama rakyat di negara ini. Harganya murah dan mampu dibeli oleh rakyat jelata. Mudah diperolehi dikedai-kedai dan pasaraya besar.

Ladang Zaiton

Pokok Zaiton

Tergamam saya sebentar bila mengenangkan kehidupan Khalifah Umar Bin Abd Aziz berkaitan dengan cerita roti dan minyak ini.

Semasa pemerintahan beliau, keadaan tubuh beliau amat kurus sekali. Beliau ditanya oleh salah seorang Gabenornya, Wahai Khalifah, apakah kamu sakit atau tidak mempunyai makanan?, sedangkan Baitul Mal adalah dibawah kamu dan kamu berhak keatasnya. Jawab Khalifah, tidak sekali-kali aku mengambilnya. Makanan aku hanyalah roti dan minyak. Apakah kamu selera dengan makanan itu?. Lalu jawab Khalifah Umar, aku akan makan sekiranya aku benar-benar lapar.


Teringat saya sepertimana firman Allah di dalam Surah An-Nur (24) ayat 35:

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. 

Rahmat 'cahaya' yang terdapat dinegara ini benar-benar menyentuh hati saya. Begitu gemilangnya bumi ini suatu ketika dahulu yang menjadi pusat pemerintahan Islam yang tersohor.

Kini 'cahaya-cahaya' itu tidak lagi terang bergemerlapan di lubuk hati rakyat jelatanya. 

Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia tidak dapat melihatnya sama sekali dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayat petunjuk) maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).[Surah An-Nur 24:40]

Senibina

Semasa berada di Al-Hamra, Granada, keunikan binaan dengan senikhatnya disetiap sudut amat menakjubkan. Di setiap sudut akan terpahat tulisan La Ghalibu Illallah (Di dalam tulisan Arab) yang bermaksud Tiada kemenangan Melainkan Allah. Apakah kalimah ini yang telah menaikkan roh juang mereka untuk menjadi Khalifah Allah di atas muka bumi?.

Al-Hamra, Granada

Salah satu pintu di dalam Al-Hamra

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri. [Ali-Imran : 160]

Kehebatan senibina dan khat Islam yang terdapat pada bangunan-bangunan memang tidak dapat dinafikan dan disanggah. Saya terpegun seketika memerhatikan betapa halusnya seni itu. Kalau senibinanya pun halus, sudah tentu ketika itu manusia-manusia yang 'dihasilkan' semasa empayar gemilang itu halus budi pekerti dan akhlaknya, tajam pemikiran, kreatif dan berinnovasi. Sehingga kesan keseniannya dapat 'diselami' sehingga sekarang.

Begitulah juga, betapa hebatnya Rasulullah mendidik dan mentarbiah para sahabat dengan wahyu Allah sehingga terjelma karakter atau sifat-sifat unik Quranik di dalam setiap peribadi sahabat. Kehalusan akhlak mereka adalah kerana sibqah (acuan) atau tempaan wahyu Allah yang suci iaitu Al-Quran melalui keperibadian Rasulullah yang terpuji. Kerana manusia-manusia seni inilah yang mampu membuka luas empayar Islam hampir seluruh dunia.

Kemusnahan

Sejak peristiwa pembunuhan, pembakaran dan pengusiran orang-orang Islam dengan kejamnya oleh puak-puak tentera Salib, tidak banyak lagi peninggalan sejarah Islam ditinggalkan atau dikekalkan. Mereka telah menghapuskan sama sekali peradaban Islam ini semata-mata kerana perasaan marah, dendam dan hasad yang mendalam ke atas orang-orang Islam. Kelihatan, kebanyakkan masjid-masjid terkenal telah dijadikan Gereja dan Museum. Begitu terhirisnya hati saya melihat keadaan ini. Sama sekali apa yang terjadi di negara Palestin dan Syria sekarang ini.

Madinat Az-Zahra, Cordoba

Kemusnahan Madinat Az-Zahra

Banyak bangunan bercorakkan senibina Islam hancur semasa perang salib dan dibiarkan begitu sahaja terutamanya di Madinat Azzahra, bandar dan Istana Khalifah Ummayyah Cordoba, Sultan Abdul Rahman III An Nasir ((912–961).

Masjid Cordoba

Menara Masjid Cordoba tempat Muazzin telah diubahsuai dengan dimasukkan loceng besar

Tiang-tiang di dalam Masjid Cordoba

Mehrab

Dewan utama dijadikan Dewan Baptist Gereja

Masjid Cordoba diubah menjadi gereja dan orang-orang Islam dilarang bersembahyang didalamnya. Mehrab hanya menjadi tempat tatapan pelancong. Walaupun timbul rasa megah dengan senibina yang cantik dan kemas, tetapi tidak lagi timbul megah dan gah di dalam hati kerana ia bukan milik umat Islam lagi. Seolah-olahnya, hanya cerita mitos yang bermain sebagai khayalan.

Kota Malaga

Perkara yang sama juga terjadi kepada Masjid Besar Malaga, yang telah berubah statusnya kepada Gereja. Bahkan benar, itulah apa yang telah saya lihat sendiri, dan banyak lagi masjid-masjid lama yang telah menerima nasib yang serupa.

Masjid Al-Baicin dipuncak Bukit

Lorong-lorong di Al-Baicin

Al-Baicin adalah kawasan penempatan padat yang menarik, terletak di kawasan Tanah tinggi, berhampiran dengan Istana Al-Hamra. Asalnya adalah satu perkampungan Arab sebelum pengusiran dan pembunuhan besar-besar berlaku.

Jaulah

Perjalanan jaulah saya sekeluarga sejauh 1200km terasa sekejap sahaja. Banyak lagi tempat-tempat yang belum dilawati dan terasa cemburu pula dengan pejuang-pejuang Islam ketika itu membuka kota-kota dengan menempuh kawasan berbukit dan bergunung dengan berkuda, berjalan dan menggunakan Kudrat yang ada.


abuzorief @ malaga
16-23/12/2010
Holla........

Friday, 17 December 2010

Perjalanan ke Malaga, Spain

Darnall, Sheffield

Salji di UK

Salji turun agak lebat pada jam 10.00 pagi sepertimana yang diramalkan oleh ramalan kajicuaca. Bukanlah ramalan sepertimana yang kita fahami tetapi mereka menggunakan segala teknologi satelite untuk menerangkan keadaan cuaca yang sedang dan akan berlaku.

Itulah kebesaran Allah Taala, yang telah menjadikan semua ini sebagai pelengkap kepada siri ciptaannya di atas muka bumi ini.


Malaga Airport

Kami tiba di Malaga airport pada jam 19.50 dan beratur untuk pengesahan passport. Pegawai pemeriksaan berbahasa Spanish dan saya mula terasa 'kelam' untuk memahami apa yang dia minta.

Saya mula memahami bahawa permintaan sebenar pegawai itu ialah Boarding pass dan booking penginapan, setelah berulang kali bertanya dan saya cuba fahamkan dihujung-hujung perkataan sahaja setelah dia bercakap 'sikit-sikit' dalam bahasa English bercampur Spanish.

Bahasa

Mula-mula perkataan yang mudah di ingat ialah Salida (exit). Kemudian, saya mula bertanya kepada anak sulung kerana beliau telah belajar serba sedikit bahasa Spanish di sekolah bersama dengan Mr Ross. Tidak semua yang dia tahu pun tetapi bolehlah setakat untuk survive, Pasar katanya Mercado, Hello :Hola,... dan 1,2,3,4 pun bolehlah ditanya kerana fasih juga dia mengira.

Pening juga untuk memahami kaedah bahasa yang digunakan. Terutamanya alamat, adakah menggunakan no. rumah dulu kemudian alamat jalan dan juga bandar. Banyak nama jalan menggunakan Calle de La atau Calle sahaja cth Calle de la Hacienda dsbnya, atau tak ada langsung seperti Hermano Francisco.

Pekan Benalmadena

Memandu

Kali pertama memegang steering di sebelah kiri. Terasa kiat, gayat, kelam kabut, ghaflah, haru-biru, tekan signal tertekan wiper, tangan kiri asyik mencari gear, tumpuan di atas jalan mesti sepenuhnya kerana memandu di sebelah kanan jalan, pusing roundabout di sebelah kanan, dan semuanya kena ubah mindset memandu atau kebiasaan memandu di sebelah kiri jalan bila berada di atas jalan disini.

Pengalaman baru memandu ini memaksa saya berfikir secara berlawanan dari kebiasaan. Semakin lama memandu semakin seronok dan enjoy, dan dalam kepala sudah mula berfikir yang saya ini macam si kidal jadian?...
 

Masjid Fuengirola

Solat Jumaat

Alhamdulillah hajat saya untuk menunaikan solat Jumaat di bumi Spain tercapai. Spain yang dikenali suatu ketika dahulu amat hebat kerana pernah menjadi Kerajaan pemerintahan Islam Andalusia sebelum beralih ke pemerintahan Khalifah Othmaniyyah.

Andalusia katanya bermaksud padang rumput hijau yang subur, begitulah makmurnya bumi ini dengan kemasukan Islam sehingga membawa kepada kesuburan bukan sahaja tanaman tetapi kepada kehidupan seharian manusia, pendidikan, pemerintahan dan sebagainya.

Wallahu a'lam
 
bersambung...

abuzorief @ fuengirola
17/12/2010, friday

Thursday, 16 December 2010

Hujung tahun yang sibuk

Apartamentos La Hacienda

Saya cuba memerhatikan beberapa kelakuan yang bukan pelik tetapi norma biasa sahaja, lebih-lebih lagi hal ehwal atau aktiviti harian diri saya sendiri.

Aktiviti-aktiviti

Dihujung tahunlah, terasa 'ketat' masa dengan perbagai aktiviti sama ada aktiviti peribadi, keluarga atau bersama ahli keluarga dan juga aktiviti luar bersama NGO. Maklum juga, di hujung tahun jugalah anak-anak sudah mula bercuti sekolah. Buku-buku pelajaran sudah tidak perlu dilihat lagi, kata mereka.

Hanya cuti sambutan hari Krismas sahajalah, anak-anak akan bercuti. Kerana sesi kemasukan awal sekolah mereka telah bermula sejak bulan September lagi, tidak seperti di Malaysia yang akan bermula sesi baru pada setiap bulan Januari.

Azam baru

Awal hijrah baru-baru ini, semua telah menanam azam yang baru. Peluang membuka lembaran kehidupan yang baru perlu diberikan perhatian. Kerana setiap awal tahun, terasa cantik dan molek sahaja semangat. Maklumlah azam tahun baru, tetapi bila di pertengahan dan penghujung, selalunya kita sudah hilang arah dan pedoman, kena check baliklah di mana silapnya perancangan kita.

Bagi saya, kena jadikan awal hijrah untuk dijadikan asas perancangan supaya saya lebih mengambil berat tentang bulan-bulan Islam kerana selama ini selalu sahaja terlupa bulan dan tarikh sekaligus tidak sedar pula tarikh-tarikh penting di dalam kalendar Islam, Ehh! bulan apa sekarang ini?.

Peruntukan masa dengan ahli keluarga

Perlu juga merancang aktiviti-aktiviti bersama ahli keluarga. Kalau selalunya terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga terlupa memberikan sedikit ruang masa bersama mereka.

Kata kawan-kawan, kalau hendak mengenali sahabat kita, kenalah selalu berjaulah dan makan bersama. Kerana dari situlah kita boleh kenal peribadi mereka.

Begitu jugalah dengan isteri dan anak-anak kita, kena diberikan ruang bersama dengan mereka dan kita akan lebih memahami kelakuan anak-anak dan isteri kita.

Kata kawan-kawan lagi, tak payahlah tunggu hujung tahun baru nak beraktiviti dengan mereka, kena pandai-pandailah mencari masa dengan mereka.

Eermmm, setuju tu....

abuzorief @ sheffield
16/12/2010, thursday
berjaulah ke spain
Holla...

Monday, 6 December 2010

Islamkah saya?...


Agamaku..

Kenapa perlu dan apakah pentingnya kita mengabungkan diri kita di dalam Islam?

Kita telah Islam sejak dilahirkan.  Dididik dan diasuh sejak kecil lagi di dalam suasana Islam, emak dan ayah serta saudara-saudara lainnya semuanya adalah muslim, makan minum yang halal, pergi masjid dan surau, solat wajib 5 waktu sehari, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, mengerjakan haji dan umrah di Makkah dan melafazkan kalimat syahadah berkali-kali. Malah menjadi satu kebanggaan bagi diri kita kerana tercatat agama Islam di dalam surat beranak dan kad pengenalan. Apakah ini sudah cukup bagi kita menyatakan bahawa kita telah mengabungkan diri kita di dalam Islam?

Benar, semua perkara di atas adalah benar dan tepat dan malah berbangga kerananya, kerana kita yang telah mengucap kalimah syahadah dan mengaku sebagai seorang Muslim. Kita berupaya mempertahankan diri kita sebagai seorang Muslim. Kita marah apabila ada orang lain yang memperlekehkan dan cuba menjatuhkan maruah Islam di depan mata kita sama ada di kaca TV, di media massa tempatan atau luar, melalui demo-demo, melalui penulisan, ucapan dan sebagainya. Acapkali kita akan melakukan protes sekiranya ada yang menghina Islam seperti menghina Nabi kita, membakar dan memijak-mijak Al Quran, menentang pemakaian tudung untuk menutup aurat dan sebagainya.

"Islamism and democracy are incompatible. The more Islamism we have, the more freedom we will lose and this is something worth fighting for"...  "I have a problem with Islam. I have a problem with this fascist ideology of Islam" Ucapan jahat Geert Wilders ketika berucap di Parlimen British pada 6 Mac 2010, dan beliau sekali lagi mengutuk kitab suci Al Quran.

Ini menunjukkan betapa sayangnya kita dengan kehidupan Islam dan agama Allah yang suci ini. Malah kita sanggup pula untuk mengorbankan diri sendiri demi untuk menjaga kedaulatan maruah agama Islam itu sendiri. Ala kulli hal, itu bagi mereka yang amat sayang dan masih ada rasa sensitif terhadap agama Islam. Tetapi bagi mereka yang tidak sensitif maka sedikit pun tidak ada rasa hirau dan endah dengan apa yang berlaku.

Kenapa perlu mempertahankannya

Tetapi tahukah kita apabila kita telah mengabungkan diri di dalam Islam, maka kita akan memperolehi kesejahteraan dan selamat di dalamnya?

"... Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu..." (Al Ma'idah [5] : 3)

Islam membela, menjaga dan melindungi keselamatan hidup kita di dunia. Memberikan kita kekuatan, kesejahteraan, kesempurnaan hidup, ketenangan dan kedamaian, malah di akhir nanti, kita akan mendapat habuan dan syurga Allah Taala. Mana mungkin kita menganggap Islam itu sebagai beban kepada kita, kerana alasannya kita terpaksa mempertahankan Islam bukannya Islam mempertahankan kita.

Dari Abu Musa, yakni Abdullah bin Qais al-Asy'ari r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w ditanya perihal seseorang yang berperang dengan tujuan menunjukkan keberanian, ada lagi yang berperang dengan tujuan kesombongan - ada yang ertinya kebencian - ada pula yang berperang dengan tujuan pameran - menunjukkan pada orang-orang lain kerana ingin berpamer. Manakah di antara semua itu yang termasuk dalam jihad fi-sabilillah? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Barangsiapa yang berperang dengan tujuan agar kalimat Allah - Agama Islam - itulah yang luhur, maka ia disebut jihad fi-sabilillah." (Muttafaq 'alaih)

Ya, bagi mereka yang kurang mengerti, maka sedemikianlah anggapan mereka. Pernahkan kita bertanya kepada diri kita sendiri, tenang dan bahagiakah orang-orang kafir? Sejahterakah mereka yang menganut agama mereka? Atau adakah kita merasa bahawa kita dengan mereka sama sahaja di dalam kehidupan di dunia ini sepertimana kaum Atheis beranggapan?

Kegelapan

Ada segelintir dari kita masih mencari 'cahaya' yang dapat menerangi 'kegelapan' hidup. Kerana kita semua berhadapan dengan dunia kehidupan di sekeliling yang penuh dengan zulumat atau kegelapan atau berada di dalam suasana jahiliyyah beredisi alaf baru yang tidak pernah menunjukkan jalan keimanan yang benar dan jelas. Melaluinya juga, akan ada dikalangan kita yang akan hidup terumbang-ambing walaupun secara fizikalnya kita lihat mereka cukup bahagia kerana kebahagian itu dibahagiakan dengan harta kekayaan yang banyak.

"Allah pelindung orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya adalah Syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan. Mereka adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya" (Al Baqarah [2] : 257) 

Tetapi beruntung bagi kita yang berjaya mengharungi dugaan ini kerana kita sentiasa berada di dalam hidayah dan taufik Allah serta kita sentiasa menyakini bahawa Allah sahajalah pencipta yang maha agung yang tiada tandingan. Keyakinan dan tanggungjawab ini terus mekar kerana kita akan diperingatkan melalui asal usul penciptaan kita yang bermula dari air mani yang hina, berkeadaan begitu tidak sempurna, lemah, perlu dibelai di awal usia sehinggalah perlu diberikan perhatian apabila tiba di peringkat dewasa dan tua.

Agak malanglah bagi segelintir dari kita yang tergelincir atau terkeluar dari landasan Islam dan seterusnya tersisih jauh dari bimbingan Allah. Mereka merasa cukup angkuh dan berlagak dengan mendepang dada untuk menafikan kemuliaan dan keesaan maha pencipta. Akhirnya mereka gagal di dalam kehidupan kerana mengambil sikap tidak peduli dengan hukuman dan perintah dari Allah Taala.

Intima' di dalam Islam

Apabila kita hendak mengabungkan (intima') diri kita di dalam Islam maka beberapa tuntutan perlu diberikan perhatian dan penekanan. Perlu diingatkan bahawa jalan untuk mendapatkan keselamatan dan kesejahteraan bukanlah dengan jalan mudah dan cepat. Bukan diberikan dengan percuma. Kita perlu melalui jalan sukar untuk mendapatkannya. Kita perlu memberikan sepenuh pengorbanan dari sudut harta dan nyawa untuk berada di dalam Islam. Tuntutan sebeginilah yang akan menyelamatkan diri kita, memberikan ketenangan dan diri kita akan berasa sejahtera berada bersamanya.

Antara tuntutannya ialah:-
  • Menjaga keaslian dan ketulinan Akidah.
  • Melaksanakan Ibadah yang sahih dan bukan rekaan dan serasi dengan hawa nafsu.
  • Memperelokkan budi pekerti atau akhlak sepertimana di dalam Al Quran dan As Sunnah.
  • Menuntut sepenuh tanggungjawab kita untuk memastikan Islam sebagai Din Allah di atas muka bumi ini.
Maka barulah kita boleh berbangga dengan mengatakan kita sebagai seorang Muslim yang beriman dengan Allah Taala. Kita meletakkan hak kita sebagai hamba yang beriman mutlak dengan Allah Taala.

Ketulenan Akidah

Akidah Islam berbeza dengan keyakinan yang berteraskan hawa nafsu. Akidah yang kita yakini ini tidak boleh bertolak ansur dan mesti diterima sepenuhnya hal-hal keesaan atau ketauhidan kepada Allah Taala. Apabila kita mengucap kalimat syahadah, itu sudah cukup menandakan bahawa kita mempunyai sepenuh tanggungjawab dan kewajipan berusaha untuk merealisasikan segala isi dan tuntutannya.

Iman mesti diberikan sepenuh perhatian kerana iman merupakan teras dan tunjang kepada pengabdian diri kita kepada Allah Taala. Iman yang benar dan sahih berupaya meletakkan diri kita di dalam lingkungan pentauhidan atau pengesaan Allah Taala. Justeru, kita jelas dengan matlamat hidup kita iaitu sebagai hamba yang menyembah Allah Taala.

"Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Barangsiapa ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya, dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah maha mendengar, Maha mengetahui" (Al Baqarah [2] : 256)

Kerana disitulah juga merupakan titik-tolak supaya kita dapat menafikan segala illah dan penyembahan thoghut selain dari Allah. Tidak ada Illah yang boleh disembah, baik dalam apa bentuk sekalipun seperti Iblis dan Syaitan, manusia, Jin, hawa nafsu, black magic atau sihir-sihir dan segala slogan-slogan yang palsu. Dalam hal yang sama, kita tidak boleh juga sama sekali berkompromi dengan desakan dan prinsip rekaan manusia seperti Komunisme, Liberalisme, Sosialisme, Nasionalisme, Kapitalisme dan segala isme yang boleh menyesatkan pegangan akidah kita. Yang mesti kita sembah hanya kepada Allah sahaja.  Keyakinan mestilah dengan keyakinan yang teguh kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma wal Sifat.

"Sesungguhnya orang yang beriman itulah mereka yang beriman (percaya) kepada Allah dan RasulNya, kemudian itu mereka tidak ragu-ragu..." (Al Hujurat : 15)

Maka, beriman dengan rukun Iman mestilah direalisasikan menerusi ikrar dengan lisan, membenarkan dengan hati dan melaksanakan dengan amal.  Selagi mana masih ada keraguan makaselagi itulah ia masih belum meletakkan sepenuh keyakinannya terhadap apa yang dituntut.

Kesahihan Ibadah

Ibadah yang  sahih perlulah dipraktikkan melalui apa yang telah diajarkan di dalam Al Quran dan sunnah Rasulullah. Kita tidak boleh menokok-tambah di dalam hal yang berkaitan dengan ibadah. Walaupun tokok-tambah itu menampakkan unsur-unsur kebaikan dan mendatangkan banyak kekhusyukan. Di antara hasil baik bukan amalan syariat dan kelebihan tuntutan syariat amatlah berbeza.

Kita wajib menjaga setiap inci kesahihan ibadah apabila melakukan ubudiyyah kita kepada Allah, kerana beribadah di dalam Islam itu penuh dengan ketenangan dan kemanisan terhadap iman.

Maruah kita?

Kenapakah maruah kita sebagai seorang Islam selalu sahaja diperkotak-katikkan?

Secara asasnya ia amat mudah untuk dijawab dan mampu dihuraikan secara baik oleh kita semua yang beragama Islam, dan menjadi persoalan pula kenapakan kita berhadapan dengan kelemahan akhlak yang tidak pernah selesai yang berterusan mengugat kesejahteraan hidup kita untuk beribadah kepada Allah di atas muka bumi ini.

Kita menyakini betapa gigihnya usaha pemulihan imej dan maruah Islam dilakukan oleh orang perseorangan, persatuan, kerajaan atau mana-mana badan Islam sedunia. Dalam masa yang sama juga kita semua berhadapan dengan masalah kemerosotan kualiti keimanan dan kehidupan ummah ketika ini. Masalah ini telah memberikan satu perspektif yang buruk kepada maruah Islam itu sendiri. Di tambah pula dengan berbagai-bagai masalah dan rintangan serta asakan jahat yang bertubi-tubi dari golongan kuffar untuk menjatuhkan maruah Islam.

"Hai sekalian orang yang beriman, siapa yang bermurtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan kaum yang dicintai olehNya dan merekapun mencintaiNya. Mereka itu bersikap lemah-lembut kepada kaum mu'minin dan bersikap keras terhadap kaum kafirin. Mereka berjihad fi sabilillah dan tidak takut celaan orang yang suka mencela. Demikian itulah keutamaan Allah, dikurniakan olehNya kepada siapa yang dikehendakiNya dan Allah adalah Maha Luas kurniaNya serta Maha Mengetahui." (Al-Maidah: 54)

Maka, mahu tidak mahu, kita semua telah digelar sebagai terrorist atau pengganas. Agak sukar juga untuk mengikis dan buang segala label jahat terhadap kita semua oleh mereka yang bertujuan jahat. Sekali kesilapan dikalangan kita berlaku, maka Islamlah mula-mula yang dipersalahkan. Bukannya puak atau kelompok yang jahat itu patut dipersalahkan. Alasan mereka kerana yang melakukan itu adalah orang Islam. Adilkah Islam dihukum sedemikian hendaknya? Kini, secara realitinya kita dipijak dan diinjak sehingga kita tidak mampu untuk bangkit mempertahankan maruah kita sendiri.

Cara kita menghadapi krisis ini mestilah mengikut saranan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Selama ini, kita sering menolak ketepi budi bicara, diplomasi dan hikmah apabila hendak menyelesaikan permasalahan ummah. Menyorot kembali, bagaimana tingginya akhlak Rasulullah, baginda masih mampu menziarahi orang sakit yang selama ini telah berkelakuan jahat dan melemparkan najis-najis ke atas baginda malah masih bersabar ketika mana baginda dilumuri najis di kepala semasa baginda sujud menunaikan solat di depan Kaabah.

Kita sentiasa dipengaruhi dan tunduk dengan segala macam rentak dan hasutan serta perancangan jahat golongan kafir. Kita hilang segala adab dan akhlak yang dikehendaki di dalam Islam semata-mata untuk bertindak balas terhadap mereka yang kafir. Maka ada di kalangan dari kelompok tertentu telah mengambil jalan singkat dengan melakukan siri-siri letupan ditempat-tempat awam dan telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa. Apakah ini menjadi penilaian mereka terhadap kita semua?.

Oleh itu kita semua berkewajipan untuk membersihkan kembali maruah Islam yang tercalar, memperkuatkan kesatuan ummah, meningkatkan kualiti akhlak dan keimanan, sehinggalah kita beroleh menguasai dan memerintah kembali  dunia ini sepertimana mereka-mereka terdahulu mampu memerintah hampir 2/3 dunia.

Nota:
[1] Tafsir Al Quran dan terjemahannya
[2] Riyadussalihin - Imam Nawawi

abuzorief @ sheffield
6/12/2010, Isnin

Wednesday, 1 December 2010

Merdeka di negara orang tapi dijajah di negara sendiri...



Saya cuba membandingkan antara negara orang dengan negara sendiri. Dulu semasa krisis minyak petrol, kerajaan cuba membandingkan harga minyak kita dengan semua negara. Begitu juga dengan tol di lebuhraya, kitalah yang termurah. Mungkin juga perbandingan bertujuan untuk membuka mata sebesar-besarnya. Katanya, Nah! lihat dan saksi sendiri tanpa perlu anda semua mencari maklumat lain, semua alasan perbandingan yang 'agak berat sebelah' penuh di dada akhbar tempatan yang agak tidak kritikal dalam bab membantu rakyat...

Banyak perbezaan yang ketara antara negara maju dan negara kita yang hendak maju dalam berbagai bidang dalam acuan sendiri. Yang pasti, istilah maju itu sendiri adalah mengikut plan dan hasrat yang diatur oleh kerajaan negara sendiri. Tetapi yang paling ketara, semua melihat kemajuan ini di dalam bentuk kemajuan fizikal kebendaan sahaja seperti bangunan yang tinggi dan terbesar, jambatan yang panjang dan tercantik dan sebagainya. Kenapakah kemajuan kebendaan tidak disekalikan bersama dengan agenda pembinaan intergriti dan nilai budaya tatasusila dan kesopanan. Kalau ada pun setakat bermegah dan berbangga dengan sebutan ter...

Saya terpaku juga dengan cadangan pembinaan bangunan hebat 100 tingkat yang hendak dilaksanakan. Sudah penuh ke... ruang-ruang pejabat di KLCC, Twin tower, bangunan Dayabumi dan sebagainya?. Mungkin sudah penuh agaknya. Dan terdiam juga saya, bila membaca komen Tun Dr. Mahathir yang mengatakan pembinaan bangunan 100 tingkat itu tidak perlu. Apakah komen beliau itu, membina atau ada muslihat politik atau sebaliknya?

Banyak persoalan yang berligar di dalam kepala otak saya tentang:-
  • Sudah selesaikah isu perumahan rakyat?
  • Isu subsidi... adakah mesti kerajaan yang dipilih menjaga subsidi rakyat?
  • Kemudahan asas bagi rakyat... air, elektrik, perubatan dan sebagainya?
  • Masalah kenaikan bayaran tol-tol seluruh lebuhraya?
  • Minyak petrol dan diesel?
  • Pendidikan persekolahan anak-anak?
  • Hal ehwal kesihatan dan perubatan?
  • Masyarakat fakir miskin di luar kota?
  • Masalah pelabur-pelabur yang bungkus tikar?
  • Tanah kita yang dimiliki oleh bangsa luar?
  • Masalah sosial remaja dan orang dewasa?
  • Masalah politik yang terumbang ambing?
  • Nilai budaya yang semakin rosak... tipis jatidiri ke'Malaysia'an?
  • Rasuah sana-sini... Malaysia ranking Corruption Perceptions Index is 4.4 out of 10 via Transperancy International audited?
  • Hiburan dan maksiat keterlaluan... pesta dan nyanyian, kelab malam, pelacuran?
  • Zina dan pergaulan bebas.
  • Ajaran sesat.
  • Pertelingkahan sesama ulama?
  • Jenayah exsklusif dan berperancangan?
  • Kehakiman dan polis?
Wallau'alam...
Bagaimana di negara UK pula:
  • Semua rawatan kesihatan dan perubatan boleh diberikan percuma dari anak-anak sehinggalah ke orang tua-tua?.. atau kalau ada pun bayaran diskaun dikenakan.
  • Pembahagian alaun kepada warga tua-tua dan cacat?
  • Skim perumahan kepada warga tua dan cacat.
  • Perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma kepada warga tua dan cacat dan separuh harga kepada pelajar.
  • Persekolahan dan pendidikan secara percuma kepada semua anak-anak.
  • Tiada bayaran tol di sepanjang lebuhraya.
  • Bayaran lesen kereta seumur hidup dan sah sehingga berumur 70 tahun tanpa perlu diperbaharui
  • Perkhidmatan dan pembahagian insuran yang amanah dan adil.
  • Pemasangan alat penggera keselamatan dan insulation (musim sejuk) secara percuma oleh pihak berkuasa tempatan (Mengikut lokaliti)
  • Perbelanjaan yang setara dengan pendapatan... harga barangan asas yang mampu dibeli dengan nilai gaji yang diperolehi.
  • Air yang dirawat dengan sempurna dan boleh diminum terus dari pili tanpa di masak.
  • Harga kereta terpakai yang jauh lebih murah dan mampu dimiliki.
  • Perkhidmatan awam yang banyak seperti bas, tramm, train dan sebagainya.
  • Perkhidmatan online terpantas dan sebagainya.
  • Tiada amalan rasuah di kalangan Polis atau agensi atau jabatan kerajaan kerana sistem documentation yang cekap dan penggunaan cctv yang berleluasa di kalangan staff dan pelanggan.
bersambung...

abuzorief @ sheffield
1/12/2010 Wednesday