Sebutan berbeza tetapi makna sama
Sebutan di antara keduanya memang berbeza. Lebih kurang sebutan untuk babi dan khinzir atau jahil dan bodoh. Sama maksudnya tetapi bernada di antara lembut dan keras bagi kebanyakkan orang-orang Melayu.. Setengah daripada kita agak sensitif kalau disebut zina, berbanding dengan sebutan yang dikatakan bernada lembut iaitu sumbang mahram
Kita perlu jelaskan bahawa apa jua bentuk sebutan dan makna tetapi kalau perbuatannya haram dan berdosa besar maka ia tetap berada di dalam kemurkaan dan laknat Allah Taala. Kebanyakan mereka yang memang terjebak dengan perbuatan ini langsung tidak menghiraukannya. Gelarlah apa sahaja, namun perbuatan tetap haram. Pelakunya sedikit pun tidak gentar dengan hukuman Allah Taala. Hawa nafsu binatang dan syaitan diagungkan diperingkat ini. Malah mereka yang terlibat dengan gejala ini diperlakukannya secara professional dan diangkat pula martabat mereka menjadi 'mulia' ditempatnya. Hilang pertimbangan keimanan dan akal waras.
Perlakuan zina sekarang ini agak susah hendak dikawal di dalam komuniti. Susah hendak ditegur secara bersemuka. Yang kena tegur akan berang dan mengugut pula untuk mengambil tindakan mahkamah kerana katanya kita menafikan hak kemanusiaanya. Itulah bahayanya bila sistem demokrasi menjadi perlembagaan negara dan perlembagaan Islam diketepikan. Perbuatan haram ini perlu ditangani secara undang-undang syariah. Undang-undang syariat berupaya mengembalikan maruah peribadi, masyarakat, negara dan Deen Islam itu sendiri atau lebih focus lagi iaitu melindungi 5 tujuan syara' (maqasid syar'ie).
Pada asalnya hanya pergaulan biasa, bersembang, bertepuk bahu atau bersalaman atau lainnya dan akhirnya terlanjur dengan perbuatan. Maruah musnah dengan sekelip mata sahaja. Berseronok hanya seketika tetapi menanggung dosa yang amat besar sehingga bila-bila selagi taubat nasuha tidak dipohon dari Allah yang maha Esa. Malah ada pula yang berbangga kerana dapat melakukan perlakuan sedemikian dan merasa gah pula menceritakan pengalamannya.
"Pernah seorang kontraktor Melayu dengan bangga sekali menceritakan perlakuan zinanya dengan setiap perempuan yang didampinginya... na'uzubillahi min zalik"
Alangkah sedihnya kalau mereka berkelakuan sebegini kerana sedikit pun tidak ada insaf dan takut di dalam diri mereka kepada Allah Taala. Mereka telah sesat jauh yang amat sangat. Jauh dari rahmat dan kasih sayang dari Allah Taala. Mereka telah menempatkan diri mereka sendiri di dalam api neraka Allah Taala. Sedangkan mereka boleh mengelak diri mereka dari azab dan kemurkaan Allah.
Kalau ditanya kepada pelaku zina, mahukah ada orang lain yang melakukan zina kepada anak perempuannya atau isterinya?.., maka sudah tentu ia naik berang. Pasti dia akan berkata, mana boleh orang lain melakukan perkara ini terhadap ahli keluarganya. Inilah penyataan orang yang masih waras. Alangkah dayus baginya kerana merasa bangga dan merelakan anak isteri diperlakukan oleh orang lain. Amalan sex bebas yang tidak mengenal keturunan dan waris.
Pergaulan bebas muda mudi
"Kami bukan buat apa pun berkawan biasa sahaja... tak lebih dari tu..."
Hiburan melampau mampu menarik golongan remaja yang kemaruk dengan kebebasan hidup dan secara tidak langsung menyediakan platform kepada mereka untuk melakukan perkara di luar batas tabi'ie kehidupan manusia. Kerana ketika itu yang menjadi pendorong besar adalah hawa nafsu syahwat dan Syaitan.
Perlakuan kemaruk mereka sehingga sanggup mengenepikan halal dan haram di dalam pergaulan.
Perlakuan kemaruk mereka sehingga sanggup mengenepikan halal dan haram di dalam pergaulan.
Pendidikan
Anak-anak muda sekarang ini tidak mahu menghadiri kelas pengajian agama atau sudah tidak mahu belajar agama dengan bersungguh-sungguh. Kelas pengajian hanya dihadiri oleh orang-orang tua sahaja. Mereka banyak menghabiskan masa menonton movie dan tayangan yang tidak berfaedah.
Mencegah lebih baik dari merawat. Kaedah merawat ialah dengan mencari punca kejadian. Sesuatu kejadian mesti diambil perhatian dan mencari jalan bagaimana untuk mencegah ia dari menular, merebak atau dipulihkan dengan segera.
Oleh itu, insitusi kekeluargaan perlu dijaga dan diasuh dengan tarbiyyah Islam. Bukannya cukup dengan pendidikan sivik fizikal sahaja.
- Menghidupkan kembali budaya nasihat-menasihati dan tegur-menegur
- Penekanan akidah yang sejahtera
- Mengingatkan hukum dan azab yang keras dari Allah
- Peranan pihak berkuasa untuk membendong gejala yang tidak sehat
- Wujudkan suasana yang baik, Baldatun Thoiyyibatun warabbun ghafur
- Semua masyarakat mengambil bahagian sebagai pendakwah
- Peranan ibu-bapa di dalam mendidik anak-anak ke arah nilai murni berpaksikan ajaran Islam
Wallahu 'alam, sekian
abuzorief @ kilang lama
22/7/2013, isnin
No comments:
Post a Comment