Pages

Tuesday, 30 July 2013

Ramadhan ujian keimanan


Ramadhan adalah salah satu platform pengabdian kita kepada Allah Azza Wajalla. Untuk mengukuhkan keimanan kita kepada Allah. Ia merupakan jalan untuk memperolehi ketaqwaan. Ketaqwaan itu adalah untuk mereka yang beruntung dan beroleh kejayaan. Benarlah, janji-janji Allah kepada kita semua.

Kepercayaan

Saya cuba untuk memahamkan diri sendiri peranan madrasah Ramadhan ini di dalam usaha kita melaksanakan segala kefardhuan yang telah diperintahkan oleh Allah. Untuk melaksanakan perintah ini bukanlah mudah sekiranya tidak ada iman (faith) kepada Allah. Begitulah juga dengan kefardhuan ibadah yang lain, Solat, Zakat dan Menunai haji di Baitullah Al Haram. Sekiranya tiada Iman, maka suruhan Allah ini hanya dilakukan secara lewa sahaja. Malah ada pula yang sengaja meninggalkan suruhan ini.

Untuk menjadi hamba Allah yang dikasihinya, memanglah susah dan payah. Itulah nilai ketaatan dan ketaqwaan. Nilai yang tinggi dan tidak ada lagi ukuran atau neraca yang hendak dijadikan sebagai pengukuran. Hanya Allah sahaja yang berhak memberikan kedudukan yang terbaik disisinya.



Daripada Saiyidina 'Umar r.a. beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata:


Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam.

Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau.

Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.

Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau.

Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.

Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba memibna bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?

Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.

Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu. [Hadis ke 2 : Hadis 40 Imam Nawawi]



Manusia sembah manusia

Peristiwa yang berlaku di Negara Mesir dan Syria merupakan titik tolak untuk kita menilai semula keimanan kita kepada Allah. Perbezaan iman dan kufur manusia, yang pasti kita dapat bezakan. Mana yang hak dan mana yang batil, yang hak akan terus menerima sokongan manakala yang batil sudah terang-terangan nampak kejahilan dan keburukannya.

Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku. (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar.[Surah Al-Anbiya : 24]

Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.[Surah Ibrahim 14:3]

Manusia yang jahil sanggup menyembah dan bertuhankan manusia. Mereka hilang akal waras kerana menyakini hanya manusia yang disembah itu sahaja yang dapat menyelamatkan saki-baki kehidupannya. Sedangkan yang selayaknya mereka sembah dan melutut itu hanya kepada Allah. Betapa teruknya keyakinan mereka di dalam merebut kesenangan dan 'kebahagian' hidup di dunia sementara ini dengan 'berpatungkan' pemerintah yang zalim dan dilaknati Allah Taala.

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke Neraka (dengan kekufurannya) dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. [Surah Al-Qasas :41]

Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.[Surah Al-Qasas : 42]

Kelakuan ini berulang-ulang sejak sekian lama, kuasa memerintah yang ada ditangan manusia itu sendiri telah memaksa orang lain untuk menyembahnya. Lihatlah kisah- kisah seperti Raja Namrud dan Firaun yang mengaku dirinya tuhan sekelian manusia, yang boleh menghidupkan dan mematikan manusia dengan kehendaknya. Manusia yang telah lupa bahawa kejadiannya sendiri adalah ciptaan Allah Taala sehingga terlupa dengan mengaku dirinya Tuhan yang layak disembah.

Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi. Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya. [An-Naziat 79:24-25]

Hanya manusia yang takut kepada Allah dan menyakini perkara-perkara yang berkaitan dengan keimanan sahaja yang layak menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Semoga Allah, membangkitkan golongan yang berjuang dan memenangkan golongan yang berusaha mengangkatkan kalimah Tauhid di atas muka bumi ini dan mensucikan Asma Husna Allah dari kebiadapan manusia yang telah disesatkan.

abuzorief @ kulim
28/7/2013 ahad, 18 Ramadhan 1434h,
tazkeerah ramadhan
bersama pelajar maktab tengku bainun

1 comment:

  1. Selamat Hari Raya dari IM juga. Muga Allah berkati hidup kita!

    ReplyDelete