Terlalu kerap kejadian buruk dan musibah yang berlaku dan kejadian itu pula diluar jangkaan kita semua. Selepas kejadian Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh, kini dikejutkan pula dengan ribut kuat yang melanda dan mengakibatkan menara besi di atas bangunan UMNO yang telah dibina di atas tanah wakaf di Jalan Macalister Road Penang tercabut dan jatuh. Selepas ini apa pula tragidi yang akan berlaku?. Masih diluar jangkaan kita semua, yang kerdil dan lemah ini. Semua kejadian adalah tanda-tanda kekuasaan Allah sebagai peringatan ke atas hamba-hambanya.
Berita besar
Saya teringat tentang bacaan saya tentang Surah An-Naba, tentang Berita Besar di dalam tafsir fi Zilal Al-Quran oleh As-Syahid Syed Qutb. Satu surah yang didatangkan kepada kita untuk diperhatikan, diteliti, diperhalusi, dikaji, diselidiki, diamati, difikirkan dan sebagainya. Berita besar yang mengandungi berbagai-bagai penjelasan dan persoalan tentang nikmat dan azab supaya kita semua sentiasa kagum dengan Allah sebagai Maha Berkuasa dan Maha Pencipta. Begitu juga surah-surah lain di dalam juzu' 30 Amma, yang terkait dengannya, menceritakan kepada kita tentang segala kejadian yang amat dahsyat tentang kemusnahan alam dan segala isi-isinya. Tiada siapa lagi yang mampu untuk membendung dari terjadi. Kejadian dahsyat yang pastinya tidak dapat diceritakan dengan kata-kata yang sebenar malahan juga tidak dapat digambarkan dengan segala gambaran, ilusi dan lakaran-lakaran dengan tepat.
Sedangkan kejadian kecil tersebut yang berlaku telah menyebabkan kita semua terpinga-pinga dan bertanya-tanya diantara satu sama lain. Kita lihat di antara kita berkeadaan 'mabuk', panik, cemas, ketakutan, kesedihan dan sebagainya. Itu hanya sebahagian petanda yang amat kecil untuk kita perhatikan dan fikirkan.
Bagaimana pula kejadian yang besar yang akan terjadi seperti mana yang telah digambarkan kepada kita tentang cerita malapetaka yang besar yang akan berlaku. Bukit-bukau dan gunung-ganang yang tercabut dari pasak dan diterbalikkan, bumi yang terbungkas keluar segala isi perutnya, langit yang jatuh bertimpa-timpa, air laut yang membuak-buak menganas, Matahari yang akan meletus dan mengeluarkan percikan-percikan lahar dan api yang amat panas menimpa, bintang-bintang yang jatuh berguguran dan timpa menimpa dengan letupan kuat yang maha dahsyat dan sebagainya.
Bersedia?...
Apakah kita masih belum bersedia untuk memperhatikan satu-persatu kejadian dan bersedia menerima 'Berita besar' sepertimana yang telah digambarkan oleh Allah?
Kita masih ada masa untuk mengatur dan memperbaiki segala tindakan dan kejahilan kita berhubung dengan soalan-soalan kehidupan kita ini.
Hanya kepada Allah sahaja tempat kita kembali dan bertaubat di atas kealpaan dan kederhakaan diri kita kepadanya.
Wallahu 'alam
Sekian
abuzorief @ Kulim
18/6/2013, selasa 5.30pm
No comments:
Post a Comment