Semangat
Saya terpegun mendengar cerita-cerita tentang anak-anak saudara yang dihantar untuk menuntut ilmu di Madrasah Tahfiz atau sekolah agama. Ibu-bapa mahukan anak-anak dididik dengan ilmu dan kefahaman yang diyakini insyaallah mampu membawa diri anak-anak hampir kepada Allah Rabbul Jalil. Kesedaran ibu-bapa yang mahukan pendidikan Islam dilaksanakan semakin meningkat.
Zaman kita sebagai remaja telah berlalu, kini kita sebagai ibu-bapa atau orang tua, tidak mahu anak-anak juga melalui zaman 'buruk' seperti kita. Sekurang-kurangnya ibu-bapa mahukan seorang tahfiz di dalam keluarga. Katanya sejuk perut ibu mengandung. Paling tidak pun, ibu-bapa mahukan anak-anak yang patuh mengerjakan suruhan Allah dan Rasulullah dan tidak menderhakai emak dan ayah.
Turning point
Saya mengenangkan saat ketika saya berubah. Untuk berubah hanya 'cukup' memerlukan sedetik masa sahaja. Tetapi untuk mendapatkan detik masa itu sungguh payah dan amat payah dan bukanlah satu kerja yang mudah. Untuk berubah perlukan kesedaran dan cara fikir dan faham, yang mana kata orang!,.. 'berputar sebanyak 180 deg.' kearah kebaikan, manakala yang lainnya mengatakan berubah sebanyak '360 deg.'. Apa pun telahan kita dan mereka, yang utamanya adalah mahu berubah.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah Ar-Rad 13: 11)
Berubah di saat turning point sama ada di kala usia muda atau tua itu adalah hidayah kurniaan Allah.Yang penting mesti tabah 'mencari' dan ada kesungguhan untuk memulakan kehidupan baru yang lebih sejahtera hidup di dunia dan akhirat sebagai pengabdi kepada Allah Taala.
Cabaran
Cabaran bilamana berubah memang ada. Kita mungkin akan 'memencilkan diri' seketika atau selama-lamanya. Kita merasa tidak puas untuk belajar ilmu Allah dan mencari petunjuk. Mengasingkan diri dari kawan-kawan yang 'rambu-ramba' yang tidak menaikkan iman dan amal kita.
Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.(Surah An-Nas 114: 1-6)
Mungkin dikala itu juga, kita akan disisih oleh rakan-rakan atau ahli keluarga yang tidak sehaluan disebabkan perubahan tersebut. Diejek, diherdik dan sebagainya. Namun, perlulah cekal disaat ini. Hulurkan 'bantuan' akhlak yang mulia kepada mereka.
Jangan tersilap cari
Tetapi awas dan berhati-hatilah disaat detik perubahan itu, jangan terlalu lama mengasingkan diri. Carilah rakan dan tempat yang sewajarnya untuk merujuk yang akan menjadi asas permulaan kepada tarbiyyah diri. Kerana, silap mencari, kita terbabas kepada kefahaman dan pengamalan yang salah terhadap Islam itu sendiri. Mungkin kita akan menderhaka dan menyakiti hati ibu-bapa kita kerana tidak sehaluan dengan kita, atau memutuskan hubungan kekeluargaan kerana kononnya mereka tidak Islamik, atau putus ukhuwwah sesama rakan-rakan kerana mereka tidak mahu mengikut kita atau menolak kita, atau hanya beramal dalam perkara ibadah fardhu (faham keperluan fardhu yang sempit) sahaja dan meninggalkan rukun dan kewajipan yang lain yang menjadi tuntutan perlaksanaan di dalam kehidupan kita seperti ekonomi, muamalat, kekeluargaan, melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar dan utama dan sebagainya.
Cubalah keluar dari kepompong salah faham ini. Marilah berfikir untuk memahamkan diri sendiri terhadap Islam yang lengkap (syumul). Bukannya mengikut-ikut orang lain tanpa hujah dan nas yang sahih.
Berilah tangan anda
Kesedaran yang sempurna tidak akan mencacatkan hubungan diri sendiri dengan hamba Allah yang lain. Apabila sedar, maka lebih erat lagilah tautan hubungan sesama ahli keluarga, bertambah rapat ikatan ukhuwwah dengan rakan-rakan. Walaupun mereka belum sedar terlebih dahulu dari kita, tetapi mereka juga mahukan kesedaran atau perlu disedarkan.
Mainkan peranan kita sebagai Muslim Da'ie (pendakwah) yang sebenar yang mana kita juga tidak inginkan ahli keluarga dan rakan-rakan kita terbabas disaat kita mampu memberikan pertolongan kepada mereka.
Bantulah mereka untuk berubah.
Mardhatillah
Allah sahaja yang layak menghapuskan dosa-dosa kita bilamana kita tidak putus harap meminta daripadaNya. Namun atas usaha memohon ampun kepadaNya, hanya kita sahaja tahu betapa ikhlasnya dan luhurnya hati kita mengadu kepadaNya. Bukan sekali-kali untuk menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan atau orang lain atau berubah yang sementara seperti 'hangat-hangat tahi ayam'.
Kesan tarbiyyah, mampu dilihat pada diri sendiri dan rakan sekeliling sekiranya melaluinya dengan sabar dan istiqamah. Oleh itu, teruskan berusaha pada yang telah melaluinya, mencari bagi mereka yang belum menperolehinya, dan berusaha melakukan perubahan demi perubahan untuk mendapat pencapaian yang paling maksimum di dalam diri, keluarga, masyarakat dan daulah untuk mengejar Mardhatillah.
Ayuh mari kita lakukan bersama...
abuzorief @ kulim
13/6/2012, rabu
selamat kembali ke tanah air. pertama sekali bila melihat wajah Tuan hari itu, terasa ada kedamaian di hati ini!
ReplyDelete