Pages

Monday, 25 June 2012

Kemenangan buat Mesir baru



Boleh dikatakan seluruh dunia memerhatikan perkembangan politik di Mesir dengan harapan dan cemas. Yang mana berpihak kepada agen Hosni Mubarak, Ahmad Syafiq pastinya mengharapkan kemenangan, manakala yang berpihak kepada dimensi baru fasa selepas revolusi pastinya menyokong penuh dan sangat-sangat mengharapkan Mohamad Morsi dari parti Freedom Justice Party menang. Rakyat Mesir mengharapkan dunia baru pemerintahan yang menjamin ke arah keadilan, rakyat diutamakan dan bebas dari cengkaman kezaliman pemerintah yang bertopengkan 'senyuman dan manis muka'.

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Dia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan) dan orang-orang yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan.  Surah As-Syura [42:8]

Disebalik berita kemenangan itu terpacullah pula sikap 'pekong' tentera yang masih menaruh dan memiliki sikap perintah 'Hosni Mubarak'. Sanggup membelakangkan undang-undang dan kita sedar bahawa undang-undang itu hanya untuk melindungi kepentingan mereka sahaja. Sebaliknya, apabila tergugat maka dicarinya jalan keluar singkat supaya mereka dapat memerintah walaupun melalui cara penipuan, kezaliman 'terakhir' malah sanggup membunuh tanpa rasa belas. Begitulah sikap para penzalim yang berkepentingan sama ada pada diri sendiri, kumpulan atau sebagainya.

Kemenangan Mohamad Morsi juga terus menekan Israel. Rasa resah mereka sudah tidak terarah. Apakah nasib mereka seterusnya. Namun mereka sedang dan telah menyusun rancangan jahat untuk masa mendatang sebagaimana mereka merancang pembinaan 'wall aparteid' demi kepentingan mereka. Namun perancangan itu tidak selama-lamanya menang kerana Allah juga sebaik-baik perancang.

Walaupun kemenangan itu dengan pengurangan kuasa Presiden yang terhad, tetapi ia tetap menang. Menang kerana keyakinan rakyat, menang untuk keadilan rakyat, kebebasan untuk rakyat jelata yang selama ini dipekup 'di bawah tempurung'. Kini terbuka sedikit harapan. Nafas ditarik lega. Keperitan selama ini membuka sedikit kerehatan. Allah sahaja yang tahu betapa hati-hati mereka begitu bebas sebebasnya, merdeka semerdekanya. Jangan kembalikan segala peristiwa hitam membungkam, perit lelah yang menghantui kehidupan selama ini.

Kemenangan ini juga memberikan dimensi baru dunia politik negara jiran, rantau Eropah, Timur dan barat. Yang paling penting ialah kesedaran untuk ummah Islam sedunia. Yang pastinya ia satu kemenangan kepada rantau Arab kerana revolusi mereka bukannya berakhir dengan kegagalan setelah mengadaikan nyawa dan harta untuk menjatuhkan regim thagut dan rangkaian-rangkaiannya. Tetapi ia mampu membara dan terus menyelinap membakar disetiap peribadi rakyat di rantau itu dan ummah umumnya. Taburan dengan 'emas dan wang ringgit' itu bukan lagi sebagai faktor pertaruhan, bukan itu yang diharapnya tetapi kebebasan, bebas diri, keluarga, yang penting adalah bebas tanahair dari genggaman penzalim yang thagut.

Perjalanan mereka dan kita masih jauh. semoga dengan kemenangan ini akan membuka satu lembaran dunia  baru Islam sepertimana dinyatakan di dalam Al-Quran dan Sunnah. Kemenangan itu adalah 'saham-saham' yang telah disemai sejak puluhan tahun oleh mereka. Saham mereka terus hidup dengan keperitan mereka diazab, dipenjara, dibunuh, diseksa seperti haiwan dan sebagainya. Baru kini bibit-bibit hasilnya telah menyerlah. Bahkan, kita akan lihat ianya terus menjadi baja yang akan menyuburkan bumi revolusi ini.

Peristiwa kemenangan Pilpres berpihak kepada Mohamad Morsi di Mesir pada 24 Jun 2012 akan menjadi peristiwa dan penentu besar di dalam dunia baru Islam. Harapan kita seterusnya, agar sinar baru ini menyinar buat Rakyat Palestin, segera pulang ke tanah air mereka yang selama ini merempat di tanah air sendiri, insyaallah.

(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya? Surah An-Nahl [16:45]

Wallahu 'alam

abuzorief @ kulim
26/6/2012 selasa

No comments:

Post a Comment