Monday, 28 May 2012

Kemarau jiwa...

Perasaan resah dan gelisah serta rimas menyebabkan kita rasa tidak selesa. Begitulah yang terjadi terhadap  jiwa kita. Akan berlaku perubahan negatif pada diri sendiri. Perubahan emosi dan tekanan melampau yang akan menghilangkan akal waras. Apabila kita berhadapan dengannya, maka tidak ada jalan yang lebih baik penyelesaiannya selain kembali kepada Allah dan Rasul.

Dan mereka akan bertanya kembali bagaimanakah cara merawatnya?. Saya tidak akan menceritakan kaedah atau cara untuk tujuan ini. Banyak rujukan-rujukan boleh dirujuk dari para ilmuan dan cendikiawan, alim ulama yang dikenali.

Konsert sempena hari Belia mesej pengisian rohani buat remaja

Kembalilah...


Apa yang menarik perhatian saya baru-baru ini adalah berkaitan dengan pengisian program untuk Perhimpunan Jutaan Belia di Putrajaya. Saya bukanlah hendak mempertikaikan tentang tujuan perhimpunan itu. Tetapi, kita merasa kesal dan sedih dengan pengisian program yang lebih kepada mengundang keburukan tingkah laku, khayal berhibur, mengundang perlakuan sex bebas dan yang lebih 'dhoif' dan malang lagi ia mendapat jaminan dari pihak pemerintah. Apakah remaja-remaja kita ini begitu 'lapar' sekali jiwa mereka untuk dihidangkan agenda sedemikian? Apakah sudah tidak ada lagi modul-modul terbaik untuk mereka? Atau apakah itu sahaja cara untuk menghimpunkan seluruh belia Malaysia?

Hiburan yang begitu ghairah untuk pengisian rohani Belia kita


Saya kira, pihak penganjur sudah hilang pertimbangan dan banyak sekali mengenepikan tatasusila adat dan nilai akhlak sepertimana yang terkandung di dalam Rukun Negara. Saya masih ingat lagi semasa dizaman sekolah, setiap kali perhimpunan awal pagi, akan disuruh berikrar dengan rukun negara.


Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan
Kalau dihayati seluruh rukun tersebut, dan kalau ia benar-benar diterapkan pada diri pelajar mahupun semua peribadi rakyat Malaysia, sudah pasti negara dapat melahirkan insan-insan yang hebat untuk negara. Paling tidak pun mereka pasti 'menjiwai' atau 'dilahirkan' dengan akhlak yang mulia. Akhlak mulia atau berperibadi baik adalah merupakan aset kepada negara. Itulah yang dituntut di dalam agama Islam. Saya pasti agama lain juga menghendaki sedemikian. Sekali lagi, adakah ia disebabkan oleh dasar pendidikan negara?. Kenapakah pendidikan negara kita gagal melahirkan peribadi yang berakhlak mulia? 


Itu belum lagi 'disergahkan' dengan suruhan Allah dan Rasul. Sudah pasti semua pihak akan membantah supaya jangan mengongkong mereka dengan saranan agama. Apakah tuntutan agama itu menyekat kebebasan mereka?. Kebebasan apakah yang mereka cari untuk mengisi dalaman diri selain kebebasan berlandaskan hawa nafsu itu sendiri yang menghancurkan diri dan tatasusila kesopanan serta tamadun kemanusiaan atau masyarakat.

Anak-anak

Saya agak risau dengan keadaan ini. Saya mempunyai anak-anak yang sedang membesar yang memerlukan suasana yang mendidik dengan didikan yang terbaik, suasana ilmu, pengabdian kepada Allah dan berakhlak mulia, terutamanya melalui didikan manhaj atau sistem yang terbaik iaitu manhaj Islam. Kekhuatiran saya akan terus menghantui saya bila melihatkan senario yang berlaku seperti ini. Di dalam rumah kita mampu 'menjaga' mereka, tetapi diluar rumah, mereka terdedah dengan rakan dan suasana sekeliling. 

Politik

Sudah-sudahlah dengan politik yang caca-marba dan tidak matang. Islam tidak melarang kita berpolitik tetapi ada garis panduannya. Hati dan jiwa kemarau kitalah yang tidak mahukan semua itu. Kita menentang dengan hawa nafsu bukannya dengan kefahaman ilmu Allah dan Rasul. Sekiranya kita mahu, kita akan berusaha untuknya. Sekiranya kita tidak mahu kita akan memberikan seribu satu alasan yang akan menjadi penghalang. Tepuk dada tanyalah selera... Selera samalah dengan kemahuan hawa nafsu yang sukar dikawal.

abuzorief @ bukit mertajam
28/05/2012, isnin

No comments:

Post a Comment