Pages

Monday, 7 May 2012

Membuka pekong sendiri?...


Perasaan cintakan kepada bangsa memang tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata. Kerana bangsa sendiri itulah anak dan isteri, ibu dan ayah, saudara-mara, sahabat handai dan jiran atau kelompok masyarakat sendiri disekeliling. Benarlah, kita mahukan bangsa yang kuat dan bertamadun. Bangsa yang memerintah dan berkuasa. Akan tetapi, bangsa yang dikehendaki sebenarnya ialah bangsa mempunyai nilai kemanusiaan, berakhlak mulia dengan akhlak Islam, berakidah kepada Allah yang satu dan mengabdikan penyembahan total kepadanya.

Kecelaruan

Namun, sekiranya sayangkan bangsa sehingga kita sanggup membiarkan bangsa sendiri melakukan mungkar dan fasad (kerosakan), biadap dan tidak sopan, hanya berkepentingan untuk diri sendiri, berkelahi sesama sendiri kerana berlainan fahaman dan ideologi atau mempertahankan bangsa walaupun bangsa sendiri tersasar jauh dari pegangan Islam. Perlakuan ini adalah satu jenayah besar terhadap ummah Islam.

[An Nur 24:34] Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah), dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.  Hubungan Selayaknya kita melebar-luaskan rasa hormat dan berkasih sayang diantara semua. Dengan berbangsa-bangsa itu kita dikehendaki berkenal-kenal diantara satu sama lain, saling mengajak kepada seruan Allah untuk mentauhidkannya dan beribadat kepadanya. Melaksanakan tanggungjawab berkomunikasi secara baik dan bijak di antara satu sama lain.

[Al Hujurat 49:13] Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). 

Resah

Peristiwa BERSIH 3.0 atau sebelumnya, atau mana-mana protes rakyat yang berlaku itu memberikan kita gambaran dan isyarat yang jelas. Petandanya, kita boleh bersama di dalam beberapa isu. Lihatlah, semua bangsa boleh memberikan kata sepakat dan bersama-sama menuntut hak. Maknanya semua kita mahukan kesejahteraan dan kebahagian hidup. Tidak suka kepada 'kepengkaran' dan ketirisan di dalam pentadbiran dan kepimpinan. Kita mahukan layanan yang seimbang di atas hak kemanusian, kebajikan dan keadilan.

Namun, apa yang berlaku, hak bersuara itu dikasari, dicabuli, 'disergah' dari perbagai penjuru sehingga menimbulkan rasa ketakutan, stress, diasak dengan maki hamun dan pukulan, tendangan dan hentaman sehingga 'memahatkan' rasa geram, dendam kesumat dan marah yang amat sangat terhadap pelaku-pelaku. Hak mereka dan suara mereka langsung dinafikan.

Senario ini membawa gelombang perubahan dan pembaharuan. Perubahan berfikir, bertindak dan menilai. Rakyat mahukan pembaharuan di dalam pemerintahan negara. Rakyat sudah 'celik' dan bukan seperti lembu dicucuk hidung dan boleh 'ditarik' kemana sahaja.

Keinginan kita semua supaya pemerintah bersikap tiada rasuah, adil pada semua lapisan rakyat, tiada ketirisan dalam pentadbiran, urus tadbir yang baik, tiada pembaziran, tiada kerakusan dalam pemilikan harta dikalangan pemerintah, jujur, amanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas dan bijak menguruskan wang rakyat demi rakyat dan bukannya perut dan tembolok sendiri atau pihak-pihak tertentu sahaja.

Mereka sedang melalui proses kehidupan yang matang, sekarang dan untuk masa hadapan. Mereka sudah pandai berfikir mana yang terbaik untuk diri sendiri, keluarga, negara dan yang paling utama ialah untuk masa depan Islam. Sedangkan pemerintah masih angkuh dengan bayangan sendiri, asyik masyuk diulik dengan 'irama' dan 'tarian ciptaan sendiri', sedang penonton melihat dengan rasa mual, muak dengan telatah, gelagat dan aksi yang cukup-cukup sumbang rentaknya..

Apakah sebenarnya?...

Apakah ini bahana kerana membangkang, anti kerajaan, tidak sehaluan, berlainan fahaman dan akidah politik?...

Inikah layanan yang baik, mesra atau tidak lebih sebagai talam dua muka terhadap rakyat oleh pemerintah dan penguasa yang berkuasa?.

Apakah protes mereka itu semata-mata untuk memburukkan proses pemerintahan negara dan langsung tidak membantu untuk membangunkan negara?

Apakah para protes bangun beramai-ramai untuk menjahanamkan negara sendiri?

Idaman

Bilakah kita hendak merasa kehidupan yang menepati syariat Islam, penuh segala kebajikan dan nilai kemanusiaan?. Mengambil berat semua keperluan rakyat jelata tanpa mengira semua lapisan masyarakat, bangsa atau agama.

Buktinya sudah pun telah ada. Baginda Rasullullah, para Khalifah Arrasyidin, pemerintah-pemerintah Islam selepasnya telah mengekalkan keharmonian, kebajikan dan kesucian Islam di dalam pemerintahannya. Bangsa Islam yang telah dilihat sebagai bangsa yang bertamadun dan membawa pembaharuan di dalam kehidupan duniawi dan memimpin ummah untuk kesejahteraan hidup diakhirat. Mereka cinta kepada Islam dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah Taala.

abuzorief @ bukit mertajam
7/5/2012 isnin,

No comments:

Post a Comment