Pages

Sunday, 20 June 2010

Ukur baju di badan sendiri...


Bila hujung bulan mulalah garu kepala yang tidak berapa gatal, kerana memikirkan duit yang semakin luak saban hari. Bila tekan mesin ATM, Ahh!... duit tidak masuk lagi, bilalah nak masuk gaji ni.... kering habis duit yang ada di dalam simpanan. Kalau menarah bukit lama-lama runtuh juga bukit. Inikan pula duit, kalau sudah dibelanjakan, maka lama-lama pun boleh habis, boliaw dan pokai.

Kalau hendak mengenangkan duit, banyak mana dapat pun sudah tentu tidak cukup. Lagi banyak dapat, lagi besarlah perbelanjaannya. Kalau ada sikit, pandailah pula berjimat-cermat. Setengah orang keberkatan hidupnya adalah disini. Gaji tidak besar tetapi boleh menjaga anak yang ramai, malah anak-anak berjaya sehingga ke Universiti. Orang selalu kata, itulah keberkatan hidup, sentiasa dimurahkan rezeki dan dinaik-tarafkan kehidupan oleh Allah. Walaupun tidak kaya tetapi masih kaya dengan keceriaan kehidupan, kesihatan yang baik, keharmonian rumah tangga dan kepandaian dan sopan-santun hidup anak-anak.

Pengalaman

Kawan saya berkata, dia gaji tidaklah banyak, anak pula ramai dan isteri tidak bekerja, mengajar pula tempat jauh, kalau hendak sewa dekat dengan tempat kerja sewanya mahal, alhamdulillah masih mampu berkereta tetapi buruk sahaja, beli cash tetapi buruklah dan masih boleh bergerak sana-sini. Alhamdulillah katanya, setakat ini dia tidak pernah berhutang dengan orang. Malah perabot rumah pun tidaklah sehebat macam orang lain yang berjenama kayu jatilah atau brand yang berjenama. Syukur Alhamdulillah katanya, menarik nafas lega, kerana apa yang orang lain berhajat, dia juga masih mampu memilikinya walaupun tidak sehebat mereka yang berbelanja mewah. Katanya, syukurlah dengan apa yang ada.

Pengurusan kewangan

Pengurusan kewangan adalah skil atau teknik yang mesti diambil berat dan di beri perhatian utama. Mungkin saya boleh berikan beberapa tip walaupun tidaklah sehebat para ahli pengurusan yang terkenal.

Antaranya:
  • Kita sedia maklum, memang sudah pastinya kita mengetahui jumlah pendapatan bulan yang kita perolehi... sikit atau banyak itulah pendapatan yang kita perolehi setiap bulan.
  • Hendaklah kita mengenal pasti jumlah semua perbelanjaan tetap bulanan kita sama ada pembayaran (utilities, hutang dsbgnya) dan perbelanjaan peribadi, isteri dan anak-anak.
  • Catatkan kembali di atas kertas perkara-perkara yang membabitkan simpanan, pendapatan, pembayaran dan perbelanjaan kita sepanjang sebulan.
  • Sekiranya mampu sediakan 3 akaun bank yang berasingan. (pastikan juga kita membuka akaun yang jenis Islamic banking, supaya tiada unsur interest yang mengganggu urusan muamalat kita). Kerana mencari yang fardhu itu adalah kewajipan...
  • Asingkan semua perkara-perkara pembayaran (utilities, hutang dsbgnya) tersebut di akaun bank yang dikhususkan untuk tujuan pembayaran sahaja. Sama ada pembayaran yang melibatkan pembayaran online, pembayaran secara direct debit, atau sebagainya.
  • Asingkan juga perkara-perkara perbelanjaan kita di akaun bank yang hanya dikhususkan untuk tujuan perbelanjaan sahaja. Sama ada perbelanjaan secara online, direct debit atau cash mesin.
  • Dan yang mustahak sekali adalah pastikan sejumlah simpanan untuk masa depan juga perlu diasingkan ke akaun bank yang lain supaya ia kekal di dalamnya tanpa 'diganggu' oleh perbelanjaan dan pembayaran kita yang lain.
  • Dengan cara yang ringkas ini, sekiranya bila tiba hujung bulan, kita sudah boleh mengawal kewangan kita dengan bijak dan lebih berhati-hati.
  • Berlapang dada dengan apa yang ada.
  • Berbuat baik, berbakti dan mendoakan kepada ibu-bapa.
  • Selalulah berdoa kepada Allah taala supaya dimurahkan rezeki, memperolehi rezeki yang halal dan diberkati dan juga diluaskan dan diperbanyakkan rezeki. Dibebaskan dari sifat bakhil, berhutang dan dizalimi oleh orang lain yang berhutang, Menipu, tertipu dan ditipu oleh orang lain.
  • Perbanyaklah beristighfar kepada Allah setiap waktu.
  • Selalulah melaksanakan solat Dhuha kerana Dhuha itu adalah pembuka pintu rezeki hamba Allah.
Sekiranya kita mempunyai isteri dan anak-anak, maka berpakatlah bersama-sama dalam hal ini kerana mereka juga mampu membawa keberkatan rezeki di dalam kehidupan kita. Uruslah kewangan kita bersama mereka.

Merendah diri
Dalam hal harta dunia ini kita kenalah selalu melihat kepada hamba Allah yang kurang hartanya dari kita. Kalau kita melihat mereka yang lebih dari kita maka kita akan merasa tidak puas hati dan akan timbullah rasa cemburu dan seterusnya akan melonjakkan hawa nafsu kita untuk berlumba-lumba mendapatkan tanpa kita sedar kemampuan yang kita ada. Amat parah lagi, kalau memperolehinya tanpa mengira adakah halal atau haram perbuatan tersebut.

Kalau berlumba-lumba dengan cara baik tidak mengapa, tetapi kalau sudah sampai menggunakan khidmat tok bomoh, rasuah dan sebagainya, maka perlulah sedar supaya tidak terlanjur terus melakukan maksiat sesama manusia dan juga kepada Allah Taala.

Sekian

abuzorief @ sheffield
20/6/2010  ahad

Thursday, 3 June 2010

Sebab pulut santan binasa...

Gambar hiasan
Astaghfirullah al azim...

Saya memohon keampunan sebanyak-banyaknya kepada Allah Taala. Semoga Allah melindungi saya dari terjerumus di dalam golongan yang membuat fitnah. Bercakap itu memang 'enak'.

Saya terdengar juga orang-orang kita bercakap sinis mengenai usaha amal membantu rakyat Palestin.
  • Kenapalah menyusahkan diri sendiri...
  • Duduk di masjid beribadah sudahlah...
  • Tidak ada bala cari bala...
  • Sudah senang, pergi cari susah...
  • Jangan kacau periuk nasi aku sudah...
  • Berdemo sana-sini menyusahkan orang...
  • Hang nak buat apa hang buatlah, jangan kacau aku sudah...
  • Orang Arab pun tak buat apa, kita pulak yang lebih-lebih...
  • Itukan krisis bangsa, tak perlu kita masuk campur...
  • Jangan masuk campur hal negara orang lain...
  • Nak makan pun tak cukup, nak sedekah kat depa...
  • Alah!, bangsa itukan memang suka bergaduh, dari dulu lagi...
  • Tak ada gunanya tolong depa, Amerika tu lagi kuat...
  • Duit derma nanti dia yang sapu...
  • Betul ke mereka salur duit derma kita ke sana?...
Dan banyak lagi kata-kata yang tidak sepatutnya diungkap. Itu hanya kata-kata, belum lagi 'diserikan' dengan cebikan muka 'hodoh' dan momokan yang diberikan.

Dari Abu Hurayrah Radiyalluhu 'anh bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, mka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia muliakan jirannya. Barangsiapa beriman denga Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia muliakan tamunya. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
 
Kehalusan iman

Bagi pandangan saya, kata-kata seperti di atas adalah kata-kata yang sungguh biadap (maaf kerana agak kasar) dan kurang sopan dari sikap dan akhlak kita sebagai seorang muslim yang saban hari telah mengaku, bersaksi dan mengucap sepenuhnya dua kalimah syahadah. Kalimah yang agung yang telah membezakan kita sama ada Islam atau kafir. Kehalusan iman yang menuntut supaya melaksanakan tuntutan kita sebagai hak seorang mukmin, hak seorang muslim dan hak kita sebagai seorang yang muttaqin (orang bertakwa).
 
Dimanakah letaknya pengakuan dan persaksian kita sebagai insan yang berakidah?.

Ayuh!, Ini memerlukan jawapan dan tindakan yang sedar dengan segera. Tidak boleh bertangguh dan teragak-agak, tidak boleh berdolak dalih lagi, atau menunggu kawan-kawan lain buat baru kita hendak beriman penuh dengannya. Jangan biarkan diri kita terperangkap dengan keselesaan nafsu dan keselesaan akal cetek kita. Kembalikan diri kita ke fitrah yang suci. Insan yang berakidah, berakhlak di antara manusia dan Allah Taala.

Kalau kita kurang selesa pun, janganlah mengherdik usaha orang lain. Diam sahaja sudah memadai, bukannya memandai-mandai mencipta cerita dan kata-kata yang bukan-bukan. Jangan menunjukkan ego dan sombong kerana kebodohan diri sendiri.
Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana...
Jawablah sendiri dihadapan Allah Taala apabila disoal nanti.

abuzorief @ Sheffield
3/6/2010 khamis

Tuesday, 1 June 2010

Antara kek dan semburan peluru hidup...

Gambar hiasan sahaja
Ulang tahun...

Ulang tahun pada 31 May 2010 mengingatkan saya tentang usia yang semakin berganjak ke hadapan tanpa menghiraukan sedikit pun halangan yang mendatang. Semuanya datang dan pergi begitu sahaja. Yang pastinya, berkira-kira ini bukanlah sangat usia saya tetapi ialah kepada roh, jasad dan akal yang sentiasa keluh dengan usia yang semakin meningkat kerana mereka akan menjadi semakin lemah dan terus lemah dimamah masa.

Seperkara lagi untuk memperingati ulang tahun, bukan ayam McD, Coca-Cola, Timberland dan Calvin Klein yang akan menjadi hidangan dan hadiah utama untuk meraikan ulang tahun saya, tetapi sebaliknya adalah khabaran tentang semburan peluru hidup yang bertaburan di atas 20 tubuh para sukarelawan Misi LL4G. Alhamdulillah mudah-mudahan ini akan menjadi pemangkin dalam hidup saya untuk terus memperjuangkan isu palestin dan deen Allah di atas muka bumi ini. Menang atau Syahid... memang amat dicemburui, lebih-lebih lagi terhadap sukarelawan yang terbabit dengan misi Life Line for Gaza (LL4G)

Bagi saya, tiada lagi tolehan kebelakang. Kalau menoleh pun untuk mengambil i'ktibar sepenuhnya pengalaman-pengalaman yang telah dilalui. Suka-duka dan kejelasan jalan yang telah dipilih untuk menabur bakti.

Hidup mulia atau syahid... insyaallah semoga kata-kata ini akan menjadi pemangkin dan seri di dalam perjalanan hidup saya yang berbaki.

*****
Gambar hiasan sahaja

Sampai bila perlu berdiam diri?...

Masalah ummah di Palestine, yang masih belum selesai dan tidak menunjukkan petanda-petanda yang positif. Keadaan mereka di sana amat resah dan gelisah, takut dan gusar di kalangan anak-anak kecil dan orang tua yang menanti pertolongan-pertolongan dari kita semua. Selama hampir 4 tahun mereka dikepung dan dinafikan hak kemanusian mereka disebalik tembok jahanam Israel.

Negara Islam yang berkerajaan penuh hanya berdiam diri sahaja, diam tidak terkata. Terkelu, terkedu dan terpaku. Bila rakyat bangun menentang dan membantu, maka mereka dikatakan melanggar undang-undang negara dan terrorist.

Namun, mereka yang menjadi sukarelawan berjuang habis-habisan, maka 'silap haribulan' dihumbannya ke dalam penjara negara sendiri kerana menunjukkan sikap agresif menuntut keadilan demi ummah sejagat.

Bilakah ummah Palestin akan memperolehi pembelaan ummah sedunia. Israel keparat yang jahat dan zalim itu pula dibela dan didengar rintihan mereka. Dunia hanya memerhati sahaja kerakusan dan kezaliman Zionist memperlakukan apa sahaja mengikut sesuka hati mereka yang dikatakan masih berpaksikan di ruang lingkup undang-undang ciptaan yang 'sah', iaitu undang-undang raja syaitan dan dajjal dunia. Bangsa yang tidak pernah jemu-jemu melakukan kezaliman dan kerosakan di atas muka bumi Allah ini selama beratus dan ribuan tahun.
 
Jahanamlah Zionist keparat...

Peristiwa pembunuhan sukarelawan Flotilla seramai 20 orang pada 31 May 2010 memang menyayat hati. Ditembak oleh 'lanun' Zionist tanpa berhati perut. Mereka yang menceroboh dan membunuh tetapi sebaliknya mereka mengatakan mereka hendak mempertahankan diri dari serangan sukarelawan. Apa sangat senjata sukarelawan yang ada...
Biadap!, biadap!, biadap!, Kerajaan gergasi dunia masih mengesek mata, tidur gamaknya... apa cerita ni?, apa cerita ni?...
 
Aduh cemburunya....
 
Didoakan mereka yang terlibat memperolehi kemenangan dari Allah Taala di atas usaha murni yang sepatutnya kita jadikan mereka sebagai 'hero' ummah. Sekiranya mereka tewas, maka doakan mereka supaya mereka syahid di atas jalan Allah sebagai kematian yang paling mulia.

Kita percaya mereka yang ke sana telah menanamkan azam dan niat untuk mati syahid yang mana ianya pasti diganjari oleh Allah Taala akan kesenangan hidup di dalam Jannah Allah Taala dengan didampingi oleh bidadari-bidadari yang sedia menanti... Inilah hadiah yang paling mengembirakan.
 
Amin...
 
abuzorief @ sheffield
1/6/2010 selasa
for flotilla mavi marvara
Life Line for Gaza (LL4G)