Pages

Thursday 28 February 2013

Pilihanraya - Menyeronokkan atau menduka-citakan?


Nasib pilihanraya di negara sendiri tidak ubah seperti perlawanan Tomoi, ganas dan cemas. Apa tidaknya!, sebelum perlawanan sudah ada perasaan sakit hati, dengki dan dendam yang membara sesama sendiri dan tujuannya hanya satu iaitu untuk menang, tidak kiralah bermaruah atau tidak. Namun, kalau dilihat juga, belum lagi masuk gelanggang sudah semacam mahu pecah gelanggang. Pukulan KO, kalau boleh mahu dihentaknya sebelum memulakan perlawanan. Perlawanan itu kalau boleh, tidak mahu ada saingan atau pesaing. Manakala, penonton pula senyum dan gelak ketawa melihat aksi-aksi di luar gelanggang. Itu belum lagi beraksi di dalam gelanggang. Habis semua kerusi meja disepak terajang, sampah bertaburan dan tidak kalah juga seolah-olah sebagai pemain yang beradu digelanggang. Itulah adat perlawanan, menang atau terus kecundang, dan akhirnya berbekas segala dendam amarah.

Saya belum nampak sesuatu yang menarik apabila menjelangnya pilihanraya. 'Perlawanan' yang boleh dikategorikan sebagai perlawanan yang professional, telus dan adil. Pilihanraya yang 'suci'. Tidak ada pergaduhan fizikal dan perbantaian terhadap hal-hal peribadi dan keluarga serta tiada pembaziran. Malah, apa yang terjadi itu, lebih untuk menjatuhkan dan memburukan imej peribadi. Sudah tidak ada lagi ukhuwwah, kasih sayang diantara satu sama lain dan rukun kejiranan dan rakan taulan. Keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga boleh bergaduh dan bermasam muka kerana berlainan fahamam politik dan aliran pemikiran. Seolah-olahnya musim pilihanraya ini, menghalalkan segala bentuk perbuatan dan tindakan yang selama ini adalah haram seperti yang telah termaktub di dalam Al Quran dan Sunnah.

Sepatutnya pilihanraya adalah peluang untuk mendidik rakyat. Bukannya menghasut rakyat untuk membenci pihak lawan secara fizikal. Tetapi menjadikan pilihanraya itu untuk mengasah bakat, menegakkan ketelusan dan keadilan yang berpandukan Al Quran dan Sunnah, membentuk pemikiran positif dan menjadikan rakyat sebagai pengadil yang adil untuk menentukan hala-tuju kehidupan dan kemajuan masa depan negara sendiri dengan lebih bijaksana dan bermaruah.

Saya sendiri menyaksikan dan berpeluang mengundi semasa pilihanraya di UK (Parlimen Europe, UK Parliment Election, State and Council Election),  yang dikatakan negara maju. Memang jauh perbezaannya. Terutama yang terkait dengan nilai akhlak dan adab sopan serta memenangkan calon secara bermaruah tanpa unsur kejian dan makian ketika berpilihanraya. Mereka benar-benar menuntut melalui pilihanraya akan segala keperluan dan kehendak rakyat dan siapakah calon mereka yang boleh memberi khidmat kepada mereka dan membangun negara dengan cekap, tanpa pergaduhan dan fitnah-fitnah yang sengaja dijajakan.

Sebaliknya kita sebagai negara yang majoritinya beragama Islam, mesti meletakkan nilai murni dan adab sopan yang tinggi sepertimana yang dikehendaki di dalam Islam. Tetapi realiti kini, perbuatan-perbuatan yang terjadi telah jauh tersimpang dari sasarannya. Selayaknya kita menghindari segala bentuk fitnah dan pergaduhan yang membawa kesan dendam dan seteru sesama sendiri.

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu. (Ash-Shura [42:14] )

Selamat mengundi PRU13...

Wallahu a'lam

bersambung...

abuzorief @ kulim
28/2/2013, khamis


1 comment:

  1. IM rindukan suasana kempen seperti di UK. Sepatutnya PR yang mulakan dulu... kempen secara bersih dan berakhlak!

    ReplyDelete