Pages

Sunday 17 April 2011

Tulip di kota Belanda...


Tulip yang cantik

Keunikan dan kecantikan bunga tulip di dalam taman telah menghilangkan sebentar keletihan saya kerana telah berjam-jam memandu kereta di celah-celah kota dan bandaraya di Perancis, Belgium dan Holland. Kecantikan bunga-bunga yang mempersonakan, haruman bau wangian Hacyint yang segar memikat dan aneka jenis warna kelopak bunga yang amat mengasyikan.

Di dalam hati, saya tertanya-tanya kalaulah sebegini keadaan taman di dunia, apatah lagi kalau kita berada di dalam taman syurga... semua kepenatan pasti hilang dan kembali segar nyaman seolah-olahnya tidak ada apa yang berlaku pada diri sendiri.

Tetapi, apa yang ada disekeliling saya ketika itu, hanya seketika dan sementara sahaja bagi mengubati kepenatan diri dan kelesuan mata yang agak kuyu.

Boleh saya masuk syurga

Seorang non muslim berkata "Adakah saya boleh masuk syurga walaupun saya tak buat jahat, tak menipu, tak mencuri dan sebagainya, tetapi kalau orang Islam buat jahat akhirnya akan masuk syurga juga?" 
  • Bagaimanakah agaknya jawapan yang berhak diberikan kepada persoalan di atas?
  • Adakah kita berupaya untuk menjawab?
  • Atau adakah kita juga tidak pasti untuk menjawab?
  • Apakah kita masih mengatakan yang kita masih belum cukup ilmu?
  • Adakah perlu kita menjaga hati dan perasaannya?
  • Adakah kita perlu berterus terang?
  • Apakah kita perlu menceritakan perkara yang telah diceritakan di dalam Quran?
  • Apakah kita perlu menjawab dengan menggunakan logik akal supaya dia selesa dengan jawapan yang diberikan? 
  • Bagaimana hendak memecahkan 'kedegilan' kepercayaan mereka terhadap Islam?
  • Bagaimana hendak mencari keselarian penerimaan mereka terhadap Islam dan kepercayaan yang mereka anuti...
Wallahu a'lam, bagi saya, agak rumit juga hendak menerangkan kepada mereka kerana yang bertanya itu adalah non-muslim. Kalau mereka muslim dengan mudah sahaja lidah kita melafazkan ayat Quran dan hadis untuk berhujah dan berdebat atau memberikan keterangan.

Untuk memahamkan mereka, tidak sama seperti kita memahamkan kepada orang-orang Islam. Kalau hendak menggunakan banyak ayat-ayat Al Quran, sudah pasti mereka tidak dapat menerimanya kerana mereka langsung tidak mempercayai Al Quran yang menjadi salah satu rukun Iman yang wajib diimani.

Kerana, mereka adalah non muslim yang tidak ada kepercayaan langsung terhadap rukun iman sepertimana kita wajib mempercayainya dan menjadi teras dan tunjang aqidah kepada Allah.

Usaha untuk menerangkannya menjadi kekok dan malah ianya menjadi payah dan 'kaku' kerana kita tidak berada di dalam medannya (kerja berdakwah kepada non muslim) dan kurang pengalaman untuk meneroka dan menjawab semua persoalan.

Apakah perlu juga kita menggunakan logik akal yang bersesuaian supaya setiap penerangan dan perbicaraan mudah diterima dan difahami dengan rela hati.

Buatlah satu surah

Ketika zaman Rasulullah dan sahabat, mereka yang jahil dan menentang Islam adalah kerana Islam datang untuk menghapuskan cara hidup jahililiyyah dalam kehidupan seharian mereka yang telah menjadi sebati dan selesa denga kehendak hawa nafsu. Mereka menentang kerana bagi mereka Islam akan menukar corak kehidupan mereka. Mereka sanggup bermatian menentang Islam kerana Islam tidak menjanjikan kesenangan hidup sekelip mata dengan longgokan emas perak dan kemewahan yang melampau.

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada
hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding
dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu
selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. [Al Baqarah : 23]

Percubaan untuk mencabar Allah Taala di dalam setiap hal, akan membawa padah pada diri sendiri kerana Allah hanya akan menempelak semula manusia sebegini dengan disuruhnya membuat sesuatu yang diluar batas kemampuan manusia kerana keingkaran manusia itu hanya kesombongan mengikut hawa nafsu sahaja tanpa memikirkan kelemahan yang ada pada diri sendiri.

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya,
maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu
(berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. [Al Baqarah: 24]

Sikap buruk kita

Akhlak Rasulullah dan sahabat-sahabat adalah merupakan akhlak yang dilahirkan dari tarbiyyah Al Quran. Sahabat-sahabat dididik dengan sibghah (acuan) Allah. Memiliki segala sifat Rabbaniyyah dan uluhiyyah dan asma wa sifat yang menjadi bingkai (frame) kepada kehidupan seharian. Mereka amat berbangga menjadi muslim dan mukmin di dalam kehidupan Islam atau Deenul Islam.

Bagi saya, mereka amat tawar hati untuk menganut Islam kerana keperibadian orang-orang Islam di akhir zaman ini tidak mencerminkan keperibadian yang mulia sepertimana yang dituntut di dalam Al Quran. Kita tidak seperti generasi agung yang telah dibina oleh Rasulullah yang merupakan generasi Al Quran dengan akhlak dan budi pekerti yang hidup dan tersusun di dalam kehidupan seharian.

Peranan kita

Pentingnya berdakwah kepada mereka non-muslim kerana mereka juga mempunyai hak untuk di dakwah kerana mereka mesti mengetahui apakah maksud Islam sebenarnya. Islam bukan untuk bangsa dan kaum tertentu sahaja. Malah Islam tidak terbatas juga pada negara dan benua tertentu. Turunnya nikmat Islam ini adalah untuk dinikmati bersama dengan syarat mesti tunduk mengabdikan diri kepada Allah Taala.

Islam diamalkan sebagai cara hidup dan bukannya upacara keagamaan. Di dalam seluruh kehidupan itu perlu menyerahkan diri dan tunduk patuh kepada Allah Taala. Setengah kita hanya faham bahawa kita hanya perlu beribadah hanya bila tiba waktu atau masa sahaja seperti waktu solat, waktu baca Al Quran, waktu zikir dengan menggunakan biji-biji tasbih, berpuasa, memakai jubah, serban, kopiah dan sebagainya.

Ya!... walaupun itu semua adalah tuntutan dan syiarnya, namun, kalau diperhatikan keseluruhan cara hidup yang lengkap di dalam Islam ia bukan sahaja tertumpu pada ibadah wajib dan sunat sahaja tetapi mengambil kira perbuatan-perbuatan yang kecil seperti mengucap syukur pada Allah ketika mana bangkit dari tidur, masuk dan keluar kamar mandi, makan minum, memakai baju, melihat cermin... sehinggalah kepada perkara yang melibatkan urusan hidup seharian yang lain seperti bermuamalah berakad, syarikat, pinjaman, hutang piutang, pajak gadai, hubungan antara-bangsa, urusan pemerintahan, penyelesaian hidup di dunia dan akhirat, penderaan dan pembunuhan, menjaga perbadi, menjaga keluarga, menjaga masyarakat dan negara serta tanah air dari diancam oleh kezaliman manusia lain dan memastikan dunia ditadbir dengan penuh keadilan dan selamat.

Semuanya bertujuan untuk mengajak manusia mengabdikan diri supaya tunduk menyerah diri menyembah Allah. Hal yang diceritakan di dalam Al Quran ini bukan sahaja untuk kesejahteraan ummat manusia tetapi juga kepada seluruh golongan jin. Kerana manusia dan jin adalah wajib menyembah Allah yang maha Esa.

Alasan

Tetapi bukanlah menjadi sebab kepada saya dan kita semua untuk merasa lemah dan mengalah dan menjadi alasan supaya tidak melakukan sesuatu, mengajak dan mendidik dan berdakwah kepada mereka walaupun mereka agak sinis dengan agama Islam.

Jadi dimanakah kita perlu bermula?...

abuzorief @ keukenhof, holland
12/4/2011, selasa

3 comments:

  1. bermula dari langkah yang pertama....diri kita!

    ReplyDelete
  2. Setuju, diri itu satu permulaan yg plg dekat.

    ReplyDelete
  3. Kalau ana kita beri penerangan begini :-

    Tuhan yang menjadikan manusia dan yang memberi panduan sesiapa yang mengiku akan ke syurga begitu juga sebaliknya.

    Cth : Pengeluar kereta telah sediakan manual dan sediakan jalan atau lorong ke destinasi.

    Pemandu A : Ikut manual ikut lorong tetapi di perjalanan macam2 dia buat perjalanan lambat tetapi akhirnya akan sampai ke destinasi.

    Pemandu B : Tidak ikut manual tidak ikut lorong tetapi memandu dengan berhemah tetapi akhirnya tidak sampai ke destinasi kerna ikut lorong yang salah.

    ReplyDelete