Pages

Friday 5 April 2013

Ucapan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 2013


Ucapan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Dan Pengerusi PR Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town pada 5.4.2013
Marilah Kita Menuju Ke Atas Kebebasan Yang Sebenarnya Iaitu Kebebasan Daripada Kejahilan, Kebebasan Daripada Rasuah Dan Kronsima, Kebebasan Daripada Kemiskinan Dan Kebebasan Daripada Ketakutan.
Semalam, saya telah menghadap Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri untuk memohon perkenan supaya Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-12 dibubarkan pada hari ini, Jumaat 5 April 2013. Selaras dengan Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, TYT Yang Dipertua Negeri telah pun memperkenankan bagi DUN dibubarkan berkuatkuasa hari ini.
Memang tepat Jumaat sebagai penghulu kepada segala hari dipilih dan kami berdoa bahawa ia akan membawa rahmat kepada semua serta berkati proses pilihanraya umum dapat dijalankan secara aman tanpa diganggu oleh kebencian dan keganasan. Kita juga berdoa bahawa sekiranya berlaku perubahan, pemindahan kuasa akan berjalan secara teratur dan tenteram. Bagi pihak PR, kami berjanji dan menjamin akan menyerahkan kuasa di Pulau Pinang dengan lancar sekiranya tidak berjaya  dalam pilihanraya besar yang akan datang.
Setelah diberi penghormatan untuk memikul amanah pentadbiran negeri ini selama 5 tahun, saya bagi pihak kerajaan negeri Pakatan Rakyat ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas kepercayaan anda semua pada Pilihan Raya Umum yang lepas.
Lima tahun yang lepas pada 8 Mac 2008, rakyat Pulau Pinang telah mencetuskan tsunami politik yang membawa perubahan kuasa kepada PR. Sejak itu, banyak yang telah kita capai bersama. Pulau Pinang sudah pun pulih daripada kemerosotan yang berlarutan dan kini kembali sebagai negeri peneraju di negara kita.
Kerajaan Pulau Pinang adalah yang paling bersih di Malaysia, berikutan pengiktirafan oleh Transparency International serta Laporan Ketua Audit Negara yang telah memuji sistem tender terbuka, lebihan belanjawan tahunan serta pengurangan hutang 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta. Salah satu lagi pencapaian cemerlang adalah kejayaan dalam menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai yang telah hampir bankrap setelah ketirisan sebanyak RM230 juta sebelum tahun 2008. Pada masa yang sama, kami juga telah berjaya meningkatkan aset negeri sebanyak 50% daripada RM800 juta pada tahun 2008 kepada RM1.2 bilion sekarang.
Kejayaan ini adalah hasil tadbir urus yang berasaskan prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus. Antara dasar-dasar yang telah diperkenalkan adalah sistem tender terbuka kompetitif, menghalang ahli keluarga pemimpin negeri daripada berurus niaga dengan kerajaan negeri, pengisytiharan harta secara terbuka oleh barisan EXCO serta Ketua Menteri dan juga pendedahan kontrak kerajaan untuk penelitian umum.

CAT telah membolehkan Pulau Pinang untuk berjaya menarik jumlah pelaburan yang paling besar di Malaysia untuk kali pertama dalam sejarah – bukan sekali tetapi dua kali pada tahun 2010 dan juga 2011. Sepanjang tempoh lima tahun yang lepas iaitu dari tahun 2008-2012, Pulau Pinang telah mencatat pelaburan berjumlah RM36.1 bilion iaitu 100% lebih baik daripada pelaburan sebanyak RM18.7 bilion dalam tempoh lima tahun sebelum itu iaitu dari tahun 2003-2007.
Pulau Pinang kini merupakan negeri paling sesuai didiami di Malaysia dan yang ke-lapan paling sesuai didiami di Asia. Baru-baru ini, Pulau Pinang juga telah terpilih sebagai lokasi ke-empat paling baik di dunia untuk persaraan. Pengiktirafan ini adalah bukti bahawa Pulau Pinang sudah menjadi Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.
PR percaya bahawa kekayaan harus dikongsi secara saksama dengan rakyat dan bukan dengan kroni. Untuk sebab itu, kami telah mengagihkan lebihan belanjawan tahunan yang dicapai dalam bentuk bantuan tunai kepada sekolah-sekolah dan juga individu seperti warga emas, OKU, ibu tunggal, bayi baru lahir, penarik beca, pelajar universiti serta pelajar sekolah. Semua program ini telah menelan belanja sebanyak RM150 juta sejak tahun 2008.
Pulau Pinang berjaya mencatat sejarah dengan pelancaran Agenda Ekonomi Saksama yang berjumlah RM20 juta untuk menjadi negeri pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan dengan memastikan bahawa setiap isi rumah di Pulau Pinang mempunyai pendapatan minima RM770 sebulan. Mana-mana keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM770 sebulan akan “ditambah nilai” oleh kerajaan negeri sehingga mereka mempunyai RM770.
Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama untuk memperuntukkan RM500 juta untuk tujuan pembinaan perumahan mampu milik. Kerajaan negeri telah pun membina hampir 4,000 unit sejak tahun 2008 sementara sektor swasta telah menyumbang sebanyak 9,000 unit lagi. Untuk masa depan, kerajaan negeri bercadang untuk membina 19,172 unit dengan tambahan 20,000 unit daripada sektor swasta.
Kami telah cuba untuk mengusahakan sistem pengangkutan awam yang berkesan dengan penawaran perkhidmatan bas percuma. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengangkutan awam telah menolak tawaran kerajaan negeri untuk membayar RM10 juta setahun untuk perkhidmatan bas percuma di seluruh negeri pada waktu puncak.
Maka, kami tidak mempunyai pilihan melainkan tetapi terdesak untuk melaksanakan projek RM6.3 bilion untuk meleraikan trafik melalui tiga lebuhraya daripada Tanjung Bunga ke Teluk Bahang; Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu; Air Hitam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu serta terowong bawah dasar laut yang akan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam, Butterworth.
Kami tidak akan membiarkan anak-anak muda Pulau Pinang untuk membesar sebagai generasi kesesakan trafik. Anda boleh menentukan sama ada PR mempunyai dasar dan keberanian untuk menyediakan masa depan yang cerah untuk anak-anak kita.
Pulau Pinang kini dalam proses menjadi negeri hijau pertama di Malaysia dengan inisiatif-inisiatif hijau, seperti menjadi satu-satunya negeri yang mengamalkan kempen “Tiada Beg Plastik Percuma” serta mencapai kadar kitar semula yang paling tinggi di Malaysia iaitu 24%. Pulau Pinang juga ingin menjadi negeri basikal pertama di Malaysia dengan laluan basikal 200 kilometer.
Di Pulau Pinang, rakyat tidak lagi takut sama kerajaan negeri macam dulu. Sekarang kerajaan negeri yang takut sama rakyat.
Kami telah memartabatkan Islam dengan meningkatkan peruntukan untuk hal ehwal agama Islam hampir tiga kali ganda serta menubuhkan portfolio EXCO untuk hal ehwal agama bukan Islam. Pulau Pinang juga kini menjadi ibu kota kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia dengan Bandar Warisan Dunia UNESCO George Town yang bertaraf antarabangsa serta sambutan tahunan Festival George Town yang berjaya mengumpulkan para penghibur, artis, penulis serta cendekia dari dalam dan luar negeri.
Akhir sekali, kerajaan negeri juga telah berusaha untuk memperkasakan suara rakyat melalui penubuhan Sudut Pidato yang pertama di Malaysia di Padang Kota Lama serta di Butterworth. Tambahan pula, kami juga telah mengukuhkan demokrasi dengan meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat, Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan serta meminda Perlembagaan Negeri untuk melarang wakil rakyat melompat parti.
Di sini saya perlu meminta maaf kepada semua penduduk di sekitar Komtar kerana hampir setiap minggu diganggu oleh kumpulan kecil daripada Perkasa dan penyokong BN yang menyalahgunakan kebebasan berhimpun dengan membuat demonstrasi secara ganas dan biadab. Marilah kita menuju ke atas kebebasan yang sebenarnya iaitu kebebasan daripada kejahilan, kebebasan daripada rasuah dan kronsima, kebebasan daripada kemiskinan dan kebebasan daripada ketakutan.
Di Pulau Pinang, rakyat tidak lagi takut sama kerajaan negeri macam dulu. Sekarang kerajaan negeri yang takut sama rakyat.
Kami percaya bahawa banyak lagi yang boleh dicapai. Jika anda dapat rasakan dalam lima tahun ini bahawa Pulau Pinang telah mencatat prestasi yang baik, maka pastinya lima tahun yang akan datang akan menjadi lebih baik. Sesungguhnya Pulau Pinang layak menerima yang terbaik!
Marilah kita pastikan bahawa persaingan untuk masa depan Pulau Pinang ini tidak akan menjadi pertarungan antara siapa yang lebih pandai memfitnah, membenci atau mengugut, tetapi menjadi pertarungan yang mulia antara idea, ideal, prinsip dan dasar-dasar berjiwa rakyat. Peluang untuk mengejar impian harus diberi kepada anak-anak kita dan bukan hanya kepada anak-anak para Menteri atau Perdana Menteri kini dan lampau.
PR menawarkan visi masyarakat majmuk yang bersatu dan madani serta menghormati kepelbagaian dan hak asasi. Kami percaya bahawa PR mempunyai idea yang lebih bernas, idealisme yang lebih kukuh, prinsip yang telah diuji masa dan dasar-dasar berjiwa rakyat untuk menjaminkan masa depan anak-anak kita.
Sekiranya diberikan peluang semula untuk terus memerintah Pulau Pinang, kami yakin, Pulau Pinang boleh menjadi No.1 di Malaysia sebagai negeri pintar dan bertaraf antarabangsa.
Demi Pulau Pinang yang lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat. Ini kalilah!
Lim Guan Eng


Namun kita sebagai rakyat, berhak mempertanyakan pelbagai soalan yanhg bermain di dalam minda, Apakah mereka benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat jelata.
Nota untuk difikirkan:
  • Apakah ukuran pencapaian sejak 5 tahun ini dirasai oleh semua peringkat masyarakat?
  • Pengagihan yang sama adil ke atas semua masyarakat?
  • Urus tadbir yang bersih, telus dan cekap?
  • Adakah mereka semua ini berjiwa rakyat atau
  • Rakyat menjadi 'hamba' kepada mereka yang berkuasa?
  • Ambil tahu masalah setempat?
  • Sentimen perkauman masih ujud?
  • Kaum melayu dipinggirkan?
  • Bagaimanakah peratus penguasaan Tanah di Pulau Pinang, masih terus tergadai?
  • Sekolah agama terus tertindas dan terpinggir?
  • Syiar Islam dan aktiviti Islam dinafikan?
  • Kekayaan ekonomi diagihkan hanya sebelah pihak?
  • Pelaburan merosot?
  • Hutang negeri terus meningkat?
  • Azan di masjid tidak boleh dikumandang?
  • Peratus pembelian hartanah dari warga asing meningkat?
  • Masih banyak rasuah dan pecah amanah di dalam sector awam?
  • Urusan pentadbiran jabatan kerajaan masih lembab dan teruk?
  • Ahli majlis yang berwibawa?
Sekian, wassalam


abuzorief @ penang
5/4/2013, jumaat
DUN penang bubar

2 comments:

  1. Muga PR teus kekal menjaga diri dengan akhlak dan keikhlasa.

    ReplyDelete
  2. semoga mereka sedar dlm menggalas amanah dan menjaga kebajikan rakyat

    ReplyDelete