Pages

Sunday, 31 March 2013

Maksiat Professional

gambar hiasan

Lihat sahaja kelakuan manusia mutaakhir ini. Pelaku maksiat sudah berani dan terang-terangan isytihar (declare) walaupun bukan di dalam upacara rasmi, bahkan segala perlakuan mereka itu dianggap professional dan mesti diiktiraf oleh masyarakat di atas nama hak kebebasan manusia atau kata bidalan jangan jaga tepi kain orang.

Maksiat yang dilakukan ditempat-tempat yang hebat terkenal dan exclusive 5 bintang dan ternama, mendapat liputan dan tumpuan para wartawan sudah cukup untuk menutup mulut kita semua dengan katanya itu semua pekerjaan professional dan satu kesenian atau pengiktirafan dunia. Tetapi kita kena ingat, walau pun maksiat itu dimana tempatnya sekalipun hatta disurau atau masjid-masjid, ia tetap maksiat dan haram hukumnya ke atas perlaku itu.

Sungguh jelek bila perbuatan maksiat itu dikatakan satu amalan professional dan seolah-olahnya ia setanding dengan pekerjaan halal yang lain. Lebih-lebih lagi perlakuan yang dianggap professional itu mendapat tajaan dan perakuan dari badan-badan dan jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat terkenal atau individu-individu yang berpengaruh. Ingatlah!, perbuatan keji itu tetap haram, berdosa dan tidak berubah sama sekali hukumnya dengan secara suka-suka.

Nauzubillahi min zalik...

Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. [Surah Al Maidah 5: 78-79]

Fitnah, mengadu-domba, mendedahkan aurat, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, mengumpat, bermain-main sumpah untuk menguatkan perbuatan maksiat yang telah dilakukannya, meminum arak, pecah amanah, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya sekaligus termasuk di dalam package perlakuan maksiat.

Apabila seseorang itu telah menceburi perlakuan maksiat walaupun dari mulanya kecil sahaja peranannya, tetapi lama kelamaannya akan terasa enak dan sedap dan mengakui keseronokannya dan akhirnya terjerumus dan tenggelam di dalamnya sehingga luruhlah benteng-benteng iman yang selama ini menjadi pelindung kepada fitrah insan. Hawa nafsu dimanjakan sehingga sewenang-wenangnya berselindung disebalik iman yang tidak pernah dipeduli dan dihiraukan. Jadi, kelakuan jahat itu didorong oleh kejahatan hawa nafsu yang dikatakan mendapat blessing dari iman, tetapi sebenarnya hanya pukauan dan tipu helah hawa nafsu sendiri yang tidak dapat dikawal dengan baik.

Mudah sahaja kita terpukau dengan perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan maksiat. Ia merupakan keseronokan yang sementara dan akibatnya parah selama-lamanya sepanjang usia kehidupan.



Sedarlah siapa diri kita

Kita masih diberikan oleh Allah kekuatan, kesihatan malah rezeki yang melimpah-ruah untuk dikecapi. Kasih sayang Allah kepada kita semua tidak berbelah bahagi. Allah tidak pernah menaruh dendam kepada hambanya, sekalipun hambanya bersikap derhaka kepadanya. Sebaliknya amaran demi amaran, peringatan demi peringatan dan teguran demi teguran diberikan melalui Al-Quran dan kalam kekasihnya Muhammad Arrasul SAW.

Saya sering memerhatikan disekeliling saya malah pada diri saya sendiri, kadang-kala kita sering terlupa dengan kesenangan yang dinikmati. Walaupun satu ketika dimasa lampau mungkin kita pernah menghadapi saat penderitaan, kecelakaan, kesusahan atau apa saja musibah yang melanda, pada ketika itu kita dengan mudah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah dengan penuh keinsafan. Tetapi lama-kelamaan dengan mudah sahaja kita terlupa saat itu bilamana kita merasai selesa dan asyik-masyuk dengan nikmat kesenangan yang 'membaluti' kehidupan kita. Semua yang kita mahu, mudah sahaja diperolehi. Kisah ini bukanlah kisah yang terpencil atau sengaja direkakan. Sudah acapkali berlaku dan sebenarnya ia sekadar memberikan kita pengi'tibaran dan pengajaran dari apa yang terjadi. Malah di dalam Al-Quran sering-kali menceritakan kisah-kisah sedemikian untuk dijadikan pedoman. Beruntunglah mereka yang setia dan sentiasa 'rapat' dengan Al-Quran yang menjadi pedoman dan pelindung di setiap saat perjalanan hidup.

Dengan lain perkataan, kesenangan itu telah menyebabkan kita menjadi semakin tamak di dalam mengejar habuan dunia. Sekiranya tidak ada iman yang menjadi pendinding, maka selama itu jugalah diri kita akan terus alpa dan pasti mempunyai rangkaian-rangkaian penyakit batin yang akan memusnahkan seluruh kehidupan kita di dunia ini.

Sungguhnya nikmat itu hanya pemberian sementara dari Allah Taala. Sedar atau tidak kita pasti merasainya dan kadangkala terleka dengannya.

Sekian, wassalam

abuzorief @ bukit mertajam
31/3/13, ahad

1 comment:

  1. Kalaupun di dunia terlepas, akhirat tidak akan dapat ke mana...

    ReplyDelete