Pages

Thursday, 28 February 2013

Pilihanraya - Menyeronokkan atau menduka-citakan?


Nasib pilihanraya di negara sendiri tidak ubah seperti perlawanan Tomoi, ganas dan cemas. Apa tidaknya!, sebelum perlawanan sudah ada perasaan sakit hati, dengki dan dendam yang membara sesama sendiri dan tujuannya hanya satu iaitu untuk menang, tidak kiralah bermaruah atau tidak. Namun, kalau dilihat juga, belum lagi masuk gelanggang sudah semacam mahu pecah gelanggang. Pukulan KO, kalau boleh mahu dihentaknya sebelum memulakan perlawanan. Perlawanan itu kalau boleh, tidak mahu ada saingan atau pesaing. Manakala, penonton pula senyum dan gelak ketawa melihat aksi-aksi di luar gelanggang. Itu belum lagi beraksi di dalam gelanggang. Habis semua kerusi meja disepak terajang, sampah bertaburan dan tidak kalah juga seolah-olah sebagai pemain yang beradu digelanggang. Itulah adat perlawanan, menang atau terus kecundang, dan akhirnya berbekas segala dendam amarah.

Saya belum nampak sesuatu yang menarik apabila menjelangnya pilihanraya. 'Perlawanan' yang boleh dikategorikan sebagai perlawanan yang professional, telus dan adil. Pilihanraya yang 'suci'. Tidak ada pergaduhan fizikal dan perbantaian terhadap hal-hal peribadi dan keluarga serta tiada pembaziran. Malah, apa yang terjadi itu, lebih untuk menjatuhkan dan memburukan imej peribadi. Sudah tidak ada lagi ukhuwwah, kasih sayang diantara satu sama lain dan rukun kejiranan dan rakan taulan. Keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga boleh bergaduh dan bermasam muka kerana berlainan fahamam politik dan aliran pemikiran. Seolah-olahnya musim pilihanraya ini, menghalalkan segala bentuk perbuatan dan tindakan yang selama ini adalah haram seperti yang telah termaktub di dalam Al Quran dan Sunnah.

Sepatutnya pilihanraya adalah peluang untuk mendidik rakyat. Bukannya menghasut rakyat untuk membenci pihak lawan secara fizikal. Tetapi menjadikan pilihanraya itu untuk mengasah bakat, menegakkan ketelusan dan keadilan yang berpandukan Al Quran dan Sunnah, membentuk pemikiran positif dan menjadikan rakyat sebagai pengadil yang adil untuk menentukan hala-tuju kehidupan dan kemajuan masa depan negara sendiri dengan lebih bijaksana dan bermaruah.

Saya sendiri menyaksikan dan berpeluang mengundi semasa pilihanraya di UK (Parlimen Europe, UK Parliment Election, State and Council Election),  yang dikatakan negara maju. Memang jauh perbezaannya. Terutama yang terkait dengan nilai akhlak dan adab sopan serta memenangkan calon secara bermaruah tanpa unsur kejian dan makian ketika berpilihanraya. Mereka benar-benar menuntut melalui pilihanraya akan segala keperluan dan kehendak rakyat dan siapakah calon mereka yang boleh memberi khidmat kepada mereka dan membangun negara dengan cekap, tanpa pergaduhan dan fitnah-fitnah yang sengaja dijajakan.

Sebaliknya kita sebagai negara yang majoritinya beragama Islam, mesti meletakkan nilai murni dan adab sopan yang tinggi sepertimana yang dikehendaki di dalam Islam. Tetapi realiti kini, perbuatan-perbuatan yang terjadi telah jauh tersimpang dari sasarannya. Selayaknya kita menghindari segala bentuk fitnah dan pergaduhan yang membawa kesan dendam dan seteru sesama sendiri.

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu. (Ash-Shura [42:14] )

Selamat mengundi PRU13...

Wallahu a'lam

bersambung...

abuzorief @ kulim
28/2/2013, khamis


Friday, 22 February 2013

Masih jauh kita dari rahmat Tuhan?...


Tujuan menyeru manusia adalah untuk membawa manusia itu dekat kepada Allah. Dekat dengan erti kata menyembahNya sebagai Allah pencipta sekelian manusia.
  • Apakah kita masih sangsi dengan kejadian dan kehidupan kita di atas muka bumi ini?.
  • Apakah kita merasa kuat tanpa perlu ada yang membimbing dan menyantuni kita kepada kehidupan yang menyembah Tuhan yang maha Esa?
Ingatan demi ingatan...

Kita perlu sentiasa diperingatkan tentang tanggungjawab diri sebagai hamba Allah. Nah!, lihatlah sendiri dengan hati nurani kita tentang asal kejadian kita sejak dari mula, air mani yang hina, ketika kecilnya kita lemah dan perlukan perlindungan, remaja dan dewasa kita perlukan panduan untuk meneruskan kehidupan dan apabila di saat tua kita kembali kepada sakit-sakit, lemah dan tidak bermaya yang akhirnya memerlukan bantuan anak-anak atau sesiapa dapat membantu kita.

Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan). (Surah Al-Anaam [6:2] )

Kosmetik...

Mungkin juga kita mengatakan bahawa hidup di dunia ini panjang dan lama. Perlukan lebih kerehatan dan hiburan. Perlukan kebahagian dan kesenangan. Tetapi sebenarnya, ia tidaklah lama dan mengembirakan. Mungkin juga, mereka yang merasakan hidup ini panjang dan lama adalah mereka yang mempunyai kuasa dan harta yang membuatkan mereka alpa dan gagal mengawal segala kehendak dan keperluannya.

Jangka masa panjang dan lama itu adalah igauan semata-mata kerana sedarlah, kita menanggung segala beban dan sarat kehidupan yang bukan sebenarnya. Beban yang merupakan rencam dan kosmetik disebalik tujuan asal kejadian kita sebagai hamba Allah dan Khalifah di atas muka bumi ini.

Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (Surah Aal-e-Imran [3:117])

Bimbingan...

Hidup yang jauh dari bimbingan Allah akan menyebabkan diri kita ini, tidak akan mendapat kasih dan sayang daripadaNya. Hilang segala nikmat dan rahmat, taufik dan hidayah yang mana semuanya itu akan menyebabkan diri kita jauh dari perhatianNya dan penjagaanNya.

Asal fitrah hidup manusia itu perlukan kepada pelindung. Kerana setiap jengkal kehidupan kita di dunia ini masih belum menjaminkan apa-apa keselamatan dan keselesaan melainkan kita berpegang teguh dengan akidah kepercayaan bahawa kita ini adalah hambaNya dan Dia adalah Maha Pencipta dan Penentu segala-galaNya.

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Surah Yusuf [12:111])

Ingatlah!, pastikan kehidupan yang ada ini tidak disia-siakan begitu sahaja.

Wallahu 'alam

Sekian,

Nota:
[1] Majmuk Rasail, Ke arah mana kita menyeru manusia, Imam Hasan AlBanna

abuzorief @ kulim
22/2/2013 jumaat
7.00pm