Pages

Wednesday 26 September 2012

Assalamualaikum nak!, boleh bagi makcik RM2.00...


Selepas solat zohor, saya kembali semula ke kereta. Sebaik sahaja pintu kereta ditutup, kelihatan seorang makcik berumur dalam lengkungan 60an mengetuk cermin tingkap, lalu saya pun membuka pintu kereta dan bertanya dulu, Assalamualaikum!, Ya makcik!... Assalamualaikum nak!, lalu makcik itu berkata, Boleh bagi makcik RM2.00... Allah!, kesiannya makcik ni, tapi dengan RM2.00 apa yang makcik boleh buat?, bisik hatiku... dari kelibat dan raut mukanya bukanlah peminta sedekah yang tegar, mungkin makcik ni ada masalah, fikirku pula... Tetapi mulutku terasa berat untuk bertanya, apakah yang sebenarnya terjadi?... Aku pun menghulur lebih sikit dari yang diminta... Syukran! katanya.

Persoalan?...

Pernahkah kita merasa susah?
Pernahkah kita merasa kesempitan hidup?
Pernahkah kita kesempitan duit ringgit?
Pernahkah kita meminta-minta dari orang lain dikala terdesak?
Pernahkah kita berlapar selama 1 hari atau 2 hari atau 3 hari atau berhari-hari?

Perasaan?...

Apakah perasaan kita bila melihat orang lain di dalam kesusahan?
Apakah perasaan kita bila kita sendiri merasa kesempitan hidup, ketiadaan duit ringgit untuk berbelanja?
Bagaimanakah perasaan kita bilamana kita terpaksa meminta-minta dan menagih simpati dari orang lain?
Pengalaman tidak dipeduli, dikeji, dimarahi, dihina dan sebagainya

Allah sahaja yang tahu...

Bagi mereka yang hidup senang-lenang, melimpah ruah rezeki, tidur dengan kekenyangan, mungkin kesusahan itu tidak dirasai. Mungkin juga mereka tidak mempunyai apa-apa perasaan yang akan membuatkan hati dan perasaan menjadi lebih sayu.
Bagi mereka yang pernah mengalami dan merasainya, Allah sahaja yang tahu betapa peritnya kehidupan itu. Lebih-lebih lagi untuk menjalani kehidupan yang masih panjang.

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa.(Al-Baqarah 2: 177)

Bukannya perbuatan memberi dan meminta itu yang saya hendak fokuskan. Tetapi lebih untuk menyelami hati dan perasaan mereka yang memberi dan meminta. Yang memberi mempunyai nilai kemanusian, dan yang meminta sudah pasti bukan kehendaknya. Mereka juga seperti kita yang ada perasaan malu dan tebal muka. Tetapi apakan daya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.


Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan bersama:
  1. Menyumbang seberapa banyak yang mampu dengan kemampuan. Abu Ishak As-Sabii'e berkata, "Mereka berpendapat kesenangan itu sebagai satu bentuk pertolongan kepada agama".
  2. Cuba lahirkan insaf dan belas di dalam hati dan peribadi.
  3. Buang sikap sombong dan bongkak serta bakhil. Ibnu Abbas r.a meriwayatkan katanya, Al Hajib merupakan seorang lelaki bangsawan arab yang kedekut. Dia tidak menyalakan api diwaktu malam kerana bimbang cahayanya akan diambil faedah oleh orang lain. Apabila dia menyalakan api, dia akan memerhatikan sekelilingnya. Jika dia mendapati ada orang yang menumpang cahayanya itu, dia terus memadamkan api itu. Dalam satu riwayat Muslim, Nabi saw pernah berdoa, "Ya Allah! sesungguhnya aku berlindung denganMU dari sifat penakut dan bakhil"
  4. Berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki dan menanam azam untuk menyumbang kepada yang memerlukan. Sufyan At-Thauri berkata, "Harta di zaman kita ini merupakan senjata kepada orang mukmin". Nabi bersabda, Tidak akan fakir orang yang berekonomi (berhemah dalam perbelanjaan)
  5. Berusaha melembutkan hati yang keras dengan cara memperbanyakkan menyumbang lebih-lebih lagi hak yang disayangi. Seorang lelaki telah meminta dari baginda lalu baginda memberinya sekumpulan kambing yang ada di lereng bukit. Kemudia lelaki itu bertemu kaumnya seraya berkata, Wahai kaumku!, Masuklah kamu semua ke dalam Islam, sesungguhnya Muhammad memberi seumpama pemberian seorang yang tidak takutkan kefakiran" (riwayat Muslim (2312) dari Anas r.a.)
  6. Melatih diri supaya ikhlas memberi dari meminta. Baginda arrasul tidak pernah menjawab satu permintaan dengan jawapan "Tidak" (Riwayat Bukhari (10/381) & Muslim (2311) daripada Jabir r.a).
  7. Tidak menghina dan mengeji kepada yang meminta dan berlaku ihsan dan belas kepada mereka
  8. Memuliakan golongan meminta kerana mereka telah membuka ruang kepada pemberi mengaut segala pahala kebajikan.
  9. Berlapang dada dengan ujian yang menimpa
  10. Memperbanyakkan doa dan sentiasa meminta hanya kepada Allah Taala
  11. Yang selalu meminta mestilah sedaya upaya merubah diri dengan berusaha untuk mencari rezeki yang halal sama ada melalui kemahiran dan pengetahuan diri yang ada.
  12. Yang memberi hendaklah berwaspada dengan harta yang ada, terutamanya ketika berbelanja. Allah berfirman, "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian" (Al Anfal: 28)
  13. Yang memberi mestilah bersifat Ithar (bertanggungjawab, murah hati dan melebihkan orang lain dari diri sendiri). Allah berfirman, "Dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan serba kekurangan dan sangat-sangat berhajat" (Al Hasyir: 9)
  14. Berusaha untuk menghimpunkan di dalam diri segala sifat-sifat terpuji atau mahmudah. Muslim meriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin Al 'As r.a katanya, Rasulullah saw bersabda, Berjayalah orang yang patuh, diberikan rezeki secukupnya dan bersifat qana'ah dengan apa yang diberikan oleh Allah Taala. (Muslim 9105) dan At-Tirmizi (2349)
  15. Mendidik anak-anak sejak kecil akan sikap memberi, kemuliaan memberi dan berihsan dengan orang yang meminta, bukannya mengatakan kepada mereka memberi itu lebih baik dari meminta (ayat negatif)
  16. Mengurus harta dengan sebaik-baiknya, terutamanya membelanja pada jalan Allah, anak yatim, fakir miskin dan kepada yang memerlukan.
  17. Yakin bahawa sebahagian rezeki yang kita perolehi, ada hak dan bahagian saudara kita, yang mana kita adalah pemudahnya.
  18. Peminta dan pemberi hendaklah menjaga ikatan akidah dan ibadah serta berakhlak mulia.
Marilah sama-sama kita beramal dengannya, semoga amal yang kita lakukan akan mendapat keberkatan dan dilimpahkan rezeki yang banyak.

abuzorief @ kulim, kedah
rabu, 26/9/2012

2 comments:

  1. sekarang ini IM susah nak layan peminta begitu sebab dah terkena banyak kali.

    ReplyDelete
  2. IM, hulur sajalah walaupun tak banyak sikt pun jadi... kalau kena tipu tu kita serahkan pada Allah taala, hubungan kita dgn dia selesai

    ReplyDelete