Pages

Saturday, 7 May 2011

Kita hanya mampu sujud dan meminta...


Apa sahaja amal perbuatan kita mestilah dilapik dengan niat yang ikhlas kerana Allah Taala. Tujuan dan objektif  terlaksana apabila kita benar-benar memahami kenapa kita kena berbuat demikian. Di akhir perbuatan kita perlu melalui penilaian dan muhasabah supaya kita sentiasa berada di atas landasan yang tepat untuk memenuhi hidup kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa.

Pegangan dasar


Keperluan asas

Taubat

Memperbanyakkan bertaubat kepada Allah setiap hari merupakan manusia dan hamba Allah yang cerdik dan bijak dalam mengurus hati dan jiwa yang telah dikurniakan.

Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. Az-Zumar [39:54]

Jangan campur-aduk

Namun jangan sesekali kita mencampur-adukkan amal perbuatan yang baik dan buruk di dalam kehidupan kita kerana peribadi yang sentiasa dekat dengan Allah tidak akan mempunyai sifat dan perbuatan jahat di dalam dirinya. Kerana ia akan berhadapan dengan Allah Taala dengan hati yang suci hanif dan ikhlas.

Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. At-Taubah [9:102]

Berusaha

Janganlah kita berbangga di atas setiap usaha yang telah kita lakukan sebaliknya kita perlu bersyukur kepada Allah Taala kerana membantu dan merealisasikan usaha yang telah kita lakukan. Mana mungkin di setiap usaha yang telah kita lakukan itu akan berjaya tanpa memperolehi restu dari Allah Taala.

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Al-Baqarah [2:195]

Tabiat usaha

Lakukanlah segala usaha yang baik-baik dan menepati syariat yang telah ditentukan. Bukannya hentam semborono sahaja tanpa mengira ia cara yang sah halal atau batil.

Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. Al-Lail [92:4]

Persiapan diri

Ingin saya mengungkap kata-kata ahli rohani (Arbaabul Qulub) dimana dunia ini adalah ladang untuk bercucuk tanam untuk hari akhirat, umpama hati adalah bumi dan iman adalah benih, ibadah ketaatan umpama proses membersihkan bumi dengan saliran dan siraman. Hati yang asyik dan leka umpama tanah bergaram yg mematikan seluruh tanaman.

Mereka yang berusaha untuk menjaga 3 elemen ini adalah orang yang cerdik dan sentiasa serius untuk memastikan elemen ini dimanfaatkan seoptima mungkin.
  • Jiwa yang telah dilhamkan oleh Allah Taala dijaga dengan cara sentiasa diberikan perhatian dan pembersihan setiap masa. Jiwa yang kotor telah menyebabkan segala pertolongan dari Allah Taala terbantut ditengah jalan usaha kita berhubung dengan Allah Taala.
  • Akal kita perlukan makanan tambahan atau suppliment dan latihan untuk menajamkan dan mematangkan supaya ia berguna untuk kita berfikir secara kritis.
  • Fizikal pula mesti diberikan perhatian kerana ia akan mampu melaksanakan segala hajat dan keperluan jasadi untuk kita lebih mensyukuri segala nikmat-nikmat pemberian Allah Taala.
Ujian dan dugaan

Hendaklah kita menjaga hubungan dan komunikasi kita dengan Allah Taala dari dugaan dan gangguan disetiap sudut perjalanan hidup kita.
  • Manusia
  • Jin
  • Hawa nafsu
  • Harta

Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Hud [11:15]

Kesombongan

Sifat dan sikap sombong akan muncul dicelah-celah kejayaan usaha yang telah kita perolehi. Apabila berlakunya sedemikian maka kita saban hari akan merasa ujub dan megah sehingga akhirnya sifat atau sikap tersebut merosakkan matlamat dan objektif kita.

Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: Ini ialah hasil usaha kami dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. Al-Araf [7:131]

Ketamakan

Begitu juga dengan sifat tamak yang mampu merosakkan halatuju kehidupan kita. Sifat tamak ini akan menutupi hati gan menjadikan hati kita gelap tanpa hidayah dari Allah Taala.

Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar). Ya Seen [36:9]

Balasan baik

Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya. Al-Isra [17:19]

Tawakkal

Mohonlah pertolongan dan berserah kepada Allah Taala secara sepenuhnya. Tawakal mempunyai ikatan yang kuat dengan akidah. Kita menyerahkan segala usaha dan kehidupan kita kepada Allah setelah segala usaha yang telah kita lakukan dan tidak ada lagi apa-apa yang boleh kita sandarkan melainkan hanya kepada Allah Taala.

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. At-Talaq [65:3]

Berprasangka

Jauhilah perasaan berprasangka dengan Allah kerana ianya akan mendatang banyak musibah kepada kita kerana kurang yakinnya kita dengan Allah yang pengasih dan penyayang.

Dan dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, dan (juga) orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (azab) yang buruk dan Allah murka kepada mereka dan mengutuk mereka serta menyediakan neraka Jahanam bagi mereka. Dan neraka Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali. Al Fath (48:6)

Pasrah

Lembutnya hati kita kerana mampu menundukkan kehendak hawa nafsu kita untuk menjadi raja dan menguasai seluruh tindakan dan perbuatan kita.

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya; Ash-Shura [42:36]

Istiqamah vs patuh

Laksanakanlah amal perbuatan secara bersungguh-sungguh dan berterusan. Amal yang dilaksanakan separuh jalan bukanlah amal yang mencerminkan keikhlasan kita kepada Allah Taala.

Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Hud [11:112]

Istiqamah vs ceria

Apabila kita melakukan amal secara berterusan, maka kita akan merasa tenang dengannya dan terhindar dari rasa duka cita kerana kita menyakini segala pertolongan itu datangnya dari Allah Taala.

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. Al-Ahqaf [46:13]

Pembinaan diri



Agenda perubahan

Betapa pentingnya kita semua bertindak untuk menggariskan agenda-agenda yang mampu merubah seluruh kehidupan kita kerana kitalah generasi pelapis yang akan memastikan kehidupan seterusnya sentiasa mendapat keredhaan Allah Taala.

Kekusutan kehidupan kini kerana masyarakat terpinggir dengan tarbiyyah dan peganan amalan yang sahih. Manusia sanggup berbalah sesama sendiri dalam soal-soal kekayaan dan kemewahan hidup. Sanggup menjual maruah diri kerana duit ringgit dan kesenangan hidup tanpa mengira adalah perbuatan itu diizinkan oleh Allah Taala.

Lihat sahaja dinegara kita sendiri yang semakin getir dengan masalah sosial dan akhlak. Dimanakah perginya adab susila dan ketamadun yang diwarnai oleh akhlak Islam yang mulia?. Masalah yang semakin hari menjadi-jadi dan serius dan mampu merosakan generasi baru.
  • Gejala dadah
  • Buang bayi
  • Pelacuran dan zina
  • Penayangan video lucah
  • Rasuah
  • dan sebagainya
Nabi Syuaib berkata: Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku dan Dia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. Hud [11:88]

Saya ingin menyingkap kembali kata-kata Puan Rasa (Ummu Muhammad) isteri as-Syahid Dr. Abdul Aziz ar-Rantisi :-
  • Dan peliharalah dirimu (dari azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya “ (al-Baqarah : 281)
  • Untuk muda-mudi ingin saya katakan kepada mereka: “Pulanglah kepada panduan asal kamu…kembalilah semula kepada keizzahan dan kemuliaan kamu…kembalilah kepada Islam, berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan jadikanlah ia sebagai perlembagaan hidup.
Sekian, wassalam

Nota:

[1] Tafsir Al Quran
[2] Muhtasar Minhajul Qasidin, Imam Ahmad Bin Qudamah Al Maqdisi Jld 1 & 2
[3] Jami'ul Ulum wal Hikam, Imam Ibnu Rajab Al Hanbali
[4] Iman dan kehidupan, Dr Yusuf Al Qaradhawi

abuzorief @ MWHS severn road, broomhill sheffield
kuSheff - self motivation, in the Islamic way
7/5/2011, Sabtu

1 comment:

  1. saling berlapang dada juga salah satu elemen kebahagian dalam diri dan sesama insan.

    ReplyDelete