Pages

Friday, 29 April 2011

Sumpah-sumpit vs sumpah laknat


Semasa alam kanak-kanak, sering kali ditakut-takutkan dengan binatang yang bernama sumpah-sumpah, sumpah-sumpit atau pokke (gecko). Katanya, boleh kena sumpah siapa yang terjumpa. Takut yang bukan lagi kepalang bila ada orang tua-tua kata dia boleh celapak di belakang tengkok, bila jumpa beremang juga bulu tengkok dik gerun melihat rupanya. Melihatkan kepada rupabentuk dan muka dia sahaja pun sudah cukup mengelikan, sekiranya terjumpa atau terserempak, alahai... lalu angkat kaki pecut entah berapa kilometer sejam tanpa di duga kelajuannya. Itu berlaku di zaman kanak-kanak.

Kini binatang sumpah-sumpah ini telah menjadi binatang peliharaan atau animal pet. Yang menarik pula ianya dipelihara di dalam rumah.

Angkat sumpah

Semua dokumen yang hendak diperakui dikehendaki mendapatkan tandatangan dan cop pesuruhjaya sumpah. Dan ianya dikenakan bayaran untuk setiap tandatangan dan perakuan sumpah. Jadi, semua dokumen menjadi rasmi dan boleh dijadikan bukti penerimaan tanpa banyak persoalan dan boleh dibawa ke Mahkamah sekiranya terjadi perkara yang tidak sah di sisi undang-undang.

Justeru, kegunaan sumpah ini hanya dijadikan sebagai syarat-syarat dan tindakan terakhir untuk memperakui sesuatu perkara.

Sumpah

Begitu juga halnya dengan bersumpah. Di alam kanak-kanak, bersumpah adalah jalan untuk menyelamatkan diri. Bila-bila masa sahaja boleh bersumpah walaupun selepas itu buat lagi.

Perkataan sumpah yang digunakan pun bukanlah perkataan Wallahi, Wabillahi, Watallahi, tetapi hanya ucapan 'sumpah' sahaja. Aku bersumpah kalau tak percaya... Malah ketika itu juga sumpah hanya mainan di mulut dan ringan sahaj untuk melafazkannya. Apakan daya kerana kanak-kanak ketika itu, tidak tahu akibat sumpah dan hanya tahu sumpah hanya boleh menyelamatkan diri sahaja.

Dikalangan masyarakat Arab, lafaz sumpah seperti Wallahi menjadi sebutan biasa apabila bercakap, malah berulang-ulang kali disebutnya. Wallahi, ya akhi... Perkataan ini disertakan untuk menyatakan ketegasan di dalam sesuatu ucapan percakapan.

Isu sumpah

Saya agak gusar untuk memberikan pandangan tentang isu sumpah laknat yang menjadi-jadi sekarang ini di Malaysia. Saya bukanlah mahir dalam isu sumpah-menyumpah ini. Muak sangat untuk melayan cerita sumpah 'keanak-anakan' sebegini yang telah menjadi bahan mainan dan senda gurauan bagi mereka yang berkepentingan. Sama ada berkepentingan politik, business atau untuk menjatuhkan seseorang dengan niat jahat dan aib.

Sedangkan sumpah laknat itu adalah jalan akhir untuk menyatakan sesuatu pendirian dan pegangan kerana kalimah itu adalah kalimah suci dan hanif Allah Taala.

(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui. Al-Baqarah [2:224]

Keberanian mereka bermain dengan lafaz sumpah ini, telah banyak mempersendakan Rahman dan Rahim Allah Taala secara terang-terangan. Yang lebih celaka lagi apabila kita mengetahui mereka yang bersumpah itu memang benar-benar melakukan banyak maksiat secara terang-terangan kepada Allah Taala. Berlakon dan beraksi di dalam video lucah secara terbuka, aib dan berani, menayang dan menyebarkan untuk tontonan umum tanpa ada rasa bersalah walaupun ada akta yang telah menlarang dan mengharamkan perbuatan tersebut.

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah) dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. Al-Baqarah [2:225]

Perbuatan mereka ini, dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan menfitnah orang lain melakukan perkara terkutuk disebalik aksi dan kelakuan mereka sendiri yang jelas terpapar secara terang-terangan dengan menuduh yang bukan-bukan kepada orang lain, seolahnya mereka berkuasa melakukan sekehendak hati tanpa memikirkan musibah di masa akan datang. Musibah kepada kesucian agama Islam, kepada generasi muda yang sepatutnya menjadi tunggak kekuatan negara dan bangsa dan keharmonian pentadbiran negara tercinta.

Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. An-Nahl [16:91]

Sebagai orang Islam yang memiliki peradaban Melayu sepatutnya merasa malu dengan bangsa lain yang menjadi pemerhati diatas kelakuan kurang bijak dan menjelikkan.

Apakah sudah ketandusan idea fitnah lain untuk menjatuhkan orang lain selain melibatkan zina dan sex yang jelas merupakan kemarahan Allah Taala. Kemudian menyuruh pula orang yang tertuduh untuk bersumpah untuk menafikan perbuatan terkutuk dari episod yang mereka lakon dan lakukan.
Kalaulah yang bersumpah laknat itu seorang yang telah melakukan zina dan segala bentuk amalan haram dan dengan terang-terang melakukannya sehingga sedikit pun tidak takut kepada kemurkaan Allah Taala, inikan pula untuk bersumpah.

Manusia apakah mereka ini?...

Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar) dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak). An-Nahl [16:94]

Agenda

Jadi, kita sebagai seorang muslim yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah Taala mestilah berperanan di dalam masyarakat dengan melakukan beberapa tindakan:
  1. Mendidik diri sendiri dengan kekuatan dan bekalan aqeedah, ibadah dan akhlak yang sempurna dan sebaiknya
  2. Mendidik diri sendiri dan orang lain disekitar supaya kembali beriman kepada Allah Taala
  3. Bersama-sama melakukan perubahan pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat
  4. Memastikan kerajaan pemerintah yang mampu melakukan keadilan sejagat dan melaksanakan syariah.
  5. ‎Bersama-sama dengan mereka yang cintakan keadilan dan Islam untuk melakukan perubahan atau Islah di dalam masyarakat... Islah mastato' tum 
  6. Melaksanakan agenda tarbiyyah dlm masyarakat
Wallahu 'alam

Catatan:
1. Mujurlah dulu-dulu tidak disumpah dengan sumpah-sumpah....
2. Saya juga pernah berjumpa dengan seorang peminta sedekah yang hendak meminjam duit untuk balik ke India katanya, dan dia sanggup bersumpah ditimpa malapetaka sekiranya dia tidak pulangkan duit yang dipinjamkan.... ermm, apakah yang terjadi gamaknya pada dia... dah ditimpa malapetaka agaknya...

abuzorief @ sheffield
29/4/2011, Jumaat

Sunday, 17 April 2011

Tulip di kota Belanda...


Tulip yang cantik

Keunikan dan kecantikan bunga tulip di dalam taman telah menghilangkan sebentar keletihan saya kerana telah berjam-jam memandu kereta di celah-celah kota dan bandaraya di Perancis, Belgium dan Holland. Kecantikan bunga-bunga yang mempersonakan, haruman bau wangian Hacyint yang segar memikat dan aneka jenis warna kelopak bunga yang amat mengasyikan.

Di dalam hati, saya tertanya-tanya kalaulah sebegini keadaan taman di dunia, apatah lagi kalau kita berada di dalam taman syurga... semua kepenatan pasti hilang dan kembali segar nyaman seolah-olahnya tidak ada apa yang berlaku pada diri sendiri.

Tetapi, apa yang ada disekeliling saya ketika itu, hanya seketika dan sementara sahaja bagi mengubati kepenatan diri dan kelesuan mata yang agak kuyu.

Boleh saya masuk syurga

Seorang non muslim berkata "Adakah saya boleh masuk syurga walaupun saya tak buat jahat, tak menipu, tak mencuri dan sebagainya, tetapi kalau orang Islam buat jahat akhirnya akan masuk syurga juga?" 
  • Bagaimanakah agaknya jawapan yang berhak diberikan kepada persoalan di atas?
  • Adakah kita berupaya untuk menjawab?
  • Atau adakah kita juga tidak pasti untuk menjawab?
  • Apakah kita masih mengatakan yang kita masih belum cukup ilmu?
  • Adakah perlu kita menjaga hati dan perasaannya?
  • Adakah kita perlu berterus terang?
  • Apakah kita perlu menceritakan perkara yang telah diceritakan di dalam Quran?
  • Apakah kita perlu menjawab dengan menggunakan logik akal supaya dia selesa dengan jawapan yang diberikan? 
  • Bagaimana hendak memecahkan 'kedegilan' kepercayaan mereka terhadap Islam?
  • Bagaimana hendak mencari keselarian penerimaan mereka terhadap Islam dan kepercayaan yang mereka anuti...
Wallahu a'lam, bagi saya, agak rumit juga hendak menerangkan kepada mereka kerana yang bertanya itu adalah non-muslim. Kalau mereka muslim dengan mudah sahaja lidah kita melafazkan ayat Quran dan hadis untuk berhujah dan berdebat atau memberikan keterangan.

Untuk memahamkan mereka, tidak sama seperti kita memahamkan kepada orang-orang Islam. Kalau hendak menggunakan banyak ayat-ayat Al Quran, sudah pasti mereka tidak dapat menerimanya kerana mereka langsung tidak mempercayai Al Quran yang menjadi salah satu rukun Iman yang wajib diimani.

Kerana, mereka adalah non muslim yang tidak ada kepercayaan langsung terhadap rukun iman sepertimana kita wajib mempercayainya dan menjadi teras dan tunjang aqidah kepada Allah.

Usaha untuk menerangkannya menjadi kekok dan malah ianya menjadi payah dan 'kaku' kerana kita tidak berada di dalam medannya (kerja berdakwah kepada non muslim) dan kurang pengalaman untuk meneroka dan menjawab semua persoalan.

Apakah perlu juga kita menggunakan logik akal yang bersesuaian supaya setiap penerangan dan perbicaraan mudah diterima dan difahami dengan rela hati.

Buatlah satu surah

Ketika zaman Rasulullah dan sahabat, mereka yang jahil dan menentang Islam adalah kerana Islam datang untuk menghapuskan cara hidup jahililiyyah dalam kehidupan seharian mereka yang telah menjadi sebati dan selesa denga kehendak hawa nafsu. Mereka menentang kerana bagi mereka Islam akan menukar corak kehidupan mereka. Mereka sanggup bermatian menentang Islam kerana Islam tidak menjanjikan kesenangan hidup sekelip mata dengan longgokan emas perak dan kemewahan yang melampau.

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada
hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding
dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu
selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. [Al Baqarah : 23]

Percubaan untuk mencabar Allah Taala di dalam setiap hal, akan membawa padah pada diri sendiri kerana Allah hanya akan menempelak semula manusia sebegini dengan disuruhnya membuat sesuatu yang diluar batas kemampuan manusia kerana keingkaran manusia itu hanya kesombongan mengikut hawa nafsu sahaja tanpa memikirkan kelemahan yang ada pada diri sendiri.

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya,
maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu
(berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. [Al Baqarah: 24]

Sikap buruk kita

Akhlak Rasulullah dan sahabat-sahabat adalah merupakan akhlak yang dilahirkan dari tarbiyyah Al Quran. Sahabat-sahabat dididik dengan sibghah (acuan) Allah. Memiliki segala sifat Rabbaniyyah dan uluhiyyah dan asma wa sifat yang menjadi bingkai (frame) kepada kehidupan seharian. Mereka amat berbangga menjadi muslim dan mukmin di dalam kehidupan Islam atau Deenul Islam.

Bagi saya, mereka amat tawar hati untuk menganut Islam kerana keperibadian orang-orang Islam di akhir zaman ini tidak mencerminkan keperibadian yang mulia sepertimana yang dituntut di dalam Al Quran. Kita tidak seperti generasi agung yang telah dibina oleh Rasulullah yang merupakan generasi Al Quran dengan akhlak dan budi pekerti yang hidup dan tersusun di dalam kehidupan seharian.

Peranan kita

Pentingnya berdakwah kepada mereka non-muslim kerana mereka juga mempunyai hak untuk di dakwah kerana mereka mesti mengetahui apakah maksud Islam sebenarnya. Islam bukan untuk bangsa dan kaum tertentu sahaja. Malah Islam tidak terbatas juga pada negara dan benua tertentu. Turunnya nikmat Islam ini adalah untuk dinikmati bersama dengan syarat mesti tunduk mengabdikan diri kepada Allah Taala.

Islam diamalkan sebagai cara hidup dan bukannya upacara keagamaan. Di dalam seluruh kehidupan itu perlu menyerahkan diri dan tunduk patuh kepada Allah Taala. Setengah kita hanya faham bahawa kita hanya perlu beribadah hanya bila tiba waktu atau masa sahaja seperti waktu solat, waktu baca Al Quran, waktu zikir dengan menggunakan biji-biji tasbih, berpuasa, memakai jubah, serban, kopiah dan sebagainya.

Ya!... walaupun itu semua adalah tuntutan dan syiarnya, namun, kalau diperhatikan keseluruhan cara hidup yang lengkap di dalam Islam ia bukan sahaja tertumpu pada ibadah wajib dan sunat sahaja tetapi mengambil kira perbuatan-perbuatan yang kecil seperti mengucap syukur pada Allah ketika mana bangkit dari tidur, masuk dan keluar kamar mandi, makan minum, memakai baju, melihat cermin... sehinggalah kepada perkara yang melibatkan urusan hidup seharian yang lain seperti bermuamalah berakad, syarikat, pinjaman, hutang piutang, pajak gadai, hubungan antara-bangsa, urusan pemerintahan, penyelesaian hidup di dunia dan akhirat, penderaan dan pembunuhan, menjaga perbadi, menjaga keluarga, menjaga masyarakat dan negara serta tanah air dari diancam oleh kezaliman manusia lain dan memastikan dunia ditadbir dengan penuh keadilan dan selamat.

Semuanya bertujuan untuk mengajak manusia mengabdikan diri supaya tunduk menyerah diri menyembah Allah. Hal yang diceritakan di dalam Al Quran ini bukan sahaja untuk kesejahteraan ummat manusia tetapi juga kepada seluruh golongan jin. Kerana manusia dan jin adalah wajib menyembah Allah yang maha Esa.

Alasan

Tetapi bukanlah menjadi sebab kepada saya dan kita semua untuk merasa lemah dan mengalah dan menjadi alasan supaya tidak melakukan sesuatu, mengajak dan mendidik dan berdakwah kepada mereka walaupun mereka agak sinis dengan agama Islam.

Jadi dimanakah kita perlu bermula?...

abuzorief @ keukenhof, holland
12/4/2011, selasa

Sunday, 3 April 2011

Tunas... antara iman dan jahiliyyah

Pokok kering...

Tiga bulan sudah, saya mengamati pokok epal yang tidak berdaun, yang tertanam di belakang rumah, yang ada hanyalah ranting-ranting kosong. Daun-daunnya berguguran begitu cepat sekali. Sekali pandang seperti pokok yang akan mati, menanti rebah ke bumi. Tetapi secara fitrahnya, ia menjalani proses penukaran musim. Begitulah setiap kali apabila tiba musim sejuk atau winter.

Kini, pokok yang disangkakan mati, lesu dan tidak berdaun itu, mula mengeluarkan tunas-tunas yang baru yang cukup segar apabila mula memasuki musim bunga atau spring. Tunasnya kelihatan berwarna hijau muda dan mula tumbuh dari ranting dengan begitu cepat sekali dan kelihatan ia cukup cantik dan menyegarkan mata memandang.

I'tibar

Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi, tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun. (Ibrahim [14] : 24-26)

Semakin banyak berfikir dan memerhatikan segala kejadian, maka semakin kerdil pula diri saya mengenangkan hal kejadian diri sendiri, kerana saya dan kita semua bermula dari air mani yang jelek dan hina sehinggalah berlakunya persenyawaan dan akhirnya ia hidup bergantung nasib 'meminta simpati' dengan hanya melekat di dinding rahim ibu untuk meneruskan liku-liku kehidupan yang entah wallahu'alam... bagaimana akan kesudahannya.

Bukankah kami menciptakan kamu dari air (mani) yang hina. Kemudian kami letakkan ia dalam tempat yang kukuh. Sampai waktu yang ditentukan, lalu kami tentukan (bentuknya), maka (kamilah) sebaik-baik yang menentukan. (Al Mursalat [77] : 20-24)

Banyak sekali pengajaran dari penciptaan Allah Taala ke atas makhluknya yang lain seperti cerita di atas yang boleh dijadikan i'tibar. Kerana ia ada kaitannya dengan kebesaran maha pencipta. Kerananya juga kita sebagai hamba kepadanya dikehendaki untuk berusaha menguatkan tunjang akidah dan mengambil serius betapa penting dan perlunya beriman dengan Allah Taala.

Tunas muda, baru, cantik dan segar membawa kepada pemerhatian saya, betapa kita yang melalui kehidupan di atas muka bumi ini, memerlukan kehidupan yang baru atau lebih kepada maksud untuk kembali kepada fitrah semulajadi kehidupan ciptaan tuhan yang memiliki jiwa, akal dan jasad yang matang dan waras untuk menghambakan diri kita kepada Allah Taala.

Alangkah indahnya kehidupan ini, sekiranya iman dan ketaqwaan yang telah ada di dalam diri kita, diberikan perhatian dan keutamaan. Dibelai dan dikembalikan tujuan asalnya kepada pengabdiaan diri kita kepada tuhan yang empunya hak dan selayaknya disembah dan ditaati. Bersih dari 'kekotoran' kepercayaan sesat, fahaman yang salah dan pegangan logik akal yang menyimpang dari yang hak dan yakin sepertimana yang dikehendaki oleh tuhan yang maha pencipta.

Jahilliyyah

Tunas dan pokok yang buruk dan tidak bermanfaat, perlulah dibuang, dipangkas, dicabut dan dibungkas keluar sehingga ke akar umbinya. Begitulah juga segala sifat dan tunjang jahiliyyah yang berada di dalam diri, yang akan memadamkan cahaya Islam mestilah dibuang dan dikikis sehingga tidak ada lagi karat-karatnya yang terpalit.

Justeru, diri kita mestilah diselamatkan dari fahaman yang sesat supaya tidak tergolong di dalam golongan yang bodoh atau jahil terhadap keimanan dan penyembahan kepada yang hak iaitu Allah Taala. Seluruh kehidupan kita mesti 'ditunaskan' kembali kepada fitrah asal kejadian iaitu beriman dan beribadah hanya kepada Allah Taala.

Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk membersihkan diri kita dari belenggu-belenggu jahilliyyah yang sentiasa 'mematikan' kehidupan diri kita dari kehidupan yang diredhai oleh Allah Taala.

Hidup dan hukuman

Apabila dilahirkan ke dunia, maka Allah telah menetapkan untung nasib diri kita untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. Maka berhadapanlah kita semua dengan cabaran dan dugaan sama ada berbentuk kesenangan atau kesulitan di dalam kehidupan.

“Dan hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka.dan waspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sungguh, kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki?(hukum)siapakah yang lebih baik dari (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini ? Al Ma’idah (5):49-50

Pengampun dosa, Penerima taubat dan Azab yang pedih

Betapalah agungnya Allah Taala sebagai pengampun dosa-dosa kita semua kerana asma Allah itu Pengasih dan penyayang dan maha pengampun.

Yang mengampuni dosa dan menerima taubat dan keras hukumannya; yang memiliki kurnia. Tidak ada tuhan selain dia. Hanya kepadanyalah (semua makhluk)  kembali. (Al Mukmin [40] : 3)

Tersentak kalbu saya apabila menerima tazkeerah yang benar-benar menyedarkan, tentang kelalaian demi kelalaian yang sedang asyik menenggelamkan. Apa yang diperlukan adalah kemurniaan jiwa untuk lebih tunduk mengabdikan diri kepada Allah Taala. Kalbu menjadi kelam dan pudar fitrahnya kerana tidak digilap, maka kesannya pada tubuh badan dan akal menjadi alpa sebentar dan seronok sehingga lupa pada Rabbul Jalil yang maha agung.

Secara pasrah, amat perlu kita berusaha untuk kembali kepada Allah Taala di dalam setiap waktu dan hal. Memohon sepenuh keampunan dan memperuntukan masa untuk diri sendiri supaya bertaubat dengan penuh penyesalan di atas setiap tindakan dan tingkah laku kita sepanjang kita melalui kehidupan di atas muka bumi yang sementara ini.

Apabila kesalahan dan kezaliman yang dilakukan oleh diri sendiri dirasakan amat seronok sekali dan dibangga-banggakan, maka tunggulah saat di mana tiba waktu kita semua menerima azab, maka kita tidak dapat mengelak sama sekali kerana azab Allah yang dikenakan ke atas kita adalah azab yang amat pedih lagi keras siksaannya.

Perubahan

Oleh itu sewajarnya, kita mesti memastikan diri kita ini melakukan perubahan yang menyeluruh dan sepenuhnya untuk menjamin kesejahteraan hidup yang diredhai oleh Allah Taala.

Perlu melakukan perubahan besar di dalam jiwa manusia dengan cara menanam aqeedah yg benar yang tidak terpengaruh oleh fikiran-fikiran manusia dan tidak dipermainkan oleh berbagai pendapat dan hawa nafsu. (Sayyid Sabiq: Aqidah Islamiyyah, Robbani Press)

Berubah dari alam jahiliyyah kepada alam sinar Iman, Islam dan Ehsan memerlukan pengorbanan yang besar dari hati yang bersih dan ikhlas semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala.

Semoga kita tidak mengabaikan kehidupan kita untuk menjadi hamba Allah yang taat dan bertaqwa kepadanya.
Nota:
[1] Terjemahan Al Quran
[2] Aqidah Islamiyyah, Sayyid Sabiq, Robbani Press

abuzorief @ darnall, sheffield
3/4/2011 darnall, sheffield