Pages

Wednesday, 19 May 2010

Poligami dan Politik


Isu poligami adalah isu hangat semasa. Sejak dulu hingga sekarang isu ini sentiasa segar diperbincangkan. Bagi kaum lelaki memang seronok berbincang tentang bab ini, manakala kaum wanita pula lebih ramai yang menentang kerana katanya menafikan hak-hak kesetaraan gender kewanitaan.
Desakan

Kes seorang ahli Parlimen yang dikenakan tindakan kerana berpoligami pun merupakan isu sensasi. Kerana beliau telah berpoligami dengan seorang artis terkenal. Kalau bukan dengan artis mungkin isu ini tidak sehangat sebegini.
 
Desakan dari beberapa NGO ke atas beliau, supaya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen kerana disabitkan dengan isu ini. Sebab musababnya, ialah kerana beliau adalah sebahagian daripada ahli parlimen yang menggubal undang-undang di Parlimen tetapi sebaliknya beliau sendiri yang melanggar undang-undang. Beliau sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada masyarakat.

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah kata orang tua-tua...

Penguatkuasaan

Namun, penguatkuasaan ke atas mereka yang berpoligami itu perlu diperketatkan supaya kaum wanita mempunyai hak kemanusian yang terpelihara dan tidak dizalimi.
Tetapi bukan memayahkan proses untuk berpoligami itu sendiri.
Maka, tidaklah timbul pula kaum-kaum wanita mengangkat sepanduk dan berdemo untuk menentang poligami di mana-mana. Kaum lelaki pula janganlah menjadikan poligami ini sebagai medan untuk memuaskan hawa nafsu sahaja. Tetapi sebaliknya mengambil sepenuh tanggungjawab mendidik isteri-isteri dan anak-anak ke arah keredhaan Allah supaya menjadi keluarga dan ummah contoh yang diredhai Allah Taala.
Bukankah itu yang sepatutnya dilakukan?...
 
Undang-undang ciptaan manusia

Itulah yang dinamakan undang-undang ciptaan manusia. Manusia yang selalu bermain-main dengan hukum-hakam Allah Taala. Kalau selesa maka diubahnya mengikut selera dan akal serta alasan logik masing-masing selagi mana masih berkuasa.

Asal hukumnya adalah harus tetapi menjadi sukar dan payah apabila hendak dilaksanakan. Semuanya kerana dirumitkan oleh manusia itu sendiri dengan berbagai-bagai penguatkuasaan keatasnya.
Dan jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi - dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil maka (nikahilah) seorang sahaja atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim. (AnNisa : 3)
Perlukah kita mempersoalkannya?... ketetapan Allah dan undang-undang manusia...
Bukan saya menafikan segala disiplin dan penguatkuasaan dilaksanakan. Semua itu adalah baik dan perlu diselaraskan. Tetapi lebih kepada insafnya diri sendiri kerana kita semua selalu menjatuhkan hukuman mengikut selera kita masing-masing. Sedangkan hukum Allah Taala itu pasti.
Jangan pula suatu hari nanti kaum-kaum wanita mengangkat sepanduk dan berdemo menentang ketetapan Allah di dalam Al Quran Karim pula... Nauzubillahiminzalik...
Sekian, wallahu 'alam

Nota: Hati dan perasaan sahaja yang membuatkan wanita itu menentang poligami, kerana hati manusia itu 1001 macam rasa dan semuanya tidak akan sama di antara satu sama lain... Yang dapat menenteramkanya ialah undang-undang dan janji-janji kemuliaan dari Allah Taala sahaja.

abuzorief @ sheffield
19/5/2010 rabu

No comments:

Post a Comment