Pages

Tuesday, 12 July 2011

Kena selalu BERSIH...


Semasa menyapu dan mencuci lantai, terfikir pula saya, sekiranya setiap hari disapu dan dilap, maka kuranglah kotornya dan paling kurang pun kotoran yang melekat itu mudah dicuci. Tidak perlu disental dengan teruk.

Begitulah adat mencuci kotoran. Kena selalu rajin mencuci supaya ia kelihatan bersih. Bab mencuci ini termasuklah semua urusan, keadaan dan hal. Apa sahaja yang kelihatan kotor maka ia perlu dibersihkan. Sekiranya ia tidak dibersihkan dari awal, lambat laun ia menjadi sukar dan susah untuk dibersihkan. Kotoran menjadi liat dan degil. Kotoran menjadi sebati dan terus melekat kuat dan sukar ditanggalkan. Setakat cuci biasa, tidak memberikan apa-apa natijah, malah penat yang dapat...

Percaya atau tidak, kotoran itu mudah sahaja diperolehi, manakala untuk mendapat bersih, ia memerlukan kerja yang kuat dan bersungguh-sungguh....

Namun, hati kita begitu juga. Ia mudah menjadi kotor dan hitam pekat sekiranya kita mengabai dari menjaganya. Kotoran yang dimaksudkan ialah kotor kerana hasad dengki, dendam, ujub, bermegah-megah, sombong dan sebagai. Semua ini adalah penyakit hati yang mesti diberikan perhatian dari diri empunya. Walaupun pada jasad fizikalnya kelihatan sihat dan segar bugar.

Begitu juga jasad atau fizikal luaran. Penjagaan fizikal mempunyai kaedah dan rawatannya, akal pun begitu juga dan manakala penjagaan hati pula mestilah melalui kaedah atau caranya. Kesemua elemen tersebut mempunyai gaya penjagaan yang tidak sama tetapi ia perlu sentiasa bersih.

Dalam urusan pentadbiran pun begitu juga, sama ada diri dan juga kerja harian di pejabat, sektor awam atau swasta, semua elemen akal, hati, jasad atau keadaan sekeliling mestilah sentiasa bersih untuk menghasilkan budaya kerjadan urus tadbir yang bersih. Sekiranya semua bersih, tidak akan timbul isu rasuah dan pecah amanah. Tidak akan ada perkara yang tidak telus. Semua pekerja melaksanakan kerja dengan baik. Semua kita akan menyukainya. Pentadbiran diri, keluarga, masyarakat dan negara disenangi.

Namun, sudikah kita semua bersikap demikian?...

abuzorief @ sheffield
12/7/2011, selasa