Pages

Thursday 23 January 2014

Dendam




Beberapa hari sebelum ini, saya agak hairan apabila salah seekor ikan tilapia yang dibeli dan dimasukkan di dalam Tupperware (untuk dimasak) boleh hilang begitu saja diwaktu siang. Pada hal pintu belakang rumah terkunci dan tidak ada tanda-tanda kehadiran si kucing. Nak kata kucing yang ambil, tidak mungkin sehinggalah soalan itu terjawab bilamana saya menghidu bau yang kurang enak di bawah peti sejuk dan menjumpai bangkai ikan tersebut.

Sah! memang ini kerja dia...

Semalam saya berjaya membunuh seekor tikus rumah yang agak besar juga terperangkap di dalam tandas. Saya terserempak dengannya di dalam tandas yang kebetulan pintunya berkunci. Memang inilah masa yang saya tunggu-tunggu. Dilibasnya kayu penyapu ke sana-sini sehingga berjaya membunuhnya. Ya!, tikus inilah yang saya lihat berkeliaran di dalam rumah sejak beberapa hari ini. Seekor lagi bernasib baik dan berjaya melarikan diri dan meluru menyorok di dalam 'semak-samun' di dalam bilik stor.

Dendam...

Hari ini saya tidak dapat ONkan computer. Diperiksa suis utama kelihatan OK, tetapi masih tidak boleh ON juga computer tersebut. Dalam hati saya berkata mungkin wayar putus, tetapi apa munasabahnya wayar itu putus sedangkan semalam masih boleh menggunakan computer tersebut. Maka diselongkar sana-sini dan saya pun cuba menarik wayar sambungan (extension) yang dihubung ke computer tersebut.

Naahhhh, Dah sah!, memang ini kerja dia...

Ini kes balas dendam, bukan main-main ni, tahu pula dia nak gerit wayar computer...

Koreksi...

Teringatlah pula untuk saya muhasabah diri sendiri. Kalau binatang pun ada perasaan dendam, inikan pula manusia yang dijadikan oleh Allah Taala dengan kelebihan akal dan perasaan. Manusia mampu melakukan apa sahaja diluar batas kemanusian kerana sifat dendam. Ia lahir dari perasaan tidak puas hati dan setiap perbuatan yang tidak diingini itu mesti di balas.

Kegagalan kita untuk mengawal perasaan dan tindakan itu adalah kerana hawa nafsu yang menguasai diri kita sehingga kita lupa semua pertimbangan baik atau buruk.akibatnya.

Alangkah mulianya akhlak kita sekiranya kita mampu mengawal dan menterjemahkan sifat dendam tersebut melalui tindakan bermaaf-maafan, berbaik sangka dan menyerahkan segala keampunan itu kepada Allah Azzawajalla.

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing dan mereka pula bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayat petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran. Dan mereka diseru: Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan. [Al-Araf 7:43]

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya di atas setiap perkara yang tidak diketahui sebab musababnya atau terlindung atau terhijab dari setiap sesuatu yang tersirat dari yang tersurat.

Wallahu 'alam

abuzorief @ kulim
23/1/2014 khamis

No comments:

Post a Comment