Pages

Monday 6 August 2012

Journey to Jannah



Satu topik yang hebat yang telah dikongsikan bersama oleh para panelis forum anjuran Hidayah Center Pulau Pinang sempena Majlis Iftar Perdana yang telah diadakan di Dewan Mutiara Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 5 Ogos 2012 Ahad.


Mereka hebat...

Sungguh hebat mereka yang telah memeluk agama Islam. Agama baru bagi mereka. Agama yang akan melonjakkan status kehidupan mereka. Wajah dan perilaku mereka ibarat seorang bayi yang baru dilahirkan tanpa palitan dosa. Namun, usaha mereka mendalami ilmu dan melakukan seelok mungkin untuk setiap amal ibadah kepada Allah perlu dibantu oleh kita.

Mereka hebat kerana terpaksa menempuh segala dugaan dan rintangan di awal keislaman. Mereka dipulau oleh ahli keluarga, dihina oleh masyarakat Islam dengan sindiran dan kejian, bersusah payah mendalami ilmu Islam, berusaha untuk menjadi sebahagian dari kalangan orang Islam di dalam masyarakat Melayu dan sebagainya.
 
Kita yang telah lama ini...

Bagi kita yang telah lama ini merasa seronok dengan kehadiran mereka di dalam kelompok ummah yang akan mengabdikan diri kepada Allah. Kita yang lama ini, kembali merasa semangat dengan  kehadiran mereka untuk menambahkan sebanyak mungkin amalan. Seolah-olahnya mendapat saingan baru yang sebenarnya.

Atau kita yang telah lama ini, hanya melihat sahaja dan tidak merasa apa-apa dengan kehadiran mereka atau jangan sekali-kali timbul perasaan dengki dengan katanya akan habis dan punahlah segala kepentingan bangsa Melayu ini, nauzubillahi minzalik...

Kepompong...

Apabila difikirkan kembali, adakah cukup  dengan hanya hidup dikalangan bangsa Melayu sahaja. Sedangkan realiti kehidupan sebenarnya adalah masyarakat majmuk di luar kepompong Melayu itu sendiri.

Kita sentiasa 'lari' dari mendekati masyarakat yang bukan Melayu, dengan beranggapan bahawa kita kurang selesa bergaul dengan mereka, budaya mereka yang berlainan dari kita, bahasa mereka menyukarkan kita serasi dengan kita dan terdapat ruang-ruang yang agak susah untuk mencari persamaan dengan kita. Semua itu hanyalah anggapan kita sahaja, kerana kita tidak mahu mengambil jalan susah dan berusaha untuk mencari titik persamaan di antara kita demi menyeru mereka mengabdikan diri kepada Allah Taala.

Culas dan dendam?

Hidup kita yang selesa juga merupakan sebab musabab kepada 'keculasan' kita.

Apakah perbezaan warna kulit bangsa itu penyebab terjadinya jurang perbezaan yang amat besar?

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).  [Surah Al-Hujurat 49:13]

Atau adakah tersimpan dendam kesumat di zaman tok nenek moyang kita di masa lampau dan diwarisi 'perasaan' sehingga sekarang ini? apakah puncanya?...

bersambung...

abuzorief @ bayan lepas, penang
5/8/2012 ahad, 16 ramadan 1433h
majlis iftar perdana hidayah centre pulau pinang