Pages

Thursday 26 August 2010

Ramadhan vs penderitaan


Sudah masuk setengah purnama berpuasa. Alhamdulillah, anak-anak pun sudah steady untuk menghabiskan setengah bulan terakhir. Pada awalnya mereka merungut kelaparan. Maklumlah puasa yang paling lama sepanjang sejarah hidup. Di awal ramadhan, sahur tamat pada jam 3.30 pagi dan berbuka pada jam sekitar 9.00 malam. Jangka masa yang panjang. Lebih kurang 17 - 18 jam berpuasa. Walaupun tidak seberapa panas, tetapi air di dalam badan cepat juga dehydrated. Perut mula pedih di penghujung yang ke 15 jam terakhirnya. Namun kalau diisikan dengan aktiviti insyaallah ia mampu melupakan 'penderitaan' tersebut.

Kekurangan makan

Begitulah agaknya yang berlaku pada mereka yang menderita kekurangan makanan. Pedih perut, sakit perut, lemah badan tidak bermaya, penat dan sebagainya bila berkeadaan miskin dan fakir. Tidak ada duit untuk berbelanja. Atau pun sekadar hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi yang tidak berkemampuan langsung, usahkan kais, tengok makanan pun tidak ada. Inilah yang telah berlaku di bumi Gaza, Palestine, atau negeri-negeri yang mengalami krisis ekonomi yang teruk.

Tarbiyyah di Madrasah Ramadhan

Walaupun 'penderitaan' yang kita alami hanya sementara waktu sahaja tetapi ianya cukup memberi pengajaran yang besar di dalam kehidupan. Madrasah Ramadhan telah menyediakan ruang tarbiyyah untuk kita sama-sama menjalani latihan samada berbentuk jasmani, rohani mahupun akal fikirian. Ia mampu menundukkan sikap ego, bermewah-mewah, dan segala sifat mazmumah yang lain. Tetapi dicelah-celah proses tarbiyyah ini juga, ada dikalangan kita tewas dan kalah dengan perkiraan diri kita sendiri. Mereka yang tewas di bulan ini sudah tentu akan tewas di 11 bulan seterusnya. Tewas dengan desakan hawa nafsu. Tetapi bagi mereka yang berjaya mendidik diri di Madrasah ini, maka mereka akan menang kerana berjaya menundukkan hawa nafsu yang selama ini telah menguasai diri selama 11 bulan sebelumnya. Sebulan di dalam pentarbiyyahan ini juga akan mencorakkan warna-warni kehidupan yang panjang yang penuh dengan cabaran.

Penderitaan sebenarnya menginsafkan diri kita supaya lebih melihatkan kerahmatan Allah di dalam diri sendiri. Mampu untuk merubah kehidupan dari kurang bersyukur kepada lebih bersyukur kepada Allah Taala. Dari bermegah-megah dengan kehidupan kepada tunduk dan tawaduk mencari keredhaan Allah Taala. Dari sikap pembaziran kepada suka memberi dan bersedekah kepada yang memerlukan.

Allah telah menfardhukan puasa ini kepada orang-orang sebelumnya. Ini bermakna proses tarbiyyah diri manusia telah berlaku sekian lama. Corak pentarbiyyahan ini adalah proses yang asli atau sibghah Allah dan bukannya cipta dan rekaan manusia, namun pemilik sebenarnya adalah Allah Taala. Umum mengetahui akan kebaikan amalan berpuasa bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi lebih kepada timbang-tara di antara kehidupan manusia di atas muka bumi ini untuk dikira di padang mahsyar kelak.

Keampunan

Sikap kita berlebih kurang melaksanakan amalan ini akan merugikan kita. Kerana Allah Taala telah memberi jaminan bahawa bulan ini merupakan bulan rahmat, maghfirah dan diampunkan segala dosa. Bulan yang mengatasi kebaikan dari 1000 bulan. Tetapi dengan syarat, ianya perlulah dilakukan di dalam ruang lingkup spesifikasi yang dikehendaki.

Kita mendoakan supaya Allah Taala mengembalikan rahmatnya di atas muka bumi ini. Banjir, kemarau dan berbagai-bagai mala-petaka yang berlaku sekarang telah mengakibatkan banyak masalah. Tanaman rosak dan bekalan makanan berkurangan. Krisis makanan yang melanda telah meresahkan kehidupan kita. Kesannya bukan sahaja di negara yang dilanda mala-petaka tetapi dirasai oleh seluruh manusia di atas muka bumi ini. Barang-barang makanan berkurang dan harga barang makanan turut melambung naik.

Bila melihat anak-anak sendiri menangis kelaparan, terbayang sayu kerana lebih jutaan anak-anak miskin yang kelaparan yang memerlukan makanan. Bila anak-anak sendiri memilih-milih makanan yang berada di depan mata, terbayang sedih melihat jutaan anak-anak miskin yang tidak mampu untuk merasa hidangan yang berkhasiat dan sedap. Bila anak-anak sendiri membazir-bazirkan makanan, terbayang hiba bila mengenangkan jutaan anak-anak miskin yang mengharapkan belas kasihan dari kita semua untuk mendapatkan sesuap makanan.

abuzorief @ sheffield
26/8/2010
5.16pm

Friday 20 August 2010

Ramadhan vs pembaziran

 
Sejak di ambang Ramadhan lagi sudah digembar-gemburkan dengan berbagai-bagai 'pesta' yang akan berlaku di bulan Ramadhan. Paling menyedihkan lagi apabila tiba di akhir bulan. Tiada lagi pahala, barakah, rahmah dan maghfirah. Seolah-olahnya bulan Ramadhan ini bulan yang penuh dengan keraian, temasya dan keramaian yang jarang-jarang sekali kita jumpa di 11 bulan yang lainnya. Dari pesta pasar Ramadhan, berbuka puasa di Hotel atau clubhouse atau di restoren-restoren, jualan murah hari raya di supermarket atau pasaraya, jualan lelong pakaian raya di gedung beli-belah atau perabot hiasan atau barangan elektrik terkemuka dan berjenama sehinggalah pesta moreh di masjid-masjid. Dibulan inilah juga terasa mata menjadi begitu rambang sekali dan nafsu pula meronta-ronta membisik di hati supaya membeli dan terus membeli.
Ayuh!, Lihatlah betapa mudah dan banyaknya pembaziran duit dilaburkan dengan begitu sahaja...

Dibulan puasa ini juga dirasakan masa begitu banyak terluang sehingga tidak mampu juga untuk diisinya dengan perkara-perkara yang berfaedah. Paling banyak sekali ialah aktiviti bersantai dan menonton TV, Video, bermain games atau tidur yang berlebihan atau melebihi had waktu. Sedangkan masa terluang ini boleh sahaja diisi dengan membaca Quran, zikir, membaca dan menelaah buku, solat sunat dan sebagainya.

Ayuh!, Lihatlah betapa mudah dan banyaknya pembaziran waktu berlaku dan dibiarkan begitu sahaja berlalu...

Kalau juadah berbuka puasa, jangan cakaplah... memang banyak dan beraneka jenis juadah dan hidangan. Semuanya menarik dan sedap-sedap belaka. Dari juadah yang berwarna merah, biru, kuning, hijau atau berwarna-warni sehinggalah ke warna hitam, semuanya sedap dan menawan di mata terus ke hati. Tetapi akhirnya yang dimakan hanyalah pilihan yang sedap di mulut dan di anak tekak sahaja. Dan yang lainnya menerima nasib yang kurang baik kerana akan dihumbannya ke dalam tong sampah yang tidak berapa dipenuhi dengan penghuni sampah atau di longkang atau paling bertuah pun ayam-itik peliharaan di reban.

Ayuh!, Lihatlah betapa mudah dan banyaknya pembaziran rezeki dan makanan sehingga dibuangnya dengan begitu sahaja...

Wallahu'alam

abuzorief @ sheffield
20/8/2010

Thursday 19 August 2010

Nasib si Ramadhan...


Salam diberi pembuka kata,
Syok berpantun sungguh tak terkata,
Kata sini kata sana,
Umpat sini, umpat sana,
Semuanya memang benar-benar belaka,
Itulah nasib ramadhan yg mulia,
Akibat manusia berbuat durjana,
Jangan sampai besar kepala,
Pada tuhan Allah Taala.

Pi hang tengok ditempat kita,
Restoren mamak merata-rata,
Nasi kandar beranika jenama,
Depan pintu tutup, belakang pintu buka,
Nampak kaki tak nampak kepala,
Dok layuq orang siang hari buta,
Bukan pelik tapi kisah benar belaka,
Hanya very-very special di bulan puasa...

Berduyun-duyun ke bazar ramadhan,
Jantan betina lelaki perempuan,
Bersentuh badan, punggung dan lengan,
Dok buat bukan-bukan,
Syariat agama letak belakang,
Itulah nasib si bulan Ramadhan,
Ikut nafsu, hilang habis rancangan,
Bila beli bukan main kepalang,
Penuh tangan dibawa pulang,
Untuk hidangan waktu petang,
Macamana tak cekang pinggang,
Dok hentam penuh pinggan,
Sampai maghrib pun hilang,
Itu petanda taufan datang...
Habis disapunya keliling kelalang,
Putih mata putih tulang,
Lain kali ingat pada tuhan,

Apa kisah depa kata..
Katanya dosa sendiri-sendiri punya,
Kubur pun lain-lain kepala,
Tapi aku pun dok garu kepala,
Sepatutnya depa kesah juga..
Bila menjerit dalam kubur kena tala,
Dengan malaikat maa rabbuka,
Sehingga mengganggu ahli kubur lain pula,
Itu depa kata tak ganggu namanya...
Punya bengong apa punya nalla..

Selamat berpuasa semua,
Seronok dok kacau-kacau saja...
Dari dok saja tak buat apa-apa..
Gurau sikit-sikit saja,
Celoteh-celoteh di bulan mulia,
Tapi takut pula kurang pahala,
Kena sumpah mai dosa,
Habis pahala kena gabuih semua,
Ampun maaf dari hujung kaki terus ke kepala..
Selamat berpuasa semua...
Semoga beroleh barakah puasa,
Dari Allah yang Maha berkuasa...

Ramadhan kareem

abuzorief @ sheffield
19/8/2010, khamis
11.50am UK

Monday 16 August 2010

Kisah di bulan Ramadhan, semuanya belum...


Tarawikh

Belum sempat selesai tarawikh mata saya sudah mula pedih dan badan pun mula buat hal, terasa sengal dari tumit hingga ke leher dibuatnya, lapan rakaat sudahlah, esok sajalah buat 20 rakaat. Malam esok kan masih ada, malam ini kita buat sikit-sikit sudahlah, janji 'istiqamah'...

Tilawah

Belum sempat sampai muka surat terakhir juzuk, duduk pun mula resah. Sudah terasa pedih 'papan' punggung dan terasa lama pula duduk bersila. Alah! baca sampai sini cukuplah, bukankah sudah masuk juzuk keenam, puasa pun baru hari ke 5, bukankah sudah baca lebih tu... esok sambung pula...

Berbuka

Belum habis waktu maghrib, selagi itulah masih duduk mengadap makanan yang belum habis dimakan. Kalau boleh hendak makan kesemuanya, hendak rasa kesemuanya. Dalam hati kata jangan membazir, nanti kawan syaitan. Tetapi masa sudah hendak masuk waktu isya',... tak apa!, nanti sembahyang maghrib dan terus sembahyang isya', padahal masa itu perut sudah sendat kekenyangan dan badan pun mula malas. Aduh! kenyang, malasnya...

Sahur

Belum habis dibuai mimpi, masuk pula waktu sahur, badan cukup malas hendak bangun. Mata pun susah hendak dibuka. Jam sudah berapa kali berbunyi dan ditutup 'alarm'nya. Akhirnya jam pun dicampak jauh-jauh tanpa disedari. Alah!, kalau tak makan sahur pun, esok ok lagi...

Derma

Belum sempat si hamba Allah datang meminta, dalam hati sudah banyak andaian dan pra-sangka buruk, dengan alasan tidak mahu beri sedekah...
  • Badan kuat lagi, malas kerja...
  • Budak-budak ni datang, mesti kerja sindikitlah ni....
  • Alah hai makcik, mana pergi anak makcik suruhlah anak makcik jaga...
Tetapi kena selalu ingat....

Belum sempat malaikat mencabut nyawa, jangan pula kita cakap, Eeeeh! eeeh!, nanti dulu, aku belum buat itu, aku belum buat ini...

Mungkin juga Malaikat akan berkata, tidak mengapa!, tuan boleh buat dalam kubur nanti, macam-macam ada di dalam...

Sebelum datang 5 perkara....

Malah saya cuba mencari dan merenung diri, tentang datangnya 5 perkara sebelum 5 perkara. Ingat lima perkara, sebelum lima perkara...
  • Sihat sebelum sakit
  • Muda sebelum tua,
  • kaya sebelum miskin
  • Lapang sebelum sempit
  • Hidup sebelum mati

abuzorief @ sheffield
16/8/2010 monday

Friday 6 August 2010

Salam Ramadhan...



Salam Ramadhan...

Walaupun Ramadhan beberapa hari lagi akan tiba, saya masih tidak dapat merasai 'bahang' kehadirannya. Tidak meriah dan seolah-olahnya tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Mungkin saya silap atau saya sendiri yang tidak merasainya...

Ramadhan kembali...

Cuma yang didapati meriah dan berubah suasananya ialah di kedai-kedai dan dipasar-pasar. Banyak dan berlonggok-longgok buah kurma dan tamar berbagai aneka jenis dan datang dari negara yang berlainan. Di situ sahaja suasana nampak begitu 'ceria' bila Ramadhan kembali menjelma. Bagi peniaga, bulan inilah peluang mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda disamping menjadi bulan untuk mengaut pahala dan barakah berganda-ganda. Alangkah baiknya, sekiranya perniaga menjual dengan harga yang murah dan mereka berpeluang mengaut pahala dengan bersedekah. Dan pembeli pula kenalah juga memperbanyakkan memberi dari meminta.

Ramadhan kembali...

Tidak ada pun dikalangan kita bila bertemu dan menyapa "Ramadhan kareem". Jadi macamana kita hendak merasai kehadiran ramadhan. Dan kita sendiri pun tidak cuba mengatur program untuk menyambut kehadiran bulan yang penuh barakah itu.

Ramadhan kembali...

Banyaklah pula program-program hiburan disusun untuk bulan ramadhan. Jadi, ianya memberi peluang orang-orang berpuasa menghabiskan masa mengadap TV kerana siri-siri atau rancangan yang disusun amat menarik, rugi katanya kalau terlepas...

Ramadhan kembali ...


"Aku masih teringat ketika aku berada di Jakarta beberapa tahun yang lalu, boleh dikatakan semua pusat hiburan ditutup kerana 'memberi' laluan untuk memuliakan bulan Ramadhan... dan beberapa hotel menyediakan hidangan sahur untuk mereka yang berpuasa..."


Ramadhan kembali...


Di bulan Ramadhan inilah berbagai-bagai kemaruk atau keinginan mula timbul dan dihajati. Walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu syaitan masih bertapak dan bersarang di dalam diri dan hati kita, Ya muqallibal qulub tsabit qalbi 'ala deenik...

Antara perkara-perkara yang boleh menaikkan roh ramadhan:
  • Melatih diri berpuasa sunat.
  • Meningkat kualiti pembacaan Al Quran, tadabbur, dan menghayati ayat-ayat di dalam surah yang dibaca.
  • Memperbanyakkan dan meningkatkan kualiti solat sunat spt: sunat rawatib, Dhuha, Tahajjud, Witr dsbnya.
  • Memperbanyakkan dan meningkatkan kualiti berI'tikaf di dalam masjid.
  • Memperbanyakkan dan meningkatkan kualiti sedekah dan hadiah.
  • Memperbanyakkan melaksanakan urusan mengajak kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
  • Meningkatkan kualiti ibadah wajib spt: solat lima waktu, zakat dsbnya.
  • Memperkukuhkan kefahaman dan pengamalan terhadap akidah yang sejahtera.
  • Memperelokkan nilai-nilai akhlak yang baik.
  • Meningkatkan kualiti zikir spt: bertasbih, tahmid dan takbir dsbnya.
  • Memperbanyakkan bertaubat kepada Allah spt beristigfar dsbnya...
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah di setiap masa dan tempat.
  • Memberi makan kepada yang berpuasa.
  • Meninggalkan perkara-perkara yang makhruh, subahat dan sia-sia.
  • Meningkatkan semangat juang untuk membebaskan Al Aqsa tercinta dan bumi palestine.
Ramadhan kembali, tetapi suasana di sekeliling saya masih sepi, atau sayakah yang merasa sepi... astagfirullah waatubu ilaih

abuzorief @ darnall
6/8/2010 Jumaat
Pengemis Ramadhan