Pages

Friday 23 August 2013

Pendekatan aman kami adalah rahsia kekuatan kami


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarganya, sahabat-sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya.

Sesungguhnya para perampas kuasa dan pembuat kerosakan telah melampau dalam menumpahkan darah rakyat yang tidak berdosa, mencabut roh-roh yang suci tanpa alasan yang benar.

Mereka memekakkan telinga dan membutakan mata daripada mendengar dan memerhatikan ancaman Allah Ta'ala menerusi firman-Nya yang bermaksud:

"... Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…” (Al-Maidah: 32)

Mereka tidak menghiraukan janji Allah yang benar dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (An-Nisaa’: 93)

Mereka buat-buat lupa arahan dan peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya hancurnya dunia ini lebih enteng di sisi Allah daripada membunuh seorang lelaki beriman tanpa hak (tanpa alasan yang benar).”

Para perampas tidak cukup dengan gugurnya ribuan syuhada’, ribuan mangsa disumbat di dalam penjara, malah mereka melakukan pelbagai jenis siksaan ke atas mangsa-mangsa yang ditangkap. Puluhan daripada mangsa diperlakukan dengan cara yang amat keji, terkeluar daripada batas undang-undang, yang menyayat hati setiap makhluk yang hidup dan ada perasaan.

Thaurah secara aman merupakan jihad yang paling besar

Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda maksudnya:

“Jihad yang paling besar ialah perkataan yang hak di hadapan pemerintah yang zalim.”

Dalam satu riwayat lagi, Nabi s.a.w. ditanya: “Yang manakah jihad yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Perkataan yang benar di sisi pemerintah yang zalim.”

Maka, manakah kezaliman ke atas umat, penganiayaan ke atas hamba-hamba Allah lebih besar daripada apa yang dilakukan oleh para perampas dan penumpah darah itu? Kerana itu, mempertahankan kebenaran dalam menghadapi mereka adalah jihad yang paling afdhal sebagaimana dinyatakan dalam Hadis di atas.

Dan itulah yang dilakukan oleh majoriti rakyat Mesir yang berjiwa merdeka, yang keluar di jalan-jalan dan di medan-medan sambil berkata kepada orang yang zalim: Berambuslah kamu! Kamu memang zalim!

Sekiranya umat mendiamkan diri dan tidak keluar, nescaya ia berdosa. Ia diancam kemusnahan dengan sebab sifatnya yang pengecut dan bacul. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Apabila kamu melihat umatku takut untuk berkata kepada orang zalim: “Sesungguhnya kamu benar-benar zalim, maka ucapkanlah selamat tinggal kepada mereka.”

Maksudnya, mereka tidak berguna lagi. Ada atau tidak ada, mereka sama sahaja.

Adapun serangan berdarah yang dilakukan oleh  perampas ke atas penunjuk perasaan secara aman, maka mereka yang terbunuh mendapat darjat penghulu syuhada’ seperti Hamzah bin Abdul Muttalib RA. Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya:

“Penghulu syuhada’ ialah Hamzah, dan orang yang bangkit di hadapan pemerintah yang zalim dan menasihatinya lalu dia dibunuh.”

Maka hendaklah kita mempertahankan pendekatan aman thaurah kita dan gerakan kita. Kita hendaklah berani menyatakan kebenaran di hadapan perampas. Kita teruskan melaksanakan tanggungjawab kita secara aman sehingga Allah realisasikan harapan kita untuk mencapai kebebasan dan kemuliaan.

Sekiranya tangan-tangan perampas membunuh kita, maka kita syahid dan ganjaran kita dijamin oleh Allah. Dialah Pemelihara kita dan Dialah sebaik-baik tempat kita berserah.

Sesungguhnya perampas kini berjalan mengikut jejak langkah Firaun, bahkan lebih teruk lagi. Tujuan mereka ialah untuk menyekat kemaraan para pemuda umumnya dan kebangkitan Islam khususnya. Mereka melakukan provokasi untuk mengheret pemuda melakukan keganasan, meninggalkan cara aman dan terjerumus ke dalam kancah keganasan yang tidak berkesudahan.

Lantaran itu, wajib ke atas kita wahai pendukung thaurah yang berjiwa merdeka daripada semua golongan dan aliran fahaman kebangsaan, jangan beri muka kepada mereka dengan mengikut apa yang mereka mahu. Kita jangan tinggalkan pendekatan kita yang merupakan rahsia kekuatan kita, iaitu pendekatan aman.

Meskipun sebanyak mana pengorbanan yang kita hulurkan, sesungguhnya pendekatan ini lebih afdhal daripada melawan dengan keganasan seperti yang dilakukan oleh perampas yang mabuk darah. Kita yakin, dengan izin Allah, thaurah kita yang aman akan menang mengatasi segala senjata yang mereka gunakan.

Jangan berputus asa kerana putus asa itu bukan daripada akhlak rijal (wira)

Sekiranya ujian bertimpa-timpa, bagi mukmin ujian itu tidak menambah kecuali keyakinan yang lebih utuh, lebih kukuh bahawa dia berada di atas jalan yang benar.

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.” (Al-Ahzab: 22)

Sesungguhnya orang yang membawa risalah kebenaran memahami bahawa harga yang mahal akan dibayar sebagai bukti iman yang benar. Orang yang membawa risalah kebenaran akan memberikan harta, kerehatan, keselesaan dan dirinya.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 155)

Namun dia tidak berputus asa daripada janji Tuhannya. Dia tidak akan menukar aqidah dan pendiriannya.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayat-Nya.” (Al-Baqarah: 156-157)

Demikianlah, mukmin tidak putus harapannya daripada rahmat Allah. Tidak goncang keyakinannya pada pertolongan Allah.

“Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rum: 47)

Kerana ayat ini dan lain-lain lagi kita tidak berputus asa wahai saudaraku yang disayangi. Apa sekalipun yang dilakukan oleh mereka yang zalim; sekiranya mereka tangkap atau bunuh para pemimpin, mereka tidak akan dapat menangkap iman kita atau membunuh fikrah kita kerana kita berhimpun atas dasar risalah dan prinsip bukan atas dasar pemimpin atau individu.

Sekalipun betapa cintanya kita kepada pemimpin kita, betapa kita menghargai perjuangan mereka, kita sanjungi pengorbanan mereka, maka apakah kita takut risalah kita akan lemah atau tersungkur dengan tertangkapnya setengah pemimpin atau syahidnya mereka? Demi Allah, sekali-kali tidak!

Sesungguhnya dakwah kebenaran tidak akan tersungkur dan tidak akan mati selama-lamanya. Bahkan ia dijanjikan kemenangan yang besar selepas mehnah (ujian). Maka berpegang teguhlah wahai saudara-saudara yang merdeka dengan dakwah kamu, dan tetapkan pendirian di atas agama kamu dan prinsip kamu.

Pertahankanlah pendekatan aman kamu, dan yakinlah bahawa pendekatan aman kamu itu lebih kuat daripada peluru mereka. Yakinlah bahawa kemenangan dan keabadian adalah milik mereka yang paling baik akhlaknya dan paling kuat iman serta keyakinannya.

“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d: 17)

Berusahalah bersungguh-sungguh dalam menguatkan hubungan dengan Allah.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang…” (Al-Baqarah:45).

Peliharalah kesatuan kamu. Tumpukan kepada hadaf yang besar bagi gerakan kamu dan jihad kamu, iaitu membebaskan watan dan rakyatnya daripada kehinaan, penindasan dan diktator, serta mengembalikan Thaurah 25 Januari yang agung dengan segala isinya, kemuliaan, kesatuan dan kepuasan. Jangan kamu berputus asa kerana putus asa itu bukan daripada akhlak rijal. Allah bersama kamu dan Dia pasti menolong kamu.

Allahu Akbar. Hidup Thaurah kita yang aman. Hidup Mesir, bebas dan stabil.

Ikhwan Muslimin
Kaherah
14 Syawal 1434H
21 Ogos 2013

Sumber:
[1] ikram.­org.­my
[2] Middle East Monitor : http://www.middleeastmonitor.com/news/africa/7063-muslim-brotherhood-message-peace-and-tolerance-title-of-revolution

Sunday 18 August 2013

Apa aku kisah, ada aku kisah


Apa aku kisah, ada aku kisah...

Satu penyataan seorang egois yang hanya memikirkan tentang diri sendiri sahaja. Kisah orang lain atau disekelilingnya, katanya apa yang perlu dikisahkan. Janji tidak menganggu 'periuk nasi' dan keselesaan sudahlah, itu katanya.

Tidak sempurna iman

Tidak sempurna iman seorang muslim itu sekiranya tidak mengasihi saudaranya yang lain.

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Al-Maeda [5:54]

Mesir kini

Keadaan di Mesir sehingga kini sudah mencecah 2,000 orang lebih terbunuh, 10,000 orang lebih cedera, ibu bapa kehilangan anak, anak kehilangan ibu dan bapa, hilang saudara mara, isteri kehilangan suami dan sebaliknya. Peristiwa pembunuhan paling kejam dan zalim sepertimana berlaku kekejaman askar Syria ke atas rakyatnya sendiri dan kekejaman Zionist ke atas rakyat Arab Palestine. Perlakuan mereka yang kejam sehingga tiada lagi sifat kemanusian di dalam hati mereka. Allah telah menutup sifat-sifat belas dan kasih-sayang tersebut sehingga mereka berkelakuan seperti binatang-binatang yang kelaparan.


Kenapa Mesir?

Mungkin kita tertanya-tanya kenapa perlu bersungguhnya kita memperjuangkan dan mempertahankan kerajaan pimpinan Dr Morsi.
  • Tanah Barakah dimana Tanah ini mudah tumbuhnya buah Tin dan Zaitun sepertimana yang tercatat di dalam Al Quran Al Karim
  • Tanah atau bumi para anbiya'
  • Tanah mujahid dan tempat yang dihimpunkan di Mahsyar nanti
  • Antara laluan untuk pembebasan Baitul Maqdis dan Palestin seluruhnya
Apa yang berlaku di Mesir ialah pertembungan di antara yang hak dan batil dan bukannya pertarungan di antara muslim dengan muslim. Kalau pun mereka muslim tetapi menyokong kebatilan maka sewajibnya muslim yang lain menegah dan menentang mereka dari terus melakukan fasad dan kezaliman.


Kejahatan tentera dan As Sissi

Rampasan kuasa dan kezaliman yang mereka lakukan sudah jelas dan terang-terang melanggar hak asasi kemanusian dan melanggar sistem Demokrasi berperlembagaan yang menjadi pilihan Negara dunia.

Kezaliman As Sissi dan tenteranya membantai ribuan rakyatnya sendiri kerana memprotes tindakannya mengulingkan pemimpin sah melalui proses pilihanraya mendapat restui dari Negara Amerika dan Israel Zionist. Pelik dan tidak masuk akal, tetapi itulah realiti sebenarnya apa yang berlaku. Bagi saya mereka itu adalah hizbus Syaitan.

Rakyat yang tidak bersetuju dengan tindakan mereka, maka jalan penyelesaiannya ialah dibunuh, ditangkap dan dizalimi. Mereka yang tidak bersalah pula disiasat dan didakwa. Hukum dan teori apakah yang mereka guna?. Undang-undang ciptaan sendiri digunakan untuk menakut-nakutkan rakyatnya dan orang awam yang tidak bersalah dan berdosa.

Kejahatan dan kerosakan nilai kemanusiaan yang telah dilakukan oleh tentera As-Sissi sangat terang-terangan salah-laku dan mereka terus dibelenggu oleh kuasa jahat sama ada dari kerakusan diri sendiri mahupun bisikan-bisikan anasir-anasir jahat yang bersekongkol untuk mempertahankan sistem demokrasi acuan cita-rasa mereka. Walhal rakyat jelata sudah cukup berlembut untuk akur melaksanakan system demokrasi yang dikatakan tunjang keadilan dan kesama-rataan hak.

Mungkin inilah yang dikatakan fitnah al Masih Al Dajjal. Manusia yang menyokong kejahatan ini dilabelkan sebagai baik manakala mereka yang menentang kejahatan ini diberitakan sebagai pengganas, perosak, pelampau dan sebagainya. Hati mereka telah Allah tutup dengan kegelapan atau zulumat, telinga mereka dipalam atau dipekakkan dari mendengar segala kebaikan manakala mata mereka telah dibutakan dari melihat apa yang berlaku itu sebagai ibrah dan pengajaran pada diri sendiri.

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).  [Al-Baqarah 2:10]

Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun). [Al-Baqarah 2:17]

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran). [Al-Baqarah 2:18]

Bagaimanakah lagi mereka hendak melindungi atau menutup segala keaiban dan kejahatan yang telah mereka lakukan, sedangkan kezaliman mereka telah 'dilondehkan' oleh Allah satu persatu supaya dipertontonkan oleh rakyat dan kita semua akan segala kepincangan sistem dan tingkah-laku jahat mereka.


Tugas kita

Isu Mesir kini bukanlah isu dalaman negara Mesir. Tetapi isu ini adalah isu keperibadian manusia dan hak-hak kemanusian yang mesti diperjuangkan. Jangan lagi kita berfikir bahawa mereka dengan negara mereka dan kita dengan negara kita. Kita kena ubah cara berfikir dan emosi kita dengan mengatakan bahawa kita semuanya manusia yang diciptakan oleh Allah. Saling perlu memerlukan di dalam melakukan perkara-perkara kebajikan, kebaikan serta mewujudkan suasana yang aman dan harmoni. Ibaratnya, cubit paha kiri, paha kanan juga akan terasa.

Apa yang berlaku di sana mestilah dirasai bersama. Susahnya mereka bererti susahnya kita di sini. Deritanya mereka juga memberi seribu erti tentang penderitaan yang mereka alami, dimana kita juga perlu menyelami perasaan derita mereka.
  • Memperbanyakkan doa untuk mereka.
  • Memberikan sumbangan harta dan wang ringgit
  • Menyebarkan seluas mungkin tentang kezaliman askar kudeta
  • Ada rancangan jahat dan dalang dibelakang tentera As Sissi
  • Penerangan berita sebenarnya tentang rampasan kuasa pihak tentera
  • Peranan jahat pihak As Sissi mengulingkan kerajaan yang sah pilihan rakyat
  • Golongan Zionist dan musuh Islam tidak senang dengan pemimpin yang mempunyai roh Islam
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk melaksanakan Islam di atas muka bumi ini.

abuzorief @ kulim
18/8/2013 ahad
baraan ikram seb. perai tengah
Salam Eidul Fitri Al Mubarak 1434H