Pages

Friday 17 October 2008

Kehidupan baru yang sementara


Hari ini adalah hari pertama kali saya sekeluarga melangkah kaki ke bumi Inggeris. Bukan untuk melawat, tetapi untuk menetap di sini untuk beberapa tahun. Satu kehidupan yang baru dan serba baharu dari segi suasana, adat dan budaya, taraf kehidupan, sosial dan sebagainya.

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya). [Al-Mulk 67:15]

Corak kehidupan kami di Malaysia akan kami simpan buat sementara waktu. Pengalaman dan kebolehan sahaja yang akan digunakan di sini bilamana perlu. Maklum, kehidupan di sini pasti akan menukar corak kehidupan kami, sikap dan tingkah-laku, pemakanan, kesihatan, pendidikan anak-anak, sikap dan budaya hidup anak-anak yang akan membesar dengan norma-norma kebaratan yang jauh lebih lantang dan terbuka.

Seminggu yang serba baharu, agak memenatkan disamping merasa kekok untuk membiasakan diri dengan persekitaran. Selama ini, sejuk yang menggigit kulit sehingga ke tulang tidak pernah dialami, melainkan di dalam bilik berhawa dingin. Tetapi kini, bukan lagi di dalam bilik berhawa dingin, tetapi di dalam kotak dunia yang sejuk dimana bumbungnya adalah langit, lantainya adalah tanah bumi dan tidak berdinding. Kerdilnya saya sebagai hamba Allah di sini, untuk menikmati segala bentuk kejadian Maha Pencipta.


 90 Balfour Road, Darnall S94RY Sheffield

 Balfour Road, Darnall

90 Balfour Road, S94RY

Bermulalah kehidupan kami sekeluarga di sini untuk membina satu kehidupan yang entah bagaimana bentuk dan rupanya, yang pastinya kena dilalui dengan tabah dan berhikmah. Hanya tempat bergantung iaitu Allah Taala sahaja yang tidak berubah dan Insyaallah, sentiasa menjadi pengharapan dan pertolongan.

Kehidupan sementara...

Terlintas di benak fikiran saya, kalau inilah yang dikatakan kehidupan yang sementara, begitulah juga yang dinamakan dunia ini hanya tempat singgahan atau kehidupan yang tidak kekal. Apa yang kita lakukan di dalamnya, dengan segala keperluan dan kehendak hidup kita, habis mengikut waktu yang kita hambati. Tidak pula ia dibawa untuk satu kehidupan yang baru atau yang akan datang. Alam akhirat hanya memerlukan amal dan pahala yang kita kumpulkan sejak di dunia.

Selama di dunia ini, kita dikehendaki melakukan segala macam kebaikan, yang mana kebaikan ini adalah bekalan untuk kita bawa di akhirat kelak. Kalaulah seluruh kehidupan ini dibaluti dengan dosa dan kemurkaan Allah, apakah bekalan yang selayaknya kita bawa nanti itu akan membantu dan menolong kita berhadapan dengan hakimiah Allah Taala?

Terpaku mata saya tentang kemurkaan Allah bilamana melalui baris-baris ayat di dalam surah Yusuf,

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan. [Surah Yusuf 10:23]

abuzorief @ sheffield
17/10/2008, jumaat
1st day in uk