Pages

Showing posts with label Monolog Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Monolog Kehidupan. Show all posts

Friday, 24 July 2015

Hai Melayu...


Hai Melayu!

rumahmu semua dibina indonesia

ekonomi pula dikuasai cina,
golongan profesional semuanya india,
warung makan pun, mamak dan siam yang berkuasa,
warga bangla pula menjadi JaGa,
orang Nepal yang menabur baja,
orang pakistan usung karpet jaja merata,
lalu melayu ada apa?
harapkan ustaz, saling menyesat,
harapkan hiburan, lagi best filem barat,
harapkan bahasa, banyak telah bertukar kesat
harapkan tulisan, jawi pun mereka hambat,
harapkan tanah, banyak digadai kepada korporat!
Hai melayu!
masih mendabik menjadi tuan?
sibuk mahu menjadi tuan,
rupanya kerja kelas bawahan,
ditipu mentah orang atasan,
konon perjuangan ini untuk kalian!
kerja sikit, sembang kencang,
banyak rungut, sikit rancang,
siapa tegur, dituduh lancang
duduk warung, gigit kacang!
Hai melayu!
konon kau pantang dicabar,
konon kau tangkas menyambar,
tapi cuma indah khabar,
rentakmu makin lama makin hambar
kau melayu aku pun melayu,
aku menulis bukan cemburu,
aku mahu engkau tahu,
kenapa melayu tak macam dulu.....
Hai melayu!
jari mu hebat bertutur di facebook alam maya,
bila berdepan ekonomi semasa kau tidak ber daya,
kau cuma tahu ber gaya,
Hai melayu!
kau melaung-laung di jalan raya,
bagi tahu kepada dunia ini bumi aku yang punya,
pada hakikat ia digadai kepada sepet yang kaya!
Hai melayu!
kerana hendak bergaya kau gadai pusaka,
bila dah kaya kau jadi puaka,
ini tandanya kau sudah derhaka!
Hai melayu!
sedarlah bangsa ku,
buka lah minda mu,
bersatulah bangsa ku,
kerana malaya bukan lagi milik mu !
aku pun melayu,
engkau pun melayu,
bodoh sombong harus di tepis,
riak,bongkak dan hasad dengki sesama bangsa harus guris,
bersatulah melayu kerana agama, bangsa, moyang-moyang yang telah berjasa,
kerana ini mungkin peluang akhir bangsaku untuk negara, berjasa dan berkuasa.......
Pedih menyengat..... Untuk muhasabah diri kita

Sajak A. Samad Said 

Tuesday, 4 November 2014

Hidup kita siapa yang mengaturnya?...


Semalam telah merancang untuk bersarapan nasi lemak di awal pagi esoknya pada pukul 7.00 pagi, tetapi di awal pagi ini terlewat sepertimana masa yang diinginkan, dan telah bertukar pula menu kepada roti canai. Semalam si isteri kata hendak masak gulai ayam, tetapi hari ini bertukar pula dengan masak lemak ayam bercili. Sekaligus, niat, keinginan, fikiran dan kelakuan semalam secara otomatiknya terbatal.

Celik sahaja mata kita dari tidur sejak semalam, telah ada agenda kehidupan seharian yang akan ditempuh. Berbagai aktiviti harian telah difikirkan oleh kita, hendak buat itu dan ini. Adakalanya apa yang dirancang seharian tidak menjadi, bahkan bertukar agenda dari apa yang dirancangkan.

Nah!, Siapa boleh menyangka bahawa set kehidupan kita setiap hari itu bukan kita yang menentukan. Nampak semacam kita yang mengaturnya, tetapi tidak semuanya sama seperti yang telah diaturkan.

Siapakah yang telah mengaturkan semua ini?...

bersambung...

abuzorief @ kulim
4/11/2014, selasa
11 muharram 1436

Sunday, 19 October 2014

Sempitnya hidup...



Saya cuba mengagahkan diri untuk mendengar cerita sahabat saya tentang masalah kewangan yang melanda diri dan keluarganya. Sekurang-kurangnya, dengan cara ini, mampu serba sedikit meghilangkan tekanan dan kerunsingan yang dihadapinya. Kehidupan sekarang ini semuanya memerlukan wang ringgit, dari duit untuk membesarkan anak-anak, pakaian dan keperluan harian, pendidikan anak-anak , hendak memulakan kerja, sewa rumah dan sebagainya. Wang ringgit adalah segalanya. Realiti kehidupan kini memang tertekan dan tercabar sekiranya kita tidak mempunyainya untuk menbiayai perkara-perkara tersebut.


Setiap butiran cerita itu mampu mengenangkan air mata saya dan mmembasahi kelopak mata. Itulah nama takdir bagi kamu. Allah menyayangi kamu dari yang lain. Pilihan Allah itu sangat tepat sebagai pilihan hambanya yang disayangi. Memang ujian itu berat kepada hambanya yang disayangi. Bukan ujian rekaan, tetapi ujian yang akan dibayar dengan ganjaran yang besar iaitu Syurga.

Namun, yang menjadi persoalan itu, apakah ia mampu bertahan dan terus bertahan? Apakah hati dan tindakan itu terus istiqamah, setia dan taat melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangnya?

Ujian yang berat dan hebat itu hanya untuk hambanya yang mempunyai ketaatan yang kental dan 'degil' untuk terus setia kepadaNya. Ujian yang ringan itu untuk mendidik hambanya supaya tidak goyah untuk menyembahNya.

Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah, dan mampu bertahan dengan setiap ujian yang mendatang.

Sekian...

abuzorief @ kulim
15/10/14 khamis
nasr 1000

Friday, 3 October 2014

Aku dan Longkang Bowling


Minggu ini amatlah penat dan terasa keletihan. Sengal-sengal badan masih terasa selepas menghadiri Mukhayyam atau perkhemahan hujung minggu lepas.

Hari Rabu malamnya pula, berkesempatan untuk bermain bowling dengan niat untuk beriadah bersama keluarga dan sahabat handai.

Alhamdulillah, tujuannya hanya satu iaitu mengeratkan ikatan kekeluargaan dan semangat ukhuwwah di antara satu sama lain.

Kalau hendak diikutkan lelah dan payah, hanya bermain bowling ikut sedap kekuatan sahaja. Tidak ada terlintas untuk bermain untuk mencabar di antara satu sama lain. Lagi pun aku bukanlah terror sangat bermain mainan ini.

Setiap kali aku baling bola bersaiz 13, setiap kali itulah bola akan meluru ketepi kiri atau kanan dan sudah pasti terbabas terus ke longkang.  Itulah kecekapan orang yang 'pro' seperti aku, haha.... Nah!, lebih banyak yang terbabas ke longkang dari mengenai sasaran atau strike.

Halatuju...

Dalam sesuatu titik kehidupan, pasti kita mahu lakukan perkara-perkara atau pekerjaan yang terbaik dan mampu memuaskan hati sendiri dan orang lain. Maka, kita akan pastikan setiap kerja atau perkara itu diteliti, dicermati, dihalusi dan dinilai beberapa kali sebelum diteruskan (running process).

Kerja buat itu tidak dilakukan secara cincai atau halai-balai atau sambil-lewa. Kerana hasilnya, sudah pasti tidak akan memuaskan hati sendiri mahupun pada orang lain yang akan mengambil manfaat daripadanya.

Pendekatan...

Untuk memastikan kita terus berjaya, mestilah fokus dan memberikan 100% penumpuan. Kerja yang berperancangan dan 'disuntik' dengan semangat, Insya Allah akan memberikan ruang-ruang kejayaan.

Berpasukan...

Melakukan kerja secara berpasukan atau amal jamaie lebih menguntungkan dari melakukan berseorangan. Kerja pun mampu disiapkan dengan segera dan tidak tidak membebankan. Pasukan pun mestilah yang bertanggungjawab.

Wallahu 'alam...

abuzorief @ kulim
3/10/2014

Sunday, 8 September 2013

Noktah kemerdekaan



Salam kemerdekaan,

Saya ingin menyentuh beberapa perkara tentang kemerdekaan Negara kita. Bukanlah untuk mencari kesilapan di dalam mencari erti kemerdekaan itu, tetapi mencari titik noktah dimanakah erti kemerdekaan kita sebenarnya.

Dulu dan sekarang sudah tentu banyak perbezaan. Tentang apa yang telah berlaku hanya tinggal sebagai bahan dan bukti sejarah. Kalau berulang pun mungkin suasana dan masa yang berlainan tetapi kesan dan akibatnya tetap serupa untuk dijadikan sebagai pengajaran, pengiktibaran dan pedoman.

Panduan Al-Quran

Bahkan itulah yang telah diperingatkan oleh Allah Taala di dalam wahyu sucinya sepertimana tercatat di dalam naskah Al Quran yang kita baca dan selidiki. Apa yang tercatat tidak sedikit pun dikaitkan dengan tarikh dan waktu secara spesifik tetapi ia tertumpu kepada peringatan, pesanan, pedoman, masa dan suasana kejadian serta akibat kejadian, perintah dan larangan dan suruhan supaya kita semua kembali kepada yang maha pencipta iaitu Allah Azza Wajalla.

Kita mengharapkan bahawa kehidupan yang dilalui itu adalah kehidupan yang terarah di atas landasan yang betul dan sentiasa mendapat petunjuk dari Allah Taala.

Justeru, Allah menyatakan melalui kata-katanya,

Serta keredhaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya.. [Surah At-Taubah 9:72]

Kegembiraan

Kegembiraan kita menyambut kemerdekaan itu hanya pada luaran atau fizikal sahaja. Ia hanya bersifat sementara dan bermusim. Berlalu musim maka berlalulah semangat itu. Apalah sangat dengan kegembiraan yang sementara, kalau maruah diri dan Negara tercalar?. Namun, hati dan perasaan tetap kosong.

Kalau ditanya apakah erti kemerdekaan?
  • Kita merdeka dari dijajah
  • Kita sudah bebas dari penaklukan kuasa asing
  • Kita mampu memerintah Negara sendiri
  • Kita dapat mengadakan perarakan besar-besaran dan berwarna-warni
  • Hari mengibar jalur gemilang
  • Keseronokan menyaksikan letupan bunga api
  • Persembahan dan nyanyian
  • Dan sebagainya
Pada jawapan fizikalnya, barangkali ada benarnya. Tetapi adakah cukup sekadar itu sahaja?. Maka kita pun melaungkan laungan kemerdekaan setiap tahun yang hanya untuk memperingati hari kemerdekaan. Ya!, hanya memperingati hari kemerdekaan sahaja tidak lebih dari itu.

Dicorong radio diputarkan segala lagu kemerdekaan manakala rancangan di TV, ditayangkan cerita-cerita berunsur semangat patriotism. Tujuannya adalah untuk membangkitkan semangat cintakan kepada Negara. Tetapi adakah benar anak-anak pasca-merdeka berubah semangat mereka kepada semangat Patriotisma, sayangkan Negara dan sanggup bekorban untuk negara?.

Saya harap mudah-mudahan mereka semua mempunyai semangat itu.


Peribadi merdeka

Agama Islam benar-benar meletakkan peribadi manusia itu di dalam kemerdekaan. Peribadi yang mempunyai zatiyah diri. Merdeka itu ialah kita benar-benar mengabdikan diri kepada Allah yang maha Esa. Merdeka itu ialah tidak memperhambakan diri kita kepada manusia, harta, kuasa, semata-mata untuk melakukan syirik kepada Allah Taala secara sengaja atau tidak. Bahkan perbuatan keji ini amatlah ditegah.

Mereka yang berada di dalam acuan sibghah Allah sudah pasti akan melihat kemerdekaan itu bukan sahaja kemerdekaan bersifat fizikal sahaja tetapi ia lebih jauh dari itu. Sebab itu kalau difahami betul-betul semangat merdeka itu, diri insan merdeka itu sudah ada padanya persiapan atau persediaan untuk menghadapi ancaman dan seteru kepada kemerdekaan tersebut. Kalau yang datang menjajah itu pasti ada tujuannya selain menjajah. Kalau tanah jajahan yang telah mereka tinggalkan itu pasti sudah ditanamnya doktrin-doktrin yang sealiran dengan cara buat mereka, pemikiran dan perasaan mereka untuk diwarisi oleh manusia yang telah dijajahnya. Mereka juga pasti ada misi dan visi yang kita tidak ketahui dan tersembunyi. Untuk memahami ini, kita mestilah menyelusuri rentetan-rentetan sejarah lampau, apa yang telah berlaku. Bukanlah kejadian itu semata-mata berlaku tanpa bersebab.

Kalaulah peribadi merdeka itu menyanjungi semangat Patriotisma, maka pada fahamannya setelah melalui proses tarbiah itu ialah memahaminya bukan sahaja cinta kepada bangsa dan Negara, tetapi ia mahukan seluruh rakan-rakan dan rakyat jelata tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit turut tersentuh dengan kecantikan Islam melalui usaha dakwah dan pemerintahan Negara berubah corak dari sekularisma kepada sistem dan urus-tadbir yang diredhai oleh Allah Taala.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujurat 49:13]

Ciri-ciri peribadi merdeka

Berikut adalah sebahagian daripada ciri-ciri peribadi merdeka yang digelar sebagai hamba Ar-Rahman sepertimana yang dinyatakan oleh Allah Taala:
  1. Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; [Al-Furqan :63]
  2. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, [Al-Furqan : 64]
  3. Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab Neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan. Sesungguhnya Neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk; [Al-Furqan : 65-66]
  4. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. [Al-Furqan : 67]
  5. Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan; [Al-Furqan : 68-69]
  6. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat; [Al-Furqan : 70-71]
  7. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. [Al-Furqan : 72]
  8. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta. [Al-Furqan : 73]
  9. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. [Al-Furqan : 74]
  10. Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya, Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal. [Al-Furqan : 75-76]
Semoga kemerdekaan itu tidak disia-siakan dengan hiburan lalai dan pengisian kosong yang lagha sehingga menghilangkan identiti peribadi merdeka.

Sekian, wallahu 'alam.

Catatan lepas:
http://abuzorief.blogspot.com/2013/05/ubah-ini-kalilah.html

abuzorief @ kulim
1/9/2013 ahad
merdeka ke-56 tahun
malaysiaku berdaulat,
tanah tumpahnya darahku

Monday, 22 July 2013

Zina vs Sumbang mahram



Sebutan berbeza tetapi makna sama

Sebutan di antara keduanya memang berbeza. Lebih kurang sebutan untuk babi dan khinzir atau jahil dan bodoh. Sama maksudnya tetapi bernada di antara lembut dan keras bagi kebanyakkan orang-orang Melayu.. Setengah daripada kita agak sensitif kalau disebut zina, berbanding dengan sebutan yang dikatakan bernada lembut iaitu sumbang mahram

Kita perlu jelaskan bahawa apa jua bentuk sebutan dan makna tetapi kalau perbuatannya haram dan berdosa besar maka ia tetap berada di dalam kemurkaan dan laknat Allah Taala. Kebanyakan mereka yang memang terjebak dengan perbuatan ini langsung tidak menghiraukannya. Gelarlah apa sahaja, namun perbuatan tetap haram. Pelakunya sedikit pun tidak gentar dengan hukuman Allah Taala. Hawa nafsu binatang dan syaitan diagungkan diperingkat ini. Malah mereka yang terlibat dengan gejala ini diperlakukannya secara professional dan diangkat pula martabat mereka menjadi 'mulia' ditempatnya. Hilang pertimbangan keimanan dan akal waras.
 


Barah dalam masyarakat

Perlakuan zina sekarang ini agak susah hendak dikawal di dalam komuniti. Susah hendak ditegur secara bersemuka. Yang kena tegur akan berang dan mengugut pula untuk mengambil tindakan mahkamah kerana katanya kita menafikan hak kemanusiaanya. Itulah bahayanya bila sistem demokrasi menjadi perlembagaan negara dan perlembagaan Islam diketepikan. Perbuatan haram ini perlu ditangani secara undang-undang syariah. Undang-undang syariat berupaya mengembalikan maruah peribadi, masyarakat, negara dan Deen Islam itu sendiri atau lebih focus lagi iaitu melindungi 5 tujuan syara' (maqasid syar'ie).

Pada asalnya hanya pergaulan biasa, bersembang, bertepuk bahu atau bersalaman atau lainnya dan akhirnya terlanjur dengan perbuatan. Maruah musnah dengan sekelip mata sahaja. Berseronok hanya seketika tetapi menanggung dosa yang amat besar sehingga bila-bila selagi taubat nasuha tidak dipohon dari Allah yang maha Esa. Malah ada pula yang berbangga kerana dapat melakukan perlakuan sedemikian dan merasa gah pula menceritakan pengalamannya.

"Pernah seorang kontraktor Melayu dengan bangga sekali menceritakan perlakuan zinanya dengan setiap perempuan yang didampinginya... na'uzubillahi min zalik"

Alangkah sedihnya kalau mereka berkelakuan sebegini kerana sedikit pun tidak ada insaf dan takut di dalam diri mereka kepada Allah Taala. Mereka telah sesat jauh yang amat sangat. Jauh dari rahmat dan kasih sayang dari Allah Taala. Mereka telah menempatkan diri mereka sendiri di dalam api neraka Allah Taala. Sedangkan mereka boleh mengelak diri mereka dari azab dan kemurkaan Allah.

Kalau ditanya kepada pelaku zina, mahukah ada orang lain yang melakukan zina kepada anak perempuannya atau isterinya?.., maka sudah tentu ia naik berang. Pasti dia akan berkata, mana boleh orang lain melakukan perkara ini terhadap ahli keluarganya. Inilah penyataan orang yang masih waras. Alangkah dayus baginya kerana merasa bangga dan merelakan anak isteri diperlakukan oleh orang lain. Amalan sex bebas yang tidak mengenal keturunan dan waris.

Pergaulan bebas muda mudi

"Kami bukan buat apa pun berkawan biasa sahaja... tak lebih dari tu..."

Hiburan melampau mampu menarik golongan remaja yang kemaruk dengan kebebasan hidup dan secara tidak langsung menyediakan platform kepada mereka untuk melakukan perkara di luar batas tabi'ie kehidupan manusia. Kerana ketika itu yang menjadi pendorong besar adalah hawa nafsu syahwat dan Syaitan.

Perlakuan kemaruk mereka sehingga sanggup mengenepikan halal dan haram di dalam pergaulan.


 
Pendidikan
 
Anak-anak muda sekarang ini tidak mahu menghadiri kelas pengajian agama atau sudah tidak mahu belajar agama dengan bersungguh-sungguh. Kelas pengajian hanya dihadiri oleh orang-orang tua sahaja. Mereka banyak menghabiskan masa menonton movie dan tayangan yang tidak berfaedah.
 
Mencegah lebih baik dari merawat. Kaedah merawat ialah dengan mencari punca kejadian. Sesuatu kejadian mesti diambil perhatian dan mencari jalan bagaimana untuk mencegah ia dari menular, merebak atau dipulihkan dengan segera.
 
Oleh itu, insitusi kekeluargaan perlu dijaga dan diasuh dengan tarbiyyah Islam. Bukannya cukup dengan pendidikan sivik fizikal sahaja.
  • Menghidupkan kembali budaya nasihat-menasihati dan tegur-menegur
  • Penekanan akidah yang sejahtera
  • Mengingatkan hukum dan azab yang keras dari Allah
  • Peranan pihak berkuasa untuk membendong gejala yang tidak sehat
  • Wujudkan suasana yang baik, Baldatun Thoiyyibatun warabbun ghafur
  • Semua masyarakat mengambil bahagian sebagai pendakwah
  • Peranan ibu-bapa di dalam mendidik anak-anak ke arah nilai murni berpaksikan ajaran Islam

Wallahu 'alam, sekian

abuzorief @ kilang lama
22/7/2013, isnin

Monday, 1 July 2013

Besar sungguh rahmat Tuhan


Bila sakit, saya cuba membandingkan diri saya dengan orang-orang yang jauh lebih sakit dari saya. Sengaja untuk menyedapkan hati. Tetapi itu bukanlah sikap yang selalu dilakukan oleh kita semua termasuklah saya.

Pada kebiasaannya kita suka membandingkan diri kita dengan orang-orang yang jauh lebih bertuah dari kita. Kita lebih banyak 'mendongak' ke atas daripada 'menunduk' ke bawah di dalam perkara-perkara kebendaan dan kemewahan. Maka akan timbul di dalam diri kita rasa tidak puas hati dengan kelebihan orang lain.

Namun, ragam hidup kita memang berlainan. Susah dan senang, sehat dan sakit, kaya dan miskin dan semuanya itu adalah masam-manis kehidupan kita di atas muka bumi. Siapa sangka pada asalnya kita sehat wal 'afiat tiba-tiba dengan sekelip mata sahaja jatuh sakit. Senang-lenang dengan kemewahan harta dunia, tiba-tiba jatuh menjadi papa-kedana dan dihalau keluarga dan masyarakat.

Memang benar kita semua mahu kehidupan yang sempurna, tetapi percayalah, tidak ada yang sempurna sebenarnya. Pasti ada kekurangan dan cacat celanya. Itulah lumrah kehidupan yang sementara.

Dimanakah kita hendak mencari titik ketenangan di dalam diri, bilamana kita mengajak diri kita sendiri supaya memikirkan semua itu adalah dari rahmat Tuhan.
  • Sebenarnya kita lupa dengan Tuhan
  • Kita lupa dengan kejadian Tuhan
  • Kita tidak mensyukuri nikmat Tuhan
  • Kita berbangga dengan kebolehan diri sendiri
  • Hilang segala ketaqwaan
  • Lunturnya keimanan 
Ingatlah!, Tuhan tidak pernah melupakan kita.

(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! - Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! [Surah Al-Fajr : 27-30]

Wallahu 'alam, sekian

abuzorief @ kulim
1/7/2013, isnin

Tuesday, 18 June 2013

Berita besar


Terlalu kerap kejadian buruk dan musibah yang berlaku dan kejadian itu pula diluar jangkaan kita semua. Selepas kejadian Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh, kini dikejutkan pula dengan ribut kuat yang melanda dan mengakibatkan menara besi di atas bangunan UMNO yang telah dibina di atas tanah wakaf di Jalan Macalister Road Penang tercabut dan jatuh. Selepas ini apa pula tragidi yang akan berlaku?. Masih diluar jangkaan kita semua, yang kerdil dan lemah ini. Semua kejadian adalah tanda-tanda kekuasaan Allah sebagai peringatan ke atas hamba-hambanya.

Berita besar

Saya teringat tentang bacaan saya tentang Surah An-Naba, tentang Berita Besar di dalam tafsir fi Zilal Al-Quran oleh As-Syahid Syed Qutb. Satu surah yang didatangkan kepada kita untuk diperhatikan, diteliti, diperhalusi, dikaji, diselidiki, diamati, difikirkan dan sebagainya. Berita besar yang mengandungi berbagai-bagai penjelasan dan persoalan tentang nikmat dan azab supaya kita semua sentiasa kagum dengan Allah sebagai Maha Berkuasa dan Maha Pencipta. Begitu juga surah-surah lain di dalam juzu' 30 Amma, yang terkait dengannya, menceritakan kepada kita tentang segala kejadian yang amat dahsyat tentang kemusnahan alam dan segala isi-isinya. Tiada siapa lagi yang mampu untuk membendung dari terjadi. Kejadian dahsyat yang pastinya tidak dapat diceritakan dengan kata-kata yang sebenar malahan juga tidak dapat digambarkan dengan segala gambaran, ilusi dan lakaran-lakaran dengan tepat.

Sedangkan kejadian kecil tersebut yang berlaku telah menyebabkan kita semua terpinga-pinga dan bertanya-tanya diantara satu sama lain. Kita lihat di antara kita berkeadaan 'mabuk', panik, cemas, ketakutan, kesedihan dan sebagainya. Itu hanya sebahagian petanda yang amat kecil untuk kita perhatikan dan fikirkan.

Bagaimana pula kejadian yang besar yang akan terjadi seperti mana yang telah digambarkan kepada kita tentang cerita malapetaka yang besar yang akan berlaku. Bukit-bukau dan gunung-ganang yang tercabut dari pasak dan diterbalikkan, bumi yang terbungkas keluar segala isi perutnya, langit yang jatuh bertimpa-timpa, air laut yang membuak-buak menganas, Matahari yang akan meletus dan mengeluarkan percikan-percikan lahar dan api yang amat panas menimpa, bintang-bintang yang jatuh berguguran dan timpa menimpa dengan letupan kuat yang maha dahsyat dan sebagainya.

Bersedia?...

Apakah kita masih belum bersedia untuk memperhatikan satu-persatu kejadian dan bersedia menerima 'Berita besar' sepertimana yang telah digambarkan oleh Allah?

Kita masih ada masa untuk mengatur dan memperbaiki segala tindakan dan kejahilan kita berhubung dengan soalan-soalan kehidupan kita ini.

Hanya kepada Allah sahaja tempat kita kembali dan bertaubat di atas kealpaan dan kederhakaan diri kita kepadanya.

Wallahu 'alam

Sekian

abuzorief @ Kulim
18/6/2013, selasa 5.30pm

Monday, 10 June 2013

Penyakit Minamata





Telah berlangsung Mesyuarat Agung Daerah, Pertubuhan IKRAM Seberang Perai Tengah buat kali keempat di Pejabat IKRAM Pulau Pinang pada hari Sabtu bertarikh 8/6/2013. MAD ini adalah Muktamar Tahunan untuk ahli IKRAM SPT. 

MAD ini juga sebagai medan untuk mengaudit, muhasabah segala aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang setahun yang lepas, check and balance di atas segala perancangan setahun yang lalu, meneliti, membaik-pulih kecacatan yang ada, menekuni tarbiah dan dakwah serta kebajikan ahli, masyarakat dan sebagainya.

MAD SPT ini juga adalah kehadiran saya yang pertama sejak penubuhannya pada tahun 2010. Ketika itu saya berada di UK. Cuma masa dan suasana sahaja yang berlainan, sedangkan saya juga turut menghadiri majlis seumpama ini disana untuk beberapa tahun bersama para aktivis dan pelajar. 

Aktivisma dan halatuju yang sama memungkinkan kita semua bergerak seiring untuk melaksanakan agenda ummah dan masyarakat, Dakwah, Tarbiah dan kebajikan bersama. Sesungguhnya kita semua diajar dengan mengikhlaskan niat dan hati sepertimana sabda Arrasul SAW di dalam hadisnya yang pertama di dalam Hadis 40 Imam Nawawi. Itu adalah asas yang utama apabila berjamaah atau bekerja secara kolektif.

Minamata desease

Mencoret kembali apa yang menjadi topik utama ucapan YDP SPT tentang semangat ukhuwwah sesama ahli untuk melonjakkan Misi dan Visi IKRAM yang mana kita baharu saja selesai fasa memimpin ummah dan kini kerja utama selepasnya adalah memimpin masyarakat yang dikira sebagai satu kerja yang menyeluruh dalam aspek kehidupan bermasyarakat. Siapa lagi kalau ahli IKRAM. Misi dan Visi IKRAM ialah untuk memartabatkan dan mendaulatkan syariat Islam di Malaysia ini.

Usaha ini perlukan consistency atau istiqamah dan kerja berjamaah. Bukannya faktor usia, larat atau tidak, penat atau tidak, sibuk atau tidak tetapi satu usaha pengemblengan tenaga tua dan muda, sehat atau lelah, pakar atau sumbang-saran idea, semuanya diharapkan bersatu untuk merealisasikan misi dan visi tersebut.

Muhasabah

Perancangan akan dianggap gagal sekiranya output atau natijah dari perancangan itu tidak membuahkan hasil.  Amal Jamai'e tidak dihadamkan dengan betul di dalam melaksanakan sesuatu yang telah disyurakan. Hasil kerja yang mengecewakan, sedangkan masyarakat mengharapkan kepimpinan cekap dan diteladani.

Muhasabah dari YDP SPT, yang cukup baik sekali ditengah-tengah kekalutan dan keasyikan atau mungkin kealpaan kita semua di dalam melaksanakan Dakwah, Tarbiah dan kebajikan di dalam masyarakat. Barangkali, semangat ukhuwwah itulah neracanya. Sikap menyalahkan orang lain perlu dihindari dan dijauhi.
  • Apakah tarbiah zatiyah diri itu tidak berkesan selama ini? 
  • Ataukah pengertian ukhuwwah itu belum difahami dengan jiwa yang suci, mengadap rabul Jalil?
  • Atau sedikit terleka dan terkeluar dari roh Tarbiah yang diharapkan?
  • Benarkah kita serius dengan kerja buat kita untuk agama Allah ini?
  • Atau sekadar bepersatuan?
  • Atau mengisi lapang?
  • Atau, lupa kita ini berjamaah?
Biarlah Minamata Desease itu mejadi  igauan kita semua, tetapi jangan menjadikan D&T kita ini cacat dan salah tingkah-lakunya di dalam Jamaah, yang mana memungkin Jamaah itu runtuh dan ranap kerananya.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.[Al-Hujurat 49: 11]

D&T

Dakwah dan Tarbiah mestilah dilaksanakan bersama-sama ahli dengan hati dan niat yang ikhlas, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran pahala yang besar dari Allah SWT. Sekiranya perselisihan dan pertelingkahan sesama sendiri, maka akibatnya lebih besar kepada Jamaah, D&T itu. Masakan untuk memimpin masyarakat, sedangkan agen-agen Islah itu sendiri di dalam keadaan 'sakit' yang perlu diubati.

Dakwah dan tarbiah adalah elemen yang tidak dapat dipisahkan di dalam proses mendidik, membimbing, memantau, mengubah dan mengislahkan diri dan masyarakat. Ia perlu dilaksanakan secara berhikmah dan pengurusan secara sistematik. 

Keperluan tarbiah dan dakwah menjadi penting untuk IKRAM merealisasikan di dalam usaha untuk melaksanakan dan mendaulatkan syariat Islam di Negara Malaysia.

Dakwah dan tarbiah mestilah menjadi sebati di dalam kehidupan seharian ahli IKRAM, kerana ia adalah tugas dan tanggungjawab ke atas seorang Muslim yang bergelar Da'i di jalan Allah SWT.


(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.[At-Taubah 9:20]

Hasrat

Oleh itu, usaha yang bersungguh-sungguh ke arah merealisasikan hasrat itu perlulah dilakukan oleh semua ahli tanpa mengira peringkat, lelaki atau wanita, aulad atau remaja atau belia, institusi atau agensi atau sebagainya. Penglibatan ahli secara serius dan menyeluruh akan merancakkan program dan keberkesanan dakwah dan tarbiah sepertimana yang telah digariskan di dalam plan strategic IKRAM SPT. 

Berikut adalah kata-kata Ust. Hasanuddin Mohd Yunus, YDP IKRAM Selangor “Tahun 2020 semakin hampir. Apakah pengurusan minda dan amal kita memadai untuk zaman itu” 

Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak dari masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya, (antara 10 wasiat Imam Hasan Al-Banna).

Sekian, pandangan kerdil seorang ahli IKRAM SPT

Wassalam

Nota:
[1] http://en.wikipedia.org/wiki/Minamata_disease
[2] Laporan Tarbiah MAD SPT 2013
[3] Tafsir Al-Quran
[4] D&T : Dakwah dan Tarbiah
[5] SPT : Seberang Perai Tengah

[6] YDP : Yang Di Pertua

abuzorief @ seberang jaya
8/6/2013, sabtu
MAD IKRAM SPT