Pages

Tuesday 4 November 2014

Hidup kita siapa yang mengaturnya?...


Semalam telah merancang untuk bersarapan nasi lemak di awal pagi esoknya pada pukul 7.00 pagi, tetapi di awal pagi ini terlewat sepertimana masa yang diinginkan, dan telah bertukar pula menu kepada roti canai. Semalam si isteri kata hendak masak gulai ayam, tetapi hari ini bertukar pula dengan masak lemak ayam bercili. Sekaligus, niat, keinginan, fikiran dan kelakuan semalam secara otomatiknya terbatal.

Celik sahaja mata kita dari tidur sejak semalam, telah ada agenda kehidupan seharian yang akan ditempuh. Berbagai aktiviti harian telah difikirkan oleh kita, hendak buat itu dan ini. Adakalanya apa yang dirancang seharian tidak menjadi, bahkan bertukar agenda dari apa yang dirancangkan.

Nah!, Siapa boleh menyangka bahawa set kehidupan kita setiap hari itu bukan kita yang menentukan. Nampak semacam kita yang mengaturnya, tetapi tidak semuanya sama seperti yang telah diaturkan.

Siapakah yang telah mengaturkan semua ini?...

bersambung...

abuzorief @ kulim
4/11/2014, selasa
11 muharram 1436

Sunday 19 October 2014

Sempitnya hidup...



Saya cuba mengagahkan diri untuk mendengar cerita sahabat saya tentang masalah kewangan yang melanda diri dan keluarganya. Sekurang-kurangnya, dengan cara ini, mampu serba sedikit meghilangkan tekanan dan kerunsingan yang dihadapinya. Kehidupan sekarang ini semuanya memerlukan wang ringgit, dari duit untuk membesarkan anak-anak, pakaian dan keperluan harian, pendidikan anak-anak , hendak memulakan kerja, sewa rumah dan sebagainya. Wang ringgit adalah segalanya. Realiti kehidupan kini memang tertekan dan tercabar sekiranya kita tidak mempunyainya untuk menbiayai perkara-perkara tersebut.


Setiap butiran cerita itu mampu mengenangkan air mata saya dan mmembasahi kelopak mata. Itulah nama takdir bagi kamu. Allah menyayangi kamu dari yang lain. Pilihan Allah itu sangat tepat sebagai pilihan hambanya yang disayangi. Memang ujian itu berat kepada hambanya yang disayangi. Bukan ujian rekaan, tetapi ujian yang akan dibayar dengan ganjaran yang besar iaitu Syurga.

Namun, yang menjadi persoalan itu, apakah ia mampu bertahan dan terus bertahan? Apakah hati dan tindakan itu terus istiqamah, setia dan taat melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangnya?

Ujian yang berat dan hebat itu hanya untuk hambanya yang mempunyai ketaatan yang kental dan 'degil' untuk terus setia kepadaNya. Ujian yang ringan itu untuk mendidik hambanya supaya tidak goyah untuk menyembahNya.

Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah, dan mampu bertahan dengan setiap ujian yang mendatang.

Sekian...

abuzorief @ kulim
15/10/14 khamis
nasr 1000

Friday 3 October 2014

Aku dan Longkang Bowling


Minggu ini amatlah penat dan terasa keletihan. Sengal-sengal badan masih terasa selepas menghadiri Mukhayyam atau perkhemahan hujung minggu lepas.

Hari Rabu malamnya pula, berkesempatan untuk bermain bowling dengan niat untuk beriadah bersama keluarga dan sahabat handai.

Alhamdulillah, tujuannya hanya satu iaitu mengeratkan ikatan kekeluargaan dan semangat ukhuwwah di antara satu sama lain.

Kalau hendak diikutkan lelah dan payah, hanya bermain bowling ikut sedap kekuatan sahaja. Tidak ada terlintas untuk bermain untuk mencabar di antara satu sama lain. Lagi pun aku bukanlah terror sangat bermain mainan ini.

Setiap kali aku baling bola bersaiz 13, setiap kali itulah bola akan meluru ketepi kiri atau kanan dan sudah pasti terbabas terus ke longkang.  Itulah kecekapan orang yang 'pro' seperti aku, haha.... Nah!, lebih banyak yang terbabas ke longkang dari mengenai sasaran atau strike.

Halatuju...

Dalam sesuatu titik kehidupan, pasti kita mahu lakukan perkara-perkara atau pekerjaan yang terbaik dan mampu memuaskan hati sendiri dan orang lain. Maka, kita akan pastikan setiap kerja atau perkara itu diteliti, dicermati, dihalusi dan dinilai beberapa kali sebelum diteruskan (running process).

Kerja buat itu tidak dilakukan secara cincai atau halai-balai atau sambil-lewa. Kerana hasilnya, sudah pasti tidak akan memuaskan hati sendiri mahupun pada orang lain yang akan mengambil manfaat daripadanya.

Pendekatan...

Untuk memastikan kita terus berjaya, mestilah fokus dan memberikan 100% penumpuan. Kerja yang berperancangan dan 'disuntik' dengan semangat, Insya Allah akan memberikan ruang-ruang kejayaan.

Berpasukan...

Melakukan kerja secara berpasukan atau amal jamaie lebih menguntungkan dari melakukan berseorangan. Kerja pun mampu disiapkan dengan segera dan tidak tidak membebankan. Pasukan pun mestilah yang bertanggungjawab.

Wallahu 'alam...

abuzorief @ kulim
3/10/2014

Monday 1 September 2014

Merdeka lahirnya sebuah cinta...


Merdeka itu rahmat
Merdeka itu satu kalimat
Merdeka itu keramat
Merdeka itu selamat...

Alhamdulillah...
Terbangun jiwa merdeka
Hati teguh jasad satria
Agama ditahta
Negara dijaga
Bangsa dibela

Nauzubillah...
Bukan seorang derhaka
Bukan seorang boneka
Bukan seorang yang alpa
Bukan seorang yang leka
Bukan seorang yang dusta

Kemerdekaan bukan bangunnya pagi lambat
Malah bukan kerjanya dihambat
Kerjanya teratur dan tepat
Baginya masa terlalu cepat
Tanggungjawab dan amanah sebagai sifat
Khianati adalah perbuatan laknat...


Kemerdekaan bukan malasnya solat
Dan bukan culasnya beramal ibadat
Dosa mungkar segera bertaubat
Patuhnya kepada Tuhan itulah taat
Sentiasa tekun melaksana Syariat
Kerna faham makna hakikat
Dalam 'diri' sempurnanya ma'rifat...

Lahir kemerdekaan tiada perhambaan
Kejadian Tuhan ujud keseimbangan
Tuhan satu tiada bandingan
Layak disembah setiap ciptaan...

abuzorief @ gold course klang
30/8/2014 sabtu
muktamar tarbawi nasional 2014

Monday 25 August 2014

Bahagialah anak didik Syeikh Ahmad Yassin...


Tembak sana...
Meletup sini...
Desingan peluru M16 tepat dibidik
Tembus ke kepala dan dada

Anak kecil, lelaki dan perempuan
Semuanya tidak berdosa
Pada siapa mereka mahu meminta
Adakah pada kalian?

Haha, Haha, Haha...

Warga dunia masih tidur lena
Jiran tetangga sepi tidak terduga
Jeritlah sekuat mana...
Apakan daya
Semua tidak bermaya

Malam siang tiada lagi kehidupan
Hanya menanti kematian sahaja
Esok lusa entah bagaimana...
Kais pagi makan pagi entahkan ada,
Sasaran peluru sudah pasti tersedia..

Letupan meriam menjerit ngeri
Anak kecil sudah mengerti
Kerna itulah kehidupan setiap hari
Tiada lagi masa bermanja diri

Wahai pemuda, wahai pemudi Palestin
Bahagialah anak didik Syeikh Ahmad Yassin
Teruslah menjadi benteng Addin

Kerana...
Hidup mulia mati syahid

abuzorief @ sg siputeh
sg bayor, selama perak
23/8/2014 sabtu
MATA 2014 
(22-24 ogos 2014)

Tuesday 5 August 2014

Apakah boikot sampai ke matlamatnya?...


Alhamdulillah kesan boikot ke atas barang-barang kepunyaan Syarikat yang menyokong Zionist Israel telah menampakkan hasilnya. Kalau mereka secara terang-terangan menyokong Zionist, maka kita juga mesti terang-terangan memboikot mereka. Timbulkan rasa sensitiviti dan kemarahan kita secara terbuka.

Walaupun, kita melawan mereka bukan dengan peluru dan senjata tetapi kita mesti memaksa diri kita dengan melawan hawa nafsu kita untuk tidak membeli barang-barang yang banyak menyokong Zionist Israel semata-mata untuk membunuh dan menzalimi rakyat Palestin dan lainnya. Ini isu keadilan dan hak kemanusiaan. Banyak mangsa kematian dan kecederaan itu terdiri daripada anak-anak kecil, wanita, orang tua dan mereka yang tidak bersenjata.

Setiap diri kita mesti disedarkan dengan setiap tindakan dan apakah kesannya tindakan yang kita lakukan. Setiap tindakan itu mestilah ada hadaf (tujuan) dan awlawiyyat (keutamaan). Terutama tindakan yang kita lakukan itu ada kaitannya dengan kezaliman dan pembunuhan.

Saya bersyukur sangat kerana masyarakat Malaysia kini sudah sedar dan semakin ramai yang menyokong usaha memboikot ini. Kalau dulunya usaha ini diperlekehkan dan dipandang sebelah mata sahaja, kini seluruh dunia telah bangun menyatakan kebersamaan mereka. Sekarang bukan lagi isu agama tetapi isu kemanusian dan hak kemanusiaan sejagat.

Syukur, saya membesarkan anak-anak saya dengan tidak memberi mereka makan McD, tidak memenuhi rumah saya dengan produk Nestle, tidak memenuhi peti sejuk dengan Coca-Cola atau Pepsi atau produk yang ada kaitan dengan menyokong Zionist. Anak-anak saya tidak menjadi orang 'gila' kerana tidak dapat makan makanan yang berjenama tersebut.

Walaupun produk itu halal tetapi saya telah 'mengharamkan' setiap pembelian produk, sebelum saya berumahtangga lagi kerana saya sedar bahawa syarikat-syarikat itu telah banyak menghancurkan nilai-nilai dan hak-hak kemanusiaan yang hakikatnya semua manusia mengimpikan keamanan dan keadilan.


Cukuplah dengan apa yang Zionist telah lakukan ke atas rakyat Palestin. Sudah lama mereka menderita dan bertahan di atas tanah mereka sehingga sekarang. Mereka berjuang di atas tanah dan halaman sendiri, mempertahankan negara, kedaulatan tanahair, mempertahankan kesucian agama, tempat lahir dan dibesarkan dan lainnya adalah tanggungjawab, tetapi mereka pula digelar sebagai penjenayah, terrorist dan sebagainya di dalam negara dan tanahair sendiri.

Sesungguhnya Palestin adalah 'guru' kepada kita, kerana mereka 'mengajar' kita untuk mempertahankan kemuliaan dan kemerdekaan diri, sedangkan kita yang melihat mereka masih terjajah dan kalah kerana terbelenggu dengan hawa nafsu dan ego sendiri.

bersambung...

abuzorief @ kulim
5/8/2014 selasa

Monday 12 May 2014

Fobia diuji...


Benar-benar saya terasa apabila perkara-perkara yang selalu saya cakap, nasihati, atau bagi peringatan pada orang lain itu akan berpatah balik kepada saya yang bercakap. Kalau bercakap tentang kesihatan, maka akan diuji oleh Allah dengan kesakitan. Kalau bercakap tentang kesabaran , maka datanglah ujian yang akan menyebabkan saya naik berang dan 'panas'. Kalau bercakap tentang  sikap menderma atau sedekah, maka diuji oleh Allah berkaitan dengan kewangan. Dugaan orang yang hendak meminjam duit walaupun duit tersebut hanya memadai untuk perbelanjaan harian diri dan keluarga atau duit itu telah dirancang untuk digunakan untuk tujuan itu dan ini. Barangkali duit itu bukan bahagian saya, mungkin itulah bahagian dia, seperti yang telah ditakdirkan akan sukatannya oleh Allah SWT.

Jangan pandai bercakap sahaja...

Fobia...

Terasa 'fobia' pula hendak bercakap perkara-perkara yang berkenaan. Takut diuji dengan ujian yang tidak mampu untuk ditanggung, walaupun Allah hanya menguji mengikut tahap kemampuan seseorang. Memang terasa berat untuk menghadapinya. Terasa lelah yang amat sangat.

Hanya kepadaMu ya Allah aku berserah dan bertawakkal.

Perkhabaran yang telah disampaikan itu pasti ada ujian yang datang melanda. Berat atau ringan itu di luar pengetahuan kita. Tidak boleh dielakkan lagi.

Hanya dengan sabar dan ikhlas sahaja mampu memberikan ketenteraman pada diri.

Berteori?...
 
Berteori sahaja belum lagi memadai, Hebat macamana pun kita berbicara, belum tentu lagi dikategorikan sebagai hebat. Teorinya mesti lengkap dengan praktikalnya. Maksudnya mestilah terlebih dahulu melalui ujian dan dugaan. Ada pengalaman yang akan dijadikan neraca timbangan kepada setiap pertuturan itu.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. [As-Soff 61:2-3]

Bahkan untuk mengelakkan diri dari kemurkaan Allah tentang apa yang telah kita perkatakan, maka semestinya kitalah yang mendahuluinya. Baik dari segi percakapan, perbuatan mahupun apa saja tindakan lahiriyah ataupun batiniyah supaya terhindar dari kemurkaan Allah.

Allah maha Mengetahui dan mendengar segala sesuatu

Semoga dengan dugaan itulah yang akan membuka atau menjadi jalan keluar kepada segala dugaan tersebut.

Sekian

abuzorief @ kulim
nama kawanku nasir (pertolongan)
12/5/2014 isnin
9.00am

Thursday 8 May 2014

Bebal...


"Dah banyak kali cakap, pun masih buat salah lagi, benda yang sama juga diulang, penat cakaplah"

"Entah berapa kali dah cakap, apakah masuk telinga kanan lepas itu keluar telinga kanan juga?, kalau masuk teliga kanan keluar telinga kiri, sekurang-kurangnya lekat juga kalau tak banyak sikit!"

"Dah besar panjang, tak faham-faham, bahasa apa lagi aku nak cakap"

Maka perkataan yang terakhir akan keluar...

"Memang bebal sungguh"

Wallahu 'alam

Tambah menyakitkan hati, sekiranya kita sentiasa berulang-ulang kali cakap, menegur, menasihati tetapi tetap juga si polan itu membuat kesalahan yang tidak sepatutnya diulang.

Teruslah bercakap...

Bercakaplah banyak kali, nasihatilah banyak kali dan jangan berputus asa. Memang itu tabiat manusia yang kita temui. Mungkin kita juga sedemikian, tidak dapat dinafikan dengan kelemahan sebagai insan. Apa yang berlaku itu juga yang akan berlaku pada diri sendiri. Menunjuk ke arah orang lain itu juga sebenarnya menunjuk juga kepada kita.

Luahkan rasa...

Mesti diluahkan rasa tidak puas hati itu supaya ia tidak 'bersarang' di dalam diri, kerana akibatnya ia akan merosakkan diri sendiri, karier dan prestasi diri. Berterus-terang adalah komunikasi yang terbaik bagi menghilangkan kekusutan.


Berdoa...

Apabila berdepan dengan situasi tersebut, bersabarlah dan terus berdoa kepada Allah Taala. Berdoa bukan untuk menghancurkan tetapi meminta dikurniakan ketabahan, kekuatan sabar dan dikurniakan hidayah ke atas kita dan hamba Allah tersebut.

Wallahu 'alam

abuzorief @ kulim
8/5/14 khamis

Monday 5 May 2014

Apa ertinya menumpang...


Semasa saya melalui di setiap lorong yang sempit di antara deretan rumah, saya berfikir alangkah bertuahnya saya kerana bukan saya yang berada di sini. Rumah sekadar untuk berteduh dan insfrastrukturnya tidak terurus. Longkang bertakung dan menjadi sarang biak berbagai serangga berbahaya. Rumah yang hampir rebah 'bertumpang dagu' kerana itulah satu-satunya tempat untuk berteduh dari siang dan malam, panas terik dan hujan, tempat berehat seadanya.

Bukannya semua rumah yang mereka tinggal itu milik sendiri, tetapi ada yang menyewa walaupun keadaan rumah sewa yang mereka sewa itu juga begitu dhoif. Ertinya, yang menyewakan rumah itu juga hidup kesempitan. Malah ada di antara mereka itu pula berpenyakit kronik yang memerlukan rawatan yang tidak kurang mahalnya.

Dimanakah mereka hendak memperolehi kesenangan?

Apa ertinya hidup...

Membuat kerja amal kebajikan banyak mengajar erti hidup yang lebih bermakna di dalam diri. Kerana ia mampu melahirkan rasa insaf, tidak sombong dengan kelebihan yang ada, tidak kedekut untuk memberi sama ada harta benda, wang ringgit atau tenaga kudrat yang ada malah menghabiskan masa-masa itu untuk merancang dan menyusun gerak-kerja supaya ia lebih berstrategik.

Memberi itu banyak keberkatan dari Allah Taala. Dengan memberi kita meringankan beban kesempitan dan kesusahan yang ditanggung oleh mereka yang kurang berkemampuan. Memberi kepada yang memerlukan akan melembutkan hati supaya tidak bersifat sombong dan bakhil. Memberi menanamkan pada diri kita semangat ukhuwwah kerana Allah Taala. Memberi akan mengingatkan kita di atas sifat kasih dan sayang Allah. Kita yang mempunyai kelebihan dari perbagai sudut nikmat adalah untuk melengkapi rantaian-rantaian hidup di antara satu sama lain (compliment each other).

Kenapa kita tidak mahu berlumba-lumba di dalam mencari kebaikan dan pahala sepertimana yang dijanjikan oleh Allah Taala?

bersambung...

abuzorief @ kg manis perai
semarak mahabbah kg manis
4/5/2014 ahad 
9.00am-12.00pm


Tuesday 29 April 2014

Orang luar-biasa?


Apakah tarbiah itu hanya tempelan dan bagi orang yang mahukannya separuh masa sahaja? Bila senang kita ikut, dan kalau kita sibuk atau jemu kita tinggalkan sahaja?

Segera...

Langsung tidak akan bersabar dengan jangka masa yang panjang, cepat bosan dan tidak boleh tunggu lama. Kalau boleh tarbiyah itu mahu dengan hasil yang segera. Hari ini usrah esok terus jadi orang hebat. Hari ini usrah, esok sudah boleh jadi 'penglipur-lara'. Hari ini usrah esok boleh jadi celebriti pujaan ramai. Hari ini usrah esok boleh masuk TV. Hari ini usrah esok boleh jadi ustaz. Seolah-olahnya usrah atau medan tarbiyah yang lain itu medan akademik atau 'pemproses mee segera' yang ada jangka-masa graduannya.

Orang luarbiasa?...

Tarbiyah yang dicermati prosesnya adalah tarbiyah yang mampu membina dan membentuk seseorang dari 'orang biasa' kepada orang 'luar-biasa'. Tarbiyah yang ada skema penilaian keatasnya. Penilaian itu bukan atas penilaian dari kaca mata kasar orang yang melihatnya, tetapi dari hasil pembentukkan Al-Quran dan Sunnah. Orang itu bukan sahaja semata-mata hebat ilmunya tetapi zatiyah diri rabbaniah yang terbentuk itu dari sibghah Allah Taala. Orang luar-biasa ini memang pelik orangnya. Kerana, jiwa dan hartanya banyak 'diserahkan' kepada Allah dan RasulNya terlebih dahulu dari kepentingan diri sendiri.

Apakah kita termasuk di dalam kategori orang luar-biasa ini?

bersambung...

abuzorief @ kulim
29/4/2014 selasa

Thursday 24 April 2014

Kosong?


Seperkara yang tidak pernah terlintas di dalam perancangan hidup saya sejak dari kecil dan malahan, tidak sama sekali terbayang pula saya untuk melibatkan diri di dalam mana-mana Jamaah Islam.

Kosong...

Apa yang saya ketahui dan fahami ketika itu hanya beramal ibadat sebagai 'adat kebiasaan' yang perbuatannya diikuti melalui didikan orang tua-tua turun-temurun dan ikutan masyarakat ramai. Maklum,  ia sudah menjadi amal kebiasaan sejak dahulu-kala. Itulah kefahaman tipis saya ketika dahulu.

Alhamdulillah dengan berbekalkan ilmu yang sedikit saban hari, kefahaman yang tidak seberapa itu kian bertambah memenuhi ruang 'dada'.

Itulah corak kefahaman biasa ke atas kehidupan ini. Beragama Islam kerana ibu-bapa adalah beragama Islam. Kerana di dalam surat beranak dan Kad Pengenalan diakui secara bertulis sebagai beragama Islam.



Bersama Jamaah

Mengenal Islam sahaja belum memadai tanpa melaksanakan segala keperluan dan tanggungjawab terhadapnya. Mengenal Islam sahaja tanpa beramal untuknya diibaratkan seperti sebuah kereta mewah yang disimpan tetapi tidak diguna-pakai atau dipandu-uji. Hanya megah dimulut pemiliknya bertutur mengenainya tetapi tidak lebih sebagai 'besi tersimpan' yang tidak dapat dimanfaatkan ke atasnya. Kereta yang baik semestinya bermanfaat kepada pemiliknya dan orang sekelilingnya juga.

Untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim sudah pasti memerlukan platform untuk bekerja untuknya. Malah, lebih efektif apabila bersama-sama dengan Jamaah Islam pasti kerja untuknya semakin mudah. Kerana ia juga sebagai salah satu jalan untuk merealisasikan segala keperluan Islam itu sendiri. Bahkan, ia juga adalah jalan-jalan sunnah yang paling utama yang telah diajarkan dan telah dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW.

Sedikit?...

Benarlah, hanya golongan yang sedikit itu sahaja adalah golongan pilihan Allah yang mana mereka lebih ikhlas melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya. Mereka tetap istiqamah apabila bertembung dengan fitnah, kezaliman, mehnah (ujian) dengan sabar dan thabat di atas jalan Allah.

Sejauh manakah keikhlasan?

Siapakah yang lebih ikhlasnya di dalam melakukan amal?.

Tiada siapa yang tahu melainkan sipelaku amal itu sahaja yang tahu isi hatinya sendiri. Orang lain di sana hanya mampu menilai dari tindakan luarannya sahaja. Tetapi percayalah bahawa Allah sahaja yang layak menilai dan maha mengetahui atas setiap perbuatan amal yang kita lakukan.

bersambung...

abuzorief @ kulim
24/4/2014 khamis

Wednesday 5 March 2014

Husnul Khatimah vs Suul Khatimah


Setiap kali mendengar berita kematian, maka setiap kali itulah disusuli dengan cerita sebab musabab kematian dan cara pengakhiran kematian tersebut. Kita yang hidup ini menjadi sedikit 'kepo'. Mungkinkah, sama ada di akhiri dengan pengakhiran yang baik (husnul khatimah) ataupun dengan pengakhiran yang buruk (suul khatimah). Bagi setengah kita percaya bilamana mati di masjid, di hari Jumaat, ketika sujud atau di dalam solat atau ketika mengaji atau mendengar ilmu agama adalah tanda-tanda pengakhiran yang baik. Kalau mati ditempat-tempat maksiat, di tandas atau ditempat-tempat kurang disenangi maka telahannya itu sudah pasti dengan pengakhiran yang buruk. Namun, semua kita pasti mahukan pengakhiran yang baik.

Bagaimana?

Bagaimana kalau Allah takdirkan seorang itu mati ditempat maksiat ketika mana dia sedang berdakwah? Cerita dibibir mulut orang itu tetap akan sama, "Eh! eh!, tengok mati ditempat maksiat"

Dan bagaimana pula kalau Allah takdirkan si pelaku maksiat yang tidak pernah bertaubat itu mati di dalam masjid, sedangkan di hatinya tidak tergerakkan untuk melakukan solat dan ibadah yang lain? Sudah tentulah ceritanya adalah baik-baik belaka."Eh! untungnya si Polan tu"

Itulah persepsi orang ramai. Yang dinilai dan dilihat belum tentu jelas kebenarannya. Hanya Allah yang maha mengetahui dan berserahlah kepadaNya.

Muhasabah?

Tetapi kita yang masih hidup ini, belum tentu kita serius dengan hal-hal kematian.Walaupun saban hari berita kematian itu di depan mata, belum tentu tersentuh hati kita untuk mengambil iktibar dan muhasabah. Bagi kita kehidupan ini masih jauh dan panjang. Kerana, secara fizikalnya kita beranggapan bahawa sehat dan tidak berpenyakit itu tandanya umur masih panjang dan ada harapan untuk hidup lebih lama.

Apakah beralasan itu hanya utnuk menyedapkan mulut dan perasaan kita sahaja. Atau untuk melarikan sebentar soal-soal kematian yang dirasakan ianya masih belum tiba.

Bagi kita yang sedar samada di usia muda ataupun tua pasti soal-soal kematian itu cukup merunsingkan kita. Kerana, persoalannya, sudah banyakkah amalan baik itu telah dikumpul? Sudah cukupkah bekalan untuk dibawa ke alam akhirat sana? Pastikah amalan sepanjang kehidupan ini diterima Allah? Apakah balasan akhir itu Syurga atau Neraka?

Terus berusaha

Di dalam kitab Al-Hikam Ibn Atta'illah Al-Sakandari mengungkapkan bahawa perjalanan menuju Allah (Salik) itu hendaklah dimulai dengan niat yang ikhlas, kemudian mengerjakan amalan-amalan ibadah kerana dengan amalan-amalan tersebut nescaya akan membuka cahaya hati untuk menerima segala perintah Allah Taala.

Semua persoalan itu hanya mampu kita jawap dengan rasional, iman dan sepenuh ketaqwaan kita kepada Allah Taala. Berusahalah melaksanakan sebanyak mungkin sedaya upaya untuk menjadi hamba Allah yang terus 'sujud' dan menyembahnya setiap detik dan ketika. Semoga Allah Taala mengampuni dosa kita dan menaungi kita dengan kasih sayang dan rahmatNya. Aamien

abuzorief @ kulim
5/3/2014 rabu


Monday 17 February 2014

Apa masalahnya Islam di mata mereka?


Saban hari, ada sahaja isu baru mengenai perselisihan faham di antara orang Islam dengan bukan Islam. Puncanya kecil dan merebak menjadi besar dan mengundang banyak masalah di antara dua pihak. Perasaan hilang sabar telah menyebabkan kesusahan di semua pihak. Yang melakukan onar itu hanyalah segolongan kecil dan mereka adalah penabur fitnah dan pencetus kepada kekacauan. Masing-masing dengan ego masing-masing. Tidak mahu mengalah dan cuba melaga-lagakan antara satu sama lain. Mungkin mereka ada agenda yang tersendiri, atau tebalnya perasaan perkauman, atau salah faham terhadap pembawaan agama sehingga merosakkan kesucian agama masing-masing.

Tertindas

Lihatlah apa yang berlaku di sekeliling kita, dunia kita, rata-rata umat Islam dihina, ditindas, dizalimi dengan sebab mereka berlainan agama dan corak kehidupan yang berbeza (bersosial di dalam skop syarak, tiada minuman keras, tiada zina dan sebagainya...) dengan lain maksud tidak mahu mengikut telunjuk mereka dan lebih memberi perhatian kepadapenyembahan tuhan yang satu.Tetapi apa yang berlaku, mereka dijajah, didera, disembelih dan diperlaku semacam binatang.

Siapakah yang telah memulakan dahulu segala penderaan dan pembunuhan ini?
  • Apakah yang terjadi terhadap umat Islam di Palestine yang dibantai oleh puak Zionist Yahudi dan hanya dipandang sepi oleh negara dunia?
  • Apakah nasib umat Islam di bumi Afganistan yang tidak putus-putus dijajah oleh negara besar Amerika selepas peperangan dengan Soviet Russia dan tidak mendapat pembelaan?
  • Nasib umat Islam sunni di Syria diperlakukan dengan kejam oleh puak Syiah dan Kerajaan Basyar Asaad dan dunia hanya memerhati sahaja.
  • Umat Islam di Iraq di bunuh saban hari oleh puak-puak syiah setelah dirosakkan negara itu oleh Amerika
  • Nasib umat Islam Rohingya di Myanmar dibunuh oleh puak-puak Buddha
  • Nasib umat Islam di Selatan Thailand
  • Nasib umat Islam di Kyasmir Utara India
  • Nasib umat Islam di selatan Filipina
  • Umat Islam di Negara Perancis dinafikan hak berpakaian untuk menutup aurat.
  • Di Chechen dan terkait dengannya...
  • Terkini, pembunuhan kejam yang berlaku di Afrika Tengah oleh puak-puak extreme Kristian
  • Dan sebagainya...
Semuanya sudah cukup membuktikan yang mana rata-ratanya umat Islam ini telah menjadi sasaran nafsu buas dan jahat oleh manusia yang tidak mahu kepada kesejahteraan dan keamanan serta keadilan sejagat.

Islam itu menyelamatkan

Islam itu menyelamatkan manusia dari sifat perhambaan sesama manusia. Mengajak manusia hanya menyembah tuhan yang satu dan mentadbir alam ini dengan memberi rahmat seluruh alam.

Islam amat menekankan suasana yang aman dan sejahtera, hidup bermuafakat, tolong-menolong, berkasih-sayang dan saling faham-memahami di antara satu sama lain. Islam juga tidak menghalang berpolitik kerana ia juga adalah platform untuk memimpin dan melaksanakan hukum-hakam Islam. Begitu juga dengan pergaulan sosial, kemajuan ekonomi, ketamadunan dan sebagainya.

bersambung.......

Nota:
[1] http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/daging-babi-dilempar-di-masjid-di-pulau-pinang

abuzorief @ kulim
17/2/14 isnin

Monday 27 January 2014

Kalimah Allah lagi


Perbagai pihak tidak senang duduk, menunding jari ke sana sini. Siapa yang salah, siapakah yang betul. Ternyata isu ini masih hangat diperkatakan. Dikhuatiri isu ini dimainkan dan diperhangatkan dengan sentimen perkauman, politik dan salah faham tentang agama Islam.

Gusar

Masing-masing pihak ada kegusarannya terhadap penggunaan kalimah Allah.

Pandangan Orang-orang Islam
  • Dipihak Islam seolah-olahnya orang-orang Kristian telah mencemarkan kesucian Kalimah itu.
  • Bimbang orang-orang Islam terkeliru di antara Al-Quran dan Al-Kitab
  • Orang-orang Islam akan terpengaruh dan menerima agama Kristian
  • Bimbang dengan dakyah Kristian kepada anak dan cucu atau keturunan
Pandangan orang-orang bukan Islam
  • Dikhuatiri juga orang-orang bukan Islam akan menerima Islam dengan kalimah Allah di dalam Kitab mereka
  •  Mereka juga gusar dengan pemahaman kalimah Allah sebagai satu tuhan dan bukannya Allah itu ada anak dan Isteri sepertimana di dalam keyakinan pemahaman Trinity mereka.
  • Menerima Allah itu juga terpaksa akur untuk memperakui Islam sebagai agama yang benar
Test-run...

Namun, mereka juga gusar dan gamble di dalam menguji-lari (test-run) terhadap penggunaan Kalimah Allah ini.

Disebalik itu, mereka juga bersikap positif di dalam kerja dakyah mereka. Bersungguh-sungguh dan tidak putus asa untuk 'bersaing' atau 'confront' dengan Islam. Malah sejak dahulu lagi.

Kita bagaimana pula?...
  • Hanya bising dipinggiran sahaja,
  • Memaki hamun tidak keruan
  • Melatah 
  • Syok sendiri
  • Membela Islam dengan tanpa Ilmu dan ikut perasaan
  • Mengancam dan warning  mereka tanpa akhlak yang terpuji?
  • Menyalahkan kerja dan usaha mereka...
  • Peranan ketua negara?
  • Bertelingkah sesama sendiri di dalam bab hukum-hukum seperti harus, sunat, sah dan batal?
  • Beremosi di dalam bab pakaian jubbah, serban, kain pelikat, songkok dan kopiah?

Kerja part-time?

Tetapi usaha kita hendak mengenengah agama Islam yang mulia ini ditengah-tengah masyarakat amat sedikit, kerja part-time dan hanya pada orang-orang tertentu sahaja. Langsung tidak ambil peduli kepada mereka yang bukan Islam untuk berdakwah. Sedangkan berdakwah pada semua orang oleh setiap orang itu adalah mesti dan menjadi tugas utama apabila berada di dalam negara sekular dan masyarakat berbilang kaum dan agama..

Apakah kita mampu menafikan hak semua orang?

Sedar atau tidak kita mesti berusaha dengan lebih kuat dan berstrategi di dalam berdakwah dan bukannya menyerahkan urusan dakwah pada golongan tertentu.

Agama Islam dikembangkan kepada manusia yang belum menerimanya atau yang telah bersedia untuk menerimannya, bukannya dengan paksaan, ugutan dan kecaman.

Kesungguhan persediaan dan tindakan kita?
  • Memperkukuhkan pemahaman Islam
  • Melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar
  • Mendidik Islam kepada keluarga dan anak-anak sendiri
  • Sentiasa muhasabah diri, keluarga dan anak-anak
  • Berjamaah di dalam berdakwah
  • Meneladani kerja-kerja dakwah Rasulullah, nabi-nabi dan Rasul terdahulu
  • Membaca Al-Quran dan mentaati melalui perbuatan, percakapan, pemikiran dan penerimaan
  • dan sebagai...
Wallahu 'alam

abuzorief @ kulim
27/1/2014 isnin

Thursday 23 January 2014

Dendam




Beberapa hari sebelum ini, saya agak hairan apabila salah seekor ikan tilapia yang dibeli dan dimasukkan di dalam Tupperware (untuk dimasak) boleh hilang begitu saja diwaktu siang. Pada hal pintu belakang rumah terkunci dan tidak ada tanda-tanda kehadiran si kucing. Nak kata kucing yang ambil, tidak mungkin sehinggalah soalan itu terjawab bilamana saya menghidu bau yang kurang enak di bawah peti sejuk dan menjumpai bangkai ikan tersebut.

Sah! memang ini kerja dia...

Semalam saya berjaya membunuh seekor tikus rumah yang agak besar juga terperangkap di dalam tandas. Saya terserempak dengannya di dalam tandas yang kebetulan pintunya berkunci. Memang inilah masa yang saya tunggu-tunggu. Dilibasnya kayu penyapu ke sana-sini sehingga berjaya membunuhnya. Ya!, tikus inilah yang saya lihat berkeliaran di dalam rumah sejak beberapa hari ini. Seekor lagi bernasib baik dan berjaya melarikan diri dan meluru menyorok di dalam 'semak-samun' di dalam bilik stor.

Dendam...

Hari ini saya tidak dapat ONkan computer. Diperiksa suis utama kelihatan OK, tetapi masih tidak boleh ON juga computer tersebut. Dalam hati saya berkata mungkin wayar putus, tetapi apa munasabahnya wayar itu putus sedangkan semalam masih boleh menggunakan computer tersebut. Maka diselongkar sana-sini dan saya pun cuba menarik wayar sambungan (extension) yang dihubung ke computer tersebut.

Naahhhh, Dah sah!, memang ini kerja dia...

Ini kes balas dendam, bukan main-main ni, tahu pula dia nak gerit wayar computer...

Koreksi...

Teringatlah pula untuk saya muhasabah diri sendiri. Kalau binatang pun ada perasaan dendam, inikan pula manusia yang dijadikan oleh Allah Taala dengan kelebihan akal dan perasaan. Manusia mampu melakukan apa sahaja diluar batas kemanusian kerana sifat dendam. Ia lahir dari perasaan tidak puas hati dan setiap perbuatan yang tidak diingini itu mesti di balas.

Kegagalan kita untuk mengawal perasaan dan tindakan itu adalah kerana hawa nafsu yang menguasai diri kita sehingga kita lupa semua pertimbangan baik atau buruk.akibatnya.

Alangkah mulianya akhlak kita sekiranya kita mampu mengawal dan menterjemahkan sifat dendam tersebut melalui tindakan bermaaf-maafan, berbaik sangka dan menyerahkan segala keampunan itu kepada Allah Azzawajalla.

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing dan mereka pula bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayat petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran. Dan mereka diseru: Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan. [Al-Araf 7:43]

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya di atas setiap perkara yang tidak diketahui sebab musababnya atau terlindung atau terhijab dari setiap sesuatu yang tersirat dari yang tersurat.

Wallahu 'alam

abuzorief @ kulim
23/1/2014 khamis

Saturday 18 January 2014

Nota Street Dakwah di Pekan Bukit Mertajam... (3)


Melakukan street dakwah di sini memang banyak kelainan berbanding di negara Barat. Kalau di barat mereka mempunyai sikap untuk mengetahui dan bertanya sekiranya mereka ingin penjelasan lanjut tentang agama Islam. Kebanyakkan mereka berfahaman acnostic atau tiada kepercayaan kepada agama. Agak mudah untuk mendekati mereka untuk berbincang dan bertukar pandangan. Hendak seribu daya, senang atau susah pasti banyak beralasan.

Namun, Non-muslim di sini masih mempunyai pegangan adat dan keagamaan yang kuat, walaupun mereka sendiri bukanlah fanatic extreme kepada agama mereka sendiri. Malah ada juga dikalangan mereka tidak beragama atau agama itu satu halangan hidup untuk mereka. Paling utama, mereka sangat khuatir kehilangan identiti atau status mereka sebagai kaum atau bangsa yang selama ini mereka anuti.

Melayu vs Islam

Pada pandangan mereka Islam itu adalah Melayu atau Melayu itu Islam. Bagi mereka menganut Islam itu akan menjadi Melayu. Melayu pada pandangan mereka sangat negatif, terutamanya dari segi sikap atau perangai. Macam-macam pandangan yang saya dengar seperti malas kerja, lambat, tidak menepati masa, bermain-main semasa kerja, tidak serius dan sebagainya. Itulah bahana yang terpaksa orang Melayu tanggung dik kerana perbuatan sendiri. Siapa yang salah, kita buatlah pengukuran dan penilaian sendiri.

Tetapi yang malangnya, Islam yang indah, harmoni dan syumul itu turut terpalit kerana salah faham tersebut. Mungkinkah salah faham ini masih ada ruang untuk dirungkaikan.

  • Bagaimana harus kita perbetulkan salah faham tersebut? 
  • Melayu yang bagaimanakah yang akan membetulkan imej dan budaya rosak ini di mata mereka?

Tidak ada paksaan dalam agama (islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.[Al-Baqarah 2:256]
 

bersambung?...


abuzorief @ pekan bukit mertajam
14/1/2014 maulidur rasul

Thursday 16 January 2014

Nota Street Dakwah di Pekan Bukit Mertajam... (2)


14/1/14 Maulidur Rasul: Street Dakwah di Pekan Bukit Mertajam
 

SD : Hello good morning Uncle, apa khabar?
UNCLE : Good Morning, ooh ok, ok
 

SD : Sorry ha uncle saya mau ambik masa uncle sikit, uncle tau ka ini hari cuti apa?
UNCLE : Cuti melayulah
 

SD : Ok, (uncle angkat ini brochure), saya mau kasi tau sikit pasal prophet Muhammad, pasai itu Islam maa.. bla-bla-bla
UNCLE : Wa agama kristian, bla-bla-bla... kita semua sama ma itu satu tuhan... bla-bla-bla


SD : Betul uncle (untuk tidak confront dengannya), tapi kalau uncle mahu tau lagi, uncle boleh telefon pejabat saya, cakap sama kawan saya Khaw Lek Ming.
UNCLE : Ok, ok... 

continued...

abuzorief @ pekan bukit mertajam
14/1/14 maulidur rasul

Nota Street Dakwah di Pekan Bukit Mertajam... (1)


14/1/14: Street Dakwah to Indian temple Pekan Bukit Mertajam
 

SD : Hello sorry I stepped on onto you artworks (temple entrance)...
SAMI : So k... today is Pongal day.. bla-bla
 

SD : Oooo happy new year...bla-bla... Sorry, actually we come here... bla-bla-bla, and need you to spend a few minute with us, to explain about Prophet Muhammad, as you know today is Prophet Muhammad holiday, bla-bla... As part of it, we want to convey this message that Prophet Muhammad is for all of us mankinds, bla-bla-bla this brochure about Our Prophet and you can read it bla-bla...and this is some gifts from us..
SAMI : ooo thank you, I also have some gifts for you, pls wait...
 

SD : Ermmm, aaaaaaaaa (facing to each other)
SAMI : Then Mr. Sami bring  out their traditional Indian Ladu and Malay kuih (cucur peneram) mixed with a few unknown Indian Manisan in one tupperware...

SD : We feel guilty to take it or not,... sooo we all take it... bla-bla-bla, thank you very much and may Allah give hidayah and taufiq to him.

continued...

abuzorief @ pekan bukit mertajam
14/1/14 maulidur rasul