Pages

Sunday 8 September 2013

Noktah kemerdekaan



Salam kemerdekaan,

Saya ingin menyentuh beberapa perkara tentang kemerdekaan Negara kita. Bukanlah untuk mencari kesilapan di dalam mencari erti kemerdekaan itu, tetapi mencari titik noktah dimanakah erti kemerdekaan kita sebenarnya.

Dulu dan sekarang sudah tentu banyak perbezaan. Tentang apa yang telah berlaku hanya tinggal sebagai bahan dan bukti sejarah. Kalau berulang pun mungkin suasana dan masa yang berlainan tetapi kesan dan akibatnya tetap serupa untuk dijadikan sebagai pengajaran, pengiktibaran dan pedoman.

Panduan Al-Quran

Bahkan itulah yang telah diperingatkan oleh Allah Taala di dalam wahyu sucinya sepertimana tercatat di dalam naskah Al Quran yang kita baca dan selidiki. Apa yang tercatat tidak sedikit pun dikaitkan dengan tarikh dan waktu secara spesifik tetapi ia tertumpu kepada peringatan, pesanan, pedoman, masa dan suasana kejadian serta akibat kejadian, perintah dan larangan dan suruhan supaya kita semua kembali kepada yang maha pencipta iaitu Allah Azza Wajalla.

Kita mengharapkan bahawa kehidupan yang dilalui itu adalah kehidupan yang terarah di atas landasan yang betul dan sentiasa mendapat petunjuk dari Allah Taala.

Justeru, Allah menyatakan melalui kata-katanya,

Serta keredhaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya.. [Surah At-Taubah 9:72]

Kegembiraan

Kegembiraan kita menyambut kemerdekaan itu hanya pada luaran atau fizikal sahaja. Ia hanya bersifat sementara dan bermusim. Berlalu musim maka berlalulah semangat itu. Apalah sangat dengan kegembiraan yang sementara, kalau maruah diri dan Negara tercalar?. Namun, hati dan perasaan tetap kosong.

Kalau ditanya apakah erti kemerdekaan?
  • Kita merdeka dari dijajah
  • Kita sudah bebas dari penaklukan kuasa asing
  • Kita mampu memerintah Negara sendiri
  • Kita dapat mengadakan perarakan besar-besaran dan berwarna-warni
  • Hari mengibar jalur gemilang
  • Keseronokan menyaksikan letupan bunga api
  • Persembahan dan nyanyian
  • Dan sebagainya
Pada jawapan fizikalnya, barangkali ada benarnya. Tetapi adakah cukup sekadar itu sahaja?. Maka kita pun melaungkan laungan kemerdekaan setiap tahun yang hanya untuk memperingati hari kemerdekaan. Ya!, hanya memperingati hari kemerdekaan sahaja tidak lebih dari itu.

Dicorong radio diputarkan segala lagu kemerdekaan manakala rancangan di TV, ditayangkan cerita-cerita berunsur semangat patriotism. Tujuannya adalah untuk membangkitkan semangat cintakan kepada Negara. Tetapi adakah benar anak-anak pasca-merdeka berubah semangat mereka kepada semangat Patriotisma, sayangkan Negara dan sanggup bekorban untuk negara?.

Saya harap mudah-mudahan mereka semua mempunyai semangat itu.


Peribadi merdeka

Agama Islam benar-benar meletakkan peribadi manusia itu di dalam kemerdekaan. Peribadi yang mempunyai zatiyah diri. Merdeka itu ialah kita benar-benar mengabdikan diri kepada Allah yang maha Esa. Merdeka itu ialah tidak memperhambakan diri kita kepada manusia, harta, kuasa, semata-mata untuk melakukan syirik kepada Allah Taala secara sengaja atau tidak. Bahkan perbuatan keji ini amatlah ditegah.

Mereka yang berada di dalam acuan sibghah Allah sudah pasti akan melihat kemerdekaan itu bukan sahaja kemerdekaan bersifat fizikal sahaja tetapi ia lebih jauh dari itu. Sebab itu kalau difahami betul-betul semangat merdeka itu, diri insan merdeka itu sudah ada padanya persiapan atau persediaan untuk menghadapi ancaman dan seteru kepada kemerdekaan tersebut. Kalau yang datang menjajah itu pasti ada tujuannya selain menjajah. Kalau tanah jajahan yang telah mereka tinggalkan itu pasti sudah ditanamnya doktrin-doktrin yang sealiran dengan cara buat mereka, pemikiran dan perasaan mereka untuk diwarisi oleh manusia yang telah dijajahnya. Mereka juga pasti ada misi dan visi yang kita tidak ketahui dan tersembunyi. Untuk memahami ini, kita mestilah menyelusuri rentetan-rentetan sejarah lampau, apa yang telah berlaku. Bukanlah kejadian itu semata-mata berlaku tanpa bersebab.

Kalaulah peribadi merdeka itu menyanjungi semangat Patriotisma, maka pada fahamannya setelah melalui proses tarbiah itu ialah memahaminya bukan sahaja cinta kepada bangsa dan Negara, tetapi ia mahukan seluruh rakan-rakan dan rakyat jelata tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit turut tersentuh dengan kecantikan Islam melalui usaha dakwah dan pemerintahan Negara berubah corak dari sekularisma kepada sistem dan urus-tadbir yang diredhai oleh Allah Taala.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujurat 49:13]

Ciri-ciri peribadi merdeka

Berikut adalah sebahagian daripada ciri-ciri peribadi merdeka yang digelar sebagai hamba Ar-Rahman sepertimana yang dinyatakan oleh Allah Taala:
  1. Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; [Al-Furqan :63]
  2. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, [Al-Furqan : 64]
  3. Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab Neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan. Sesungguhnya Neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk; [Al-Furqan : 65-66]
  4. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. [Al-Furqan : 67]
  5. Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan; [Al-Furqan : 68-69]
  6. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat; [Al-Furqan : 70-71]
  7. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. [Al-Furqan : 72]
  8. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta. [Al-Furqan : 73]
  9. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. [Al-Furqan : 74]
  10. Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya, Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal. [Al-Furqan : 75-76]
Semoga kemerdekaan itu tidak disia-siakan dengan hiburan lalai dan pengisian kosong yang lagha sehingga menghilangkan identiti peribadi merdeka.

Sekian, wallahu 'alam.

Catatan lepas:
http://abuzorief.blogspot.com/2013/05/ubah-ini-kalilah.html

abuzorief @ kulim
1/9/2013 ahad
merdeka ke-56 tahun
malaysiaku berdaulat,
tanah tumpahnya darahku