Pages

Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

Friday, 23 August 2013

Pendekatan aman kami adalah rahsia kekuatan kami


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarganya, sahabat-sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya.

Sesungguhnya para perampas kuasa dan pembuat kerosakan telah melampau dalam menumpahkan darah rakyat yang tidak berdosa, mencabut roh-roh yang suci tanpa alasan yang benar.

Mereka memekakkan telinga dan membutakan mata daripada mendengar dan memerhatikan ancaman Allah Ta'ala menerusi firman-Nya yang bermaksud:

"... Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…” (Al-Maidah: 32)

Mereka tidak menghiraukan janji Allah yang benar dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (An-Nisaa’: 93)

Mereka buat-buat lupa arahan dan peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya hancurnya dunia ini lebih enteng di sisi Allah daripada membunuh seorang lelaki beriman tanpa hak (tanpa alasan yang benar).”

Para perampas tidak cukup dengan gugurnya ribuan syuhada’, ribuan mangsa disumbat di dalam penjara, malah mereka melakukan pelbagai jenis siksaan ke atas mangsa-mangsa yang ditangkap. Puluhan daripada mangsa diperlakukan dengan cara yang amat keji, terkeluar daripada batas undang-undang, yang menyayat hati setiap makhluk yang hidup dan ada perasaan.

Thaurah secara aman merupakan jihad yang paling besar

Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda maksudnya:

“Jihad yang paling besar ialah perkataan yang hak di hadapan pemerintah yang zalim.”

Dalam satu riwayat lagi, Nabi s.a.w. ditanya: “Yang manakah jihad yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Perkataan yang benar di sisi pemerintah yang zalim.”

Maka, manakah kezaliman ke atas umat, penganiayaan ke atas hamba-hamba Allah lebih besar daripada apa yang dilakukan oleh para perampas dan penumpah darah itu? Kerana itu, mempertahankan kebenaran dalam menghadapi mereka adalah jihad yang paling afdhal sebagaimana dinyatakan dalam Hadis di atas.

Dan itulah yang dilakukan oleh majoriti rakyat Mesir yang berjiwa merdeka, yang keluar di jalan-jalan dan di medan-medan sambil berkata kepada orang yang zalim: Berambuslah kamu! Kamu memang zalim!

Sekiranya umat mendiamkan diri dan tidak keluar, nescaya ia berdosa. Ia diancam kemusnahan dengan sebab sifatnya yang pengecut dan bacul. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Apabila kamu melihat umatku takut untuk berkata kepada orang zalim: “Sesungguhnya kamu benar-benar zalim, maka ucapkanlah selamat tinggal kepada mereka.”

Maksudnya, mereka tidak berguna lagi. Ada atau tidak ada, mereka sama sahaja.

Adapun serangan berdarah yang dilakukan oleh  perampas ke atas penunjuk perasaan secara aman, maka mereka yang terbunuh mendapat darjat penghulu syuhada’ seperti Hamzah bin Abdul Muttalib RA. Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya:

“Penghulu syuhada’ ialah Hamzah, dan orang yang bangkit di hadapan pemerintah yang zalim dan menasihatinya lalu dia dibunuh.”

Maka hendaklah kita mempertahankan pendekatan aman thaurah kita dan gerakan kita. Kita hendaklah berani menyatakan kebenaran di hadapan perampas. Kita teruskan melaksanakan tanggungjawab kita secara aman sehingga Allah realisasikan harapan kita untuk mencapai kebebasan dan kemuliaan.

Sekiranya tangan-tangan perampas membunuh kita, maka kita syahid dan ganjaran kita dijamin oleh Allah. Dialah Pemelihara kita dan Dialah sebaik-baik tempat kita berserah.

Sesungguhnya perampas kini berjalan mengikut jejak langkah Firaun, bahkan lebih teruk lagi. Tujuan mereka ialah untuk menyekat kemaraan para pemuda umumnya dan kebangkitan Islam khususnya. Mereka melakukan provokasi untuk mengheret pemuda melakukan keganasan, meninggalkan cara aman dan terjerumus ke dalam kancah keganasan yang tidak berkesudahan.

Lantaran itu, wajib ke atas kita wahai pendukung thaurah yang berjiwa merdeka daripada semua golongan dan aliran fahaman kebangsaan, jangan beri muka kepada mereka dengan mengikut apa yang mereka mahu. Kita jangan tinggalkan pendekatan kita yang merupakan rahsia kekuatan kita, iaitu pendekatan aman.

Meskipun sebanyak mana pengorbanan yang kita hulurkan, sesungguhnya pendekatan ini lebih afdhal daripada melawan dengan keganasan seperti yang dilakukan oleh perampas yang mabuk darah. Kita yakin, dengan izin Allah, thaurah kita yang aman akan menang mengatasi segala senjata yang mereka gunakan.

Jangan berputus asa kerana putus asa itu bukan daripada akhlak rijal (wira)

Sekiranya ujian bertimpa-timpa, bagi mukmin ujian itu tidak menambah kecuali keyakinan yang lebih utuh, lebih kukuh bahawa dia berada di atas jalan yang benar.

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.” (Al-Ahzab: 22)

Sesungguhnya orang yang membawa risalah kebenaran memahami bahawa harga yang mahal akan dibayar sebagai bukti iman yang benar. Orang yang membawa risalah kebenaran akan memberikan harta, kerehatan, keselesaan dan dirinya.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 155)

Namun dia tidak berputus asa daripada janji Tuhannya. Dia tidak akan menukar aqidah dan pendiriannya.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayat-Nya.” (Al-Baqarah: 156-157)

Demikianlah, mukmin tidak putus harapannya daripada rahmat Allah. Tidak goncang keyakinannya pada pertolongan Allah.

“Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rum: 47)

Kerana ayat ini dan lain-lain lagi kita tidak berputus asa wahai saudaraku yang disayangi. Apa sekalipun yang dilakukan oleh mereka yang zalim; sekiranya mereka tangkap atau bunuh para pemimpin, mereka tidak akan dapat menangkap iman kita atau membunuh fikrah kita kerana kita berhimpun atas dasar risalah dan prinsip bukan atas dasar pemimpin atau individu.

Sekalipun betapa cintanya kita kepada pemimpin kita, betapa kita menghargai perjuangan mereka, kita sanjungi pengorbanan mereka, maka apakah kita takut risalah kita akan lemah atau tersungkur dengan tertangkapnya setengah pemimpin atau syahidnya mereka? Demi Allah, sekali-kali tidak!

Sesungguhnya dakwah kebenaran tidak akan tersungkur dan tidak akan mati selama-lamanya. Bahkan ia dijanjikan kemenangan yang besar selepas mehnah (ujian). Maka berpegang teguhlah wahai saudara-saudara yang merdeka dengan dakwah kamu, dan tetapkan pendirian di atas agama kamu dan prinsip kamu.

Pertahankanlah pendekatan aman kamu, dan yakinlah bahawa pendekatan aman kamu itu lebih kuat daripada peluru mereka. Yakinlah bahawa kemenangan dan keabadian adalah milik mereka yang paling baik akhlaknya dan paling kuat iman serta keyakinannya.

“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d: 17)

Berusahalah bersungguh-sungguh dalam menguatkan hubungan dengan Allah.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang…” (Al-Baqarah:45).

Peliharalah kesatuan kamu. Tumpukan kepada hadaf yang besar bagi gerakan kamu dan jihad kamu, iaitu membebaskan watan dan rakyatnya daripada kehinaan, penindasan dan diktator, serta mengembalikan Thaurah 25 Januari yang agung dengan segala isinya, kemuliaan, kesatuan dan kepuasan. Jangan kamu berputus asa kerana putus asa itu bukan daripada akhlak rijal. Allah bersama kamu dan Dia pasti menolong kamu.

Allahu Akbar. Hidup Thaurah kita yang aman. Hidup Mesir, bebas dan stabil.

Ikhwan Muslimin
Kaherah
14 Syawal 1434H
21 Ogos 2013

Sumber:
[1] ikram.­org.­my
[2] Middle East Monitor : http://www.middleeastmonitor.com/news/africa/7063-muslim-brotherhood-message-peace-and-tolerance-title-of-revolution

Friday, 5 July 2013

IKRAM kecam kudeta Mesir


Kenyataan Akhbar
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
5 Julai 2013
 
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti dengan penuh keprihatinan perkembangan politik yang amat mencemaskan di Mesir. Setelah rakyat bangkit dan mencipta sejarah dengan kejayaan demokrasi di negara bersejarah ini, pihak tentera serta para pembangkang Presiden telah melaksanakan kudeta yang bertentangan dengan semangat demokrasi.

IKRAM mengecam kudeta dan penggulingan seorang Presiden yang dipilih secara sah melalui pilihan raya. Rampasan kuasa jelas menafikan hak dan kemahuan rakyat melalui proses demokrasi dan pilihan raya. Amat mendukacitakan tindakan ini didukung oleh mereka yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan kebebasan. Juga amat dibimbangi rampasan kuasa ini tidak akan berakhir dengan begitu mudah malah Mesir dijangka akan berada dalam keadaan krisis yang tidak berkesudahan.

IKRAM kesal dengan campur tangan pihak luar dalam urusan nasional negara Mesir sedangkan proses demokrasi masih terbuka serta peralihan ke arah politik demokrasi sedang berjalan. Presiden Dr Mohamad Morsi sendiri menggalakkan media yang bebas dan kebebasan hak untuk rakyat bersuara.

IKRAM menyokong pendirian Presiden Dr Mohamad Morsi, Parti Keadilan dan Kebebasan serta Ikhwan Muslimin untuk menentang secara aman tindakan luar undang-undang ini. Selama ini mereka dianggap tegas dan konsisten bersama golongan yang cintakan keamanan untuk merealisasikan perubahan selaras dengan undang-undang.

Tindakan menahan Presiden Morsi oleh pihak tentera adalah tindakan yang bertentangan dengan lunas undang-undang dan demokrasi. IKRAM mendesak agar semua pemimpin Ikhwan Muslimin dan tahanan politik lain dibebaskan segera. Pihak tentera dan polis harus memberi jaminan keselamatan kepada Presiden Morsi, para pemimpin Ikhwan Muslimin dan pengikutnya daripada sebarang penindasan dan penyeksaan.


Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden

Tuesday, 7 May 2013

Kenyataan Media IKRAM, Pasca PRU-13



KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
PASCA PILIHANRAYA UMUM MALAYSIA KE-13
7 Mei 2013 bersamaan 26 Jamadil Akhir 1434 H


Kelmarin, Pilihanraya Umum ke – 13 (PRU13) telah selesai dilaksanakan.

IKRAM merakamkan ucapan tahniah kepada semua pengundi Malaysia yang telah keluar menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan aman. Dengan peratusan keluar mengundi lebih 80%, yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah PRU di negara ini, kesedaran politik rakyat Malaysia tentunya sudah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Mereka sudah faham apakah itu erti kuasa rakyat.

Walaubagaimanapun, IKRAM mengambil perhatian berat terhadap kemungkinan berlakunya proses pengundian yang meragukan, malahan bertentangan dengan undang-undang sehingga menjadikan PRU13 dilihat bukannya satu proses demokrasi yang bebas dan adil. IKRAM mengambil maklum perihal beberapa isu seperti publisiti media yang berat sebelah, masalah dakwat kekal yang mudah dibasuh, proses pengundian yang meragukan serta pengundian awal dan pengundian pos yang tidak telus dan boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

Ketelusan institusi yang bertanggungjawb khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi tanda tanya, diragui serta dicemari. IKRAM mempersoalkan kesahihan keputusan yang telah dimaklumkan. IKRAM menuntut SPR memberi penjelasan kepada setiap isu keraguan yang ditimbulkan sebelum ia dapat diterima sewajarnya.

IKRAM menggesa Pakatan Rakyat memilih pendekatan aman, melalui tindakan undang-undang atau perhimpunan aman.

Pengalaman PRU13 ini menguatkan lagi tekad IKRAM untuk terus memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil.

Jangan sesekali memandang kecil kuasa dan pengaruh rakyat jelata Malaysia!

Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)


Tuesday, 30 April 2013

Perutusan IKRAM kepada para pengundi PRU-13


PERUTUSAN IKRAM KEPADA PARA PENGUNDI PRU-13

30 April 2013 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1434 H


Para pengundi yang budiman!  

 Setelah sekian lama menanti, akhirnya tarikh 5 Mei 2013 diisytiharkan sebagai tarikh pembuangan undi bagi Pilihanraya Umum Malaysia ke-13 (PRU-13).

Seramai lebih 13 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi akan berpeluang memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, sekaligus menentukan penubuhan kerajaan  Negeri dan Persekutuan.


IKRAM mengajak semua umat Islam dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menjalankan tanggungjawab terhadap negara dengan serius dan bersungguh-sungguh.  Rakyat perlu bijak memilih peribadi pemimpin yang sihat serta kuat fizikalnya dan beramanah bagi menerajui pemerintahan negara. Pemimpin ini mestilah berupaya mengurus perjalanan negara dan kehidupan rakyat dengan satu bentuk pengurusan yang paling baik, bersih, adil dan bijaksana.


Kepentingan penglibatan politik
 

IKRAM berpandangan penglibatan politik adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sebagai ad-din yang syumul.  Kuasa pemerintahan diperlukan bagi menjayakan agenda penegakan syariah dan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar. Justeru, penglibatan  umat Islam di dalam PRU kali ini adalah amat penting dan dianggap kritikal untuk memilih wakil pemimpin yang mampu membantu merealisasikan cita-cita dakwah tersebut.
 
Matlamat penglibatan kita dalam dalam PRU 13
 

Matlamat  utama penglibatan PRU-13 ialah untuk memastikan:



1. Parti terbaik menguasai majoriti kerusi parlimen serta menubuhkan kerajaan baru yang bertanggungjawab dan berwibawa. Pemegang tampuk pemerintahan adalah satu kedudukan yang paling tinggi dalam Islam, ولاية عامة (wilayah ammah). Lantaran itu, ia sepatutnya diserahkan kepada peribadi-peribadi yang layak dan mempunyaiالقوى الأمين (kebolehan dan integriti).



2. Penegakan sistem dua (2) parti yang kuat, sistem ‘check dan balance’ yang berkesan.
Penglibatan ummah dan rakyat dalam PRU 13 mestilah dilihat sebagai  sebahagian daripada inisiatif untuk memperbaiki urustadbir negara dan taraf kehidupan rakyat. Ia juga meletakkan perjalanan negara di atas landasan yang betul menerusi pelantikan pemimpin yang berkebolehan serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap.

 

Usaha ini adalah sebahagian daripada usaha yang wajib dilakukan oleh ummat Islam khususnya bagi menegakkan maslahah manusia di dunia dan akhirat sejajar dengan matlamat-matlamat syariah yang menuntut diwujudkan situasi yang akan melindungi perkara-perkara berikut:


1. Nilai kehidupan manusia (human values):

a. Pemeliharaan agama
b. Pemeliharaan kemanusiaan manusia:

i. Fitrahnya
ii. Kemuliaan dirinya
iii. Halatuju hidupnya (peranannya dalam kehidupan dunia)
iv. Kebebasannya


2. Diri manusia (human person):

a. Tubuh dan nyawanya
b. Rohani dan jiwanya
c. Aqal dan pemikirannya


3. Masyarakat manusia (human society):

a. Pemeliharaan keturunan dan maruahnya
b. Pemeliharaan institusi masyarakat dan hubungan kemasyarakatannya


4. Persekitaran (Environment):

a. Pemeliharaan harta benda
b. Pemeliharaan persekitaran kehidupan manusia


Semua perkara penting di atas merupakan matlamat-matlamat syariah yang mesti dipelihara dan dilindungi.

 
Pertimbangan dan Perbandingan
 

Di dalam senario PRU 13, nyata terdapat persaingan ketara di antara kedua-dua blok parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Untuk memilih blok yang paling hampir dengan hasrat rakyat, ciri-ciri berikut mestilah dipertimbangkan oleh rakyat:

 

1. Kedua-dua blok merupakan satu perikatan (tahaluf / alliance) yang mewakili masyarakat majmuk Malaysia. Rakyat hendaklah memilih blok manakah yang lebih memenuhi hasrat semua kelompok masyarakat majmuk Malaysia.
 

2. Kedua-dua blok ditubuhkan di atas asas perkongsian. Adalah wajar diketahui bentuk perkongsian di kalangan mereka: adakah wujud dominasi satu komponen ke atas komponen yang lain atau kesemua komponen sama rata berasaskan gagasan warga negara Malaysia? Perlu difikirkan apakah pulangan kepada semua komponen telah ditetapkan atau ia masih terletak pada perundingan dan tawar menawar.
 

3. Persepsi dan sikap kedua-dua blok terhadap isu-isu berkaitan bangsa Melayu, pengamalan agama Islam dan institusi Raja berpelembagaan adalah perkara yang penting dalam usaha mereka memerintah negara.  Rakyat sentiasa mahu mengetahui adakah kedudukan orang Melayu, agama Islam dan insitusi raja-raja akan tetap terpelihara dan terjamin di bawah pemerintahan mana-mana blok yang diberi mandat ini. Di samping itu kedudukan orang bukan Melayu dan bukan bumiputra serta agama-agama selain Islam mestilah mendapat perhatian yang wajar.
 

4. Sikap dan amalan kedua-dua blok dalam konteks urustadbir negara dan pembelaan kehidupan rakyat adalah satu perkara yang penting. Rakyat hendaklah memilih blok yang lebih telus, bersih, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat dan dilihat menyebelahi rakyat.
 

5. Realiti penglibatan kaum dalam keahlian komponen kedua-dua blok ini mestilah dilihat sebagai satu realiti yang meyakinkan rakyat. Rakyat mestilah memilih blok manakah yang lebih mewakili kepelbagaian kaum dalam keahlian setiap komponen.
 
Rumusan
 

IKRAM merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat dalam PRU-13 kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan negara dan rakyat jelata.

Rumusan ini berdasarkan kaedah dan prinsip ‘kemudharatan yang lebih ringan’.


أحسن الخيارين , أخف الضررين وأهون الشرين
(Pilihan terbaik di antara dua pilihan, pilihan yang lebih ringan kemudaratannya dan kurang kejahatannya)


IKRAM menganggap pemilihan tersebut sebagai satu kecenderungan atau pilihan yang pragmatis yang dijangka akan lebih menyebelahi rakyat, lebih adil kepada semua, lebih bermanfaat kepada negara, lebih jujur kepada Islam dan bangsa Melayu serta lebih memantapkan institusi Raja berperlembagaan.

 

Pilihan ini akan membuka lebih banyak ruang dialog, perbincangan, perundingan dan permuafakatan bagi melaksanakan agenda perubahan dan pembersihan pentadbiran dan pengurusan perjalanan negara, supaya tiada berlaku lagi salah laku dan penyelewengan pegawai-pegawai pemerintah, sekaligus menghapuskan kemungkinan rasuah.
 
Para pengundi yang budiman!
 

IKRAM menyeru agar ummah tidaklah perlu takut, jika pendirian politik ummah kali ini membawa kepada perubahan kerajaan di peringkat pusat.  Kejatuhan kerajaan BN tidak akan melucutkan kuasa pemerintahan daripada genggaman Ummat Islam. Ummat Islam tetap memiliki jumlah kerusi parlimen yang cukup selesa. 

Penguasaan ummah akan terus terpelihara dengan kewujudan berbagai-bagai institusi dan badan yang sedia ada bagi menjamin kelangsungan kekuasaan ummah. Institusi Raja berperlembagaan, institusi angkatan bersenjata, tentera dan polis, jabatan pentadbiran awam, badan-badan berkanun seperti Majlis-majlis dan Jabatan-jabatan Agama Negeri-negeri, dan kesemua NGO akan terus berperanan mempertahankan survival dan kelangsungan kekuasaan ummah di bumi Malaysia.
 
Para pengundi yang budiman!
 

Ingatlah, golongan yang takut kepada perubahan atau yang tidak ingin kepada perubahan hanyalah sebahagian daripada rakyat yang masih belum jelas dan golongan yang memperjuangkan kepentingan peribadi, kroni atau kelompok masing-masing.
 

Sebenarnya negara ini dilimpahkan oleh Allah SWT dengan  kekayaan potensi dan sumber manusia serta alam. Ia terletak di laluan strategik dunia antarabangsa.  Ia merupakan daerah pertemuan pelbagai peradaban, bangsa dan agama di dunia. 

Negara ini mempunyai potensi untuk diangkat ke tahap negara maju.  Ia boleh terus menggalakkan rakyatnya untuk berdaya maju dan bersaing.  Negara ini mampu membangunkan sebuah tamadun dan peradaban kemanusiaan yang menjunjung nilai-nilai kehidupan yang mulia.
 

Lantaran itu, rakyat diseru untuk berani mengorak langkah baru, membangun inisiatif politik yang berupaya mewujudkan perubahan yang kita inginkan untuk negara dan ummah di bumi Malaysia ini.



Para pengundi yang budiman!



Alangkah indahnya perjalanan sebuah negara dan kehidupan rakyatnya sewaktu ia dipayungi sebuah sistem politik yang adil, budaya politik yang sihat dan bersih.  Rakyat boleh mengangkat pemimpin yang terbaik dari kalangan mereka. Setiap pemimpin boleh datang dan pergi menerusi proses pilihan rakyat yang telus, bersih, dan aman, tanpa perlu menggunakan kekerasan atau paksaan, tanpa menabur fitnah siang dan malam, sama ada oleh rakyat atau pemerintah.
 

Alangkah baiknya jikalau sistem politik yang diguna pakai akan membolehkan rakyat mengangkat peribadi-peribadi terbaik untuk menerajui kepimpinan negara, dan melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dalam pemilihan para pemimpin.
 

Budaya dan pendekatan politik baru yang bersih dan sihat untuk masyarakat dan negara perlu diusahakan segera. Negara mempunyai keupayaan untuk merubah keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dengan berpaksikan ketinggian akhlak, kebenaran, ketelusan, sikap prihatin kepada kepentingan umum, dan memperjuangkan matlamat-matlamat syariah serta maslahat Islam.
 

Negara juga berkeupayaan mengangkat peribadi-peribadi yang sesuai untuk kedudukan yang sesuai dalam usaha mereka memimpin rakyat dan negara. Kita mesti memilih wakil rakyat dari kalangan rakyat yang cerdas, berjiwa besar dan berakhlak mulia.  Mereka ini merupakan satu golongan rakyat yang berupaya membuat keputusan dan polisi terbaik buat pengurusan negara.  Dengan itu rakyat berpeluang menyahut cabaran-cabaran besar serta merebut pelbagai peluang yang terhampar pada tahun-tahun mendatang.
 

Untuk memilih pemimpin terbaik, rakyat memerlukan maklumat yang tepat.  Dalam kebanjiran maklumat dan berita yang diperolehi dari pelbagai sumber, rakyat harus bijak menyaring isi kandungan berita yang boleh dipercayai.  IKRAM menasihatkan rakyat agar berusaha mendapatkan maklumat dan informasi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, bertanggungjawab dan berintegriti. Maklumat dan berita yang mengandungi unsur dakwaan fitnah, pembohongan dan pemujaan pemimpin yang diragui integritinya sewajarnya diketepikan.
 

Marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan PRU-13 berlangsung dengan aman dan sejahtera, terhindar dari segala keburukan.
Sekian, selamat mengundi. Negara sejahtera, rakyat bahagia. Wassalam.

 
Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)