Pages

Thursday 19 February 2009

Sekali ombak menghempas, sekali itu juga pasir di pantai berubah...


Masa berlalu begitu cepat, pantas seperti kilat. Sekelip mata berubah arus, dua kelip mata berubah senario, tiga kelip mata berubahlah zaman, sekiranya tidak berkelip mata, sudah pasti samada berada di dalam zaman atau kemungkinan di luar alam nyata iaitu kematian.

Kematian

Begitulah adat manusia yang hidup, setiap yang bernyawa pasti akan mati, pasti dan tidak boleh lari lagi atau tidak boleh hidup kalau sudah ditakdirkan kita mati. Mana ada manusia yang boleh hidup selamanya. Paling lama hidup pun beratus tahun, itupun kalau tidak nyanyuk, sakit sendi ataupun muka sudah berkerepot. Kalau barang lama bolehlah dipanggilnya barang antik. Kalau barang antik mahal dan ada nilai seninya, tapi kalau manusia 'antik', lelong pun tidak laku... macam Siddiq Ulam Raja, cerita Allahyarham P. Ramlee bertajuk 3 Abdul...

U-turn

Namun begitu, dengan sekelip mata juga, kalau kita cuai maka dengan sekelip mata itulah malapetaka atau musibat yang akan menimpa diri sendiri. Tidak boleh reverse atau U-turn (pusing) balik. Kalau terlajak perahu boleh kita mudik semula ke hulu, tetapi kalau terlajak kata pepatah kata menyesal tidak berguna. Tetapi kita masih ada peluang untuk memohon maaf. Namun kalau terlepas atau terlajak masa, maka kita hitunglah sendiri masa yang berlalu, sesaat, seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan setahun.

Dalam perang kalau kita tidak memancung musuh maka dengan sekelip matalah itulah si musuh akan memancung kita. Terburailah segala isi urat perut. Kalau si tentera perang terlewat satu saat maka musnahlah seangkatan atau satu batalion tentera, kerana kecuaian disebabkan mengingkari masa.

Bagi saya, kalau setiap masa terisi dengan kerja yang melampau, Mungkin saya akan berkata dengan alasan, Aduh!, cepatnya masa, banyak lagi kerja tidak siap, itu tidak buat lagi, ini tidak buat lagi, tambahan pula terlibat dengan tugasan kerja orang lain, maka pasti kena hambat dengan hamba Allah itu, maka apa lagi hendak beralasan untuk melepaskan diri. 
Namun pengertian masa kalau dilihat dan diperhalusi maksud dari surah Al Asr,  

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran". 

Ayat yang mudah difahami dan ringkas, tetapi membawa maksud pengertian yang dalam.

Sekali ombak menghempas, sekali itu juga pasir di pantai berubah.

Nilai kehidupan

Pantasnya masa berlalu, tidak sama seperti derasnya air berlalu, semuanya tidak sama kalau hendak dibuat perbandingan satu per satu (apple to apple).

Nilai kehidupan kita bukanlah dipermulaannya hidup tetapi sebenarnya dipenghujung hayat. Apakah persediaan dan persiapan untuk bertemu dengan Allah Taala di akhirat kelak. Perhitungan neraca baik dan buruk.

Itulah anugerah Allah Taala yang terhebat untuk manusia, saya dan kita semua.

Wallahu 'alam, sekian

abuzorief @ darnall sheffield
19/2/2009 thursday

No comments:

Post a Comment