Pages

Showing posts with label Travelog Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Travelog Ramadhan. Show all posts

Tuesday, 30 July 2013

Ramadhan ujian keimanan


Ramadhan adalah salah satu platform pengabdian kita kepada Allah Azza Wajalla. Untuk mengukuhkan keimanan kita kepada Allah. Ia merupakan jalan untuk memperolehi ketaqwaan. Ketaqwaan itu adalah untuk mereka yang beruntung dan beroleh kejayaan. Benarlah, janji-janji Allah kepada kita semua.

Kepercayaan

Saya cuba untuk memahamkan diri sendiri peranan madrasah Ramadhan ini di dalam usaha kita melaksanakan segala kefardhuan yang telah diperintahkan oleh Allah. Untuk melaksanakan perintah ini bukanlah mudah sekiranya tidak ada iman (faith) kepada Allah. Begitulah juga dengan kefardhuan ibadah yang lain, Solat, Zakat dan Menunai haji di Baitullah Al Haram. Sekiranya tiada Iman, maka suruhan Allah ini hanya dilakukan secara lewa sahaja. Malah ada pula yang sengaja meninggalkan suruhan ini.

Untuk menjadi hamba Allah yang dikasihinya, memanglah susah dan payah. Itulah nilai ketaatan dan ketaqwaan. Nilai yang tinggi dan tidak ada lagi ukuran atau neraca yang hendak dijadikan sebagai pengukuran. Hanya Allah sahaja yang berhak memberikan kedudukan yang terbaik disisinya.



Daripada Saiyidina 'Umar r.a. beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata:


Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam.

Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau.

Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.

Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau.

Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.

Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba memibna bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?

Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.

Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu. [Hadis ke 2 : Hadis 40 Imam Nawawi]



Manusia sembah manusia

Peristiwa yang berlaku di Negara Mesir dan Syria merupakan titik tolak untuk kita menilai semula keimanan kita kepada Allah. Perbezaan iman dan kufur manusia, yang pasti kita dapat bezakan. Mana yang hak dan mana yang batil, yang hak akan terus menerima sokongan manakala yang batil sudah terang-terangan nampak kejahilan dan keburukannya.

Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku. (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar.[Surah Al-Anbiya : 24]

Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.[Surah Ibrahim 14:3]

Manusia yang jahil sanggup menyembah dan bertuhankan manusia. Mereka hilang akal waras kerana menyakini hanya manusia yang disembah itu sahaja yang dapat menyelamatkan saki-baki kehidupannya. Sedangkan yang selayaknya mereka sembah dan melutut itu hanya kepada Allah. Betapa teruknya keyakinan mereka di dalam merebut kesenangan dan 'kebahagian' hidup di dunia sementara ini dengan 'berpatungkan' pemerintah yang zalim dan dilaknati Allah Taala.

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke Neraka (dengan kekufurannya) dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. [Surah Al-Qasas :41]

Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.[Surah Al-Qasas : 42]

Kelakuan ini berulang-ulang sejak sekian lama, kuasa memerintah yang ada ditangan manusia itu sendiri telah memaksa orang lain untuk menyembahnya. Lihatlah kisah- kisah seperti Raja Namrud dan Firaun yang mengaku dirinya tuhan sekelian manusia, yang boleh menghidupkan dan mematikan manusia dengan kehendaknya. Manusia yang telah lupa bahawa kejadiannya sendiri adalah ciptaan Allah Taala sehingga terlupa dengan mengaku dirinya Tuhan yang layak disembah.

Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi. Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya. [An-Naziat 79:24-25]

Hanya manusia yang takut kepada Allah dan menyakini perkara-perkara yang berkaitan dengan keimanan sahaja yang layak menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Semoga Allah, membangkitkan golongan yang berjuang dan memenangkan golongan yang berusaha mengangkatkan kalimah Tauhid di atas muka bumi ini dan mensucikan Asma Husna Allah dari kebiadapan manusia yang telah disesatkan.

abuzorief @ kulim
28/7/2013 ahad, 18 Ramadhan 1434h,
tazkeerah ramadhan
bersama pelajar maktab tengku bainun

Monday, 22 August 2011

Ramadhan dan kekuatan tauhid

Tazkeerah semasa Majlis berbuka puasa, Sheffield

Bersyukur kita kepada Allah Taala kerana diberikan peluang menikmati segala anugerah yang telah diberikan kepada kita sama ada kita sedar atau tidak.

Betapa, banyak sungguh nikmat itu sehingga kita tidak dapat menghitungnya dengan nilai angka-angka di jari.

Antara kelebihan Ramadhan ini bukan saja kita disuruhnya berlapar dan dahaga tetapi sebenarnya kita dilatih supaya menjadi hamba Allah yang taat dan patuh akan suruhan Allah. Kerana kualiti hamba yang taat dan patuh itu mempunyai hubung-kait yang sangat rapat dengan ketauhidan atau mengesakan Allah Taala.

Kejadian manusia

Asal manusia yang dijadikan daripada air mani yang hina, tetapi Allah mengangkat darjat dan kedudukan penciptaan manusia dengan penciptaan yang sebaik-baik kejadian.

أَلَمْ نَخْلُقْكُمْ مِنْ مَاءٍ مَهِينٍ
Bukankah Kami telah menciptakan kamu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang? (Al Mursalat 77:20)

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At Tin 95:4)

Ramadhan adalah bulan yang tidak dapat ditandingi akan kebaikan dan kelebihan yang ada di dalamnya. Lebih baik dari 1000 bulan atau 83 tahun. Belum tentu kita boleh dapat beribadah dengan sempurna kepada Allah selama usia sebegitu.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan (Al Qadr 97:3)

Petunjuk

Ia juga bulan dikenali sebagai bulan Al Quran kerana ia diturunkan di malam bulan Ramadhan. Al Quran sebagai petunjuk kepada sekelian manusia untuk mengajar manusia supaya bertaqwa kepada Allah Taala.

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; (Al Baqarah 2:2)

تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا
Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam. (Al Furqan 25:1)

Ia telah menjadi dasar kepada manusia supaya menjadi hamba tuhan yang berilmu dan beramal dengannya.

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (Al Alaq 96:4)

Tauhid Rububiyah

Tauhid Rububiyah Allah cukup mengambarkan kepada kita bahawa Allah itu mempunyai sifat pengasih dan penyayang kepada semua makhluknya di atas muka bumi ini tanpa 'memilih bulu' atau double standard. Siapa yang meminta kepada, maka ia akan beri. Siapa yang berusaha untuk mendapatkannya, maka ia memperkenankannya. Sebab itu kita lihat hamba Allah di atas muka bumi ini, sama ada dia Islam atau bukan Islam, mereka pasti dapat meneruskan kehidupan mereka mengikut tabi' kehidupan atau asas keperluan kehidupan sebagai manusia.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Al Baqarah 2:164)

Tauhid Uluhiyah

Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya Al Aqidah Al Wasitiyyah mengatakan bahawa tauhid Uluhiyah itu juga dinamakan sebagai tauhid Al Ibadah. Tauhid Al-Ibadah memberi erti yang sangat rasional kepada hamba Allah sebagai penyataan dan keikhlasan diri untuk mengabdikan, menyerahkan diri atau menyembahkan diri sepenuhnya kepada Maha pencipta iaitu Allah Taala.

Sebab itu, kita tidak hairan kerana segala ibadah ynag diwajibkan ke atas kita adalah semuanya untuk menjadikan diri kita sebagai hamba yang menyembah tuhannya. Sentiasa mengharap, merujuk dan meminta kepadanya selalu. Inilah bentuk latihan kepada setiap hambanya dari pangkal ruh, akal dan jasad, semuanya dilatih tubi dan dimaterikan dengan satu ikatan atau simpulan akeedah keimanan yang sangat kuat.

Rahmat dan Asma' wa sifat

Begitulah kedudukan Ramadhan yang menjadi salah satu teras di dalam rukun Islam, yang telah difardhukan ke atas umat Muhammad SAW yang terdahulu dari kita semua. Perlu dilaksanakan tanpa berbagai dalih atau alasan yang boleh merosakkan hubungan diri kita dengan Allah Taala.

Kesemuanya yang dinyatakan melalui Sabda Rasulullah SAW tentang hadis Mengenai Iman, Islam dan Ehsan membawa kepada kita betapa besar dan agungnya Allah Taala sebagai pencipta kita dan makhluk yang lain. Mengarah kita kepada keesaan dan kekuatan ikatan tauhid Rububiyah dan Uluhiyah. Serta, Allah sentiasa memberikan sepenuh rahmatnya melalui keagungan Nama dan sifatnya (Asma' wa Sifat) ke atas hambanya yang patuh dan taat.

هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ ۖ هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ
Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (Al Hasyr 59:22)

هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ ۚ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. (Al Hasyr 59:23)

هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ ۖ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi dan Dialah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana. (Al Hasyr 59:24)

Insyaallah, marilah kita sama-sama memperhebatkan aktiviti ibadah kita kepada Allah Taala di sepanjang Ramadhan yang berbaki ini dan terutamanya kini telah memasuki di akhir 10 Ramadhan yang di dalamya mempunyai malam lailatulqadr.

Wallahu a'lam

Nota
[1] Tafsir Al Quran
[2] Al Aqidah Al Wasitiyyah, Ibn Taimiyyah
[3] Hadis 40 Imam An Nawawi

abuzorief @ sheffield
20 Ramadhan 1432h,
20/8/2011 sabtu
- nota tazkeerah iftar ramadhan
PMPMS/KUSheff/SMSA

Wednesday, 17 August 2011

Dimanakah pengakhiran madrasah Ramadhan?...


Bergembiralah kita kerana masih berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Di berikan keberkatan oleh Allah Taala akan setiap amal yang kita lakukan sama ada dari sebesar zarah, biji sawi sehinggalah sebesar-besar amal iaitu berjuang di medan jihad.

Palestinaku...

Amat beruntunglah saudara-saudara kita di bumi barakah Palestin kerana jihad mereka mempertahan bumi barakah sehingga akhir hayat kerana di dalamnya terdapat masjidil Aqsa yang mulia.
  • Dimanakah kita di dalam hal ini?...
  • Bagaimanakah kita mengukur keberkatan ramadhan?
  • Apa yang kita telah perolehi dari madrasah Ramadhan?

Timbang-tara atau neraca

Ramadhan adalah bulan untuk memberatkan timbangan amal kita. Kelebihan bulan Ramadhan sangatlah banyak seperti mana dikisahkan oleh Allah Taala di dalam Al Quran dan juga diriwayatkan di dalam hadis Nabi SAW. Lebih-lebih lagi kelebihan ini amat besar nilainya bagi golongan yang digelar sebagai golongan orang-orang bertaqwa atau muttaqin.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Al Baqarah 2:185)

Bagi golongan ini, hanya Allah da Rasul adalah segala-galanya. Mereka akan memperolehi ganjaran rahmat dari Allah Taala. Mereka mendapat sepenuhnya kasih sayang dari Allah Taala. Mereka menyayangi Allah dan Rasul lebih segala-galanya, dan Allah amat menyayangi mereka sepenuhnya.

Hubung-kait Ramadhan dengan Aqidah Uluhiyyah

Sepertimana kita ketahui bahawa Ramadhan adalah rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim. Ia samalah seperti rukun-rukun Islam yang lain. Meninggalkan salah satu rukun Islam, maka ia akan menyebabkan berlakunya kepincangan yang besar kepada kesempurnaan penyembahan diri kita kepada Allah Taala.

Di dalam kitab Al Aqidah Al Wasitiyyah Ibn Taymiyyah ada menyebutkan bahawa pegangan asas aqidah kita iaitu Tauhid Uluhiyyah juga disebut sebagai Tauhid Al Ibadah. Segala perlakuan ibadah kita adalah untuk membuktikan betapa taat dan patuhnya kita kepada Allah Taala.

Kita adalah hamba kepada Allah Taala dan selayaknya kita mengabdikan diri kita kepadanya walau apa cara sekalipun kehidupan kita di atas muka bumi ini. Melakukan ibadah adalah untuk menguatkan ikatan aqidah kita kepadanya. Memantapkan keyakinan total diri kita kepadanya. Disinilah penyaksian dan penyembahan kita secara total kepada yang maha Esa.

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. (Surah Al Anbiya 21:90)

Mereka yang benar-benar menyerah diri kepada Allah dan mengikuti ajaran Rasul adalah golongan hamba yang patuh dan taat. Mereka yang patuh dan taat ini adalah mereka yang benar-benar bertaqwa kepada Allah Taala.

Jadi, pengakhiran kepada madrasah Ramadhan adalah sebagai platform untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa kepadanya.

Wallahu'alam

abuzorief @ sheffield
17/8/2011, rabu
Nuzul Quran

Saturday, 6 August 2011

Ramadhan yang penat?...


Sudah masuk tahun ke-3 saya berpuasa Ramadhan di bumi UK. Berbagai keadaan, ragam dan hal berpuasa di bumi asing. Tidaklah terasa panas terik yang mencengkam kulit dan urat kepala. Kemeriahan tetap juga ada untuk turut sama-sama meraikan kedatangan Ramadhan. Ada diantaranya mengambil peluang dengan menghiasi rumah dan laman, bercukur rambut dan berhias diri, ucapan salam Ramadhan Kareem dan Mubarak, berjabat tangan dan sebagainya.

Paling menenangkan hati apabila ke Masjid, kelihatan ramai jamaah bersolat waktu seolah-olah seperti solat jumaat. Betapa besarnya kesungguhan jamaah datang bersolat disamping menyambut dan meraikan kedatangan Ramadhan.

Negara sendiri

Berpuasa di negara sendiri lebih kepada 'rasa' senada sahaja. Maksudnya rutin atau aktiviti seharian di bulan Ramadhan lebih kurang sama sahaja dari tahun ke setahun. Penuh dengan kerja harian, pasar ramadhan, berbuka puasa di rumah atau masjid atau di kedai makan atau di hotel, bertarawikh + moreh, persiapan menjelang raya dan sebagainya.

Aktiviti awal siangnya agak lesu ditambah dengan terikan matahari sepanjang waktu. Manakala aktiviti di sebelah petang dan malamnya kembali sibuk dan ceria dengan persiapan juadah, bertarawikh dan berqiamullail dan sebagainya.

Alhamdulillah, namun itulah lumrah dan realiti sebenar berpuasa di negara sendiri.

Panas terik

Berbanding dengan saudara kita yang berpuasa di negara yang amat panas terik dan kering sepanjang waktu, yang tetap menguji kelasakan peribadi yang berpuasa. Mengharungi banyak dugaan dan halangan.

Berpuasa bukannya untuk menguji diri hebat untuk bertahan lapar atau dahaga, tetapi ia adalah perintah dan suruhan Allah.
  • Siapa kata berpuasa tidak merasa lapar?...
  • Siapa kata berpuasa tidak merasa dahaga?..
  • Siapa kata berpuasa tidak letih?...
  • Siapa kata berpuasa tidak lesu?...
  • Siapa kata berpuasa tidak tahan dengan kehendak nafsu?..
  • Siapa kata berpuasa tidak tahan dengan kehendak syahwat?...
  • Dan sebagainya...
Hakikat berpuasa adalah untuk menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya disisi syarak. Hakikat berpuasa inilah yang telah difardhukan Allah ke atas kita semua sama ada kita suka atau tidak, rela atau tidak, payah atau tidak.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (Al Baqarah 185)

Semuanya memerlukan pengorbanan dan kekuatan diri untuk melaksanakannya. Secara lumrahnya untuk melaksanakan puasa yang begitu lama ini bukanlah mudah. Sekiranya mudah maka akan ramailah manusia berpusu-pusu untuk menunaikannya tanpa sebarang alasan. Tetapi untuk menyakinkan manusia bahawa berpuasa ini memberikan banyak ganjaran dan kebaikan, telah dibuktikan dengan kajian sains, dari sudut kesihatan dan apa sahaja penemuan fizikal yang lain.

Namun ia masih sukar lagi kerana pada diri kita masih bertarung dengan hawa nafsu - perasaan syak, tidak selesa untuk berlapar dan berdahaga, dan mahukan hidup rasa selesa sepanjang masa. Mungkin katanya apa perlu untuk berlapar dan berdahaga kalau dirinya mampu berbelanja dan membiayai diri sendiri serta tidak menyeksa diri.

Peperangan, penindasan dan kezaliman

Agak sedih apabila mengenangkan saudara-saudara kita yang berhadapan dengan peperangan demi untuk mempertahankan diri, agama dan tanah-air. Isu Palestine yang tidak pernah selesai. Masjid Al Aqsa yang dihina dan ditawan oleh puak yang sombong dan bongkak. Berapa sangat 'harga' yang kita bayar kepada mereka untuk mereka mempertahankan kesemua itu.

Demi buah tiin dan zaitun, Dan gunung Tursina, Serta negeri (Mekah) yang aman ini; (Surah At Tin 1-3)

Namun, kita berdoa supaya Allah menetapkan dihati saudara-saudara kita supaya mampu bertahan dan diberikan kekuatan untuk melawan puak yang sombong dan bongkak itu. Kitalah yang perlu mencari jalan keluar kepada kemelut yang mereka hadapi. Janganlah biarkan mereka menyelesaikannya sendiri-sendiri. Kerana kita adalah saudara seakidah dengan mereka.

Insyaallah, roh Ramadhan mampu memberikan kekuatan kepada kita supaya melakukan yang terbaik untuk mereka.

Merenung

Ramadhan ini adalah bulan untuk kita 'berperang'. Berperang dengan kehendak hawa nafsu dan keselesaan hidup. Berperang dengan nafsu sendiri supaya menjadi hamba Allah yang taat perintahnya serta mentaati perintah Rasul dan berperang nafsu sendiri supaya lebih bersikap rendah diri dan bersederhana di dalam kehidupan.

Berpuasa di bulan Ramadhan banyak menyedarkan diri kita. Berpuasa ini bukanlah untuk sesiapa tetapi untuk Allah Taala.

Siapa kita sebenarnya?...

Lebihkan diri kita bertafakur dan merenung jauh-jauhnya atau sedalam-dalamnya tentang diri kita. Ambillah masa walau sebentar untuk memeriksa kembali hubungan diri kita dengan Allah dan manusia yang lain.

Rantaian hubungan

Rantaian hubungan diri kita dengan Allah sebagai pencipta segala makhluk dan selayaknya dia disembah perlu kita sedari. Kita amat berharap dengan pertolongan Allah untuk meleraikan segala 'kelesuan' dan kelemahan hidup kita di atas muka bumi ini. Sebenarnya, hidup kita tidak ada jalan lain yang mampu memberikan kita ini perasaan hebat dan megah. Walhal kita hanya makhluk yang telah diciptakan dari air mani yang amat hina dan rendah kedudukan kejadian. Oleh itu sudah selayaknya diri kita menjadi hamba Allah yang taat dan mengikut arahan.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim? (Surah At Tin 4-8)

Begitu juga dengan rantaian hubungan diantara manusia dengan manusia yang banyak ragam dan karenah, memerlukan manusia itu bersifat rendah diri. Menginsafi diri dan menhormati manusia lain yang miskin, papa dan hidup melarat serta dhoif yang tidak dapat menikmati segala keperluan dan nikmat kesenangan di dunia. Rantaian hubungan ini memerlukan manusia -
  • Berkenal-kenalan (taaruf)
  • Faham-memahami (tafahum)
  • Tolong menolong (takaful)
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al Hujurat 13)

Peluang beramal

Rebutlah segala peluang kebajikan yang terbuka luas di bulan yang penuh keberkatan ini. Perbanyakkan sebanyak mungkin amal-amal yang mampu mendidik dan mentarbiyyahkan diri kita. Perelokkan segala amalan yang wajib supaya ia menjadi sempurna untuk dipersembahkan kepada Allah tuhan rabbul 'alamin.

Semoga Allah memberkati puasa Ramadhan kita melimpahkan sebanyak-banyaknya ganjaran terhadap amal yang kita lakukan.

Wallahu 'alam

abuzorief @ sheffield
6/8/2011, sabtu

Wednesday, 8 September 2010

Ramadhan vs audit



Hari ini telah melangkah hari yang ke 29 Ramadhan. Suasana di masjid semakin meriah dan ramai jamaah berpusu-pusu ke masjid menunaikan solat dan melengkapkan siri-siri solat tarawikh dan witr yang pastinya tidak akan ditemui lagi melainkan di Ramadhan akan datang.

Di Bulan akan datang pula akan terasa sunyi apabila tidak boleh lagi bersolat tarawikh. Solat Tarawikh adalah satu-satunya 'pesta' ibadah solat di bulan Ramadhan. Malah akan lebih sunyi lagi kerana tidak ada suasana berpuasa setiap hari selama sebulan sepertimana di bulan Ramadhan. Tidak dapat lagi melihat rakan-rakan dan jamaah muslim berpuasa di sana sini. Tidak akan kedengaran lagi ucapan Ramadhan Kareem... Allahu Akram.

Urusan dunia

Suasana selepas Ramadhan akan kembali sibuk dengan urusan dunia yang menanti penghujung dan akhirnya. Dunia yang menjadi ladang akhirat kembali sibuk dengan kerakusan orang-orang yang mencari dan mengejar habuan dunia yang tidak menjaminkan kemuliaan hidup disisi Allah melainkan tujuan hidup ini diserahkan kepada Allah untuk bekal hidup di akhirat kelak.

Wal hal, dunia yang sementara ini kalau diurus tadbir dengan baik, maka hasilnya adalah untuk memberikan laluan yang cerah untuk mengatur urusan akhirat pula. Kita menjadi mulia di sisi Allah kerana berjaya menjadi khalifah sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Taala.

Audit

Di akhir ramadhan inilah, kita sudah boleh mengaudit setiap perlakuan amal ibadah kita sepanjang Ramadhan yang mulia. Sudah sekian lama kita berpuasa dari Ramadhan ke ramadhan sehingga kini. Bentuk ibadah yang khusus pun seakan-akan sama 'rentak' dan 'tari'nya. Kita sudah biasa dengan 'lenggok'nya. Adakah kita sedar bahawa setiap kali kita menhabiskan puasa Ramadhan kita, akan ada perubahan-perubahan ketara yang semakin tahun semakin berkualiti ibadah puasa kita.

Semakin cantik keluk graf kita melonjak ke atas dari Ramadhan tahun lalu sehingga ke Ramadhan tahun ini. Pencapaian sasaran tahunan menjadi baik dan cemerlang dari tahun sebelum-sebelumnya. Alangkah beruntungnya kita sekiranya peratusan pencapaian ibadah puasa pada tahun ini telah mencapai sasaran yang terbaik.

Dalam bab mengemaskini pencapaian tersebut, sedari awal Ramadhan lagi sudah kita aturkan beberapa agenda program seperti:-
  • kualiti ibadah yang wajib dan sunat,
  • sedekah dan zakat,
  • jalinan ukhuwwah dan silaturrahim,
  • kualiti pekerjaan harian sebagai pelajar dan pengajar serta majikan dan pekerja,
  • kualiti penjagaan dan pendidikan anak-anak dan urusan keluarga,
  • Kualiti dan peningkatan penjagaan masa,
  • kualiti urusan dakwah
  • dan sebagainya
Objektif dan strategi pengurusan di bulan Ramadhan ini perlulah ditingkat dari Ramadhan ke Ramadhan yang akan datang. Sekiranya kita boleh istiqamah dengan setiap amalan itupun sudah baik dan cemerlang sekiranya tercapai objektifnya.

Pencapaian

Namun dalam hal ini, jangan pula kita berpuas hati dan merasa cukup selesa dengan pencapaian yang dicapai sekiranya berjaya. Perlu diingat bahawa setiap kejayaan ibadah itu belum tentu diterima Allah. Kita perlu berusaha supaya setiap amalan kita ini diterima Allah. Perlu banyak beristigfar dan berdoa kepadanya. Memohon keampunan dan sesalan di atas perbuatan yang lampau. Akhirnya kita serah bulat-bulat kepada Allah Taala di atas sehabis baik mungkin amalan yang telah dilakukan. Kebaikan dan kemulian itu bukanlah datang mengolek-golek kepada kita tetapi ianya perlu diusahakan semaksima yang mampu.
Semoga setiap jengkal amal kita ini akan dikira Oleh Allah sebagai amal seorang hamba yang taat dan bertaqwa dan sentiasa mengharapkan belas kasihan dan rahmat darinya.
Ya Allah sekiranya ini adalah Ramadhan terakhir aku, maka kau nilailah amalanku ini dengan kasih sayang dan rahmatmu, Ya Allah... Ameen ya Rabbal'alamin... Taqabballahu minna waminkum...
Wallahu a'lam...

abuzorief @ sheffield
29 Ramadhan, 8/9/2010
1.18 am

Tuesday, 7 September 2010

Ramadhan vs akhir yang pasti


Hampir beberapa hari lagi akan berlabuh tirai Ramadhan. Countdown ini turut berdetik bersama detiknya nadi urat di tubuh. Sebak dan cemas sentiasa menerpa di ruang kotak hati yang selama ini telah melalui sebulan proses tarbiyyah di madrasah Ramadhan. Adakah masih ada lagi saki-baki karat mazmumah dan kotoran jahilliyah yang melekat di sudut-sudut hati tersebut?...
 
Semak!...

Wallahu 'alam, Allah lebih mengetahui dan hanya kita sahaja yang tahu dan perasan akan perubahan terhadap diri kita sendiri...
 
  • Kalau dulu selalu mengadu domba, selepas Ramadhan pasti tidak lagi...
  • Kalau dulu tidak bermotivasi dalam kehidupan tetapi selepas Ramadhan pasti melonjak semangat dan azam...
  • Kalau dulu kurang amanah sebagai pekerja, tetapi selepas Ramadhan tidak lagi, malah lebih berhimmah dan berdedikasi tinggi...
  • Kalau dulu kurang memberi tumpuan terhadap pendidikan anak-anak dan keluarga, tetapi selepas Ramadhan menjadi lebih bertanggung-jawab mengurus dan melaksanakan tanggungjawab... 
  • Kalau dulu kurang menitikberatkan dan tidak melaksanakan suruhan Allah maka selepas ramadhan ini pasti bertaut hati dan nafsu merealisasikan taubat nasuha dengan linangan air mata, pasrah menuntut keampunan dari Rabb yang maha pengasih dan penyayang. 
    • Kalau dahulu tidak menutup aurat, Ramadhan kini adalah penyudah kepada kedangkalan diri sendiri 
    • Kalau dahulu suka dan senang hati meninggalkan ibadah wajib, Ramadhan kini terasa insaf dan berupaya memulihkannya.
  • Kalau dulu sentiasa sedap dengan rasuah tetapi selepas ini merasa penuh keinsafan dan menjadi seorang insan yang amat pemurah memberi sedekah dan berintegriti tinggi.
  • Kalau dulu selalu memutuskan silaturrahim dengan ibu-bapa, kini selepas Ramadhan terasa betapa sayangnya akan mereka berdua.
Perubahan

Begitulah yang akan terjadi, perubahan demi perubahan sepatutnya disedari. Tetapi kalau masih juga tidak merasakan perubahan pada diri sendiri, segeralah bertaubat dan beristigfar kepada Allah semoga Allah memberi Rahmat ke atas kita. Diberinya masa dan saki baki masa adalah peluang untuk membaiki diri. Jangan pula peluang yang ada ini diabaikan sekali lagi dan ditangguh-tangguhkan sehingga akhirnya disedari ketika mana nyawa sudah dihujung halkum dan sudah berkeadaan nazak. Bertaubat pun tidak berguna lagi di saat ini. Di saat ini juga, maka menyesal pun tidak berguna. Menangis keluar air mata darah pun tidak akan mengubah nasib sendiri yang akan bakal diterima di alam barzakh dan di akhirat kelak.

1000 bulan

Inilah sebenarnya proses tarbiyyah yang perlu dilalui setiap kita apabila berada di dalam bulan Ramadhan yang mulia dengan jaminan seluruh kebaikan yang dilakukan adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Bulan yang diturunkan Al Quran dengan awal sejarahnya dilalui oleh baginda Arrasul kita dengan perasaan yang cemas dan takut ketika mana di suruhnya membaca, Baca... baca... baca... dengan rangkuman kuat oleh malaikat Jibrail dan akhirnya pula diamanahkan untuk memikul sepenuh tanggungjawab sebagai nabi dan Rasul untuk mendidik ummat merealisasikan misi dan visi Islam yang suci yang mana ianya bertunjangkan akidah yang sejahtera, ibadah yang sahih dan akhlak yang mulia.

Semua ini dilakukan dengan hati yang telah dibersihkan dari segala zulumat atau kegelapan jahiliyyah yang bermaharaja-lela dan bersarang di dalam hati. Kalau Arrasul pun dibersihkan hati yang menjadi simbolik pemurniaan jiwa inikan pula kita sebagai manusia yang sentiasa bergelomang dengan dosa-dosa dan kelemahan diri. Kita harus sedar bahawa usaha menyucikan hati telah diajarkan oleh Allah dan Arrasul supaya kita menjadi hamba Allah yang paling bertaqwa sepertimana yang diharapkan.

Produk

Jangan pula di akhir Ramadhan ini, proses tarbiyyah yang sepatutnya menatijahkan produk-produk yang terbaik yang akan sentiasa relevan untuk diguna-pakai untuk 11 bulan yang akan datang menjadi produk yang tidak mampu memberi 'tenaga' yang panjang, produk yang korup, produk yang lemah dan produk yang busuk dan tidak boleh diguna-pakai untuk melalui sekali lagi proses sebegini di Ramadhan akan datang.

Semoga Ramadhan ini benar-benar memberikan sinar perubahan yang dikehendaki oleh Allah dan Arrasul tercinta, menjadi jambatan yang bertaut kukuh untuk berhubung kasih dengan Allah Taala...

Wassalam...
 
abuzorief @ sheffield
28 Ramadhan 1431h, 
7/9/2010 Tuesday
10.25am

Monday, 6 September 2010

Ramadhan Lailatul Qadr vs Santa


Semalam saya menghadiri iftar bersama-sama dengan komuniti Arab. Berbuka dengan kurma dan secawan jus dan terus mengerjakan solat maghrib. Selesai, kemudian sambung makan lagi untuk 2nd round, nasi Arab daging kambing pula... amboi mak!, banyaknya, perut pun sendat, kenyang, Alhamdulillah.

Semalam orang kata, malam lailatul Qadar. Jom pergi I'tikaf kat masjid... Tak palah hang pi dulu... kalau aku rajin sat lagi aku pi... Aduh! badan rasa letih sangat ni, solat dan mengaji di rumah sajalah... Mungkin 'bahana' makan terlalu banyak...

Anak-anak muda

Semalam di masjid Pakistan, penuh dengan anak-anak muda, beri'tikaf, tapi 'pelik' anak-anak muda berambut capang, berantai leher, berantai lengan, berseluar ketat duduk di saf belakang menanti masuk waktu solat, hari lain tidaklah seramai macam ini. Alhamdulillah, masih ada rasa sayang untuk beribadah bersama-sama.

Namun, subuh pun begitu juga, penuh ruang masjid, anak-anak remaja berbaju t'shirt ber'cetak-cetak'. berambut capang, kusut kasai, berantai di leher dan tangan, menanti imam untuk memulakan solat Subuh, bersiap sedia untuk berbaris memenuhi saf, yang berjubah, berkuttah, berserban dan berkopiah tidak perlu lagi saya sebut, mereka ini semuanya ahli masjid, ahli syurga Allah. Alhamdulillah, saya rasa hampir 150 orang jamaah subuh pagi ni, satu pandangan yang luar biasa jika aku bandingkan di negara saya sendiri.

Alangkah bagusnya, kalau anak-anak muda di negara saya sebegini rupa, kembali sedar betapa pentingnya beribadah, mengejar kepentingan Ramadhan atau ibadah-ibadah fardhu yang lain.

Lailatul Qadr vs Santa

Apakah malam lailatul Qadr itu hendak disamakan sepertimana di'dongeng'kan atau diperbodohkan macam cerita Santa Claus terbang dengan rusa-rusanya di awan-awanan dan menghantar hadiah-hadiah ke setiap rumah? Habis dengan anak-anak saya juga diperbodohkan dengan cerita Santa apabila tiba perayaan si Santa.

Percayalah! Allah hendak memberitahu kepada kita bahawa malam Lailatul Qadr itu bukanlah malam yang penuh dengan cerita-cerita ajaib dan ganjil yang membuatkan manusia merasa cemas dengan harapan menanti pokok sujud, air dalam bekas jadi beku dan sebagainya, tetapi manusia disuruh berlumba-lumba beribadah dan berdoa memohon keampunan di mana-mana sekalipun dan berebut-rebut sebanyak mungkin rahmat dan mengaut sepenuhnya ganjaran yang berlipat kali ganda yang dianugerahkan oleh Allah Taala di bulan yang penuh dengan kemulian ini.

Sesungguhnya kami telah menurunkanya (Al Quran) pada malam Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam kemulian itu?. Malam kemulian itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibrail) dengan izin tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar. (Surah Al Qadr: 1 - 5)

Wallahu 'alam, sekian

abuzorief @ darnall sheffield
6/9/2010 isnin, 27 ramadhan
4.27 pm

Ramadhan vs e-mail, facebook atau Quran


Bila kita berhadapan di antara 2 situasi di persimpangan, yang mana satu hendak dipilih, A atau B?... sedangkan kedua-duanya amat jauh perbezaan kepentingannya...

Bukankah menarik persoalan ini?...

Begitulah apa yang berlaku pada diri kita sendiri. Hendak membaca Quran ke... atau nak baca email yang bertalu-talu masuk memenuhi inbox folder... Pilihan sebegini pula terjadi bila mana time hendak membaca Quran ataupun sudah membaca beberapa baris ayat.

Baru mula hendak menyelak halaman juzuk, Aaih! tengok email dululah... Bila sudah membaca beberapa baris ayat, malah belum habis pun semuka, Aaih! klik facebook satlah...

Bila sudah membaca email, maka berlengah-lengahlah pula masa dihabiskan untuk membaca dari satu email ke satu email... Kalau ke bahagian facebook atau ada yang commented facebook... menerawang pula di kepala otak, eissh! apa depa komen haa, tengok sat... maka habis seluruh isinya di'khatam' dik jauhnya 'dunia' dan maklumat yang dijelajahi. Asalnya tadi hendak 'menjelajah' sekejap sahaja, tetapi semakin berjam-jam pula masa di'sedekah'nya begitu sahaja.

Yang menanti tetap menanti, Quran tetap setia berada disisi menanti untuk ditatapi. Amat setia menunggu dari seminit, sejam dan terus sehari... namun tetap juga tidak diselaknya.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Yunus [10:57]

Pengurusan diri dan masa

Sepertimana dimaklumi, Ramadhan hanya datang setahun sekali. Bulan yang penuh barakah dan diganjari pahala yang amat banyak dan tidak terhingga. Kemuliaannya tidak dapat ditandingi di bulan-bulan yang lain. Namun, hakikat yang terjadi adalah desakan nafsu kita sentiasa menjadi batu halang untuk kita terus istiqamah dan 'bekerja' keras untuk menambah amal yang dijamin dan pasti mendapat pahala yang berlipat kali ganda.

Peribadi yang bijak dan cerdik adalah peribadi yang berjaya menyusun masa dan mengurus diri supaya Ramadhan ini tidak disia-siakan berlalu begitu sahaja. Tahap kawalan yang serius terhadap masa dan tenaga di bulan yang mulia ini akan memberikan kepuasan yang maksima sekiranya diurus dengan baik. Aktiviti-aktiviti amal di bulan ini diberikan perhatian khusus berbanding dengan bulan.
  • Kalau Al Quran selalunya dibaca 1 baris ayat atau 1 muka surat, tetapi di bulan Ramadhan dihabis untuk sejuzuk setiap hari dan mentadabbur ayat sebaik mungkin.
  • Kualiti Tarawikh ditingkatkan
  • Hubungan silaturrahim dijaga, bermaaf-maafan dan memohon keampunan sesama manusia.
  • Memperbanyakkan taubat kepada Allah
  • Memperbanyakkan amalan sunat
  • Memperbanyakkan bersedekah terutamanya memberikan bantuan kepada fakir miskin dan kepada yang sangat memerlukan
  • Menggelakkan pembaziran masa
  • Menggelakkan pembaziran makanan ketika berbuka dan bersahur
  • Tidak mengumpat dan mengadu domba dan kekal menjaga perbuatan ini dibulan-bulan yang lain
  • Berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan amal maaruf dan mencegah kemungkaran
  • Dan sebagainya.

Sekiranya kita benar-benar sayangkan dengan kehadiran Ramadhan ini, maka perlakukan amal yang terbaik sepanjang kehadirannya.

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. Al-Baqara [2:269]

Madrasah

Di dalam madrasah Ramadhan ini tidak ada guru yang mengajar dan mendidik kita melainkan kita sendirilah yang menjadi guru kepada diri sendiri. Kitalah yang mejadi hakim dan juri ke atas diri kita sendiri.
  • Belajar mendisiplin diri sendiri
  • Belajar memperbaiki diri sendiri
  • Belajar untuk menjadi patuh dan taat kepada Allah
  • Belajar untuk membersihkan hati nurani
  • Belajar untuk menundukkan hawa nafsu dan sifat terkeji atau mazmumah
  • Belajar untuk mempertingkatkan sifat terpuji atau mahmudah
  • Belajar untuk mematuhi masa
  • Belajar untuk menjadi peribadi yang pemurah
  • dan sebagainya
Inilah keistimewaan Ramadhan yang menjadi medan atau platform untuk mengubah nasib diri. Berdoalah kepada Allah Taala supaya kita terus kekal istiqamah dan berjaya melaluinya dengan satu kejayaan.

Tepuk dada, tanyalah diri sendiri....

Wallahu a'lam...

abuzorief @ sheffield
6/9/2010, monday
27 Ramadhan 1431h
3:37pm

Thursday, 26 August 2010

Ramadhan vs penderitaan


Sudah masuk setengah purnama berpuasa. Alhamdulillah, anak-anak pun sudah steady untuk menghabiskan setengah bulan terakhir. Pada awalnya mereka merungut kelaparan. Maklumlah puasa yang paling lama sepanjang sejarah hidup. Di awal ramadhan, sahur tamat pada jam 3.30 pagi dan berbuka pada jam sekitar 9.00 malam. Jangka masa yang panjang. Lebih kurang 17 - 18 jam berpuasa. Walaupun tidak seberapa panas, tetapi air di dalam badan cepat juga dehydrated. Perut mula pedih di penghujung yang ke 15 jam terakhirnya. Namun kalau diisikan dengan aktiviti insyaallah ia mampu melupakan 'penderitaan' tersebut.

Kekurangan makan

Begitulah agaknya yang berlaku pada mereka yang menderita kekurangan makanan. Pedih perut, sakit perut, lemah badan tidak bermaya, penat dan sebagainya bila berkeadaan miskin dan fakir. Tidak ada duit untuk berbelanja. Atau pun sekadar hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi yang tidak berkemampuan langsung, usahkan kais, tengok makanan pun tidak ada. Inilah yang telah berlaku di bumi Gaza, Palestine, atau negeri-negeri yang mengalami krisis ekonomi yang teruk.

Tarbiyyah di Madrasah Ramadhan

Walaupun 'penderitaan' yang kita alami hanya sementara waktu sahaja tetapi ianya cukup memberi pengajaran yang besar di dalam kehidupan. Madrasah Ramadhan telah menyediakan ruang tarbiyyah untuk kita sama-sama menjalani latihan samada berbentuk jasmani, rohani mahupun akal fikirian. Ia mampu menundukkan sikap ego, bermewah-mewah, dan segala sifat mazmumah yang lain. Tetapi dicelah-celah proses tarbiyyah ini juga, ada dikalangan kita tewas dan kalah dengan perkiraan diri kita sendiri. Mereka yang tewas di bulan ini sudah tentu akan tewas di 11 bulan seterusnya. Tewas dengan desakan hawa nafsu. Tetapi bagi mereka yang berjaya mendidik diri di Madrasah ini, maka mereka akan menang kerana berjaya menundukkan hawa nafsu yang selama ini telah menguasai diri selama 11 bulan sebelumnya. Sebulan di dalam pentarbiyyahan ini juga akan mencorakkan warna-warni kehidupan yang panjang yang penuh dengan cabaran.

Penderitaan sebenarnya menginsafkan diri kita supaya lebih melihatkan kerahmatan Allah di dalam diri sendiri. Mampu untuk merubah kehidupan dari kurang bersyukur kepada lebih bersyukur kepada Allah Taala. Dari bermegah-megah dengan kehidupan kepada tunduk dan tawaduk mencari keredhaan Allah Taala. Dari sikap pembaziran kepada suka memberi dan bersedekah kepada yang memerlukan.

Allah telah menfardhukan puasa ini kepada orang-orang sebelumnya. Ini bermakna proses tarbiyyah diri manusia telah berlaku sekian lama. Corak pentarbiyyahan ini adalah proses yang asli atau sibghah Allah dan bukannya cipta dan rekaan manusia, namun pemilik sebenarnya adalah Allah Taala. Umum mengetahui akan kebaikan amalan berpuasa bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi lebih kepada timbang-tara di antara kehidupan manusia di atas muka bumi ini untuk dikira di padang mahsyar kelak.

Keampunan

Sikap kita berlebih kurang melaksanakan amalan ini akan merugikan kita. Kerana Allah Taala telah memberi jaminan bahawa bulan ini merupakan bulan rahmat, maghfirah dan diampunkan segala dosa. Bulan yang mengatasi kebaikan dari 1000 bulan. Tetapi dengan syarat, ianya perlulah dilakukan di dalam ruang lingkup spesifikasi yang dikehendaki.

Kita mendoakan supaya Allah Taala mengembalikan rahmatnya di atas muka bumi ini. Banjir, kemarau dan berbagai-bagai mala-petaka yang berlaku sekarang telah mengakibatkan banyak masalah. Tanaman rosak dan bekalan makanan berkurangan. Krisis makanan yang melanda telah meresahkan kehidupan kita. Kesannya bukan sahaja di negara yang dilanda mala-petaka tetapi dirasai oleh seluruh manusia di atas muka bumi ini. Barang-barang makanan berkurang dan harga barang makanan turut melambung naik.

Bila melihat anak-anak sendiri menangis kelaparan, terbayang sayu kerana lebih jutaan anak-anak miskin yang kelaparan yang memerlukan makanan. Bila anak-anak sendiri memilih-milih makanan yang berada di depan mata, terbayang sedih melihat jutaan anak-anak miskin yang tidak mampu untuk merasa hidangan yang berkhasiat dan sedap. Bila anak-anak sendiri membazir-bazirkan makanan, terbayang hiba bila mengenangkan jutaan anak-anak miskin yang mengharapkan belas kasihan dari kita semua untuk mendapatkan sesuap makanan.

abuzorief @ sheffield
26/8/2010
5.16pm

Friday, 20 August 2010

Ramadhan vs pembaziran

 
Sejak di ambang Ramadhan lagi sudah digembar-gemburkan dengan berbagai-bagai 'pesta' yang akan berlaku di bulan Ramadhan. Paling menyedihkan lagi apabila tiba di akhir bulan. Tiada lagi pahala, barakah, rahmah dan maghfirah. Seolah-olahnya bulan Ramadhan ini bulan yang penuh dengan keraian, temasya dan keramaian yang jarang-jarang sekali kita jumpa di 11 bulan yang lainnya. Dari pesta pasar Ramadhan, berbuka puasa di Hotel atau clubhouse atau di restoren-restoren, jualan murah hari raya di supermarket atau pasaraya, jualan lelong pakaian raya di gedung beli-belah atau perabot hiasan atau barangan elektrik terkemuka dan berjenama sehinggalah pesta moreh di masjid-masjid. Dibulan inilah juga terasa mata menjadi begitu rambang sekali dan nafsu pula meronta-ronta membisik di hati supaya membeli dan terus membeli.
Ayuh!, Lihatlah betapa mudah dan banyaknya pembaziran duit dilaburkan dengan begitu sahaja...

Dibulan puasa ini juga dirasakan masa begitu banyak terluang sehingga tidak mampu juga untuk diisinya dengan perkara-perkara yang berfaedah. Paling banyak sekali ialah aktiviti bersantai dan menonton TV, Video, bermain games atau tidur yang berlebihan atau melebihi had waktu. Sedangkan masa terluang ini boleh sahaja diisi dengan membaca Quran, zikir, membaca dan menelaah buku, solat sunat dan sebagainya.

Ayuh!, Lihatlah betapa mudah dan banyaknya pembaziran waktu berlaku dan dibiarkan begitu sahaja berlalu...

Kalau juadah berbuka puasa, jangan cakaplah... memang banyak dan beraneka jenis juadah dan hidangan. Semuanya menarik dan sedap-sedap belaka. Dari juadah yang berwarna merah, biru, kuning, hijau atau berwarna-warni sehinggalah ke warna hitam, semuanya sedap dan menawan di mata terus ke hati. Tetapi akhirnya yang dimakan hanyalah pilihan yang sedap di mulut dan di anak tekak sahaja. Dan yang lainnya menerima nasib yang kurang baik kerana akan dihumbannya ke dalam tong sampah yang tidak berapa dipenuhi dengan penghuni sampah atau di longkang atau paling bertuah pun ayam-itik peliharaan di reban.

Ayuh!, Lihatlah betapa mudah dan banyaknya pembaziran rezeki dan makanan sehingga dibuangnya dengan begitu sahaja...

Wallahu'alam

abuzorief @ sheffield
20/8/2010

Thursday, 19 August 2010

Nasib si Ramadhan...


Salam diberi pembuka kata,
Syok berpantun sungguh tak terkata,
Kata sini kata sana,
Umpat sini, umpat sana,
Semuanya memang benar-benar belaka,
Itulah nasib ramadhan yg mulia,
Akibat manusia berbuat durjana,
Jangan sampai besar kepala,
Pada tuhan Allah Taala.

Pi hang tengok ditempat kita,
Restoren mamak merata-rata,
Nasi kandar beranika jenama,
Depan pintu tutup, belakang pintu buka,
Nampak kaki tak nampak kepala,
Dok layuq orang siang hari buta,
Bukan pelik tapi kisah benar belaka,
Hanya very-very special di bulan puasa...

Berduyun-duyun ke bazar ramadhan,
Jantan betina lelaki perempuan,
Bersentuh badan, punggung dan lengan,
Dok buat bukan-bukan,
Syariat agama letak belakang,
Itulah nasib si bulan Ramadhan,
Ikut nafsu, hilang habis rancangan,
Bila beli bukan main kepalang,
Penuh tangan dibawa pulang,
Untuk hidangan waktu petang,
Macamana tak cekang pinggang,
Dok hentam penuh pinggan,
Sampai maghrib pun hilang,
Itu petanda taufan datang...
Habis disapunya keliling kelalang,
Putih mata putih tulang,
Lain kali ingat pada tuhan,

Apa kisah depa kata..
Katanya dosa sendiri-sendiri punya,
Kubur pun lain-lain kepala,
Tapi aku pun dok garu kepala,
Sepatutnya depa kesah juga..
Bila menjerit dalam kubur kena tala,
Dengan malaikat maa rabbuka,
Sehingga mengganggu ahli kubur lain pula,
Itu depa kata tak ganggu namanya...
Punya bengong apa punya nalla..

Selamat berpuasa semua,
Seronok dok kacau-kacau saja...
Dari dok saja tak buat apa-apa..
Gurau sikit-sikit saja,
Celoteh-celoteh di bulan mulia,
Tapi takut pula kurang pahala,
Kena sumpah mai dosa,
Habis pahala kena gabuih semua,
Ampun maaf dari hujung kaki terus ke kepala..
Selamat berpuasa semua...
Semoga beroleh barakah puasa,
Dari Allah yang Maha berkuasa...

Ramadhan kareem

abuzorief @ sheffield
19/8/2010, khamis
11.50am UK

Monday, 16 August 2010

Kisah di bulan Ramadhan, semuanya belum...


Tarawikh

Belum sempat selesai tarawikh mata saya sudah mula pedih dan badan pun mula buat hal, terasa sengal dari tumit hingga ke leher dibuatnya, lapan rakaat sudahlah, esok sajalah buat 20 rakaat. Malam esok kan masih ada, malam ini kita buat sikit-sikit sudahlah, janji 'istiqamah'...

Tilawah

Belum sempat sampai muka surat terakhir juzuk, duduk pun mula resah. Sudah terasa pedih 'papan' punggung dan terasa lama pula duduk bersila. Alah! baca sampai sini cukuplah, bukankah sudah masuk juzuk keenam, puasa pun baru hari ke 5, bukankah sudah baca lebih tu... esok sambung pula...

Berbuka

Belum habis waktu maghrib, selagi itulah masih duduk mengadap makanan yang belum habis dimakan. Kalau boleh hendak makan kesemuanya, hendak rasa kesemuanya. Dalam hati kata jangan membazir, nanti kawan syaitan. Tetapi masa sudah hendak masuk waktu isya',... tak apa!, nanti sembahyang maghrib dan terus sembahyang isya', padahal masa itu perut sudah sendat kekenyangan dan badan pun mula malas. Aduh! kenyang, malasnya...

Sahur

Belum habis dibuai mimpi, masuk pula waktu sahur, badan cukup malas hendak bangun. Mata pun susah hendak dibuka. Jam sudah berapa kali berbunyi dan ditutup 'alarm'nya. Akhirnya jam pun dicampak jauh-jauh tanpa disedari. Alah!, kalau tak makan sahur pun, esok ok lagi...

Derma

Belum sempat si hamba Allah datang meminta, dalam hati sudah banyak andaian dan pra-sangka buruk, dengan alasan tidak mahu beri sedekah...
  • Badan kuat lagi, malas kerja...
  • Budak-budak ni datang, mesti kerja sindikitlah ni....
  • Alah hai makcik, mana pergi anak makcik suruhlah anak makcik jaga...
Tetapi kena selalu ingat....

Belum sempat malaikat mencabut nyawa, jangan pula kita cakap, Eeeeh! eeeh!, nanti dulu, aku belum buat itu, aku belum buat ini...

Mungkin juga Malaikat akan berkata, tidak mengapa!, tuan boleh buat dalam kubur nanti, macam-macam ada di dalam...

Sebelum datang 5 perkara....

Malah saya cuba mencari dan merenung diri, tentang datangnya 5 perkara sebelum 5 perkara. Ingat lima perkara, sebelum lima perkara...
  • Sihat sebelum sakit
  • Muda sebelum tua,
  • kaya sebelum miskin
  • Lapang sebelum sempit
  • Hidup sebelum mati

abuzorief @ sheffield
16/8/2010 monday

Friday, 6 August 2010

Salam Ramadhan...



Salam Ramadhan...

Walaupun Ramadhan beberapa hari lagi akan tiba, saya masih tidak dapat merasai 'bahang' kehadirannya. Tidak meriah dan seolah-olahnya tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Mungkin saya silap atau saya sendiri yang tidak merasainya...

Ramadhan kembali...

Cuma yang didapati meriah dan berubah suasananya ialah di kedai-kedai dan dipasar-pasar. Banyak dan berlonggok-longgok buah kurma dan tamar berbagai aneka jenis dan datang dari negara yang berlainan. Di situ sahaja suasana nampak begitu 'ceria' bila Ramadhan kembali menjelma. Bagi peniaga, bulan inilah peluang mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda disamping menjadi bulan untuk mengaut pahala dan barakah berganda-ganda. Alangkah baiknya, sekiranya perniaga menjual dengan harga yang murah dan mereka berpeluang mengaut pahala dengan bersedekah. Dan pembeli pula kenalah juga memperbanyakkan memberi dari meminta.

Ramadhan kembali...

Tidak ada pun dikalangan kita bila bertemu dan menyapa "Ramadhan kareem". Jadi macamana kita hendak merasai kehadiran ramadhan. Dan kita sendiri pun tidak cuba mengatur program untuk menyambut kehadiran bulan yang penuh barakah itu.

Ramadhan kembali...

Banyaklah pula program-program hiburan disusun untuk bulan ramadhan. Jadi, ianya memberi peluang orang-orang berpuasa menghabiskan masa mengadap TV kerana siri-siri atau rancangan yang disusun amat menarik, rugi katanya kalau terlepas...

Ramadhan kembali ...


"Aku masih teringat ketika aku berada di Jakarta beberapa tahun yang lalu, boleh dikatakan semua pusat hiburan ditutup kerana 'memberi' laluan untuk memuliakan bulan Ramadhan... dan beberapa hotel menyediakan hidangan sahur untuk mereka yang berpuasa..."


Ramadhan kembali...


Di bulan Ramadhan inilah berbagai-bagai kemaruk atau keinginan mula timbul dan dihajati. Walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu syaitan masih bertapak dan bersarang di dalam diri dan hati kita, Ya muqallibal qulub tsabit qalbi 'ala deenik...

Antara perkara-perkara yang boleh menaikkan roh ramadhan:
  • Melatih diri berpuasa sunat.
  • Meningkat kualiti pembacaan Al Quran, tadabbur, dan menghayati ayat-ayat di dalam surah yang dibaca.
  • Memperbanyakkan dan meningkatkan kualiti solat sunat spt: sunat rawatib, Dhuha, Tahajjud, Witr dsbnya.
  • Memperbanyakkan dan meningkatkan kualiti berI'tikaf di dalam masjid.
  • Memperbanyakkan dan meningkatkan kualiti sedekah dan hadiah.
  • Memperbanyakkan melaksanakan urusan mengajak kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
  • Meningkatkan kualiti ibadah wajib spt: solat lima waktu, zakat dsbnya.
  • Memperkukuhkan kefahaman dan pengamalan terhadap akidah yang sejahtera.
  • Memperelokkan nilai-nilai akhlak yang baik.
  • Meningkatkan kualiti zikir spt: bertasbih, tahmid dan takbir dsbnya.
  • Memperbanyakkan bertaubat kepada Allah spt beristigfar dsbnya...
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah di setiap masa dan tempat.
  • Memberi makan kepada yang berpuasa.
  • Meninggalkan perkara-perkara yang makhruh, subahat dan sia-sia.
  • Meningkatkan semangat juang untuk membebaskan Al Aqsa tercinta dan bumi palestine.
Ramadhan kembali, tetapi suasana di sekeliling saya masih sepi, atau sayakah yang merasa sepi... astagfirullah waatubu ilaih

abuzorief @ darnall
6/8/2010 Jumaat
Pengemis Ramadhan

Friday, 18 September 2009

Ramadhan yang pergi...


Mungkin berjumpa, mungkin tidak ramadhan yang akan datang. Itulah keluhan yang sering kedengaran.

Umur aku yang ada sejengkal ini bukanlah ukuran yang lama untuk aku menguji kekuatan nyawa yang dianugerahkan. Esok, lusa dan tulat dan mahupun seterusnya tidak memberikan apa-apa jaminan untuk terus mengecapi udara dunia ini. Setiap manusia pasti akan mati. Itulah noktah terakhir makhluk yang bernyawa. Ada yang akhir hidupnya dengan jalan baik, husnul khatimah dan ada pula sebaliknya, su'ul khatimah. Hakikatnya, maut tidak dapat dihalang atau ditukar-ganti atau boleh dirunding, bila dan bila dan bila....

Tetapi tidak kepada Maha pencipta dan Maha Agung.

Walaupun ramadhan sering silih berganti, dari tahun ke tahun namun ramadhan tetap dimuliakan. Bahkan berlumba-lumba insan muslim lainnya membuat kebajikan, fastabiqul khairat. Berlumba-lumba untuk memenuhi janji Allah Taala. Namun dalam pada itu, insan yang sering begelumang dengan keperitan hidup, tersepit, terhimpit dik kedaifan masih berada kebuntuan hidup di antara celah-celah kehidupan dan kematian. Peritnya hidup untuk menanggung diri yang belum tahu hujung hayat bila dan bagaimana kesudahannya.

Namun mereka masih ada lagi harapan rezeki yang telah ditetapkan dan masih ada insan lain yang senang menghulurkan bantuan.

Itulah hak yang Maha pemberi rezeki, pengasih dan penyayang.

Saudara kita di Palestine yang bermandikan darah, berbuka puasa dan bersahur dengan dentuman meriam dan desingan peluru. Keadaan mereka yang berjaga-jaga dan tidak tentu arah. Kekejaman Zionist yang kemaruk kepada penaklukan dan darah muslim hanya seronok memincingkan mata menbedik senjata untuk menghemburkan butiran besi-besi racun ke arah nyawa yang sedang bertakbir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah. Berjuang kerana agama Allah. Berjuang kerana maruah dan keluarga. Berjuang kerana untuk memastikan maqasid syar'iah dipertahankan. Ramadhan bagi saudara kita ini dianggapnya sebagai bekalan kekuatan untuk pertempuran membebas Palestina dan Masjid Al-Aqsa.

Di manakah kita di saat ini... bergembira ataukah berduka mengenangkan nasib yang menimpa mereka...

Kita yang senang-lenang dan selesa dengan tidak diuji oleh kekalutan suasana hidup ini hanya berhadapan dengan kekalutan hidup sendiri. Baju raya sudah belikah atau belum?, kuih sudah buatkah atau belum?, perkakas dan perabot rumah sudah ditukar atau belum?. Semua ini adalah kekalutan nafsu yang menguasai jiwa yang sedang bertarung dengan jiwa yang hampir tenang dengan tuhannya. Jiwa yang tenang kerana menagih janji tuhannya untuk bersama-sama dengan hamba-hambanya yang terpilih dan mengharapkan untuk mengecapi syurga yang penuh dengan nikmat yang tidak terkata dan tergambar.

Datangnya ramadhan setahun sekali tetapi kita tidak mampu untuk mengabdikan diri kita kepada Allah Taala dengan sepenuhnya. Rupanya masih banyak urusan dunia yang tidak mampu ditinggalkan buat sementara waktu. Sebaliknya, amalan dan ibadah pula terpaksa ditangguhkan sementara kerana memberi ruang dan laluan kepada kehendak dan kemahuan nafsu.

Sesungguhnya Allah maha penerima taubat hamba-hambanya.

" Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu dilalaikan oleh harta kamu & anak-anak kamu daripada mengingati Allah . Maka barangsiapa yang melakukan yang demikian , maka mereka itulah orang-orang yang rugi . Dan berbelanjalah dari rezeki yang Kami kurniakan kamu sebelum mati datang kepada seseorang kamu, lalu akan berkatalah dia : Tuhanku ! Kalaulah boleh Engkau menangguhkan matiku sedikit masa lagi ,niscaya aku akan memberi sedekah , dan aku akan menjadi dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan. Dan Tuhan tiada akan memberi tangguh kepada sesuatu jiwa ,apabila telah sampai ajalnya, dan Allah Maha Mengetahui terhadap segala yang kamu kerjakan "9 : 11

Aku hanya mampu menangis di dalam kekalutan hati aku sendiri, semoga Allah mengampuni dosa-dosa yang lalu...

Ameen, ameen ya Rabbal Alamin.

abuzorief @ Sheffield
18/9/2009 jumaat

Sunday, 13 September 2009

Ramadhan vs SWOT & Key Performance Indicator


Sepanjang ramadhan yang telah dilalui ini, maka sudah tentu kita tahu segala kekuatan dan kelemahan kita serta apa yang akan kita perolehi.

SWOT

Kita sudah boleh membuat penilaian prestasi amal sepanjang harian atau muhasabah yang telah dilalui. Kita juga sudah pun sedia maklum bahawa dikalangan kita mempunyai borang-borang muhasabah yang tersendiri. Semua rekod dan amalan yang akan atau telah dilakukan sebenarnya sudah boleh kita membuat ukuran secara fizikal melalui data dan grafikal statistik secara terperinci. Kita sahaja yang mengetahui kelemahan dan kekuatan diri sendiri melalui SWOT (Strength, Weakness, Opportunity and Treats) analisis yang dilakukan sendiri.

KPI

Bukanlah kita hendak menentukan berapa banyak pahala yang kita sudah dapat, semua ini kerja Allah Taala akan tetapi sebaliknya, kita hendak mengukur berapakah pencapaian amalan yang telah kita laksanakan dan kita penuhi melalui piawaian KPI atau Key performance Indicator yang telah kita tentukan di awal Ramadhan dan seterusnya.
  • What : Apa yang hendak kita buat
  • How: Bagaimana kita hendak buat
  • Where : Dimana kita hendak buat
  • Who : Siapa dan dengan siapa kita hendak buat
  • Why : Kenapa kita hendak buat

Baguskah kita atau terukkah kita, rajinkah atau malaskah kita, maka ianya boleh diputuskan bermula dari KPI yang telah kita tentukan diawalnya. Maka rajin-rajinlah audit sendiri amalan kita dengan Allah Taala mahupun sesama insan yang lain.

Semua indicator atau petunjuk-petunjuk ini adalah dari kesungguhan kita sendiri. Kalau kita ingin memperolehi sesuatu nescaya kita akan berusaha untuk memdapatkannya, melainkan kita sendiri yang tidak mahu berusaha ke arahnya.

Semoga Allah menerima amalan harian kita dan digolongkan di dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.

Wallahu 'alam

abuzorief @ sheffield
13/9/2009 sunday

Friday, 11 September 2009

Ramadhan vs Larian terakhir...


"Ummi! kita nak buat kueh raya apa nanti". tanya anak saya kepada Umminya. "Kek Coklat, Blaa..blaa.... ", Balas umminya.

"Tadarus abah belum habis lagi ni...." kata saya.

"Weii seronoknya bulan puasa nak habis dah ni...." kata si anak kecil.

Pecutan

Inilah masa yang paling sibuk bagi mereka yang mempunyai agenda, semuanya hendak dihabiskan dengan pecutan yang tidak terhingga lajunya, semua perkara hendak dilakukan. Mana dengan persiapan makanan, kuih muihnya, Tarawikhnya, witr, Tahajjud, zikir, Tadarusnya, Dhuha, amalan fardhu dan sunat mu'akkadah, derma dan sedekah dan sebagainya ibadah dan kerja harian yang lain.


Al maklum bak kata, semuanya sibuk dan penuh agenda harian di bulan Ramadhan ini dan lebih-lebih lagi di akhir 10 malam mengejar malam lailatur Qadr.
Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?.. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar. (Al-Qadr: 1- 5)
Berlumba-lumba

Saya menjangkakan kita semua berlumba-lumba untuk beribadah di akhir malam yang mana ganjaran pahalanya melebihi ganjaran 1000 bulan seperti mana yang telah dijanjikan oleh Allah Taala. Biar pun hal keadaan kita disibukkan dengan hal seharian namun akhirnya kita bersegera pula untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah Taala. Biar pun kita diletihkan dengan urusan kerja yang saban hari tidak akan habis, namun kita masih mampu untuk menyusup buat seketika masa untuk bertadarus ayat suci Al Quran. Mampu kita untuk membilang tasbih, tahmid dan takbir kepada yang maha Esa.
 

Kerana, kita adalah hambanya....
Lailatul Qadr
 
Malam akhir yang telah digambarkan oleh Allah sebagai malam yang penuh dengan keberkatan. diampunkan segala dosa dan diangkat darjat seorang itu menjadi hambanya yang dikasihi dan paling bertaqwa.

Bagi mereka yang mengidamkan malam Lailatur Qadr ini maka mereka akan merancang agenda sepanjang harian supaya mereka tidak terlepas atau mensia-siakan malam yang penuh dengan ganjaran ini.

Namun bagi mereka yang merasakan malam akhir ini sama sahaja seperti malam -malam lain maka akan tidak diendahnya dan dibiarkan malam itu berlalu dengan perkara-perkara yang lalai dan lagha...
 
Kenapa macam biasa sahaja?. Malah kalau kita perhatikan kembali, amalan baik di bulan puasa ini banyak yang kita sia-siakan, banyak makanan yang telah kita bazirkan. Kalau diperhatikan juga, perbelanjaan di bulan puasa ini juga terlebih diluar jangkaan kita daripada bulan-bulan tidak berpuasa. Cubalah kita perincikan setiap perbelanjaan yang telah dibelanjakan. Makanan berbuka, baju baru, tirai baru, kerusi baru, cadar baru dan sebagainya. Bukannya tidak boleh semua itu tetapi biarlah di dalam pertimbangan aras kita. Perkara inilah yang diuji untuk kita lalui  dan mungkin juga sebagai penentu malam Qadr kita.

Ada juga di antara kita menjadikan malam-malam ini dengan seriusnya menyaksikan perlawanan bola sepak yang berbagai-bagai liga dan piala, mengadap wajah di papan TV sedangkan wajah kita ini perlu dihadapkan kepada Allah Taala. Kelalaian ini sehingga terabai dan terlepasnya waktu tahajjud, tasbih dan masa yang selayaknya dibesarkan keagungan Alah Taala. Adakah kita serius untuk Allah Taala?. Bukankah semua amalan itu untuk bekalan kita?. Sepatutnya, masa inilah juga kita sujud dan bersimpuh memohon keampunan di atas dosa-dosa yang telah banyak kita lakukan,
 
Namun semuanya kita sia-siakan dik kerana anggapan kita yang mengatakan bahawa malam itu sama sahaja, macam malam di bulan-bulan yang lain.

Apakah sebenarnya harapan kita apabila bertemu dengan malam yang mejangkau kemuliaannya lebih mulia dari malam 1000 bulan itu?...

Adakah kita benar-benar akan bertemu dengan malam Lailatur Qadr?...

Sepantas manakah kita berlari dan memecut. Berlarilah kita selaju mungkin untuk mengutip setiap ganjaran yang telah Allah janjikan...

Adakah kita akan bersama dengan mereka yang akan mencapai hujung garisan penamat iaitu golongan orang-orang yang bertaqwa?.
Dimana kita di akhir malam ini, dan adakah kita akan berada digarisan penamat dengan capaian nombor satu?.

abuzorief @ Sheffield
11/9/2009 jumaat

Tuesday, 8 September 2009

Ramadhan vs Iman dan Nafsu


 
"Aku rimaslah, lagi-lagi buat baik, apa yang baik sangat dengan Ramadhan sampai hang suka sangat dengan dia" merungut Nafsu kepada Iman.

"Eh! kamu ni membebel tak tentu pasal ni kenapa?, Ramadhan itukan kawan aku, Aku selesa dan tenang dengan dia... dia medan beramal dan aku mampu mengaut seberapa banyak pahala yang dijanjikan oleh Tuhan aku..." kata Iman kepada Nafsu.

"Eleh!, baik?, pahala?... amal?, apa semua tu, tak payah nak buat baik, kalau baik macam mana sekali pun bukannya hang dapat apa, Ramadhan tu membuatkan hang penat, lapar, dahaga saja, itu tak boleh buat.. ini tak boleh buat... apa semua tu?, tak ada kebebasanlah..." Bantah Nafsu dengan rasa tidak puas hati.

"Itu bagi kamu, tapi tidak aku, aku suka dengan dia, dah lama aku bersama dia walaupun setahun sekali aku berjumpa, lagi lama tak berjumpa, lagi rindu aku rasakan, sedih kalau aku terpaksa meninggalkannya.." kata Iman dengan nada yang bersungguh-sungguh.

"Hang tengok aku ni, boleh mengumpat, mengadu domba, jadi batu api, bebaslah... we are free beb". Nafsu cuba menghasut Iman.

"Tak boleh semua tu, bertentangan dengan fitrah ciptaan aku..., come on lah, bersihkanlah hati kamu dengan segala sifat mahmudah, tinggalkanlah perbuatan keji tu, sanggup kamu engkar dengan tuan kamu sendiri ya!..." nasihat Iman kepada Nafsu.

Namun tak dihiraunya Nafsu dengan kata-kata Iman. Nafsu yang keras kepala, memang susah hendak dilembutkan dengan kata-kata. Tetapi Iman sangat tahu bagaimana hendak mengawal Nafsu daripada mempengaruhinya setiap detik dan waktu. Dia akan ajar Nafsu supaya kalah dengan kehendak mazmumahnya. Ya!, dengan cara berpuasa sahaja Nafsu akan kalah.

Hari-hari Ramadhan telah berlalu. Memang kedua mereka tidak mudah mengalah, dan mereka juga berlainan ciptaan. Dan mereka sanggup berperang di antara satu sama lain demi untuk mempertahankan misi perjuangan dan kefahaman masing-masing.
 
******
 
 
Iman mahu menjadi hamba yang bertaqwa kepada Rabbul Jalil. Nafsu pula sejak azali lagi sangat bantah dengan Rabbul Izzati. Dia bercita-cita untuk menjadi Amarah. Menguasai dunia yang fana ini. Keras hatinya macam batu malah lebih keras dan liat dari yang disangkakan.

Namun semua ini tidak dihiraukan oleh Iman. Kerana Iman sangat setia kepada tuhannya. Setiap kali dia terleka maka dia akan segera beristhigfar kepada tuhannya di atas kelalaian dan kealpaannya. Tuhannya amat mengasihinya. Dialah harapan tuhannya yang dapat mengalahkan si Nafsu yang sombong dan kerakusan itu.
Wahai jiwa yang tenang!... Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhainya, maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan asuklah ke dalam surgaKu: Al-Fajr: 27-30

Berbeza pula dengan Nafsu. Dia lebih suka bersekongkol dengan tuannya iaitu Syaitan keparat. Jalannya adalah jalan yang sesat. Tidak pernahnya hendak membawa kebaikan dan kemurniaan. Banyak fasad dan mungkar gerak-gerinya dari amal baik. Begitu senang hati dia dengan Syaitan. Kalau tidak diturutinya arahan tuannya, terasa gelisah kelakunya. Malah dia lebih arif untuk mengatur strategi tanpa bantuan tuannya.
"Dia mengilhamkan kepadanya jalan kejahatan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya dan sungguh rugi orang yang mengotorinya" Asy-Syam: 8-10
 
Wallahu a'lam
 
abuzorief @ Sheffield
8/9/2009 tuesday

Wednesday, 26 August 2009

Bila Ramadhan tiba...

 
Bila Ramadhan tiba...

Besar kecil tua muda,
Semua sudah cukup bersedia,
Beli kurma bertimba-timba,
katanya untuk membuat pahala,
Dibedaknya habis jiran tetangga,
Alhamdulillah berkat hendaknya...

Bila sambut Ramadhan tiba...

Riuh rendah pasar Ramadhan,
Terpekik terlolong memanggil pelanggan,
Habis semua laki-perempuan, betina-jantan,
Keluar petang cari makan,
Bersentuh tangan, punggung dan badan,
Alamak!... inikan bulan Ramadhan...

Tak pula kurangnya cari keuntungan,
Letak harga sakan-sakan,
Ada yang mahal bukan-bukan,
Macamana nak buat amalan,
Kalau begini sudah tidak tahan dugaan...
Inilah masa pekena pelanggan.

Bila sudah Ramadhan tiba...

Bukan hendak cari pahala,
Tapi membazir tidak tentu hala,
Makanan lebih bermeja-meja,
Sekadar hendak menjamu selera,
Ikutkan nafsu yang bermaharaja-lela,
Tidak ingat pula mereka yang derita,
Alah inikan sekali sekala,
katanya....

Bila sudah Ramadhan tiba...

Sembahyang tarawikh lapan saja,
Buang masa sembang pula,
Pok pek sini, pok pek sana,
Mengata orang selamba saja,
Seolah-olah bukan berpuasa,
Macam pula hari biasa,
Tidak ada rasa apa-apa,
Cuma rasa letih dan dahaga,
Hilang pahala dapat dosa...

Bila sudah Ramadhan tiba...

Baru cari Quran dimana,
Selama ini terperosok di atas para,
Penuh habuk tidak terkata,
Guna untuk Ramadhan saja,
Habis Ramadhan simpan pula,
Macamana Allah nak Redha kita,
Setahun sekali ingat dia,
Inikah dinamakan hamba setia,
Sibuk hendak syurga dia,
Tapi amalan seceput saja.

Bila Ramadhan tiba...

Tahu pula malu tdak berpuasa,
Tapi solat tinggal juga,
Sedekah sini, sedekah sana,
Nak tunjuk betapa baiknya,
Dari orang yang jaga rukunnya,
Boleh buat modal pula,
Tengok, tengok... solat pun kedekut juga,
Itulah bahan jadi cerita,
Semua orang sama sahaja...

Bila Ramadhan tiba...

Ingatlah tuan-tuan semua,
Datangnya sekali sekala,
Sebulan Ramadhan amalan dijaga,
Berlumba-lumba merebut pahala,
Ikhlaskan diri kepada dia,
Rendah diri mengharap redha,
Baru dinamakan hamba bertaqwa,
Sebagai perisai hidup di dunia,
Menanti syurga Allah Taala...

abuzorief @ Sheffield
26/8/2009 wednesday