Pages

Sunday, 9 May 2010

Lesen judi yang halal...


Apa nak jadi dengan pemimpin negara kita pun tak tahulah. Kalau yang sudah jelas haram perbuatan itu, maka janganlah dihalalkan pula. Ada ke patut nak mengeluarkan lesen halal perjudian bola sepak piala dunia 2010. Apa dah tak keruankah pemikiran dan kemahuan nafsu sarakah?.
Sepatutnya sebagai pemimpin, diketatkan pengeluaran dan budaya perjudian, ini tidak, diberinya laluan mudah pula untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah Taala. Tidak ada kaedah yang boleh menghalalkan cara kalau benda itu sememangnya haram. Gelak besar dan seronoklah syaitan-syaitan sedunia dari mak bapak sehingga kepada tok nenek, cucu-cicit dan piut-piut sekeliannya kerana bodohnya manusia semacam ini. Berpesta syaitan anak beranak.
Janganlah cari bala kalau bala itu belum ditakdirkan ditimpa dan jatuh kedebum ke atas kepala kita semua. Insyaallah, selagi aku bernyawa, maka aku akan mendoakan kesejahteraan ummah di Malaysia supaya jangan sampai ditimpa bencana akibat perbuatan bodoh kita semua. Aku sayangkan keluarga, kawan taulan dan penjuang-pejuang Islam yang berhati ikhlas dan semuanya yang masih mengharapkan keredhaan dan naungan kasih sayang Allah Taala di muka bumi yang rahmah itu .

Jangan pula, hanya seorang dua yang membuat maksiat kepada Allah, maka Allah menimpa musibahnya kepada kita semua. Kalau kita semua belum diuji, maka janganlah kita meminta-minta supaya diuji. Sekali diberi ujian maka sudah pasti tidak tertanggunglah kita menanggung akibatnya. Sudah-sudahlah maksiat yang telah dilakukan, berapa banyak lagi maksiat yang hendak kita hiasi di bumi Malaysia itu... dari kes zina, murtad, menolak dan menafikan perlaksanaan hukum syariat, judi, arak, mempermainkan nama Allah, memperkecilkan dan menafikan peranan ulama dan sebagainya.
Rasulullah bersabda "Barang siapa membuat Allah redha dengan kebencian manusia, Allah akan melindunginya dari kejahatan manusia. Dan barangsiapa menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka mereka tidak akan mampu menolongnya walau sedikitpun dari azab Allah Taala. (HR Tirmidzi)

Sepatutnya sebagai pemimpin negara, takutnya mereka kepada amarah Allah taala itu kena lebih dari rakyat jelata. Kerana mereka mempunyai kuasa. Mereka menjaga amanah rakyat. Popular sebagai pemimpin bukan itu caranya.
Barangsiapa tidak memperhatikan urusan umat Islam, maka ia tidak termasuk di dalam golonganku.

Kalau pemimpin yang cerdik pula, mereka amat berhati-hati menggunakan kuasa yang telah diamanahkan oleh rakyat. Bukannya apabila berkuasa maka sewenang-wenangnya menggunakan kuasa tanpa ada rasa takut kepada amanah yang dipertanggungjawabkan. Ingatlah sama dengan takdir baik dan buruk dari Allah Taala.
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengkianati Allah dan Rasul-rasulnya dan janganlah kalian mengkianati amanah yang dipercayakan kepada kalian, sedang kalian mengetahuinya (Al Anfal:27)

Berkenaan dengan meluluskan lesen perjudian bola sepak piala dunia itu, lupakan sajalah. Jangan nak tunjuk hero atau popular tak tentu pasal. Janganlah mengikutkan sangat hawa nafsu syaitan. Ingat-ingatlah azab api neraka Allah Taala. Akibatnya amat besar dari nak membendung kemurkaan Allah Taala. Sekali Allah 'sapu' kita semua, bersih muka bumi Malaysia. Kejadian tsunami pun dah semakin hampir saja dengan tanah Malaysia. Itu pun masih tidak mahu mengambil i'tibar lagi. Apa nak jadi? Nak kata buta perut, tapi kenyang. Nak kata buta hati, tak tahulah...

Jangan buat keputusan mengikut hawa nafsu, tetapi buatlah dengan berlapik hukum hakam Allah Taala. Hayatilah ayat Allah selalu. Kalau Al Quran yang disimpan di dalam almari kayu jati itu cantik dijadikan perhiasan, maka keluarkanlah dan rajin-rajinlah membaca dan mentadabur isi kandungannya. Jadikanlah Al Quran itu sebagai perhiasan diri pula.
 
Dan juga, tengok-tengoklah dan pertimbanglah kehendak dan larangan dari rakyat.
 
Jangan pula kita menyesal bila jasad kita sudah ditanam, maka roh kita meronta-ronta dan merayu kepada Allah supaya Allah mengembalikan kita semula ke atas muka bumi ini.
Ya tuhan kami, kembalilah (kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang singkat, niscaya kami akan mematuhi seruanMu dan akan mengikuti rasul-rasul (Ibrahim:44)

Doa rakyat lagi makbul kerana mereka golongan yang tertindas... awas sedarlah wahai pemimpin. Menjadi pemimpin hanya sementara sahaja. Esok lusa boleh turun dan menjadi rakyat pula. Kalau elok rakyat puja dan kalau buruk rakyat caci dan benci untuk selama-lamanya...

Itu bukan popular namanya dan jagalah amanah rakyat sebagai mana menjaga nyawa sendiri...
 
Kita tidak akan membiarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya tetapi sebaliknya kita akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan si Luncai dengan segala isi perut labu-labunya...

abuzorief @ Sheffield
9/5/2010 sunday
 
Nota:
Salah satu dari usul 20 oleh Imam Hasan AlBanna adalah pendapat seorang imam dengan wakilnya tanpa berdasarkan nas yang menerangkan - yang mengandungi berbagai maslahat umum - boleh diperlakukan selama mana ianya tidak bertentangan dengan kaedah syariat dan mungkin dapat berubah suai dengan kondisi, adat dan kebiasaan. Adapun prinsip utama dalam kebiasaan adalah melihat rahsia, hikmah dan tujuannya.

Thursday, 22 April 2010

Suci dan bersih vs boikot dan syubahat, halalkah?

 
Selagi mana makanan itu bersih, berkhasiat dan lebih utama lagi ialah suci dan halal toiyyiba maka makanlah. Kalau sudah tahu makanan itu tidak berapa elok dan ada unsur syubhat, maka tinggalkanlah.

Kaedah pemakanan Rasulullah, makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang dan manakala kaedah pemakanan kita, makan selagi mana boleh makan.

Mempengaruhi jiwa dan akal

Pemakanan mempengaruhi watak dan tingkah laku seseorang kerana pemakanan kita akan menjadi darah dan daging dan akan juga diwarisi sekiranya kita mewarisi anak-anak sejak dari benih pensenyawaan dan dalam kandungan ibu lagi.

Kerana makanan yang kita makan akan melibatkan penyucian atau pengotoran hati. Kaedah untuk penyucian hati amat payah. Kecuali kaedah sepertimana yang diajar oleh Allah dan Rasulullah.

Demi jiwa dan penyempurnaannya, maka dia mengilhamkan kepadanya kejahatan dan ketakwaannya. sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikannya, dan sungguhnya amat rugi orang yang mengotorinya. (Assyam 7-10)

Dari Abu Abdullah Al Nu'man bin Basyir Radiyallahu 'anhuma katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran (syubahat), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakkan manusia. Maka barang siapa memelihara segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala disekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternaknya) maka di dalamnya. Ketahuilah! bahawa tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! bahawa larangan Allah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim


Rasulullah pernah menegur sahabat yang hendak mengahwinkan pokok tamarnya supaya mempunyai buah yang baik dan elok. Lalu rasulullah pun akur dan mengatakan kamu lebih tahu akan urusan dunia kamu.

Bagi kita umat Islam semestinya memastikan pemakanan harian kita itu yang terbaik, berkualiti, dan lebih utama diberikan perhatian ialah yang suci, bersih dan halal toiyibba demi utk menjaga jiwa dan penyempurnaannya diri kita untuk kita beribadah kepada Allah setiap waktu. Bahkan, memastikan supaya doa kita ini diterima dan mustajab.

Firman allah: Berdoalah kepada ku nescaya akan aku perkenankan.

Tetapi dalam bab pemakanan ini juga bagi kita yang lebih berhati-hati, maka ada pula tingkat awlawiyatnya (keutamaannya), demi untuk menjaga tujuan syariat iaitu untuk menjaga agama, nyawa, akal, keluarga dan harta.

Elakkan keraguan

Contoh dalam isu keberadaan kita diluar negara. Selagi mana boleh kita perolehi makanan yang halal, bersih dan suci dari hasil tangan-tangan orang Islam kita sendiri maka perlulah kita utamakan dan diberi perhatian. Akan tetapi kalau sukar utk memperolehinya maka fikirkan yng terbaik yang mana ianya tidak meragukan demi menjaga tujuan pengibadatan kita. Kerana perkara yang meragukan itu akan akhirnya termasuk di dalam perkara syubahat. Dan perkara syubahat itu lebih hampir kepada yang haram. Dan perkara haram itu adalah berdosa dan menjerumuskan diri kita sendiri di dalam api neraka.

Nauzu billahi min zalik..


Boikot

Contoh yang lain pula, tentang isu boikot barang makanan Zionist. Kenapa perlu boikot?. Kerana sudah sedia maklum, bahawa syarikat yang terbabit ini turut menyumbang kepada kezaliman Zionist keatas umat manusia di tanah Palestine dan juga umat Islam sedunia. Siapa lagi mahu mempertahankan umat Islam kalau tidak kita semua. Dimanakah letaknya ucapan dua kalimah syadahah yang suci ini setiap kali kita sujud dan rukuk kepada Alah Taala. Adakah kita faham dan mengerti tuntutan ucapan ini?

Ayuh!, jangan samakan kita dengan burung kakaktua atau tiong yang pandai berkata-kata..

Bak kata orang tua-tua, "muafakat membawa berkat. Berat sama-sama dipikul dan ringan sama-sama dijinjing"

Membeli barangan hasil keluaran mereka bererti kita menyokong keganasan dan kezaliman yang telah mereka lakukan terutamanya pembunuhan anak-anak kecil dan orang-orang tua yang tidak berupaya. Cerita ini sepertimana Firaun berusaha membunuh anak-anak lelaki kecil yang dipercayainya akan mengugat kedudukannya dan kuasa kezalimannya.

Bak kata pepatah, tepuk dada dan tanyalah selera. Adakah berselera sekali kita untuk makan, makanan yang haram dan syubahat, syarikat yang menyokong Zionist (selagimana terjaga Maqaid Syari'e/tujuan syara') yang mana hasil dari tangan-tangan mereka ini kelak pasti membunuh, menipu dan meracuni seluruh umat manusia yang ikhlas untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala di atas muka bumi ini dengan aman dan tenang.

Inlah ujian dan nikmat keatas kita semua.

Perlu diingatkan bahawa hati kita tidak akan bercampur dengan dua benda dalam satu masa. Hati kita hanya mampu berkeadaan sama ada bersih atau kotor. Dua keadaan in tidak akan duduk bersama-sama. Inilah keagungan ciptaan Allah Taala.

Kepadanyalah selayaknya kita sembah.

Buah cempedak diluar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan,

Buah cempedak diluar pagar,
Mana boleh ia dijolokkan,
Sudah tentu kepunyaan orang,
Inilah adab yang perlu diajarkan,
Supaya tidak mencuri hak orang...


Wallahu 'alam

abuzorief @ darnall
22/4/2010 khamis

Thursday, 15 April 2010

Niat yang ikhlas, barakah hasilnya.


Niat nakal saya untuk makan nasi Mandi kambing atau Mindi laham di Mekah termakbul. Memang nakal kerana sahaja mencari pasal. Siapa sangka boleh makan disana. Memang sedap, katanya daging kambing dimasak di dalam tempayan yang tertanam di dalam tanah. Alhamdulillah berkat bumi Haram Mekah. Itupun bukannya dibeli di kedai tetapi rezeki penunaian nazar seekor kambing oleh salah seorang keluarga jamaah umrah.

Niat
 
Begitulah juga kalau kita berniat untuk pergi melaksanakan ibadah dengan sungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah Taala, insyaallah pasti diterima oleh Allah Taala, dijemputnya juga kita untuk menatap 'wajahnya'. Kita ini hanya sebagai hambanya dan dialu-alukan kita sebagai tetamu undangannya.

Itulah menandakan betapa kasih dan sayangnya Allah kepada tetamunya. Kalau Allah tidak mahu menerima kita, maka belum menjadi rezeki kita lagi. Tetapi kalau sudah masanya kita ini menjadi tetamu undangan Allah, maka susah atau sukar macam mana sekali pun, tetap akan sampai dan disambutnya dengan rasa sayu dan sebak kerana mulianya undangan ini.

Terharu kerana dapat juga beribadah secara lebih dekat dan tenang sekali.

Labbaikallahumma labbaik...

Memang benarlah kata-kata orang, kalau kita berniat dari mulanya hendak membeli belah di sana, maka berbondong-bondonglah barang-barang yang akan kita bawa balik dan akhirnya menyusahkan diri kita sendiri yang hendak memikulnya. Mana masanya hendak beribadah dan mana pula masanya hendak membeli-belah. Bukankah itu tersasar niat kita yang asalnya.

Ada kala terlintas niat sedari awalnya lalu berkata, Ahh!, hilanglah selipar ini nanti... maka akan hilanglah selipar tersebut. Tetapi kaedahnya jangan marah-marah kalau sesuatu perkara itu terjadi sebaliknya berbanyaklah beristighfar kepada Allah. Itukan lebih mulia dan lebih dikasihi Allah. Itu tandanya kita kena selalu rapat dan insaf serta inginkan keampunan dari Allah Taala. Allah itu maha pengasih lagi penyayang. Mohon sahaja dari Allah maka akan dimakbulkan segala hajat.

Aku menyahut panggilanmu ya Allah, tiada sekutu bagimu dengan sesuatu yang lain...
 
Lorong kebajikan
 
Kalau kita mempunyai prasangka yang baik dengan Allah maka mudah sahaja lorong-lorong kebajikan yang akan Allah tunjukkan kepada kita. Hendak cium hajar aswad, bersolat dan berdoa di makam Ibrahim, Multazam, Hijir Ismail, berdoa di Marwah atau Safa atau dimana-mana sahaja, pasti diperkenankan Allah. Mintalah kepadanya, kerana kitakan tetamunya. Selayaknya sebagai tetamu mengetahui adab-adab sebagai tetamu. Bukannya buat ikut kepala sendiri sahaja. Allah lebih mengetahui segala-galanya.
 
Labbaikallahumma labbaik...

Bumi anbiya'

Bumi Makkah adalah bumi anbiyya. Bumi yang penuh barakah dan maghfirah. Bumi yang didiami oleh Nabi Muhammad SAW. Bumi yang telah mencorakkan akidah hidup manusia dari kufur kepada mengabdikan diri keikhlas-ikhlas kepada Allah taala.
 
Rasulullah SAW ketika di Makkah melihat dan merubah kemungkaran-kemungkaran yang paling dahsyat dan mengaibkan. Kedai-kedai arak, rumah-rumah pelacuran, berhala-berhala yang berbagai jenis, wanita-wanita yang melakukan tawaf Kaabah dengan bertelanjang dan sebagainya. Malah usaha arrasul mengubah semua itu, untuk mengembalikan kepada agama yang hanif sepertimana berlakunya di zaman nabi Allah Ibrahim. Semuanya melibatkan pengorbanan sama ada berbentuk jiwa dan nyawa mahupun harta kekayaan.

Labbaikallahumma labbaik, labbaikala syarikala kalabbaik, innalhamda wan ni'mata lakawalmulk la syarikalak...

Wallahu 'alam

abuzorief @ makkah
15/4/2010 khamis

Friday, 2 April 2010

Rindu untuk menyembahmu...

Salam untukMu...

Rasa sayu, sebak dan gembira bila menanti beberapa hari sahaja lagi kedua kaki ini akan melangkah kepadaMu. Takut dan gusar juga datang sekali sekala, bukannya apa, dikhuatiri diri ini tidak diterima, tidak diundang untuk mengadap wajah dan sujud menyembah kepadaMu dengan setulus dan semulus ikhlas hatiKu.

Namun kegembiraan muncul bila diberi peluang untuk mengadap kearahMu, dan sebak pula bila mengenangkan betapa peritnya kekasihMu, Rasulullah untuk 'memerdekakan' hambaMmu dari kekurafatan dan kesyirikan. Hamba-hambamu yang membuat onar dan dosa yang panjang untuk dikembalikan kepadaMu berkeadaan suci kepada fitrah pengabdian.

Sedih dan pilu kerana kekasihMu, Rasullullah terpaksa mengorbankan harta dan nyawa bersama sahabat-sahabat tercinta untuk membebaskan dan mengajak hamba-hambamu untuk mengabdikan diri kepadaMu Ya! Allah.

Labbaikallahum malabaik, laibaikala syarikalakalabbaik, innalhamda wanni'mata lakawalmulk, La syarikalak....

Terasa diri ini dipanggil lagi dan lagi dan terngiang-ngiang dilubang teliga yang sempit ini akan undangan untuk mengadap diri kepadaMu...

Allahummalabaik, La syarikalak...

Ya Allah permudahkanlah, urusan hambaMu ini, tiada daya upaya melainkanku serahkan diriku ini kepadaMu Ya Allah...

Wallahu 'alam

abuzorief @ heathrow airport
Saudi Airline
Departure Heathrow (LHR): 12.30pm Friday 2/4/2010
Arrive Jeddah (JED): 20.30

Sunday, 21 March 2010

Waa terseksa, Lu terjun nelaka oo...


Apa nama... bersih?,
Apa nama... Halalan toiyiban?,
Lu kata lu bersih,
Lu basuh tangan tapi Lu "punya" tidak ooo...

Lu kata Lu Halalan Toiyiban,
Besar punya Halal pun Lu ada,
Tapi Lu hantam itu sumua benda...
Bersih ka najis ka... sumua sama oo..,
Itu lu kena kasi ingat..
Lagi-lagi itu haa.. halalan toiyiba,

Lu jangan pandang mudah oo..,
Silap halibulan Lu pun boleh melenting,
Akibat Lu cuai haa, Lu punya badan binasa oo...
Waa terseksa oo.., Lu terjun nelaka...

Waa muslim oo...
Sumua muka, tangan, kepala dan kaki setiap hali haa ..
Waa basuh oo..,
Waa wajib mengadap tuhan,
Itu kotor mana ada kasi melekat,
Waa doa itu juga najis mazmumah juga kasi hilang,
Tuhan Allah Waa berdoa,
Semoga kyusuk Waa sebagai hamba tuhan oo...
 
abuzorief @ Sheffield
21/3/2010 sunday

Sunday, 17 January 2010

Dr Al Amin Belhaj



Dr Amin Belhaj telah mengingatkan melalui tazkeerah beliau tentang 3 perkara:

1. Taufik Allah.

Beliau menyatakan bahawa perlunya kita semua memohon taufik dari Allah Taala diatas setiap amal dan tugas yang kita lakukan yang mana ianya perlulah Ikhlas, Tawakal, doa, Taqwa dan beribadah/worship.

Dan tidak memandang rendah tentang doa kita kepada Allah Taala.
2. Bunyanun marsus (bangunan yang tersusun kukuh).

Perlu kuat dan memperkuatkan diantara satu sama lain. Ukhuwwah yang mantap, humble untuk memberikan momentum yang padu dalam medan dakwah yang diterajui.

Kalau sekiranya ikatan ini longgar maka momentum juga akan kurang contoh yang diberikan ialah F=m x a (m itu maksudnya ikatan padu atau bunyanun marsus)
3. Amal

Perlulah meningkatkan amal dikalangan kita dengan menonjolkan Jihad di dalam diri kita semua.

Bukan sahaja maksudnya jihad itu mesti berjuang di medan tetapi jihad yang perlu difahami ialah melakukan usaha sedaya upaya kemampuan (maximum will) yang ada pada diri kita semua.
Wallahu a'lam

abuzorief @ severn road sheffield
17/1/2010 sunday
katibah MWHS

Saturday, 5 December 2009

Jejak langkah yang ditinggalkan... Salam Ma'al Hijrah 1431H


Setiap kali tahun baru menjelang, maka setiap kali itulah kita semua akan membilang umur kita. Sebenarnya sudah melangkah ke alam tua bangka dan bukannya melangkah ke alam muda remaja. Kita masih sibuk lagi dengan menghimpun harta dunia yang tidak pernah habis, membolot dengan lahapnya. Mengaut harta kekayaan selagi hidup dan selagi berkuasa. Mengaut dan memboloti harta dunia dengan rakusan hawa nafsu. Namun kalau harta itu berjaya digunakan ke arah jalan yang baik dan direhai oleh Allah, maka manfaat besar ke atas diri sendiri amat berbaloi di dunia dan memudahkan perjalanan hidup kita di akhirat.

Maka adapun orang yang melampaui batas dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya. Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsu, maka sesungguhnya, syurgalah tempat tinggalnya. (Surah An Naziat: 37 - 41)

Ibnu ‘Athaillah Al-Iskandari, dalam kitabnya (Al-Hikam) mengatakan: “Satu kerugian dan kehinaan yang besar iaitu anda selesai melaksanakan kesibukan dan pekerjaan anda, lalu anda tidak menghadap Allah; dan bebananmu telah berkurang, tapi engkau tidak bergerak menuju (keredaan)Nya. Yakni Kekasih dan Pelindung hamba Jalla Jalaluhu.”

Kalau sepanjang hidup dipenuhi dengan kerja-kerja mengumpat dan mencela orang lain, maka faedahnya adalah bahang api yang membakar sehingga melunyaikan segala isi perut dan daging yang membaluti jiwa yang bergelumang dengan dosa yang tidak pernah dihirau sedikit kekesalan pun oleh si pemilik tubuh tersebut.

Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela. Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya. Dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak!. Pasti dia akan dilemparkan ke dalam (neraka) Hutamah. Dan tahukah kamu apakah (neraka) Hutamah itu?. (iatu) api (azab) Allah yang dinyalakan, yang (membakar) sampai ke hati. Sungguh, api itu ditutup rapat atas (diri) mereka. (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang. (Surah Al Humazah: 1 - 9)

Kalau sepanjang hidup tidak pernah menghambakan diri kepada yang maha Esa, maka saksikanlah nanti apabila kita berhadapan dengan saat-saat nazak yang mana malaikat maut akan datang menghampiri kita dengan begitu ganas dan rakus untuk menyentap nyawa dari tubuh yang selama ini dijaga dan dirawati dengan semoleknya. Jiwa dibiarkan kering dan gersang dengan tiadanya sifat kehambaan kepada yang maha Esa. Selama kita hidup, dibiarnya jiwa kita dibaluti dengan karat-karat mazmumah yang hanya melayakkan jiwa dan tubuh kita dimamah oleh api neraka jahanam.

Kalau sepanjang hidup tidak pernah sama sekali bersyukur ke atas nikmat yang dikurniakan oleh yang Maha pemberi Rezeki. Maka tunggulah azab pedih yang akan menanti untuk mengajar diri sendiri supaya lebih menghargai erti kesyukuran.

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?. Inilah neraka jahanam yang didustakan oleh orang-orang yang berdosa. (Surah Ar Rahman : 42 - 43)
Lebih-lebih lagi nikmat Islam yang memang telah menjadi pegangan dan cara hidup kita sejak dari kecil lagi. Terfikirkah kita betapa besarnya hidup dalam Islam. Hidup di dalam keamanan dan sentiasa dinaungi kasih sayang dan rahmat Allah Taala. Banyak sangat nikmat yang telah diberikan oleh yang maha Berkuasa. Bagaimanakah pula nikmat ciptaan ke atas diri kita sendiri?..

Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku sempurnakan nikmatku bagimu dan Aku redha Islam sebagai agamamu. (Surah Al Maidah: 3)

Semoga amal kita semua akan bertambah baik dan molek dengan semangat azam tahun baru. Tahun baru yang datang tetap merupakan tahun baru, tetapi sedarlah setiap kali kedatangan mereka maka setiap kalilah usia kita akan hampir dengan ajal dan maut. Beringatlah demi untuk keselesaan hidup kita di akhirat.

"Manfaatkanlah lima masa sebelum datang lima masa; Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu, masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu, masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu, masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu, masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin."(Hadis riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu Abbas r.a.)

"Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba Allah (dari tempat hisab di padang mahsyar) sebelum ia ditanya berkenaan: Umurnya (yakni masa-masa di sepanjang umurnya), bagaimana ia habiskannya? Ilmunya, bagaimana ia amalkannya? Hartanya, dari mana ia perolehi dan cara mana ia belanjakannya? Tubuh-badannya, bagaimana ia gunakannya?(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Barzah Nadhlah ibn Abid al-Aslami)

Selamat menyambut tahun baru Maal Hijrah 1431H.

abuzorief @ Sheffield
15/12/2009, Saturday