Pages

Sunday 9 May 2010

Lesen judi yang halal...


Apa nak jadi dengan pemimpin negara kita pun tak tahulah. Kalau yang sudah jelas haram perbuatan itu, maka janganlah dihalalkan pula. Ada ke patut nak mengeluarkan lesen halal perjudian bola sepak piala dunia 2010. Apa dah tak keruankah pemikiran dan kemahuan nafsu sarakah?.
Sepatutnya sebagai pemimpin, diketatkan pengeluaran dan budaya perjudian, ini tidak, diberinya laluan mudah pula untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah Taala. Tidak ada kaedah yang boleh menghalalkan cara kalau benda itu sememangnya haram. Gelak besar dan seronoklah syaitan-syaitan sedunia dari mak bapak sehingga kepada tok nenek, cucu-cicit dan piut-piut sekeliannya kerana bodohnya manusia semacam ini. Berpesta syaitan anak beranak.
Janganlah cari bala kalau bala itu belum ditakdirkan ditimpa dan jatuh kedebum ke atas kepala kita semua. Insyaallah, selagi aku bernyawa, maka aku akan mendoakan kesejahteraan ummah di Malaysia supaya jangan sampai ditimpa bencana akibat perbuatan bodoh kita semua. Aku sayangkan keluarga, kawan taulan dan penjuang-pejuang Islam yang berhati ikhlas dan semuanya yang masih mengharapkan keredhaan dan naungan kasih sayang Allah Taala di muka bumi yang rahmah itu .

Jangan pula, hanya seorang dua yang membuat maksiat kepada Allah, maka Allah menimpa musibahnya kepada kita semua. Kalau kita semua belum diuji, maka janganlah kita meminta-minta supaya diuji. Sekali diberi ujian maka sudah pasti tidak tertanggunglah kita menanggung akibatnya. Sudah-sudahlah maksiat yang telah dilakukan, berapa banyak lagi maksiat yang hendak kita hiasi di bumi Malaysia itu... dari kes zina, murtad, menolak dan menafikan perlaksanaan hukum syariat, judi, arak, mempermainkan nama Allah, memperkecilkan dan menafikan peranan ulama dan sebagainya.
Rasulullah bersabda "Barang siapa membuat Allah redha dengan kebencian manusia, Allah akan melindunginya dari kejahatan manusia. Dan barangsiapa menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka mereka tidak akan mampu menolongnya walau sedikitpun dari azab Allah Taala. (HR Tirmidzi)

Sepatutnya sebagai pemimpin negara, takutnya mereka kepada amarah Allah taala itu kena lebih dari rakyat jelata. Kerana mereka mempunyai kuasa. Mereka menjaga amanah rakyat. Popular sebagai pemimpin bukan itu caranya.
Barangsiapa tidak memperhatikan urusan umat Islam, maka ia tidak termasuk di dalam golonganku.

Kalau pemimpin yang cerdik pula, mereka amat berhati-hati menggunakan kuasa yang telah diamanahkan oleh rakyat. Bukannya apabila berkuasa maka sewenang-wenangnya menggunakan kuasa tanpa ada rasa takut kepada amanah yang dipertanggungjawabkan. Ingatlah sama dengan takdir baik dan buruk dari Allah Taala.
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengkianati Allah dan Rasul-rasulnya dan janganlah kalian mengkianati amanah yang dipercayakan kepada kalian, sedang kalian mengetahuinya (Al Anfal:27)

Berkenaan dengan meluluskan lesen perjudian bola sepak piala dunia itu, lupakan sajalah. Jangan nak tunjuk hero atau popular tak tentu pasal. Janganlah mengikutkan sangat hawa nafsu syaitan. Ingat-ingatlah azab api neraka Allah Taala. Akibatnya amat besar dari nak membendung kemurkaan Allah Taala. Sekali Allah 'sapu' kita semua, bersih muka bumi Malaysia. Kejadian tsunami pun dah semakin hampir saja dengan tanah Malaysia. Itu pun masih tidak mahu mengambil i'tibar lagi. Apa nak jadi? Nak kata buta perut, tapi kenyang. Nak kata buta hati, tak tahulah...

Jangan buat keputusan mengikut hawa nafsu, tetapi buatlah dengan berlapik hukum hakam Allah Taala. Hayatilah ayat Allah selalu. Kalau Al Quran yang disimpan di dalam almari kayu jati itu cantik dijadikan perhiasan, maka keluarkanlah dan rajin-rajinlah membaca dan mentadabur isi kandungannya. Jadikanlah Al Quran itu sebagai perhiasan diri pula.
 
Dan juga, tengok-tengoklah dan pertimbanglah kehendak dan larangan dari rakyat.
 
Jangan pula kita menyesal bila jasad kita sudah ditanam, maka roh kita meronta-ronta dan merayu kepada Allah supaya Allah mengembalikan kita semula ke atas muka bumi ini.
Ya tuhan kami, kembalilah (kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang singkat, niscaya kami akan mematuhi seruanMu dan akan mengikuti rasul-rasul (Ibrahim:44)

Doa rakyat lagi makbul kerana mereka golongan yang tertindas... awas sedarlah wahai pemimpin. Menjadi pemimpin hanya sementara sahaja. Esok lusa boleh turun dan menjadi rakyat pula. Kalau elok rakyat puja dan kalau buruk rakyat caci dan benci untuk selama-lamanya...

Itu bukan popular namanya dan jagalah amanah rakyat sebagai mana menjaga nyawa sendiri...
 
Kita tidak akan membiarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya tetapi sebaliknya kita akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan si Luncai dengan segala isi perut labu-labunya...

abuzorief @ Sheffield
9/5/2010 sunday
 
Nota:
Salah satu dari usul 20 oleh Imam Hasan AlBanna adalah pendapat seorang imam dengan wakilnya tanpa berdasarkan nas yang menerangkan - yang mengandungi berbagai maslahat umum - boleh diperlakukan selama mana ianya tidak bertentangan dengan kaedah syariat dan mungkin dapat berubah suai dengan kondisi, adat dan kebiasaan. Adapun prinsip utama dalam kebiasaan adalah melihat rahsia, hikmah dan tujuannya.

No comments:

Post a Comment