Pages

Thursday 19 May 2011

Siapakah yang layak memberikan pertolongan?...


Setiap hari dan setiap detik pasti ada sahaja masalah dan dugaan yang menimpa. Besar atau kecil, kesusahan, kerumitan, kesakitan, kesempitan rezeki dan sebagainya, ia tetap menghantui fikiran dan meresahkan kehidupan seharian.

Musibah yang berlaku akan mengugat keyakinan kita kepada Allah Taala. Sedikit sebanyak menenggelamkan hubungan dengan Allah. Bagi yang beriman dengan Allah pasti segala-gala darinya dan kepadanya jualah tempat kembali.

Masalah

Gaya kehidupan kita yang berbeza akan berhadapan dengan masalah yang berbeza. Masalah perlu kepada penyelesaian atau dengan lain perkataan, ia mesti diselesaikan. Sekiranya disimpan dan dipendam begitu lama, maka ia akan menjadi bertambah parah dan menyebabkan ia sukar untuk ditangani atau kalau boleh pun, pasti ianya akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Masalah yang berkait perlu kepada penyelesaian yang teliti dan perlu kepada satu persatu untuk dirungkaikan.

Menyelesaikan banyak masalah pun boleh mengakibatkan tekanan dan rasa tidak selesa di dalam kehidupan saban masa atau saban hari selagi ianya benar-benar dipastikan selesai. Mencari punca kepada masalah merupakan langkah yang bijak.

Akan tetapi kepada siapakah sepatutnya hendak kita merayu dan meminta pertolongan?... pada kawan-kawan, sahabat handai, saudara-mara?...

Keresahan

Apabila timbul keresahan dalam diri maka dirasakan diri akan hilang kestabilan. Tindakan menjadi sugul dan penuh emosi diluar kawalan. Keresahan timbul dari hati yang tidak tenang.

Kegembiraan atau duka-cita, kemewahan atau kemiskinan dan kesenangan atau kesempitan dan sebagainya adalah kosmetik kepada kehidupan. Barangkali kita diuji untuk mengukur sejauh mana keyakinan dan berharapnya kita kepada Allah.

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). Al-Anaam [6:44]

Allah yang maha kaya itu tidak pernah tidak berlaku adil kepada makhluknya. Diberinya segala bentuk nikmat yang berbagai-bagai kepada kita mengikut tahap kesungguhan, kemampuan dan keyakinan.

وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيْهِ تَجْأَرُونَ
Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan. An-Nahl [16:53]

Tetapi kita sering kali melupakan segala nikmat yang diberikan dan tenggelam lemas dengan keseronokan dan kemewahan. Kita akan mula sedar apabila semua kenikmatan yang diperolehi sedikit demi sedikit ditarik balik.

فَإِذَا رَكِبُوا فِي الْفُلْكِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ
Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya. Al-Ankaboot [29:65]

Kesakitan

Selalunya apabila kita mengalami kesakitan, maka kita mudah untuk bertafakur dengan merenung sedalam-dalamnya segala hasil buat baik dan jahat yang telah dilakukan. Mudah sangat untuk kita merasa kesal di atas perbuatan dan ingin kembali bertaubat kepada Allah Taala.

Tetapi mujurlah kesakitan adalah jalan pantas untuk kita bertaubat di atas segala ketelanjuran kerja buat kita atau tidak pun ia menjadikan kita lebih hampir dan dekat dengan Allah Taala. Mudah-mudahan kita sentiasa dibimbing oleh Allah dan yang paling diidami ialah menjadi kekasih Allah.

Pertolongan

Namun kita tidak boleh lari dari meminta pertolongan. Walau hebat dan kuat sekalipun kita, mahu tidak mahu kita berkehendakkan kepada pertolongan. Dengan siapa yang kita perlu minta pertolongan kalau tidak kepada Allah Taala. Walau bagaimana jahat sekalipun perbuatan manusia itu, pasti ia akan kembali kepada Allah untuk memohon pertolongan.

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan. Al-Baqara [2:107]

Sifat Allah yang maha pengasih dan penyayang sentiasa memberikan pertolongan kepada hambanya yang meminta walaupun hambanya telah melakukan banyak kesalahan dan kejahatan.

لَا يَسْأَمُ الْإِنْسَانُ مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ وَإِنْ مَسَّهُ الشَّرُّ فَيَئُوسٌ قَنُوطٌ
Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah). Fussilat [41:49]

Allah hanya mengharapkan  segala pertolongan darinya diakhiri dengan penyesalan dan menjadi hambanya yang taat mengabdikan diri kepadanya.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Al-Fatiha [1:5]


Pertolongan vs sabar + solat

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; Al-Baqara [2:45]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. Al-Baqara [2:153]

Pertolongan vs taubat + tawakkal

وَأَنِيبُوا إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ
Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. Az-Zumar [39:54]

Wallahu a'lam

[1] Terjemahan Al Quran

abuzorief @ sheffield
19/5/2011, Khamis

No comments:

Post a Comment