Pages

Monday, 25 August 2014

Bahagialah anak didik Syeikh Ahmad Yassin...


Tembak sana...
Meletup sini...
Desingan peluru M16 tepat dibidik
Tembus ke kepala dan dada

Anak kecil, lelaki dan perempuan
Semuanya tidak berdosa
Pada siapa mereka mahu meminta
Adakah pada kalian?

Haha, Haha, Haha...

Warga dunia masih tidur lena
Jiran tetangga sepi tidak terduga
Jeritlah sekuat mana...
Apakan daya
Semua tidak bermaya

Malam siang tiada lagi kehidupan
Hanya menanti kematian sahaja
Esok lusa entah bagaimana...
Kais pagi makan pagi entahkan ada,
Sasaran peluru sudah pasti tersedia..

Letupan meriam menjerit ngeri
Anak kecil sudah mengerti
Kerna itulah kehidupan setiap hari
Tiada lagi masa bermanja diri

Wahai pemuda, wahai pemudi Palestin
Bahagialah anak didik Syeikh Ahmad Yassin
Teruslah menjadi benteng Addin

Kerana...
Hidup mulia mati syahid

abuzorief @ sg siputeh
sg bayor, selama perak
23/8/2014 sabtu
MATA 2014 
(22-24 ogos 2014)

Tuesday, 5 August 2014

Apakah boikot sampai ke matlamatnya?...


Alhamdulillah kesan boikot ke atas barang-barang kepunyaan Syarikat yang menyokong Zionist Israel telah menampakkan hasilnya. Kalau mereka secara terang-terangan menyokong Zionist, maka kita juga mesti terang-terangan memboikot mereka. Timbulkan rasa sensitiviti dan kemarahan kita secara terbuka.

Walaupun, kita melawan mereka bukan dengan peluru dan senjata tetapi kita mesti memaksa diri kita dengan melawan hawa nafsu kita untuk tidak membeli barang-barang yang banyak menyokong Zionist Israel semata-mata untuk membunuh dan menzalimi rakyat Palestin dan lainnya. Ini isu keadilan dan hak kemanusiaan. Banyak mangsa kematian dan kecederaan itu terdiri daripada anak-anak kecil, wanita, orang tua dan mereka yang tidak bersenjata.

Setiap diri kita mesti disedarkan dengan setiap tindakan dan apakah kesannya tindakan yang kita lakukan. Setiap tindakan itu mestilah ada hadaf (tujuan) dan awlawiyyat (keutamaan). Terutama tindakan yang kita lakukan itu ada kaitannya dengan kezaliman dan pembunuhan.

Saya bersyukur sangat kerana masyarakat Malaysia kini sudah sedar dan semakin ramai yang menyokong usaha memboikot ini. Kalau dulunya usaha ini diperlekehkan dan dipandang sebelah mata sahaja, kini seluruh dunia telah bangun menyatakan kebersamaan mereka. Sekarang bukan lagi isu agama tetapi isu kemanusian dan hak kemanusiaan sejagat.

Syukur, saya membesarkan anak-anak saya dengan tidak memberi mereka makan McD, tidak memenuhi rumah saya dengan produk Nestle, tidak memenuhi peti sejuk dengan Coca-Cola atau Pepsi atau produk yang ada kaitan dengan menyokong Zionist. Anak-anak saya tidak menjadi orang 'gila' kerana tidak dapat makan makanan yang berjenama tersebut.

Walaupun produk itu halal tetapi saya telah 'mengharamkan' setiap pembelian produk, sebelum saya berumahtangga lagi kerana saya sedar bahawa syarikat-syarikat itu telah banyak menghancurkan nilai-nilai dan hak-hak kemanusiaan yang hakikatnya semua manusia mengimpikan keamanan dan keadilan.


Cukuplah dengan apa yang Zionist telah lakukan ke atas rakyat Palestin. Sudah lama mereka menderita dan bertahan di atas tanah mereka sehingga sekarang. Mereka berjuang di atas tanah dan halaman sendiri, mempertahankan negara, kedaulatan tanahair, mempertahankan kesucian agama, tempat lahir dan dibesarkan dan lainnya adalah tanggungjawab, tetapi mereka pula digelar sebagai penjenayah, terrorist dan sebagainya di dalam negara dan tanahair sendiri.

Sesungguhnya Palestin adalah 'guru' kepada kita, kerana mereka 'mengajar' kita untuk mempertahankan kemuliaan dan kemerdekaan diri, sedangkan kita yang melihat mereka masih terjajah dan kalah kerana terbelenggu dengan hawa nafsu dan ego sendiri.

bersambung...

abuzorief @ kulim
5/8/2014 selasa

Monday, 12 May 2014

Fobia diuji...


Benar-benar saya terasa apabila perkara-perkara yang selalu saya cakap, nasihati, atau bagi peringatan pada orang lain itu akan berpatah balik kepada saya yang bercakap. Kalau bercakap tentang kesihatan, maka akan diuji oleh Allah dengan kesakitan. Kalau bercakap tentang kesabaran , maka datanglah ujian yang akan menyebabkan saya naik berang dan 'panas'. Kalau bercakap tentang  sikap menderma atau sedekah, maka diuji oleh Allah berkaitan dengan kewangan. Dugaan orang yang hendak meminjam duit walaupun duit tersebut hanya memadai untuk perbelanjaan harian diri dan keluarga atau duit itu telah dirancang untuk digunakan untuk tujuan itu dan ini. Barangkali duit itu bukan bahagian saya, mungkin itulah bahagian dia, seperti yang telah ditakdirkan akan sukatannya oleh Allah SWT.

Jangan pandai bercakap sahaja...

Fobia...

Terasa 'fobia' pula hendak bercakap perkara-perkara yang berkenaan. Takut diuji dengan ujian yang tidak mampu untuk ditanggung, walaupun Allah hanya menguji mengikut tahap kemampuan seseorang. Memang terasa berat untuk menghadapinya. Terasa lelah yang amat sangat.

Hanya kepadaMu ya Allah aku berserah dan bertawakkal.

Perkhabaran yang telah disampaikan itu pasti ada ujian yang datang melanda. Berat atau ringan itu di luar pengetahuan kita. Tidak boleh dielakkan lagi.

Hanya dengan sabar dan ikhlas sahaja mampu memberikan ketenteraman pada diri.

Berteori?...
 
Berteori sahaja belum lagi memadai, Hebat macamana pun kita berbicara, belum tentu lagi dikategorikan sebagai hebat. Teorinya mesti lengkap dengan praktikalnya. Maksudnya mestilah terlebih dahulu melalui ujian dan dugaan. Ada pengalaman yang akan dijadikan neraca timbangan kepada setiap pertuturan itu.

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. [As-Soff 61:2-3]

Bahkan untuk mengelakkan diri dari kemurkaan Allah tentang apa yang telah kita perkatakan, maka semestinya kitalah yang mendahuluinya. Baik dari segi percakapan, perbuatan mahupun apa saja tindakan lahiriyah ataupun batiniyah supaya terhindar dari kemurkaan Allah.

Allah maha Mengetahui dan mendengar segala sesuatu

Semoga dengan dugaan itulah yang akan membuka atau menjadi jalan keluar kepada segala dugaan tersebut.

Sekian

abuzorief @ kulim
nama kawanku nasir (pertolongan)
12/5/2014 isnin
9.00am

Thursday, 8 May 2014

Bebal...


"Dah banyak kali cakap, pun masih buat salah lagi, benda yang sama juga diulang, penat cakaplah"

"Entah berapa kali dah cakap, apakah masuk telinga kanan lepas itu keluar telinga kanan juga?, kalau masuk teliga kanan keluar telinga kiri, sekurang-kurangnya lekat juga kalau tak banyak sikit!"

"Dah besar panjang, tak faham-faham, bahasa apa lagi aku nak cakap"

Maka perkataan yang terakhir akan keluar...

"Memang bebal sungguh"

Wallahu 'alam

Tambah menyakitkan hati, sekiranya kita sentiasa berulang-ulang kali cakap, menegur, menasihati tetapi tetap juga si polan itu membuat kesalahan yang tidak sepatutnya diulang.

Teruslah bercakap...

Bercakaplah banyak kali, nasihatilah banyak kali dan jangan berputus asa. Memang itu tabiat manusia yang kita temui. Mungkin kita juga sedemikian, tidak dapat dinafikan dengan kelemahan sebagai insan. Apa yang berlaku itu juga yang akan berlaku pada diri sendiri. Menunjuk ke arah orang lain itu juga sebenarnya menunjuk juga kepada kita.

Luahkan rasa...

Mesti diluahkan rasa tidak puas hati itu supaya ia tidak 'bersarang' di dalam diri, kerana akibatnya ia akan merosakkan diri sendiri, karier dan prestasi diri. Berterus-terang adalah komunikasi yang terbaik bagi menghilangkan kekusutan.


Berdoa...

Apabila berdepan dengan situasi tersebut, bersabarlah dan terus berdoa kepada Allah Taala. Berdoa bukan untuk menghancurkan tetapi meminta dikurniakan ketabahan, kekuatan sabar dan dikurniakan hidayah ke atas kita dan hamba Allah tersebut.

Wallahu 'alam

abuzorief @ kulim
8/5/14 khamis

Monday, 5 May 2014

Apa ertinya menumpang...


Semasa saya melalui di setiap lorong yang sempit di antara deretan rumah, saya berfikir alangkah bertuahnya saya kerana bukan saya yang berada di sini. Rumah sekadar untuk berteduh dan insfrastrukturnya tidak terurus. Longkang bertakung dan menjadi sarang biak berbagai serangga berbahaya. Rumah yang hampir rebah 'bertumpang dagu' kerana itulah satu-satunya tempat untuk berteduh dari siang dan malam, panas terik dan hujan, tempat berehat seadanya.

Bukannya semua rumah yang mereka tinggal itu milik sendiri, tetapi ada yang menyewa walaupun keadaan rumah sewa yang mereka sewa itu juga begitu dhoif. Ertinya, yang menyewakan rumah itu juga hidup kesempitan. Malah ada di antara mereka itu pula berpenyakit kronik yang memerlukan rawatan yang tidak kurang mahalnya.

Dimanakah mereka hendak memperolehi kesenangan?

Apa ertinya hidup...

Membuat kerja amal kebajikan banyak mengajar erti hidup yang lebih bermakna di dalam diri. Kerana ia mampu melahirkan rasa insaf, tidak sombong dengan kelebihan yang ada, tidak kedekut untuk memberi sama ada harta benda, wang ringgit atau tenaga kudrat yang ada malah menghabiskan masa-masa itu untuk merancang dan menyusun gerak-kerja supaya ia lebih berstrategik.

Memberi itu banyak keberkatan dari Allah Taala. Dengan memberi kita meringankan beban kesempitan dan kesusahan yang ditanggung oleh mereka yang kurang berkemampuan. Memberi kepada yang memerlukan akan melembutkan hati supaya tidak bersifat sombong dan bakhil. Memberi menanamkan pada diri kita semangat ukhuwwah kerana Allah Taala. Memberi akan mengingatkan kita di atas sifat kasih dan sayang Allah. Kita yang mempunyai kelebihan dari perbagai sudut nikmat adalah untuk melengkapi rantaian-rantaian hidup di antara satu sama lain (compliment each other).

Kenapa kita tidak mahu berlumba-lumba di dalam mencari kebaikan dan pahala sepertimana yang dijanjikan oleh Allah Taala?

bersambung...

abuzorief @ kg manis perai
semarak mahabbah kg manis
4/5/2014 ahad 
9.00am-12.00pm


Tuesday, 29 April 2014

Orang luar-biasa?


Apakah tarbiah itu hanya tempelan dan bagi orang yang mahukannya separuh masa sahaja? Bila senang kita ikut, dan kalau kita sibuk atau jemu kita tinggalkan sahaja?

Segera...

Langsung tidak akan bersabar dengan jangka masa yang panjang, cepat bosan dan tidak boleh tunggu lama. Kalau boleh tarbiyah itu mahu dengan hasil yang segera. Hari ini usrah esok terus jadi orang hebat. Hari ini usrah, esok sudah boleh jadi 'penglipur-lara'. Hari ini usrah esok boleh jadi celebriti pujaan ramai. Hari ini usrah esok boleh masuk TV. Hari ini usrah esok boleh jadi ustaz. Seolah-olahnya usrah atau medan tarbiyah yang lain itu medan akademik atau 'pemproses mee segera' yang ada jangka-masa graduannya.

Orang luarbiasa?...

Tarbiyah yang dicermati prosesnya adalah tarbiyah yang mampu membina dan membentuk seseorang dari 'orang biasa' kepada orang 'luar-biasa'. Tarbiyah yang ada skema penilaian keatasnya. Penilaian itu bukan atas penilaian dari kaca mata kasar orang yang melihatnya, tetapi dari hasil pembentukkan Al-Quran dan Sunnah. Orang itu bukan sahaja semata-mata hebat ilmunya tetapi zatiyah diri rabbaniah yang terbentuk itu dari sibghah Allah Taala. Orang luar-biasa ini memang pelik orangnya. Kerana, jiwa dan hartanya banyak 'diserahkan' kepada Allah dan RasulNya terlebih dahulu dari kepentingan diri sendiri.

Apakah kita termasuk di dalam kategori orang luar-biasa ini?

bersambung...

abuzorief @ kulim
29/4/2014 selasa

Thursday, 24 April 2014

Kosong?


Seperkara yang tidak pernah terlintas di dalam perancangan hidup saya sejak dari kecil dan malahan, tidak sama sekali terbayang pula saya untuk melibatkan diri di dalam mana-mana Jamaah Islam.

Kosong...

Apa yang saya ketahui dan fahami ketika itu hanya beramal ibadat sebagai 'adat kebiasaan' yang perbuatannya diikuti melalui didikan orang tua-tua turun-temurun dan ikutan masyarakat ramai. Maklum,  ia sudah menjadi amal kebiasaan sejak dahulu-kala. Itulah kefahaman tipis saya ketika dahulu.

Alhamdulillah dengan berbekalkan ilmu yang sedikit saban hari, kefahaman yang tidak seberapa itu kian bertambah memenuhi ruang 'dada'.

Itulah corak kefahaman biasa ke atas kehidupan ini. Beragama Islam kerana ibu-bapa adalah beragama Islam. Kerana di dalam surat beranak dan Kad Pengenalan diakui secara bertulis sebagai beragama Islam.



Bersama Jamaah

Mengenal Islam sahaja belum memadai tanpa melaksanakan segala keperluan dan tanggungjawab terhadapnya. Mengenal Islam sahaja tanpa beramal untuknya diibaratkan seperti sebuah kereta mewah yang disimpan tetapi tidak diguna-pakai atau dipandu-uji. Hanya megah dimulut pemiliknya bertutur mengenainya tetapi tidak lebih sebagai 'besi tersimpan' yang tidak dapat dimanfaatkan ke atasnya. Kereta yang baik semestinya bermanfaat kepada pemiliknya dan orang sekelilingnya juga.

Untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim sudah pasti memerlukan platform untuk bekerja untuknya. Malah, lebih efektif apabila bersama-sama dengan Jamaah Islam pasti kerja untuknya semakin mudah. Kerana ia juga sebagai salah satu jalan untuk merealisasikan segala keperluan Islam itu sendiri. Bahkan, ia juga adalah jalan-jalan sunnah yang paling utama yang telah diajarkan dan telah dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW.

Sedikit?...

Benarlah, hanya golongan yang sedikit itu sahaja adalah golongan pilihan Allah yang mana mereka lebih ikhlas melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya. Mereka tetap istiqamah apabila bertembung dengan fitnah, kezaliman, mehnah (ujian) dengan sabar dan thabat di atas jalan Allah.

Sejauh manakah keikhlasan?

Siapakah yang lebih ikhlasnya di dalam melakukan amal?.

Tiada siapa yang tahu melainkan sipelaku amal itu sahaja yang tahu isi hatinya sendiri. Orang lain di sana hanya mampu menilai dari tindakan luarannya sahaja. Tetapi percayalah bahawa Allah sahaja yang layak menilai dan maha mengetahui atas setiap perbuatan amal yang kita lakukan.

bersambung...

abuzorief @ kulim
24/4/2014 khamis