Pages

Tuesday, 4 June 2013

Cegah


Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika dia diseru oleh Tuhannya di "Wadi Tuwa" yang suci; (Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya); Serta katakanlah kepadanya: Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? (Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: Mukjizat yang besar. Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah); Kemudian dia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa). Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru; Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi. Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).[An-Naziat 79 :15-26]


Cegah...

Fenomena zalim, menindas, menipu, mengugut, membunuh, mendera dan pelbagai lagi perbuatan jahat sama ada disedari mahupun tidak disedari adalah merupakan sifat-sifat jahat atau mazmumah yang mesti diperangi di atas muka bumi ini.

Kerana hendak berkuasalah, maka sifat-sifat jahat ini akan timbul dan bermaharajalela di dalam diri kita. Berpengaruh, terpengaruh, dipengaruhi dan mempengaruhi akan lebih lagi melonjakkan keinginan kita itu untuk berkuasa. Malah, hawa nafsu juga merupakan catalyst atau pemangkin untuk terus berada di dalam kekuasaan dan kerakusan.

Oleh itu, perbuatan zalim dan melakukan kemusnahan wajib ditentang, ditegur, ditegah dan dicegah dalam keadaan apa sekalipun.

Lari...

Setengah dari kita akan melarikan diri dari terlibat di dalam usaha-usaha mencegah kemungkaran ini. Kerja ini memang susah kerana ia akan berdepan dengan kejian, makian dan hukuman. Dikalangan kita juga mempunyai berbagai pandangan di dalam perkara ini.

Saya turut menyokong dan berbangga kalau ada segolongan manusia yang benar-benar faham dan melaksanakan segala tuntutan Allah tanpa berbantah sepertimana di dalam Al-Quran yang terang-terangan menyatakan kemuliaan beramal makruf dan mencegah kemungkaran.

Saya bertambah pelik dan hilang sabar kalau segelintir dikalangan kita yang dianggap agamawan berilmu hanya mendiamkan diri dan membisu di dalam perkara ini. Mereka membiarkan sahaja pemaksiat-pemaksiat itu berseronok-seronok dan berbangga-bangga melakukan maksiat dan fasad. Malah ada pula berpandangan bahwa kerja mencegah ini tidak perlu sebaliknya katanya cukup memadai kita mengajak orang lain melakukan amar makruf sahaja.

Manusia di dalam golongan bermasalah ini, bersifat 'cacat' kerana membenarkan hamba-hamba durhaka dan dosa kepada Allah itu, terang-terang melakukan maksiat di depan mata mereka.

Tidak hairanlah, apabila saya scroll down kenyataan atau statement di dalam facebook, maka terbit berbagai-bagai komen-komen yang diberikan, mengikut rendah dan tingginya ilmu dan kefahaman (intellectual) masing-masing.

Memang benarlah manusia itu mempunyai berbagai 1001 macam perangai, sifat dan buah fikiran.
  • Apakah sifat-sifat kebaikan itu merupakan default kepada naluri atau fitrah kita dan,
  • Tabiat jahat itu pula default kepada tindakan perbuatan harian kita?.
Pengajaran

Usaha mencegah manusia daripada melakukan kezaliman, kemungkaran dan fasad di atas muka bumi ini bukanlah hanya mesti dengan kekerasan sebaliknya menggunakan cara-cara yang berhimmah dan berhikmah.
  •  Ketaatan kepada Allah dan Rasul melangkaui segala-galanya (Kerana Allah dan Rasul)
  • Berdakwah secara beradab dengan siapa sahaja walaupun perlaku zalim
  • Mengajak supaya kembali menyucikan diri daripada kekufuran
  • Mengajar untuk mengenal Allah yang maha Esa supaya timbul rasa takut
  • Berdakwah tanpa rasa putus asa
  • Berdakwah secara kreatif dan inovatif
  • Tekun di dalam sesuatu usaha 
  • Yakin dengan usaha dan tindakan
  • Tidak merungut di dalam perkara ketaatan dan kebajikan
  • Bercita-cita besar untuk menghapuskan kezaliman, kemungkaran dan kerosakan (zero mungkar)
Semoga Allah mengampuni kita semua dan kekalkan kita di atas jalannya yang hak.

Wallahu 'alam, sekian

abuzorief @ kulim
4/6/2013, selasa

Friday, 31 May 2013

Kenapa menulis?...


Artikel-artikel ini dihimpunkan hasil dari pemerhatian, pengembaraan dan perjalanan saya secara rasmi atau tidak rasmi. Apa yang ditulis itulah sebenarnya apa yang berlaku di hadapan mata saya. Tidak mungkin kenangan itu dibiarkan begitu sahaja. Kadangkala otak kita mesti diasah supaya 'kekaratan' itu tidak akan menghakiskan kekuatan ingatan yang bersifat sementara.

Saya sebenarnya seorang Jurutera Professional di bidang Elektrikal di RHA Consulting Engineers Sdn Bhd. Pekerjaan saya banyak melibatkan kerja-kerja perundingan kejuruteraan di bidang Mekanikal dan Elektrikal untuk projek-projek pembangunan dan pembinaan. Pengalaman berhadapan dengan berbagai kerenah dan tingkah-laku manusia banyak mengajar saya apa itu erti kehidupan. Tidak semuanya adalah 'Malaikat-malaikat' di sekeliling kehidupan kita.

Keputusan isteri saya untuk melanjutkan pelajaran diperingkat PhDnya di UK pada tahun 2008, sedikit sebanyak merunsingkan saya kerana terpaksa meninggalkan kerja syarikat yang banyak dan sedang meningkat naik sejak penubuhannya pada tahun 2005. Bukan mudah untuk saya meninggalkan sementara waktu kerja-kerja harian syarikat yang telah menjadi rutin utama di dalam urusan mencari rezeki. Namun terpaksa juga ditinggalkan buat sementara waktu berbekalkan azam dan tawakal kepada Allah Taala.

Kehidupan saya di UK, banyak memberikan saya ruang masa untuk menulis dan mencatatkan apa yang berlaku di sana. Lebih bermakna di dalam persoalan kehidupan itu, banyak perbandingan positif dan negatif atau di dalam erti-kata, asam-garam kehidupan.

Menulis dan mencatat memang menyeronokkan, tetapi terpaksa memerah idea-idea dan butir-butir ayat untuk disusun supaya menjadi kata-kata yang mudah untuk dibayangkan realitinya, diselami nukilan itu supaya pembaca juga turut merasai apa yang penulis alami. Bukan perkara mudah kalau apa yang hendak ditulis dan dicatat itu tidak dijiwai sepenuhnya.

Berdasarkan apa yang dinukilkan atau dicatatkan ini, bukanlah bermakna ia adalah satu-satunya resam kehidupan yang mesti berlaku pada setiap orang. Tetapi penulisan ini adalah untuk dijadikan iktibar dan peringatan pada diri penulis sendiri.

Semoga usaha kerdil ini diterima sebagai ibadah oleh Allah Taala.

Sekian, wallahu 'alam.

abuzorief @ penang
31/5/2013 jumaat

Tuesday, 7 May 2013

Kenyataan Media IKRAM, Pasca PRU-13



KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
PASCA PILIHANRAYA UMUM MALAYSIA KE-13
7 Mei 2013 bersamaan 26 Jamadil Akhir 1434 H


Kelmarin, Pilihanraya Umum ke – 13 (PRU13) telah selesai dilaksanakan.

IKRAM merakamkan ucapan tahniah kepada semua pengundi Malaysia yang telah keluar menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan aman. Dengan peratusan keluar mengundi lebih 80%, yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah PRU di negara ini, kesedaran politik rakyat Malaysia tentunya sudah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Mereka sudah faham apakah itu erti kuasa rakyat.

Walaubagaimanapun, IKRAM mengambil perhatian berat terhadap kemungkinan berlakunya proses pengundian yang meragukan, malahan bertentangan dengan undang-undang sehingga menjadikan PRU13 dilihat bukannya satu proses demokrasi yang bebas dan adil. IKRAM mengambil maklum perihal beberapa isu seperti publisiti media yang berat sebelah, masalah dakwat kekal yang mudah dibasuh, proses pengundian yang meragukan serta pengundian awal dan pengundian pos yang tidak telus dan boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

Ketelusan institusi yang bertanggungjawb khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi tanda tanya, diragui serta dicemari. IKRAM mempersoalkan kesahihan keputusan yang telah dimaklumkan. IKRAM menuntut SPR memberi penjelasan kepada setiap isu keraguan yang ditimbulkan sebelum ia dapat diterima sewajarnya.

IKRAM menggesa Pakatan Rakyat memilih pendekatan aman, melalui tindakan undang-undang atau perhimpunan aman.

Pengalaman PRU13 ini menguatkan lagi tekad IKRAM untuk terus memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil.

Jangan sesekali memandang kecil kuasa dan pengaruh rakyat jelata Malaysia!

Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)


Thursday, 2 May 2013

Ubah!... Ini kalilah


Teringin sangat untuk melihat perubahan lanskap politik Malaysia negaraku merdeka. Ya! sudah 55 tahun Negara Malaysia merdeka dari jajahan penjajah yang datang untuk mencabut kedaulatan Negara.

Dahulu rakyat bersatu menentang penjajah...

Dahulu rakyat bersatu untuk menentang sang penjajah kerana untuk merealisaikan misi dan visi yang besar yang satu iaitu menentang penjajah dan negara berdaulat. Mereka datang merosakkan adat kebudayaan, kesucian Islam, dan kemakmuran negara. Mereka datang dengan tujuan yang jelas dan bukan sahaja semata-mata untuk menjajah negara ini. Ada yang datang kerana untuk mengaut kekayaan hasil mahsul negara ini, ada yang datang untuk meracuni fikiran terhadap siapa ketuanan yang memimpin dunia dan melutut sujud menyembah, ada pula yang datang dengan rasa dendam untuk menghapuskan agama Islam di atas muka bumi ini walau seinci mana sekalipun mereka berada. Lebih-lebih lagi kecemburuan dan kedengkian mereka terhadap agama Islam yang sebelum ini terbukti telah memerintah hampir 2/3 dunia dengan kemajuan tamadun ilmu dan akhlak yang tidak boleh lagi dinafikan oleh sejarah dunia.

Susahnya rakyat ketika itu untuk mendapat makanan, walaupun dari hasil tuaian sendiri. Apa yang boleh dimakan atau digenggam itulah yang dimakan. Mujur ada ubi kayu sebagai makanan harian, makan biji getah, makan bubur tanpa lauk dan garam dan makan segala pucuk kayu yang tumbuh. Malah rakyat marhaen sukar mendapatkan makanan yang enak-enak. Adat makan mereka hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, dan adakalanya mereka tidak ada makanan untuk dimakan, terus untuk beberapa hari, minggu atau bulan.

Candu...

Penjajahan mendatangkan banyak keburukan dari kebaikan. Huru-hara dan dendam adalah akibatnya. Kita tidak menafikan bahawa mereka juga membawa perubahan terhadap kemajuan negara, kemudahan infrastruktur dan kemahiran urus tadbir, kerana mereka juga akan hidup untuk jangka masa yang lama semasa penjajahan. Penjajah akan merampas segala tanah, harta rakyat dan hasil negara sewenang-wenangnya, Undang-undang mereka diguna-pakai untuk menjaga keselamatan mereka di negara ini.

Suasana keselesaan dan ketuanan mereka inilah yang akan menjadi 'candu' kepada anak bangsa untuk menjadi tali barut kepada penjajah.  Kehidupan tali barut ini berubah 'wajah', dari segi pakaian, gaya cakap, tingkah laku, gaya makan dan keselesaan sebagainya untuk mengikut jejak langkah si penjajah. Sanggup menzalimi bangsa sendiri untuk kesenangan perut sendiri.

Suasana 55 tahun penjajahan dahulu juga telah meninggalkan kesan buruk terhadap bangsa sendiri. Sebahagian atau segolongan orang Melayu yang senang dan berada di dalam kerajaan yang memerintah ketika itu sudah bertukar adat dan tatasusila hidup. Malah mereka juga bertuhankan harta dan kuasa. Rakyat miskin dan marhaen kena bersujud di kaki mereka untuk menumpang senang. Bukannya diberi secara percuma tetapi kena berbakti. Mereka mengujudkan lapisan darjat antara warga kayangan, bangsawan dan rakyat merempat hina dina. Katanya, merekalah yang layak memimpin, memerintah dan berkuasa. Mereka juga yang menentukan banyak mana dan saiz periuk nasi orang lain. Malah, kehidupan itu jauh dari panduan Al-Quran dan Sunnah, kehendak kesucian agama Islam. Rakyat miskin juga yang utuh memegang dan menjaga agama Islam dari dibuang oleh puak-puak kayangan dan bangsawan ini.

Mungkin kita tidak dapat membayangkan keperitan, kesengsaraan itu melainkan mereka yang benar-benar berada dalam situasi sedemikian.

Itu cerita dulu-dulu. Sekarang negara Malaysia sudah bebas dari penjajahan yang bersifat fizikal. Teorinya Malaysia sudah merdeka.

Kini sudah 55 tahun...

Kini, 55 tahun telah berlalu, saban tahun diingati dan dirayai oleh kita. Perubahan kehidupan yang ketara jelas. Begitu juga, tidak dinafikan tiada lagi huru-hara dan peperangan. Banyak pembaharuan dan kemajuan di sana-sini. Terima kasih diucapkan kepada kerajaan yang memerintah.

Kerajaan yang memerintah itu adalah dari parti yang menang yang telah dipilih oleh rakyat jelata. Kerana parti yang menang itu menjadi kerajaan dan kerajaan itu bertanggungjawab dan mestilah menjaga kedaulatan negara, menjaga kemajuan negara dan rakyatnya, meningkatkan ekonomi negara, menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyatnya, menjamin kebajikan rakyatnya dan memerintah dengan dengan adil dan saksama.

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.  [Al-Ahzab [33:72] ]


Parti mana yang dilantik mewakili rakyat dan mentadbir negara mestilah:
  • Bertanggungjawab
  • Adil dan saksama kepada semua lapisan rakyat dan bangsa
  • Berkhidmat untuk rakyat bukannya kepada parti dan pengikutnya
  • Menjaga kebajikan rakyat dan negara
  • Amanah di dalam pengurusan dan tadbir
  • Tidak sombong (arrogant) terhadap rakyat
  • Tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada ditangan
  • Berjiwa rakyat bukannya berjiwa kayangan dan bangsawan
  • Telus di dalam mengurus tadbir harta, wang dan kekayaan negara
  • Tidak memperjudikan nasib rakyat kerana untuk berkuasa
  • Berusaha untuk menaikkan taraf kehidupan rakyat bawahan
  • Sedar dan bersederhana di dalam gaya hidup sebagai pemimpin bertauladan
  • Menjaga kedaulatan agama Islam disudut perundangan negara

Ramainya pemimpin korup...

Akan tetapi, Kerajaan yang sudah 55 tahun memerintah dimana pemerintahannya sudah lari dari tujuan asal. Sikap dan sifat semakin tidak disenangi oleh rakyat jelata. Kerajaan yang lebih mengutamakan kebendaan sehingga lebih segala-galanya. Saling bermusuh-musuhan sesama sendiri kerana kebendaan. Sumber manusia bersifat kebendaan. Kehidupan menjadi celaru kerana kebendaan. Pemimpin-pemimpin yang mentadbir kerana kebendaan. Oleh itu, mereka gagal melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.

Apakah kita sanggup membela pemimpin-pemimpin yang secara terang-terangan mempunyai sifat dan kelakuan yang buruk di dalam urusan pentadbiran awam?. Mereka yang dilantik sepatutnya menjaga segala kepentingan awam, bukannya mengambil kesempatan di dalam mengkayakan diri sendiri, anak isteri mahupun kaum kerabat. Itu bukan tiket untuk terus berkuasa dan mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat.





Kini rakyat bersatu menentang parti korup - musang berbulu ayam...


Rakyat sekarang bukan lagi rakyat yang dulu. Rakyat yang bukan hanya mengikut membabi buta sahaja tanpa berfikiran secara waras. Alhamdulillah, rakyat yang sedar dan sudah tahu membezakan hak-hak yang sepatutnya diperolehi dari kerajaan yang memerintah.

Kerajaan yang memerintah tidak boleh sesuka hati untuk menekan rakyat jelata yang terus mencabar mereka. Sebaliknya pemimpin dan parti itu mesti sedar segala apa yang mereka lakukan itu telah menyebabkan rakyat marah, kecewa dan kesal. Janganlah semata-mata kerana untuk merealisasikan impian untuk terus berkuasa, mengaut kekayaan hasil negara, maka apa yang tidak sah dan haram itu dihukumnya halal dan sah.

Kini, dalam proses peralihan kuasa, secara terang-terang kerajaan sementara telah berlaku khianat dengan menggunakan seluruh jentera dan kemudahan awam untuk memenangkan parti mereka, dan rakyat sentiasa bersabar dengan perbuatan mereka di dalam setiap tingkah-laku yang tidak betul yang telah dilakukan. Kalaulah perkara asas ini pun mereka khianati, apatah lagi dengan perkara-perkara yang lebih besar dan serius yang melibatkan perbendaharaan negara, hak rakyat, wang rakyat dan lain-lainnya.

Kuasa sebenarnya adalah ditangan rakyat, yang mana mereka dipilih melalui proses yang dikatakan demokrasi. Akan tetapi demokrasi itu juga dicabuli. Menolak parti dan pemimpin yang korup itu mesti supaya mereka sedar akan segala apa yang telah mereka lakukan.

Supaya negara, bangsa dan agama terpelihara dari parti dan pemimpin yang bukan:
  • Parti yang korup
  • Pemimpin yang bermasaalah,
  • Cuai dan tidak cekap,
  • Sombong dan bongkak,
  • Rakus dan tamak,
  • Tidak amanah dan khianat,
  • Tidak telus dan beragenda tersembunyi,
  • Tidak berprinsip dan beretika,
  • 'Pencuri' harta rakyat dan negara,
  • Pemerah wang rakyat,
  • Songlap duit rakyat
(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. [Al-Araf [7:3] ]

Selamat mengundi PRU-13...

abuzorief @ N36 - pantai jerejak
1 may 2013, hari buruh

Tuesday, 30 April 2013

Perutusan IKRAM kepada para pengundi PRU-13


PERUTUSAN IKRAM KEPADA PARA PENGUNDI PRU-13

30 April 2013 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1434 H


Para pengundi yang budiman!  

 Setelah sekian lama menanti, akhirnya tarikh 5 Mei 2013 diisytiharkan sebagai tarikh pembuangan undi bagi Pilihanraya Umum Malaysia ke-13 (PRU-13).

Seramai lebih 13 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi akan berpeluang memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, sekaligus menentukan penubuhan kerajaan  Negeri dan Persekutuan.


IKRAM mengajak semua umat Islam dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menjalankan tanggungjawab terhadap negara dengan serius dan bersungguh-sungguh.  Rakyat perlu bijak memilih peribadi pemimpin yang sihat serta kuat fizikalnya dan beramanah bagi menerajui pemerintahan negara. Pemimpin ini mestilah berupaya mengurus perjalanan negara dan kehidupan rakyat dengan satu bentuk pengurusan yang paling baik, bersih, adil dan bijaksana.


Kepentingan penglibatan politik
 

IKRAM berpandangan penglibatan politik adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sebagai ad-din yang syumul.  Kuasa pemerintahan diperlukan bagi menjayakan agenda penegakan syariah dan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar. Justeru, penglibatan  umat Islam di dalam PRU kali ini adalah amat penting dan dianggap kritikal untuk memilih wakil pemimpin yang mampu membantu merealisasikan cita-cita dakwah tersebut.
 
Matlamat penglibatan kita dalam dalam PRU 13
 

Matlamat  utama penglibatan PRU-13 ialah untuk memastikan:



1. Parti terbaik menguasai majoriti kerusi parlimen serta menubuhkan kerajaan baru yang bertanggungjawab dan berwibawa. Pemegang tampuk pemerintahan adalah satu kedudukan yang paling tinggi dalam Islam, ولاية عامة (wilayah ammah). Lantaran itu, ia sepatutnya diserahkan kepada peribadi-peribadi yang layak dan mempunyaiالقوى الأمين (kebolehan dan integriti).



2. Penegakan sistem dua (2) parti yang kuat, sistem ‘check dan balance’ yang berkesan.
Penglibatan ummah dan rakyat dalam PRU 13 mestilah dilihat sebagai  sebahagian daripada inisiatif untuk memperbaiki urustadbir negara dan taraf kehidupan rakyat. Ia juga meletakkan perjalanan negara di atas landasan yang betul menerusi pelantikan pemimpin yang berkebolehan serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap.

 

Usaha ini adalah sebahagian daripada usaha yang wajib dilakukan oleh ummat Islam khususnya bagi menegakkan maslahah manusia di dunia dan akhirat sejajar dengan matlamat-matlamat syariah yang menuntut diwujudkan situasi yang akan melindungi perkara-perkara berikut:


1. Nilai kehidupan manusia (human values):

a. Pemeliharaan agama
b. Pemeliharaan kemanusiaan manusia:

i. Fitrahnya
ii. Kemuliaan dirinya
iii. Halatuju hidupnya (peranannya dalam kehidupan dunia)
iv. Kebebasannya


2. Diri manusia (human person):

a. Tubuh dan nyawanya
b. Rohani dan jiwanya
c. Aqal dan pemikirannya


3. Masyarakat manusia (human society):

a. Pemeliharaan keturunan dan maruahnya
b. Pemeliharaan institusi masyarakat dan hubungan kemasyarakatannya


4. Persekitaran (Environment):

a. Pemeliharaan harta benda
b. Pemeliharaan persekitaran kehidupan manusia


Semua perkara penting di atas merupakan matlamat-matlamat syariah yang mesti dipelihara dan dilindungi.

 
Pertimbangan dan Perbandingan
 

Di dalam senario PRU 13, nyata terdapat persaingan ketara di antara kedua-dua blok parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Untuk memilih blok yang paling hampir dengan hasrat rakyat, ciri-ciri berikut mestilah dipertimbangkan oleh rakyat:

 

1. Kedua-dua blok merupakan satu perikatan (tahaluf / alliance) yang mewakili masyarakat majmuk Malaysia. Rakyat hendaklah memilih blok manakah yang lebih memenuhi hasrat semua kelompok masyarakat majmuk Malaysia.
 

2. Kedua-dua blok ditubuhkan di atas asas perkongsian. Adalah wajar diketahui bentuk perkongsian di kalangan mereka: adakah wujud dominasi satu komponen ke atas komponen yang lain atau kesemua komponen sama rata berasaskan gagasan warga negara Malaysia? Perlu difikirkan apakah pulangan kepada semua komponen telah ditetapkan atau ia masih terletak pada perundingan dan tawar menawar.
 

3. Persepsi dan sikap kedua-dua blok terhadap isu-isu berkaitan bangsa Melayu, pengamalan agama Islam dan institusi Raja berpelembagaan adalah perkara yang penting dalam usaha mereka memerintah negara.  Rakyat sentiasa mahu mengetahui adakah kedudukan orang Melayu, agama Islam dan insitusi raja-raja akan tetap terpelihara dan terjamin di bawah pemerintahan mana-mana blok yang diberi mandat ini. Di samping itu kedudukan orang bukan Melayu dan bukan bumiputra serta agama-agama selain Islam mestilah mendapat perhatian yang wajar.
 

4. Sikap dan amalan kedua-dua blok dalam konteks urustadbir negara dan pembelaan kehidupan rakyat adalah satu perkara yang penting. Rakyat hendaklah memilih blok yang lebih telus, bersih, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat dan dilihat menyebelahi rakyat.
 

5. Realiti penglibatan kaum dalam keahlian komponen kedua-dua blok ini mestilah dilihat sebagai satu realiti yang meyakinkan rakyat. Rakyat mestilah memilih blok manakah yang lebih mewakili kepelbagaian kaum dalam keahlian setiap komponen.
 
Rumusan
 

IKRAM merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat dalam PRU-13 kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan negara dan rakyat jelata.

Rumusan ini berdasarkan kaedah dan prinsip ‘kemudharatan yang lebih ringan’.


أحسن الخيارين , أخف الضررين وأهون الشرين
(Pilihan terbaik di antara dua pilihan, pilihan yang lebih ringan kemudaratannya dan kurang kejahatannya)


IKRAM menganggap pemilihan tersebut sebagai satu kecenderungan atau pilihan yang pragmatis yang dijangka akan lebih menyebelahi rakyat, lebih adil kepada semua, lebih bermanfaat kepada negara, lebih jujur kepada Islam dan bangsa Melayu serta lebih memantapkan institusi Raja berperlembagaan.

 

Pilihan ini akan membuka lebih banyak ruang dialog, perbincangan, perundingan dan permuafakatan bagi melaksanakan agenda perubahan dan pembersihan pentadbiran dan pengurusan perjalanan negara, supaya tiada berlaku lagi salah laku dan penyelewengan pegawai-pegawai pemerintah, sekaligus menghapuskan kemungkinan rasuah.
 
Para pengundi yang budiman!
 

IKRAM menyeru agar ummah tidaklah perlu takut, jika pendirian politik ummah kali ini membawa kepada perubahan kerajaan di peringkat pusat.  Kejatuhan kerajaan BN tidak akan melucutkan kuasa pemerintahan daripada genggaman Ummat Islam. Ummat Islam tetap memiliki jumlah kerusi parlimen yang cukup selesa. 

Penguasaan ummah akan terus terpelihara dengan kewujudan berbagai-bagai institusi dan badan yang sedia ada bagi menjamin kelangsungan kekuasaan ummah. Institusi Raja berperlembagaan, institusi angkatan bersenjata, tentera dan polis, jabatan pentadbiran awam, badan-badan berkanun seperti Majlis-majlis dan Jabatan-jabatan Agama Negeri-negeri, dan kesemua NGO akan terus berperanan mempertahankan survival dan kelangsungan kekuasaan ummah di bumi Malaysia.
 
Para pengundi yang budiman!
 

Ingatlah, golongan yang takut kepada perubahan atau yang tidak ingin kepada perubahan hanyalah sebahagian daripada rakyat yang masih belum jelas dan golongan yang memperjuangkan kepentingan peribadi, kroni atau kelompok masing-masing.
 

Sebenarnya negara ini dilimpahkan oleh Allah SWT dengan  kekayaan potensi dan sumber manusia serta alam. Ia terletak di laluan strategik dunia antarabangsa.  Ia merupakan daerah pertemuan pelbagai peradaban, bangsa dan agama di dunia. 

Negara ini mempunyai potensi untuk diangkat ke tahap negara maju.  Ia boleh terus menggalakkan rakyatnya untuk berdaya maju dan bersaing.  Negara ini mampu membangunkan sebuah tamadun dan peradaban kemanusiaan yang menjunjung nilai-nilai kehidupan yang mulia.
 

Lantaran itu, rakyat diseru untuk berani mengorak langkah baru, membangun inisiatif politik yang berupaya mewujudkan perubahan yang kita inginkan untuk negara dan ummah di bumi Malaysia ini.



Para pengundi yang budiman!



Alangkah indahnya perjalanan sebuah negara dan kehidupan rakyatnya sewaktu ia dipayungi sebuah sistem politik yang adil, budaya politik yang sihat dan bersih.  Rakyat boleh mengangkat pemimpin yang terbaik dari kalangan mereka. Setiap pemimpin boleh datang dan pergi menerusi proses pilihan rakyat yang telus, bersih, dan aman, tanpa perlu menggunakan kekerasan atau paksaan, tanpa menabur fitnah siang dan malam, sama ada oleh rakyat atau pemerintah.
 

Alangkah baiknya jikalau sistem politik yang diguna pakai akan membolehkan rakyat mengangkat peribadi-peribadi terbaik untuk menerajui kepimpinan negara, dan melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dalam pemilihan para pemimpin.
 

Budaya dan pendekatan politik baru yang bersih dan sihat untuk masyarakat dan negara perlu diusahakan segera. Negara mempunyai keupayaan untuk merubah keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dengan berpaksikan ketinggian akhlak, kebenaran, ketelusan, sikap prihatin kepada kepentingan umum, dan memperjuangkan matlamat-matlamat syariah serta maslahat Islam.
 

Negara juga berkeupayaan mengangkat peribadi-peribadi yang sesuai untuk kedudukan yang sesuai dalam usaha mereka memimpin rakyat dan negara. Kita mesti memilih wakil rakyat dari kalangan rakyat yang cerdas, berjiwa besar dan berakhlak mulia.  Mereka ini merupakan satu golongan rakyat yang berupaya membuat keputusan dan polisi terbaik buat pengurusan negara.  Dengan itu rakyat berpeluang menyahut cabaran-cabaran besar serta merebut pelbagai peluang yang terhampar pada tahun-tahun mendatang.
 

Untuk memilih pemimpin terbaik, rakyat memerlukan maklumat yang tepat.  Dalam kebanjiran maklumat dan berita yang diperolehi dari pelbagai sumber, rakyat harus bijak menyaring isi kandungan berita yang boleh dipercayai.  IKRAM menasihatkan rakyat agar berusaha mendapatkan maklumat dan informasi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, bertanggungjawab dan berintegriti. Maklumat dan berita yang mengandungi unsur dakwaan fitnah, pembohongan dan pemujaan pemimpin yang diragui integritinya sewajarnya diketepikan.
 

Marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan PRU-13 berlangsung dengan aman dan sejahtera, terhindar dari segala keburukan.
Sekian, selamat mengundi. Negara sejahtera, rakyat bahagia. Wassalam.

 
Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)