Pages

Monday, 22 July 2013

Zina vs Sumbang mahram



Sebutan berbeza tetapi makna sama

Sebutan di antara keduanya memang berbeza. Lebih kurang sebutan untuk babi dan khinzir atau jahil dan bodoh. Sama maksudnya tetapi bernada di antara lembut dan keras bagi kebanyakkan orang-orang Melayu.. Setengah daripada kita agak sensitif kalau disebut zina, berbanding dengan sebutan yang dikatakan bernada lembut iaitu sumbang mahram

Kita perlu jelaskan bahawa apa jua bentuk sebutan dan makna tetapi kalau perbuatannya haram dan berdosa besar maka ia tetap berada di dalam kemurkaan dan laknat Allah Taala. Kebanyakan mereka yang memang terjebak dengan perbuatan ini langsung tidak menghiraukannya. Gelarlah apa sahaja, namun perbuatan tetap haram. Pelakunya sedikit pun tidak gentar dengan hukuman Allah Taala. Hawa nafsu binatang dan syaitan diagungkan diperingkat ini. Malah mereka yang terlibat dengan gejala ini diperlakukannya secara professional dan diangkat pula martabat mereka menjadi 'mulia' ditempatnya. Hilang pertimbangan keimanan dan akal waras.
 


Barah dalam masyarakat

Perlakuan zina sekarang ini agak susah hendak dikawal di dalam komuniti. Susah hendak ditegur secara bersemuka. Yang kena tegur akan berang dan mengugut pula untuk mengambil tindakan mahkamah kerana katanya kita menafikan hak kemanusiaanya. Itulah bahayanya bila sistem demokrasi menjadi perlembagaan negara dan perlembagaan Islam diketepikan. Perbuatan haram ini perlu ditangani secara undang-undang syariah. Undang-undang syariat berupaya mengembalikan maruah peribadi, masyarakat, negara dan Deen Islam itu sendiri atau lebih focus lagi iaitu melindungi 5 tujuan syara' (maqasid syar'ie).

Pada asalnya hanya pergaulan biasa, bersembang, bertepuk bahu atau bersalaman atau lainnya dan akhirnya terlanjur dengan perbuatan. Maruah musnah dengan sekelip mata sahaja. Berseronok hanya seketika tetapi menanggung dosa yang amat besar sehingga bila-bila selagi taubat nasuha tidak dipohon dari Allah yang maha Esa. Malah ada pula yang berbangga kerana dapat melakukan perlakuan sedemikian dan merasa gah pula menceritakan pengalamannya.

"Pernah seorang kontraktor Melayu dengan bangga sekali menceritakan perlakuan zinanya dengan setiap perempuan yang didampinginya... na'uzubillahi min zalik"

Alangkah sedihnya kalau mereka berkelakuan sebegini kerana sedikit pun tidak ada insaf dan takut di dalam diri mereka kepada Allah Taala. Mereka telah sesat jauh yang amat sangat. Jauh dari rahmat dan kasih sayang dari Allah Taala. Mereka telah menempatkan diri mereka sendiri di dalam api neraka Allah Taala. Sedangkan mereka boleh mengelak diri mereka dari azab dan kemurkaan Allah.

Kalau ditanya kepada pelaku zina, mahukah ada orang lain yang melakukan zina kepada anak perempuannya atau isterinya?.., maka sudah tentu ia naik berang. Pasti dia akan berkata, mana boleh orang lain melakukan perkara ini terhadap ahli keluarganya. Inilah penyataan orang yang masih waras. Alangkah dayus baginya kerana merasa bangga dan merelakan anak isteri diperlakukan oleh orang lain. Amalan sex bebas yang tidak mengenal keturunan dan waris.

Pergaulan bebas muda mudi

"Kami bukan buat apa pun berkawan biasa sahaja... tak lebih dari tu..."

Hiburan melampau mampu menarik golongan remaja yang kemaruk dengan kebebasan hidup dan secara tidak langsung menyediakan platform kepada mereka untuk melakukan perkara di luar batas tabi'ie kehidupan manusia. Kerana ketika itu yang menjadi pendorong besar adalah hawa nafsu syahwat dan Syaitan.

Perlakuan kemaruk mereka sehingga sanggup mengenepikan halal dan haram di dalam pergaulan.


 
Pendidikan
 
Anak-anak muda sekarang ini tidak mahu menghadiri kelas pengajian agama atau sudah tidak mahu belajar agama dengan bersungguh-sungguh. Kelas pengajian hanya dihadiri oleh orang-orang tua sahaja. Mereka banyak menghabiskan masa menonton movie dan tayangan yang tidak berfaedah.
 
Mencegah lebih baik dari merawat. Kaedah merawat ialah dengan mencari punca kejadian. Sesuatu kejadian mesti diambil perhatian dan mencari jalan bagaimana untuk mencegah ia dari menular, merebak atau dipulihkan dengan segera.
 
Oleh itu, insitusi kekeluargaan perlu dijaga dan diasuh dengan tarbiyyah Islam. Bukannya cukup dengan pendidikan sivik fizikal sahaja.
  • Menghidupkan kembali budaya nasihat-menasihati dan tegur-menegur
  • Penekanan akidah yang sejahtera
  • Mengingatkan hukum dan azab yang keras dari Allah
  • Peranan pihak berkuasa untuk membendong gejala yang tidak sehat
  • Wujudkan suasana yang baik, Baldatun Thoiyyibatun warabbun ghafur
  • Semua masyarakat mengambil bahagian sebagai pendakwah
  • Peranan ibu-bapa di dalam mendidik anak-anak ke arah nilai murni berpaksikan ajaran Islam

Wallahu 'alam, sekian

abuzorief @ kilang lama
22/7/2013, isnin

Wednesday, 10 July 2013

Coup-D'e-Tat


Kegagalan sistem demokrasi yang dikatakan bertujuan menjaga kepentingan dan hak rakyat jelata kian hari kian nampak kepincangannya. Sedangkan semua negara disarankan mengamalkan sistem demokrasi di dalam pemerintahan. Pemerintah tidak boleh melakukan kezaliman dan ketidak-adilan di dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat jelata.

Namun apa yang berlaku sebaliknya, tidak mengambarkan apa yang tercatat dalam kamus atau perbendaharaan ilmu. Demokrasi dicabuli oleh mereka yang ada kepentingan untuk meneruskan survival hidup sebagai pemerintah atau bertujuan menakluki dunia disebalik ideologi demokrasi itu sendiri.

Negara atau siapakah yang mengawal dan mengarahkan sistem ini untuk dilaksanakan?.

Kudeta 

Peristiwa yang terbaru ini, berlaku di Mesir, dimana rampasan kuasa pihak tentera ke atas kerajaan pimpinan Morsi dilakukan dengan zalim walaupun beliau telah dipilih dari pilihanraya yang sah. Kezaliman pihak tentera dan polis jelas membelakangkan undang-undang yang telah menjadi perlembagaan negara yang sah. Cara penggulingan yang dilakukan juga kelihatan ala brutal dan nyawa rakyat tidak berharga lagi untuk dijadikan pertaruhan demi kuasa memerintah.

Permainan jahat penggulingan ini akan sentiasa berlaku dimana-mana negara Islam kerana ada tangan-tangan ajaib dibelakang yang tidak senang hati, tergugat dan terasa terganggu kerana 'mengganggu' kerja dan tujuan jahat mereka untuk menjadi pemerintah nombor satu dunia (New world order).

Puncanya adalah kebangkitan Islam. Satu kebangkitan bernafas baru bagi orang-orang Islam yang mahukan dunia ini kembali diperintah oleh Khalifah Islam, Ustaziatul Alam, bukan lagi sistem demokrasi yang pincang dan rapuh serta berat sebelah.

Boneka

Kenapakah Amerika dijadikan rujukan oleh pemimpin-pemimpin sekular Mesir ini? dan kenapakah Israel bergembira dengan rampasan kuasa ini?.

Kita hanya mampu menggeleng kepala sahaja dengan apa yang terjadi. Ibarat sebagai lakonan di papan layar yang pastinya pincang dan kaku gerakan lakonannya, kerana tidak mengikut skrip asalnya. Kalau teruskan juga paparannya, pasti penonton akan mencemuh dan gelisah.

Semoga Allah meningkatkan Izzah kita, memberikan kekuatan dan memenangkan Islam kembali memerintah dunia.

Wassalam

abuzorief @ kulim
10/7/2013

Friday, 5 July 2013

IKRAM kecam kudeta Mesir


Kenyataan Akhbar
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
5 Julai 2013
 
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti dengan penuh keprihatinan perkembangan politik yang amat mencemaskan di Mesir. Setelah rakyat bangkit dan mencipta sejarah dengan kejayaan demokrasi di negara bersejarah ini, pihak tentera serta para pembangkang Presiden telah melaksanakan kudeta yang bertentangan dengan semangat demokrasi.

IKRAM mengecam kudeta dan penggulingan seorang Presiden yang dipilih secara sah melalui pilihan raya. Rampasan kuasa jelas menafikan hak dan kemahuan rakyat melalui proses demokrasi dan pilihan raya. Amat mendukacitakan tindakan ini didukung oleh mereka yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan kebebasan. Juga amat dibimbangi rampasan kuasa ini tidak akan berakhir dengan begitu mudah malah Mesir dijangka akan berada dalam keadaan krisis yang tidak berkesudahan.

IKRAM kesal dengan campur tangan pihak luar dalam urusan nasional negara Mesir sedangkan proses demokrasi masih terbuka serta peralihan ke arah politik demokrasi sedang berjalan. Presiden Dr Mohamad Morsi sendiri menggalakkan media yang bebas dan kebebasan hak untuk rakyat bersuara.

IKRAM menyokong pendirian Presiden Dr Mohamad Morsi, Parti Keadilan dan Kebebasan serta Ikhwan Muslimin untuk menentang secara aman tindakan luar undang-undang ini. Selama ini mereka dianggap tegas dan konsisten bersama golongan yang cintakan keamanan untuk merealisasikan perubahan selaras dengan undang-undang.

Tindakan menahan Presiden Morsi oleh pihak tentera adalah tindakan yang bertentangan dengan lunas undang-undang dan demokrasi. IKRAM mendesak agar semua pemimpin Ikhwan Muslimin dan tahanan politik lain dibebaskan segera. Pihak tentera dan polis harus memberi jaminan keselamatan kepada Presiden Morsi, para pemimpin Ikhwan Muslimin dan pengikutnya daripada sebarang penindasan dan penyeksaan.


Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden

Monday, 1 July 2013

Besar sungguh rahmat Tuhan


Bila sakit, saya cuba membandingkan diri saya dengan orang-orang yang jauh lebih sakit dari saya. Sengaja untuk menyedapkan hati. Tetapi itu bukanlah sikap yang selalu dilakukan oleh kita semua termasuklah saya.

Pada kebiasaannya kita suka membandingkan diri kita dengan orang-orang yang jauh lebih bertuah dari kita. Kita lebih banyak 'mendongak' ke atas daripada 'menunduk' ke bawah di dalam perkara-perkara kebendaan dan kemewahan. Maka akan timbul di dalam diri kita rasa tidak puas hati dengan kelebihan orang lain.

Namun, ragam hidup kita memang berlainan. Susah dan senang, sehat dan sakit, kaya dan miskin dan semuanya itu adalah masam-manis kehidupan kita di atas muka bumi. Siapa sangka pada asalnya kita sehat wal 'afiat tiba-tiba dengan sekelip mata sahaja jatuh sakit. Senang-lenang dengan kemewahan harta dunia, tiba-tiba jatuh menjadi papa-kedana dan dihalau keluarga dan masyarakat.

Memang benar kita semua mahu kehidupan yang sempurna, tetapi percayalah, tidak ada yang sempurna sebenarnya. Pasti ada kekurangan dan cacat celanya. Itulah lumrah kehidupan yang sementara.

Dimanakah kita hendak mencari titik ketenangan di dalam diri, bilamana kita mengajak diri kita sendiri supaya memikirkan semua itu adalah dari rahmat Tuhan.
  • Sebenarnya kita lupa dengan Tuhan
  • Kita lupa dengan kejadian Tuhan
  • Kita tidak mensyukuri nikmat Tuhan
  • Kita berbangga dengan kebolehan diri sendiri
  • Hilang segala ketaqwaan
  • Lunturnya keimanan 
Ingatlah!, Tuhan tidak pernah melupakan kita.

(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! - Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! [Surah Al-Fajr : 27-30]

Wallahu 'alam, sekian

abuzorief @ kulim
1/7/2013, isnin

Tuesday, 18 June 2013

Berita besar


Terlalu kerap kejadian buruk dan musibah yang berlaku dan kejadian itu pula diluar jangkaan kita semua. Selepas kejadian Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh, kini dikejutkan pula dengan ribut kuat yang melanda dan mengakibatkan menara besi di atas bangunan UMNO yang telah dibina di atas tanah wakaf di Jalan Macalister Road Penang tercabut dan jatuh. Selepas ini apa pula tragidi yang akan berlaku?. Masih diluar jangkaan kita semua, yang kerdil dan lemah ini. Semua kejadian adalah tanda-tanda kekuasaan Allah sebagai peringatan ke atas hamba-hambanya.

Berita besar

Saya teringat tentang bacaan saya tentang Surah An-Naba, tentang Berita Besar di dalam tafsir fi Zilal Al-Quran oleh As-Syahid Syed Qutb. Satu surah yang didatangkan kepada kita untuk diperhatikan, diteliti, diperhalusi, dikaji, diselidiki, diamati, difikirkan dan sebagainya. Berita besar yang mengandungi berbagai-bagai penjelasan dan persoalan tentang nikmat dan azab supaya kita semua sentiasa kagum dengan Allah sebagai Maha Berkuasa dan Maha Pencipta. Begitu juga surah-surah lain di dalam juzu' 30 Amma, yang terkait dengannya, menceritakan kepada kita tentang segala kejadian yang amat dahsyat tentang kemusnahan alam dan segala isi-isinya. Tiada siapa lagi yang mampu untuk membendung dari terjadi. Kejadian dahsyat yang pastinya tidak dapat diceritakan dengan kata-kata yang sebenar malahan juga tidak dapat digambarkan dengan segala gambaran, ilusi dan lakaran-lakaran dengan tepat.

Sedangkan kejadian kecil tersebut yang berlaku telah menyebabkan kita semua terpinga-pinga dan bertanya-tanya diantara satu sama lain. Kita lihat di antara kita berkeadaan 'mabuk', panik, cemas, ketakutan, kesedihan dan sebagainya. Itu hanya sebahagian petanda yang amat kecil untuk kita perhatikan dan fikirkan.

Bagaimana pula kejadian yang besar yang akan terjadi seperti mana yang telah digambarkan kepada kita tentang cerita malapetaka yang besar yang akan berlaku. Bukit-bukau dan gunung-ganang yang tercabut dari pasak dan diterbalikkan, bumi yang terbungkas keluar segala isi perutnya, langit yang jatuh bertimpa-timpa, air laut yang membuak-buak menganas, Matahari yang akan meletus dan mengeluarkan percikan-percikan lahar dan api yang amat panas menimpa, bintang-bintang yang jatuh berguguran dan timpa menimpa dengan letupan kuat yang maha dahsyat dan sebagainya.

Bersedia?...

Apakah kita masih belum bersedia untuk memperhatikan satu-persatu kejadian dan bersedia menerima 'Berita besar' sepertimana yang telah digambarkan oleh Allah?

Kita masih ada masa untuk mengatur dan memperbaiki segala tindakan dan kejahilan kita berhubung dengan soalan-soalan kehidupan kita ini.

Hanya kepada Allah sahaja tempat kita kembali dan bertaubat di atas kealpaan dan kederhakaan diri kita kepadanya.

Wallahu 'alam

Sekian

abuzorief @ Kulim
18/6/2013, selasa 5.30pm

Monday, 10 June 2013

Penyakit Minamata





Telah berlangsung Mesyuarat Agung Daerah, Pertubuhan IKRAM Seberang Perai Tengah buat kali keempat di Pejabat IKRAM Pulau Pinang pada hari Sabtu bertarikh 8/6/2013. MAD ini adalah Muktamar Tahunan untuk ahli IKRAM SPT. 

MAD ini juga sebagai medan untuk mengaudit, muhasabah segala aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang setahun yang lepas, check and balance di atas segala perancangan setahun yang lalu, meneliti, membaik-pulih kecacatan yang ada, menekuni tarbiah dan dakwah serta kebajikan ahli, masyarakat dan sebagainya.

MAD SPT ini juga adalah kehadiran saya yang pertama sejak penubuhannya pada tahun 2010. Ketika itu saya berada di UK. Cuma masa dan suasana sahaja yang berlainan, sedangkan saya juga turut menghadiri majlis seumpama ini disana untuk beberapa tahun bersama para aktivis dan pelajar. 

Aktivisma dan halatuju yang sama memungkinkan kita semua bergerak seiring untuk melaksanakan agenda ummah dan masyarakat, Dakwah, Tarbiah dan kebajikan bersama. Sesungguhnya kita semua diajar dengan mengikhlaskan niat dan hati sepertimana sabda Arrasul SAW di dalam hadisnya yang pertama di dalam Hadis 40 Imam Nawawi. Itu adalah asas yang utama apabila berjamaah atau bekerja secara kolektif.

Minamata desease

Mencoret kembali apa yang menjadi topik utama ucapan YDP SPT tentang semangat ukhuwwah sesama ahli untuk melonjakkan Misi dan Visi IKRAM yang mana kita baharu saja selesai fasa memimpin ummah dan kini kerja utama selepasnya adalah memimpin masyarakat yang dikira sebagai satu kerja yang menyeluruh dalam aspek kehidupan bermasyarakat. Siapa lagi kalau ahli IKRAM. Misi dan Visi IKRAM ialah untuk memartabatkan dan mendaulatkan syariat Islam di Malaysia ini.

Usaha ini perlukan consistency atau istiqamah dan kerja berjamaah. Bukannya faktor usia, larat atau tidak, penat atau tidak, sibuk atau tidak tetapi satu usaha pengemblengan tenaga tua dan muda, sehat atau lelah, pakar atau sumbang-saran idea, semuanya diharapkan bersatu untuk merealisasikan misi dan visi tersebut.

Muhasabah

Perancangan akan dianggap gagal sekiranya output atau natijah dari perancangan itu tidak membuahkan hasil.  Amal Jamai'e tidak dihadamkan dengan betul di dalam melaksanakan sesuatu yang telah disyurakan. Hasil kerja yang mengecewakan, sedangkan masyarakat mengharapkan kepimpinan cekap dan diteladani.

Muhasabah dari YDP SPT, yang cukup baik sekali ditengah-tengah kekalutan dan keasyikan atau mungkin kealpaan kita semua di dalam melaksanakan Dakwah, Tarbiah dan kebajikan di dalam masyarakat. Barangkali, semangat ukhuwwah itulah neracanya. Sikap menyalahkan orang lain perlu dihindari dan dijauhi.
  • Apakah tarbiah zatiyah diri itu tidak berkesan selama ini? 
  • Ataukah pengertian ukhuwwah itu belum difahami dengan jiwa yang suci, mengadap rabul Jalil?
  • Atau sedikit terleka dan terkeluar dari roh Tarbiah yang diharapkan?
  • Benarkah kita serius dengan kerja buat kita untuk agama Allah ini?
  • Atau sekadar bepersatuan?
  • Atau mengisi lapang?
  • Atau, lupa kita ini berjamaah?
Biarlah Minamata Desease itu mejadi  igauan kita semua, tetapi jangan menjadikan D&T kita ini cacat dan salah tingkah-lakunya di dalam Jamaah, yang mana memungkin Jamaah itu runtuh dan ranap kerananya.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.[Al-Hujurat 49: 11]

D&T

Dakwah dan Tarbiah mestilah dilaksanakan bersama-sama ahli dengan hati dan niat yang ikhlas, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran pahala yang besar dari Allah SWT. Sekiranya perselisihan dan pertelingkahan sesama sendiri, maka akibatnya lebih besar kepada Jamaah, D&T itu. Masakan untuk memimpin masyarakat, sedangkan agen-agen Islah itu sendiri di dalam keadaan 'sakit' yang perlu diubati.

Dakwah dan tarbiah adalah elemen yang tidak dapat dipisahkan di dalam proses mendidik, membimbing, memantau, mengubah dan mengislahkan diri dan masyarakat. Ia perlu dilaksanakan secara berhikmah dan pengurusan secara sistematik. 

Keperluan tarbiah dan dakwah menjadi penting untuk IKRAM merealisasikan di dalam usaha untuk melaksanakan dan mendaulatkan syariat Islam di Negara Malaysia.

Dakwah dan tarbiah mestilah menjadi sebati di dalam kehidupan seharian ahli IKRAM, kerana ia adalah tugas dan tanggungjawab ke atas seorang Muslim yang bergelar Da'i di jalan Allah SWT.


(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.[At-Taubah 9:20]

Hasrat

Oleh itu, usaha yang bersungguh-sungguh ke arah merealisasikan hasrat itu perlulah dilakukan oleh semua ahli tanpa mengira peringkat, lelaki atau wanita, aulad atau remaja atau belia, institusi atau agensi atau sebagainya. Penglibatan ahli secara serius dan menyeluruh akan merancakkan program dan keberkesanan dakwah dan tarbiah sepertimana yang telah digariskan di dalam plan strategic IKRAM SPT. 

Berikut adalah kata-kata Ust. Hasanuddin Mohd Yunus, YDP IKRAM Selangor “Tahun 2020 semakin hampir. Apakah pengurusan minda dan amal kita memadai untuk zaman itu” 

Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak dari masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya, (antara 10 wasiat Imam Hasan Al-Banna).

Sekian, pandangan kerdil seorang ahli IKRAM SPT

Wassalam

Nota:
[1] http://en.wikipedia.org/wiki/Minamata_disease
[2] Laporan Tarbiah MAD SPT 2013
[3] Tafsir Al-Quran
[4] D&T : Dakwah dan Tarbiah
[5] SPT : Seberang Perai Tengah

[6] YDP : Yang Di Pertua

abuzorief @ seberang jaya
8/6/2013, sabtu
MAD IKRAM SPT