Pages

Wednesday 5 March 2014

Husnul Khatimah vs Suul Khatimah


Setiap kali mendengar berita kematian, maka setiap kali itulah disusuli dengan cerita sebab musabab kematian dan cara pengakhiran kematian tersebut. Kita yang hidup ini menjadi sedikit 'kepo'. Mungkinkah, sama ada di akhiri dengan pengakhiran yang baik (husnul khatimah) ataupun dengan pengakhiran yang buruk (suul khatimah). Bagi setengah kita percaya bilamana mati di masjid, di hari Jumaat, ketika sujud atau di dalam solat atau ketika mengaji atau mendengar ilmu agama adalah tanda-tanda pengakhiran yang baik. Kalau mati ditempat-tempat maksiat, di tandas atau ditempat-tempat kurang disenangi maka telahannya itu sudah pasti dengan pengakhiran yang buruk. Namun, semua kita pasti mahukan pengakhiran yang baik.

Bagaimana?

Bagaimana kalau Allah takdirkan seorang itu mati ditempat maksiat ketika mana dia sedang berdakwah? Cerita dibibir mulut orang itu tetap akan sama, "Eh! eh!, tengok mati ditempat maksiat"

Dan bagaimana pula kalau Allah takdirkan si pelaku maksiat yang tidak pernah bertaubat itu mati di dalam masjid, sedangkan di hatinya tidak tergerakkan untuk melakukan solat dan ibadah yang lain? Sudah tentulah ceritanya adalah baik-baik belaka."Eh! untungnya si Polan tu"

Itulah persepsi orang ramai. Yang dinilai dan dilihat belum tentu jelas kebenarannya. Hanya Allah yang maha mengetahui dan berserahlah kepadaNya.

Muhasabah?

Tetapi kita yang masih hidup ini, belum tentu kita serius dengan hal-hal kematian.Walaupun saban hari berita kematian itu di depan mata, belum tentu tersentuh hati kita untuk mengambil iktibar dan muhasabah. Bagi kita kehidupan ini masih jauh dan panjang. Kerana, secara fizikalnya kita beranggapan bahawa sehat dan tidak berpenyakit itu tandanya umur masih panjang dan ada harapan untuk hidup lebih lama.

Apakah beralasan itu hanya utnuk menyedapkan mulut dan perasaan kita sahaja. Atau untuk melarikan sebentar soal-soal kematian yang dirasakan ianya masih belum tiba.

Bagi kita yang sedar samada di usia muda ataupun tua pasti soal-soal kematian itu cukup merunsingkan kita. Kerana, persoalannya, sudah banyakkah amalan baik itu telah dikumpul? Sudah cukupkah bekalan untuk dibawa ke alam akhirat sana? Pastikah amalan sepanjang kehidupan ini diterima Allah? Apakah balasan akhir itu Syurga atau Neraka?

Terus berusaha

Di dalam kitab Al-Hikam Ibn Atta'illah Al-Sakandari mengungkapkan bahawa perjalanan menuju Allah (Salik) itu hendaklah dimulai dengan niat yang ikhlas, kemudian mengerjakan amalan-amalan ibadah kerana dengan amalan-amalan tersebut nescaya akan membuka cahaya hati untuk menerima segala perintah Allah Taala.

Semua persoalan itu hanya mampu kita jawap dengan rasional, iman dan sepenuh ketaqwaan kita kepada Allah Taala. Berusahalah melaksanakan sebanyak mungkin sedaya upaya untuk menjadi hamba Allah yang terus 'sujud' dan menyembahnya setiap detik dan ketika. Semoga Allah Taala mengampuni dosa kita dan menaungi kita dengan kasih sayang dan rahmatNya. Aamien

abuzorief @ kulim
5/3/2014 rabu