Pages

Wednesday 31 July 2013

Makanan yang mampu melegakan perut meragam





31 Jul - Sakit perut tidak pernah menyenangkan malah datang tanpa di duga. Mungkin kerana rutin harian kita yang sibuk, merencatkan waktu penyediaan makanan dengan sempurna. Akhirnya, sakit perut yang menjelma.

Tahukah anda, beberapa makanan di bawah dapat membantu melegakan sakit perut? Cuba lihat senarai di bawah.

Teh Chamomile
Teh Chamomile yang mengandungi enzim anti – radang yang dapat melegakan ketidak selesaan perut anda. Amalkan pengambilan ketika sakit perut di kala pagi.

Teh Halia
Halia yang mengandungi enzim anti –radang dan juga bahan aktif gingerol berkuasa untuk menenangkan perut yang sakit akibat masalah sistem perncernaan. Hiriskan halia dan rebuskan bersama air selama beberapa minit sebelum minum. Halia juga dapat membantu menghilangkan rasa loya.

Lemon
Buah Lemon merupakan bahan serba guna. Anda cuma perlu perahkan sedikit lemon ke dalam air suam dan minum. Selain melegakan sakit perut, ia juga membuang toksik dalam badan.

Cuka Epal
Campurkan 2 – 3 sudu besar cuka epal ke dalam minuman anda tak kira sejuk atau panas, ia dapat menenangkan perut meragam.

Air Kelapa
Air kelapa memang sedap di minum ketika cuaca panas terik. Untuk pengetahuan anda, kandungan potassium dan Vitamin C dalam air kelapa mampu memberikan rasa lega ketika perut meragam.

Yogurt
Yogurt memang sering dikaitkan dengan kesihatan perut. Ini kerana bahan probiotik aktif yang terkandung dalam yogurt tersebut mampu melegakan sakit perut.

Makanan berkanji
Makanan berkanji seperti nasi, kentang dan oat akan membantu melindungi usus perut daripada asid percernaan. Makanan ini tidak akan merangsang asid Reflux dan cepat di hadam.

Elakkan makanan yang mengandungi gluten seperti gandum dan jagung. Kurangkan juga pengambilan gula terutamanya gula tiruan yang terkandung dalam minuman bikarbonat.

Elakkan juga sayuran seperti kekacang, brokoli, dan kobis bunga. Gas yang terkandung dalam sayuran ini akan membuatkan perut anda kejang dan kembung.

31/7/2013 rabu

Tuesday 30 July 2013

Ramadhan ujian keimanan


Ramadhan adalah salah satu platform pengabdian kita kepada Allah Azza Wajalla. Untuk mengukuhkan keimanan kita kepada Allah. Ia merupakan jalan untuk memperolehi ketaqwaan. Ketaqwaan itu adalah untuk mereka yang beruntung dan beroleh kejayaan. Benarlah, janji-janji Allah kepada kita semua.

Kepercayaan

Saya cuba untuk memahamkan diri sendiri peranan madrasah Ramadhan ini di dalam usaha kita melaksanakan segala kefardhuan yang telah diperintahkan oleh Allah. Untuk melaksanakan perintah ini bukanlah mudah sekiranya tidak ada iman (faith) kepada Allah. Begitulah juga dengan kefardhuan ibadah yang lain, Solat, Zakat dan Menunai haji di Baitullah Al Haram. Sekiranya tiada Iman, maka suruhan Allah ini hanya dilakukan secara lewa sahaja. Malah ada pula yang sengaja meninggalkan suruhan ini.

Untuk menjadi hamba Allah yang dikasihinya, memanglah susah dan payah. Itulah nilai ketaatan dan ketaqwaan. Nilai yang tinggi dan tidak ada lagi ukuran atau neraca yang hendak dijadikan sebagai pengukuran. Hanya Allah sahaja yang berhak memberikan kedudukan yang terbaik disisinya.



Daripada Saiyidina 'Umar r.a. beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata:


Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam.

Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau.

Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.

Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau.

Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.

Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba memibna bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?

Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.

Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu. [Hadis ke 2 : Hadis 40 Imam Nawawi]



Manusia sembah manusia

Peristiwa yang berlaku di Negara Mesir dan Syria merupakan titik tolak untuk kita menilai semula keimanan kita kepada Allah. Perbezaan iman dan kufur manusia, yang pasti kita dapat bezakan. Mana yang hak dan mana yang batil, yang hak akan terus menerima sokongan manakala yang batil sudah terang-terangan nampak kejahilan dan keburukannya.

Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku. (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar.[Surah Al-Anbiya : 24]

Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.[Surah Ibrahim 14:3]

Manusia yang jahil sanggup menyembah dan bertuhankan manusia. Mereka hilang akal waras kerana menyakini hanya manusia yang disembah itu sahaja yang dapat menyelamatkan saki-baki kehidupannya. Sedangkan yang selayaknya mereka sembah dan melutut itu hanya kepada Allah. Betapa teruknya keyakinan mereka di dalam merebut kesenangan dan 'kebahagian' hidup di dunia sementara ini dengan 'berpatungkan' pemerintah yang zalim dan dilaknati Allah Taala.

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke Neraka (dengan kekufurannya) dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. [Surah Al-Qasas :41]

Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.[Surah Al-Qasas : 42]

Kelakuan ini berulang-ulang sejak sekian lama, kuasa memerintah yang ada ditangan manusia itu sendiri telah memaksa orang lain untuk menyembahnya. Lihatlah kisah- kisah seperti Raja Namrud dan Firaun yang mengaku dirinya tuhan sekelian manusia, yang boleh menghidupkan dan mematikan manusia dengan kehendaknya. Manusia yang telah lupa bahawa kejadiannya sendiri adalah ciptaan Allah Taala sehingga terlupa dengan mengaku dirinya Tuhan yang layak disembah.

Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi. Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya. [An-Naziat 79:24-25]

Hanya manusia yang takut kepada Allah dan menyakini perkara-perkara yang berkaitan dengan keimanan sahaja yang layak menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Semoga Allah, membangkitkan golongan yang berjuang dan memenangkan golongan yang berusaha mengangkatkan kalimah Tauhid di atas muka bumi ini dan mensucikan Asma Husna Allah dari kebiadapan manusia yang telah disesatkan.

abuzorief @ kulim
28/7/2013 ahad, 18 Ramadhan 1434h,
tazkeerah ramadhan
bersama pelajar maktab tengku bainun

Monday 22 July 2013

Zina vs Sumbang mahram



Sebutan berbeza tetapi makna sama

Sebutan di antara keduanya memang berbeza. Lebih kurang sebutan untuk babi dan khinzir atau jahil dan bodoh. Sama maksudnya tetapi bernada di antara lembut dan keras bagi kebanyakkan orang-orang Melayu.. Setengah daripada kita agak sensitif kalau disebut zina, berbanding dengan sebutan yang dikatakan bernada lembut iaitu sumbang mahram

Kita perlu jelaskan bahawa apa jua bentuk sebutan dan makna tetapi kalau perbuatannya haram dan berdosa besar maka ia tetap berada di dalam kemurkaan dan laknat Allah Taala. Kebanyakan mereka yang memang terjebak dengan perbuatan ini langsung tidak menghiraukannya. Gelarlah apa sahaja, namun perbuatan tetap haram. Pelakunya sedikit pun tidak gentar dengan hukuman Allah Taala. Hawa nafsu binatang dan syaitan diagungkan diperingkat ini. Malah mereka yang terlibat dengan gejala ini diperlakukannya secara professional dan diangkat pula martabat mereka menjadi 'mulia' ditempatnya. Hilang pertimbangan keimanan dan akal waras.
 


Barah dalam masyarakat

Perlakuan zina sekarang ini agak susah hendak dikawal di dalam komuniti. Susah hendak ditegur secara bersemuka. Yang kena tegur akan berang dan mengugut pula untuk mengambil tindakan mahkamah kerana katanya kita menafikan hak kemanusiaanya. Itulah bahayanya bila sistem demokrasi menjadi perlembagaan negara dan perlembagaan Islam diketepikan. Perbuatan haram ini perlu ditangani secara undang-undang syariah. Undang-undang syariat berupaya mengembalikan maruah peribadi, masyarakat, negara dan Deen Islam itu sendiri atau lebih focus lagi iaitu melindungi 5 tujuan syara' (maqasid syar'ie).

Pada asalnya hanya pergaulan biasa, bersembang, bertepuk bahu atau bersalaman atau lainnya dan akhirnya terlanjur dengan perbuatan. Maruah musnah dengan sekelip mata sahaja. Berseronok hanya seketika tetapi menanggung dosa yang amat besar sehingga bila-bila selagi taubat nasuha tidak dipohon dari Allah yang maha Esa. Malah ada pula yang berbangga kerana dapat melakukan perlakuan sedemikian dan merasa gah pula menceritakan pengalamannya.

"Pernah seorang kontraktor Melayu dengan bangga sekali menceritakan perlakuan zinanya dengan setiap perempuan yang didampinginya... na'uzubillahi min zalik"

Alangkah sedihnya kalau mereka berkelakuan sebegini kerana sedikit pun tidak ada insaf dan takut di dalam diri mereka kepada Allah Taala. Mereka telah sesat jauh yang amat sangat. Jauh dari rahmat dan kasih sayang dari Allah Taala. Mereka telah menempatkan diri mereka sendiri di dalam api neraka Allah Taala. Sedangkan mereka boleh mengelak diri mereka dari azab dan kemurkaan Allah.

Kalau ditanya kepada pelaku zina, mahukah ada orang lain yang melakukan zina kepada anak perempuannya atau isterinya?.., maka sudah tentu ia naik berang. Pasti dia akan berkata, mana boleh orang lain melakukan perkara ini terhadap ahli keluarganya. Inilah penyataan orang yang masih waras. Alangkah dayus baginya kerana merasa bangga dan merelakan anak isteri diperlakukan oleh orang lain. Amalan sex bebas yang tidak mengenal keturunan dan waris.

Pergaulan bebas muda mudi

"Kami bukan buat apa pun berkawan biasa sahaja... tak lebih dari tu..."

Hiburan melampau mampu menarik golongan remaja yang kemaruk dengan kebebasan hidup dan secara tidak langsung menyediakan platform kepada mereka untuk melakukan perkara di luar batas tabi'ie kehidupan manusia. Kerana ketika itu yang menjadi pendorong besar adalah hawa nafsu syahwat dan Syaitan.

Perlakuan kemaruk mereka sehingga sanggup mengenepikan halal dan haram di dalam pergaulan.


 
Pendidikan
 
Anak-anak muda sekarang ini tidak mahu menghadiri kelas pengajian agama atau sudah tidak mahu belajar agama dengan bersungguh-sungguh. Kelas pengajian hanya dihadiri oleh orang-orang tua sahaja. Mereka banyak menghabiskan masa menonton movie dan tayangan yang tidak berfaedah.
 
Mencegah lebih baik dari merawat. Kaedah merawat ialah dengan mencari punca kejadian. Sesuatu kejadian mesti diambil perhatian dan mencari jalan bagaimana untuk mencegah ia dari menular, merebak atau dipulihkan dengan segera.
 
Oleh itu, insitusi kekeluargaan perlu dijaga dan diasuh dengan tarbiyyah Islam. Bukannya cukup dengan pendidikan sivik fizikal sahaja.
  • Menghidupkan kembali budaya nasihat-menasihati dan tegur-menegur
  • Penekanan akidah yang sejahtera
  • Mengingatkan hukum dan azab yang keras dari Allah
  • Peranan pihak berkuasa untuk membendong gejala yang tidak sehat
  • Wujudkan suasana yang baik, Baldatun Thoiyyibatun warabbun ghafur
  • Semua masyarakat mengambil bahagian sebagai pendakwah
  • Peranan ibu-bapa di dalam mendidik anak-anak ke arah nilai murni berpaksikan ajaran Islam

Wallahu 'alam, sekian

abuzorief @ kilang lama
22/7/2013, isnin

Wednesday 10 July 2013

Coup-D'e-Tat


Kegagalan sistem demokrasi yang dikatakan bertujuan menjaga kepentingan dan hak rakyat jelata kian hari kian nampak kepincangannya. Sedangkan semua negara disarankan mengamalkan sistem demokrasi di dalam pemerintahan. Pemerintah tidak boleh melakukan kezaliman dan ketidak-adilan di dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat jelata.

Namun apa yang berlaku sebaliknya, tidak mengambarkan apa yang tercatat dalam kamus atau perbendaharaan ilmu. Demokrasi dicabuli oleh mereka yang ada kepentingan untuk meneruskan survival hidup sebagai pemerintah atau bertujuan menakluki dunia disebalik ideologi demokrasi itu sendiri.

Negara atau siapakah yang mengawal dan mengarahkan sistem ini untuk dilaksanakan?.

Kudeta 

Peristiwa yang terbaru ini, berlaku di Mesir, dimana rampasan kuasa pihak tentera ke atas kerajaan pimpinan Morsi dilakukan dengan zalim walaupun beliau telah dipilih dari pilihanraya yang sah. Kezaliman pihak tentera dan polis jelas membelakangkan undang-undang yang telah menjadi perlembagaan negara yang sah. Cara penggulingan yang dilakukan juga kelihatan ala brutal dan nyawa rakyat tidak berharga lagi untuk dijadikan pertaruhan demi kuasa memerintah.

Permainan jahat penggulingan ini akan sentiasa berlaku dimana-mana negara Islam kerana ada tangan-tangan ajaib dibelakang yang tidak senang hati, tergugat dan terasa terganggu kerana 'mengganggu' kerja dan tujuan jahat mereka untuk menjadi pemerintah nombor satu dunia (New world order).

Puncanya adalah kebangkitan Islam. Satu kebangkitan bernafas baru bagi orang-orang Islam yang mahukan dunia ini kembali diperintah oleh Khalifah Islam, Ustaziatul Alam, bukan lagi sistem demokrasi yang pincang dan rapuh serta berat sebelah.

Boneka

Kenapakah Amerika dijadikan rujukan oleh pemimpin-pemimpin sekular Mesir ini? dan kenapakah Israel bergembira dengan rampasan kuasa ini?.

Kita hanya mampu menggeleng kepala sahaja dengan apa yang terjadi. Ibarat sebagai lakonan di papan layar yang pastinya pincang dan kaku gerakan lakonannya, kerana tidak mengikut skrip asalnya. Kalau teruskan juga paparannya, pasti penonton akan mencemuh dan gelisah.

Semoga Allah meningkatkan Izzah kita, memberikan kekuatan dan memenangkan Islam kembali memerintah dunia.

Wassalam

abuzorief @ kulim
10/7/2013

Friday 5 July 2013

IKRAM kecam kudeta Mesir


Kenyataan Akhbar
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
5 Julai 2013
 
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti dengan penuh keprihatinan perkembangan politik yang amat mencemaskan di Mesir. Setelah rakyat bangkit dan mencipta sejarah dengan kejayaan demokrasi di negara bersejarah ini, pihak tentera serta para pembangkang Presiden telah melaksanakan kudeta yang bertentangan dengan semangat demokrasi.

IKRAM mengecam kudeta dan penggulingan seorang Presiden yang dipilih secara sah melalui pilihan raya. Rampasan kuasa jelas menafikan hak dan kemahuan rakyat melalui proses demokrasi dan pilihan raya. Amat mendukacitakan tindakan ini didukung oleh mereka yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan kebebasan. Juga amat dibimbangi rampasan kuasa ini tidak akan berakhir dengan begitu mudah malah Mesir dijangka akan berada dalam keadaan krisis yang tidak berkesudahan.

IKRAM kesal dengan campur tangan pihak luar dalam urusan nasional negara Mesir sedangkan proses demokrasi masih terbuka serta peralihan ke arah politik demokrasi sedang berjalan. Presiden Dr Mohamad Morsi sendiri menggalakkan media yang bebas dan kebebasan hak untuk rakyat bersuara.

IKRAM menyokong pendirian Presiden Dr Mohamad Morsi, Parti Keadilan dan Kebebasan serta Ikhwan Muslimin untuk menentang secara aman tindakan luar undang-undang ini. Selama ini mereka dianggap tegas dan konsisten bersama golongan yang cintakan keamanan untuk merealisasikan perubahan selaras dengan undang-undang.

Tindakan menahan Presiden Morsi oleh pihak tentera adalah tindakan yang bertentangan dengan lunas undang-undang dan demokrasi. IKRAM mendesak agar semua pemimpin Ikhwan Muslimin dan tahanan politik lain dibebaskan segera. Pihak tentera dan polis harus memberi jaminan keselamatan kepada Presiden Morsi, para pemimpin Ikhwan Muslimin dan pengikutnya daripada sebarang penindasan dan penyeksaan.


Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden

Monday 1 July 2013

Besar sungguh rahmat Tuhan


Bila sakit, saya cuba membandingkan diri saya dengan orang-orang yang jauh lebih sakit dari saya. Sengaja untuk menyedapkan hati. Tetapi itu bukanlah sikap yang selalu dilakukan oleh kita semua termasuklah saya.

Pada kebiasaannya kita suka membandingkan diri kita dengan orang-orang yang jauh lebih bertuah dari kita. Kita lebih banyak 'mendongak' ke atas daripada 'menunduk' ke bawah di dalam perkara-perkara kebendaan dan kemewahan. Maka akan timbul di dalam diri kita rasa tidak puas hati dengan kelebihan orang lain.

Namun, ragam hidup kita memang berlainan. Susah dan senang, sehat dan sakit, kaya dan miskin dan semuanya itu adalah masam-manis kehidupan kita di atas muka bumi. Siapa sangka pada asalnya kita sehat wal 'afiat tiba-tiba dengan sekelip mata sahaja jatuh sakit. Senang-lenang dengan kemewahan harta dunia, tiba-tiba jatuh menjadi papa-kedana dan dihalau keluarga dan masyarakat.

Memang benar kita semua mahu kehidupan yang sempurna, tetapi percayalah, tidak ada yang sempurna sebenarnya. Pasti ada kekurangan dan cacat celanya. Itulah lumrah kehidupan yang sementara.

Dimanakah kita hendak mencari titik ketenangan di dalam diri, bilamana kita mengajak diri kita sendiri supaya memikirkan semua itu adalah dari rahmat Tuhan.
  • Sebenarnya kita lupa dengan Tuhan
  • Kita lupa dengan kejadian Tuhan
  • Kita tidak mensyukuri nikmat Tuhan
  • Kita berbangga dengan kebolehan diri sendiri
  • Hilang segala ketaqwaan
  • Lunturnya keimanan 
Ingatlah!, Tuhan tidak pernah melupakan kita.

(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! - Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! [Surah Al-Fajr : 27-30]

Wallahu 'alam, sekian

abuzorief @ kulim
1/7/2013, isnin