Pages

Monday 25 June 2012

Kemenangan buat Mesir baru



Boleh dikatakan seluruh dunia memerhatikan perkembangan politik di Mesir dengan harapan dan cemas. Yang mana berpihak kepada agen Hosni Mubarak, Ahmad Syafiq pastinya mengharapkan kemenangan, manakala yang berpihak kepada dimensi baru fasa selepas revolusi pastinya menyokong penuh dan sangat-sangat mengharapkan Mohamad Morsi dari parti Freedom Justice Party menang. Rakyat Mesir mengharapkan dunia baru pemerintahan yang menjamin ke arah keadilan, rakyat diutamakan dan bebas dari cengkaman kezaliman pemerintah yang bertopengkan 'senyuman dan manis muka'.

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Dia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan) dan orang-orang yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan.  Surah As-Syura [42:8]

Disebalik berita kemenangan itu terpacullah pula sikap 'pekong' tentera yang masih menaruh dan memiliki sikap perintah 'Hosni Mubarak'. Sanggup membelakangkan undang-undang dan kita sedar bahawa undang-undang itu hanya untuk melindungi kepentingan mereka sahaja. Sebaliknya, apabila tergugat maka dicarinya jalan keluar singkat supaya mereka dapat memerintah walaupun melalui cara penipuan, kezaliman 'terakhir' malah sanggup membunuh tanpa rasa belas. Begitulah sikap para penzalim yang berkepentingan sama ada pada diri sendiri, kumpulan atau sebagainya.

Kemenangan Mohamad Morsi juga terus menekan Israel. Rasa resah mereka sudah tidak terarah. Apakah nasib mereka seterusnya. Namun mereka sedang dan telah menyusun rancangan jahat untuk masa mendatang sebagaimana mereka merancang pembinaan 'wall aparteid' demi kepentingan mereka. Namun perancangan itu tidak selama-lamanya menang kerana Allah juga sebaik-baik perancang.

Walaupun kemenangan itu dengan pengurangan kuasa Presiden yang terhad, tetapi ia tetap menang. Menang kerana keyakinan rakyat, menang untuk keadilan rakyat, kebebasan untuk rakyat jelata yang selama ini dipekup 'di bawah tempurung'. Kini terbuka sedikit harapan. Nafas ditarik lega. Keperitan selama ini membuka sedikit kerehatan. Allah sahaja yang tahu betapa hati-hati mereka begitu bebas sebebasnya, merdeka semerdekanya. Jangan kembalikan segala peristiwa hitam membungkam, perit lelah yang menghantui kehidupan selama ini.

Kemenangan ini juga memberikan dimensi baru dunia politik negara jiran, rantau Eropah, Timur dan barat. Yang paling penting ialah kesedaran untuk ummah Islam sedunia. Yang pastinya ia satu kemenangan kepada rantau Arab kerana revolusi mereka bukannya berakhir dengan kegagalan setelah mengadaikan nyawa dan harta untuk menjatuhkan regim thagut dan rangkaian-rangkaiannya. Tetapi ia mampu membara dan terus menyelinap membakar disetiap peribadi rakyat di rantau itu dan ummah umumnya. Taburan dengan 'emas dan wang ringgit' itu bukan lagi sebagai faktor pertaruhan, bukan itu yang diharapnya tetapi kebebasan, bebas diri, keluarga, yang penting adalah bebas tanahair dari genggaman penzalim yang thagut.

Perjalanan mereka dan kita masih jauh. semoga dengan kemenangan ini akan membuka satu lembaran dunia  baru Islam sepertimana dinyatakan di dalam Al-Quran dan Sunnah. Kemenangan itu adalah 'saham-saham' yang telah disemai sejak puluhan tahun oleh mereka. Saham mereka terus hidup dengan keperitan mereka diazab, dipenjara, dibunuh, diseksa seperti haiwan dan sebagainya. Baru kini bibit-bibit hasilnya telah menyerlah. Bahkan, kita akan lihat ianya terus menjadi baja yang akan menyuburkan bumi revolusi ini.

Peristiwa kemenangan Pilpres berpihak kepada Mohamad Morsi di Mesir pada 24 Jun 2012 akan menjadi peristiwa dan penentu besar di dalam dunia baru Islam. Harapan kita seterusnya, agar sinar baru ini menyinar buat Rakyat Palestin, segera pulang ke tanah air mereka yang selama ini merempat di tanah air sendiri, insyaallah.

(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya? Surah An-Nahl [16:45]

Wallahu 'alam

abuzorief @ kulim
26/6/2012 selasa

Wednesday 13 June 2012

Semangat, turning point, Ilmu & faham

Banyak perubahan-perubahan yang berlaku sekembalinya saya ke tanahair sejak berhijrah 3 tahun yang lalu. Perubahan persekitaran, kehidupan, umur anak-anak meningkat dewasa manakala dewasa meningkat tua, ada yang sudah kembali ke rahmatullah menemui Ilahi, dan segala macam ragam dan sebagainya. Yang nyata, itulah sebagai petunjuk yang jelas pada diri sendiri. Semua perubahan itu sedang mengingatkan diri sendiri yang asyik memerhati dan menilai tentangnya. Pesan peringatan supaya tidak terlupa untuk melihat jauh ke dalam diri sendiri.

Semangat

Saya terpegun mendengar cerita-cerita tentang anak-anak saudara yang dihantar untuk menuntut ilmu di Madrasah Tahfiz atau sekolah agama. Ibu-bapa mahukan anak-anak dididik dengan ilmu dan kefahaman yang diyakini insyaallah mampu membawa diri anak-anak hampir kepada Allah Rabbul Jalil. Kesedaran ibu-bapa yang mahukan pendidikan Islam dilaksanakan semakin meningkat.


Zaman kita sebagai remaja telah berlalu, kini kita sebagai ibu-bapa atau orang tua, tidak mahu anak-anak juga melalui zaman 'buruk' seperti kita. Sekurang-kurangnya ibu-bapa mahukan seorang tahfiz di dalam keluarga. Katanya sejuk perut ibu mengandung. Paling tidak pun, ibu-bapa mahukan anak-anak yang patuh mengerjakan suruhan Allah dan Rasulullah dan tidak menderhakai emak dan ayah.

Turning point

Saya mengenangkan saat ketika saya berubah. Untuk berubah hanya 'cukup' memerlukan sedetik masa sahaja. Tetapi untuk mendapatkan detik masa itu sungguh payah dan amat payah dan bukanlah satu kerja yang mudah. Untuk berubah perlukan kesedaran dan cara fikir dan faham, yang mana kata orang!,.. 'berputar sebanyak 180 deg.' kearah kebaikan, manakala yang lainnya mengatakan berubah sebanyak '360 deg.'. Apa pun telahan kita dan mereka, yang utamanya adalah mahu berubah.


Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah Ar-Rad 13: 11)

Berubah di saat turning point sama ada di kala usia muda atau tua itu adalah hidayah kurniaan Allah.Yang penting mesti tabah 'mencari' dan ada kesungguhan untuk memulakan kehidupan baru yang lebih sejahtera hidup di dunia dan akhirat sebagai pengabdi kepada Allah Taala.

Cabaran

Cabaran bilamana berubah memang ada. Kita mungkin akan 'memencilkan diri' seketika atau selama-lamanya. Kita merasa tidak puas untuk belajar ilmu Allah dan mencari petunjuk. Mengasingkan diri dari kawan-kawan yang 'rambu-ramba' yang tidak menaikkan iman dan amal kita.

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.(Surah An-Nas 114: 1-6)

Mungkin dikala itu juga, kita akan disisih oleh rakan-rakan atau ahli keluarga yang tidak sehaluan disebabkan perubahan tersebut. Diejek, diherdik dan sebagainya. Namun, perlulah cekal disaat ini. Hulurkan 'bantuan' akhlak yang mulia kepada mereka.

Jangan tersilap cari

Tetapi awas dan berhati-hatilah disaat detik perubahan itu, jangan terlalu lama mengasingkan diri. Carilah rakan dan tempat yang sewajarnya untuk merujuk yang akan menjadi asas permulaan kepada tarbiyyah diri. Kerana, silap mencari, kita terbabas kepada kefahaman dan pengamalan yang salah terhadap Islam itu sendiri. Mungkin kita akan menderhaka dan menyakiti hati ibu-bapa kita kerana tidak sehaluan dengan kita, atau memutuskan hubungan kekeluargaan kerana kononnya mereka tidak Islamik, atau putus ukhuwwah sesama rakan-rakan kerana mereka tidak mahu mengikut kita atau menolak kita, atau hanya beramal dalam perkara ibadah fardhu (faham keperluan fardhu yang sempit) sahaja dan meninggalkan rukun dan kewajipan yang lain yang menjadi tuntutan perlaksanaan di dalam kehidupan kita seperti ekonomi, muamalat, kekeluargaan, melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar dan utama dan sebagainya.

Cubalah keluar dari kepompong salah faham ini. Marilah berfikir untuk memahamkan diri sendiri terhadap Islam yang lengkap (syumul). Bukannya mengikut-ikut orang lain tanpa hujah dan nas yang sahih.

Berilah tangan anda

Kesedaran yang sempurna tidak akan mencacatkan hubungan diri sendiri dengan hamba Allah yang lain. Apabila sedar, maka lebih erat lagilah tautan hubungan sesama ahli keluarga, bertambah rapat ikatan ukhuwwah dengan rakan-rakan. Walaupun mereka belum sedar terlebih dahulu dari kita, tetapi mereka juga mahukan kesedaran atau perlu disedarkan. 
Mainkan peranan kita sebagai Muslim Da'ie (pendakwah) yang sebenar yang mana kita juga tidak inginkan ahli keluarga dan rakan-rakan kita terbabas disaat kita mampu memberikan pertolongan kepada mereka.

Bantulah mereka untuk berubah.


Mardhatillah

Allah sahaja yang layak menghapuskan dosa-dosa kita bilamana kita tidak putus harap meminta daripadaNya. Namun atas usaha memohon ampun kepadaNya, hanya kita sahaja tahu betapa ikhlasnya dan luhurnya hati kita mengadu kepadaNya. Bukan sekali-kali untuk menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan atau orang lain atau berubah yang sementara seperti 'hangat-hangat tahi ayam'.

Kesan tarbiyyah, mampu dilihat pada diri sendiri dan rakan sekeliling sekiranya melaluinya dengan sabar dan istiqamah. Oleh itu, teruskan berusaha pada yang telah melaluinya, mencari bagi mereka yang belum menperolehinya, dan berusaha melakukan perubahan demi perubahan untuk mendapat pencapaian yang paling maksimum di dalam diri, keluarga, masyarakat dan daulah untuk mengejar Mardhatillah.

Ayuh mari kita lakukan bersama...

abuzorief @ kulim
13/6/2012, rabu