Pages

Thursday 15 September 2011

Oh!... ISA



Malaya darurat...

Pihak British telah menggunakan akta penahanan tanpa bicara ini di Malaya pertama kalinya pada tahun 1948 melalui Emergency Regulation Ordinance atau Peraturan Ordinan Darurat yang telah digubal oleh British High Commissioner, Edward Gent untuk melemahkan seluruh aktiviti Parti Komunis Malaya semasa Malaya diisytihar darurat sehingga tamat pada tahun 1960.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menjaga segala kepentingan pihak British di tanah Malaya dari ancaman penentangnya.

Perkara 149...

Pada tahun 1960, kerajaan Malaysia pula telah meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini di bawah kuasa yang diberikan oleh Perkara 149 Perlembagaan Malaysia.

Perkara 149. Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.

(1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan—
(a) untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau
(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau
(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau
(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau
(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau
(f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya,
maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu Akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.

(2) Sesuatu undang-undang yang mengandungi sebutan seperti yang disebut dalam Fasal (1), jika tidak terlebih dahulu dimansuhkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen yang mengungkaikan undang-undang itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelum itu menurut kuasa undang-undang itu atau tanpa menjejaskan kuasa Parlimen untuk membuat suatu undang-undang baru di bawah Perkara ini.

Melalui akta ini, mana-mana orang perseorangan boleh ditahan untuk tempoh tertentu tanpa perbicaraan jika sabit kesalahan yang boleh mengugat keselamatan negara.

Pemansuhan

Berita mengenai pemansuhan ISA atau Internal Security Act atau Akta Keselamatan Dalam Negeri oleh Perdana Menteri hari ini adalah sangat-sangat dinantikan dan antara tindakan yang mesti disokong. Bersyukur, usaha gigih NGO-NGO bersama-sama dengan Gerakan Mansuh ISA atau GMI ternyata membuahkan hasil di atas usaha yang bersungguh-sungguh dan memberikan sinar baru dan harapan ke atas tahanan ISA yang ditahan tanpa bicara. Kembalikan mereka ke pangkuan ahli keluarga dan masyarakat.

Kenapa perlu menahan mereka tetapi dakwalah mereka jika sabit kesalahan yang telah dilakukan...

Lemah...

Namun disebalik ISA, sistem demokrasi yang yang telah diimani itu terbukti amat lemah dan tidak mampu memberikan keadilan dan melindungi hak seseorang yang bebas dan merdeka. Sistem demokrasi terpaksa mempunyai perisai untuk melindunginya supaya ia sentiasa kebal. Sistem yang dihasilkan oleh ciptaan manusia melalui test and error mengikut kehendak dan keinginan tanpa base foundation yang kuat.

Walhal keadaan dan corak kehidupan manusia amatlah jauh berbeza di antara satu sama lain. Mana mungkin sistem ini mampu memberikan kepuasan kepada semua pihak. Sebaliknya, sistem yang selama ini diagung-agungkan hanya mendahulukan 'mereka' yang mempunyai kepentingan tertentu untuk terus berkuasa.

Hak diri...

Orang perseorangan mempunyai hak terhadap dirinya untuk hidup. Melakukan aktiviti harian hidup yang normal, berbeza pendapat dan berpandangan atau berpendirian berbeza selagi mana ia tidak bertentang dengan syarak.

Di dalam hal ini Islam telah menentukan maqasid syar'iah (tujuan hukum) atau al maslahah al tsnawiyyah untuk membebaskan diri kita dari 'ditakluki' oleh manusia lain selagimana ia tidak berlawanan dengan hukum-hakam atau syariat Allah Taala bersumberkan dari sumber utama iaitu dari Al Quran dan As Sunnah.

Menurut Iman As Syatibi, kemaslahatan yang hendak diwujudkan itu mempunyai 3 tingkatan iaitu keperluan daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Menurutnya lagi keperluan daruriyyah atau keperluan utama ini bertujuan untuk memelihara 5 perkara utama iaitu:-
  • Memelihara agama (hifd ad din)
  • Memelihara jiwa (hifd an nafs)
  • Memelihara akal (hifd al aql)
  • Memelihara keturunan (hifd Al Nasl)
  • Memelihara harta benda (hifd al mal)
Kalau mengikutkan tindakan ISA, secara tidak langsung telah mengenepikan hak fitrah kemanusian untuk hidup tanpa diganggu oleh mana-mana pihak tertentu. Sekiranya sabit kesalahan maka dakwalah dan bicaralah di Mahkamah secara adil dan mesti didatangi dengan saksi-saksi dan bukti-bukti yang jelas dan kukuh.

Hukuman ciptaan manusia hanya berlapikkan kepada kemahuan dan kepuasan nafsu semata-mata. Hukuman berdasarkan kepada perasaan, emosi dan pendapat dan pandangan diri yang tidak tepat. Dan akhir kesudahannya hanya akan menindas, menganiaya dan menafikan hak asasi orang lain.

Hukuman ISA yang dikenakan kelihatan kaku dan tidak dapat disesuai dengan perkembangan intelektual dan spiritual, arus perubahan dan kemajuan zaman yang terus berkembang. Melalui maqasid syariah ini telah menampakkan kepada kita betapa flexible dan dynamiknya hukum apabila setiap hukum itu hendak dijatuhkan dan ia sesuai atau relevent untuk setiap masa dan tempat tanpa bias kepada perasaan, emosi dan kehendak manusia tertentu.

Syariat..

Betapa dengan menegakkan syariat Islam itu mampu memberikan manfaat dan kemanslahatan kepada kita di dunia dan di akhirat. Kita merasa tenang untuk mengabdikan diri kepada Allah (Ubudiyyah) tanpa dihalang dan ditentang.

Nota:
Isa Anshori, M. Ag,. Jurnal Hukum Islam: Maqasid Syari'ah sebagai Landasan Etika Global, Universiti Muhammadiyah Surabaya

abuzorief @ sheffield
15/9/2011, khamis

Thursday 8 September 2011

Perihal sejarah kita... pejuang dan penjajah


Kisah pejuang tanahair dan kemerdekaan telah menjadi topik 'panas' sekarang ini. Siapakah pejuang asli dan siapa pula penjenayah atau tali barut?. Cerita ini menjadi menarik setelah ahli politik berjaya 'melambung tinggi' cerita ini dan tidak semena-mena sentimen ini pula 'terpalit' ke arah parti pihak lawan dan di'panaskan' pula oleh pihak media untuk menghangatkan suasana dan mencari publisiti dari isu ini.

Namun, apa yang ingin saya ingin utarakan ini, lebih berupa pandangan biasa, di luar cerita yang telah dipolitikkan sekarang ini.

Dominant dan favour...

Fakta sejarah kalau tidak dicatat akan lenyap begitu sahaja. Jalan cerita, peristiwa dan tarikh kejadian tidak mampu dibuktikan dengan tepat dan betul serta salur-galur penyampai maklumat yang lemah. Namun fakta sejarah boleh dipesongkan atau diselewengkan. Tidak pula dapat dinafikan bahawa catatan sejarah yang berlaku boleh mengikut favour kepada siapa atau siapa yang lebih dominant ketika itu.

Tidak semua fakta sejarah tanah air kita itu dicatat dengan tepat sekiranya itulah sahaja sumber yang diambil dari pihak yang tidak memihak kepada bangsa dan tanah air kita. Ada yang benar faktanya dan ada pula yang perlu dikaji semula.  Sebab itu saya mengatakan bahawa ia dicatat mengikut siapa yang lebih dominant dan berkuasa atau berpengaruh.

Zaman penjajah...

Namun apabila diperhatikan peristiwa yang berlaku ketika zaman penjajahan ketika itu, yang lebih dominant adalah lebih berat (bias) kepada pihak penjajah, yang sedia maklum mereka lebih bersungguh dan lebih bersedia dalam mencatat sebarang kejadian yang berlaku di pihak mereka dan apa yang tercatat memang benar-benar pun berlaku di sekitar mereka atau di dalam perspektif mereka.

Tidak pelik, di mana ketika ini pun kalau dilihat, mereka amat bersungguh dan teliti mencatat apa sahaja peristiwa dan maklumat yang berlaku disekeliling mereka. Sama ada peristiwa kecil atau pun besar, personal atau umum atau apa sahaja untuk didokumentasikan, didokumentarikan dan dibukukan.

Justeru, tidak pelik, kalau ada pencatat peristiwa ketika zaman penjajah ketika itu pun lebih favour untuk mengaitkan sebarang peristiwa, kejadian dan berita yang akan memihak kepada mereka. Jadi tidak salah pula kalau semua cerita untuk sejarah kita, yang kita belajar itu lebih berat memihak kepada penjajah kerana fakta yang bersumberkan itu amat jelas dan terbukti. Terutamanya peristiwa para pejuang kita yang menentang mereka. Sesiapa yang menentang mereka ketika itu sudah pasti mereka adalah pengganas dan penjenayah. Berita, peristiwa dan bahan bukti bertulis ini dibawa balik ke negara mereka untuk disimpan sebagai arkib, bahan research atau rujukan dunia antarabangsa.

Mereka 'menghukum' pejuang kita sebagai pelampau dan pengganas. Maka sesiapa yang menentang mereka ketika itu akan menerima padah. Lihatlah apa yang berlaku pada Tok Janggut, Mat Kilau, Dol Said, Burhanuddin Helmi, Rentap, Rosly Dhoby, Datuk Maharaja Lela dan lain-lain dan mereka akhirnya ada yang disumbat ke dalam penjara dan diseksa atau ditali gantung atau dibunuh dengan kejam. Yang lebih memalukan lagi, segelintir dari anak bangsa sendiri telah menjadi pengampu, pembodek kepada mereka semata-mata kerana mendapat keselesaan hidup, ganjaran, kedudukan dan pangkat dengan memihak kepada penjajah. Berbangga pula memanggil mereka sebagai TUAN di atas tanah air sendiri.

Kini, apakah kita sebagai sebangsa dengan mereka ini turut juga menggelar mereka sebagai penjenayah dan penderhaka kepada 'pemerintah' pada ketika itu?... dan yang memerintah ketika itu bangsa Melayu atau penjajah?...

Turut sama menerima nasib yang tidak baik ialah anak bangsa yang menyokong pejuang radikal kemerdekaan tanah air, dengan diberikan gelaran golongan berhaluan kiri. Dengan sebab tidak sehaluan dari segi prinsip, ideologi, pandangan, pendapat dan cara fikir ke atas kerajaan pemerintah. Bunyinya pun amat gerun dan mendapat perception yang amat negatif.

Diperbodohkan..

Namun disebalik cerita sejarah yang tidak memihak kepada kita itu diselitkan pula cerita kedangkalan dan kebodohan bangsa sendiri sebagai candu dan 'gula-gula' yang mengkhayalkan seperti cerita Pak Pandir dan Mak Mandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Mat Jenin, Si Tanggang dan berbagai-bagai cerita jenaka lagi. Menceritakan kepada anak bangsa tentang kebodohan bangsa sendiri secara turun temurun.

Aduhai malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk


Cerita Pak Kadok telah dimasukkan ke dalam buku bertajuk "Cherita Jenaka" yang turut memuatkan beberapa cerita-cerita rakyat popular yang lain seperti Pa' Kadok, Pa' Pandir, Lebai Malang, Pa' Belalang, Si-Lunchai oleh Sir R. O. Winstedt dan A. J. Sturrock pada tahun 1908. Cetakan ini diulang cetak sebanyak beberapa kali dengan edisi ketiga pada tahun 1914 dengan 159 halaman. [http://ms.wikipedia.org/wiki/Pak_Kadok]

Perlu dikaji semula...

Apa yang diinginkan sekarang ialah semua sejarah perjuangan kemerdekaan dan tanahair perlu dilihat semula dari perspektif kita sendiri. Ia perlu dikaji dan diberikan penilaian yang adil dengan fakta yang betul (authentic) dan tepat berbanding dengan fakta sejarah oleh pihak penjajah. Ia perlu dinobatkan keasliannya sesuai dengan prinsip perjuangan bangsa dan tanahair kita sendiri. Penjajah tetap penjajah. Mereka yang datang menjajah perlu dipanggil sebagai penjajah atau penceroboh dari perspektif kita. Merekalah juga sebenarnya penganas dan 'perompak' di tanahair kita. Kita tidak mahu lagi mendengar cerita sejarah tanah air kita dipermainkan oleh orang lain yang bukan untuk menceritakan hal keadaan kita yang sebenarnya. Sebaliknya mereka lebih kepada memperlekehkan kita semua.

Perompak yang masuk ke dalam rumah kita sewenang-wenangnya dianggapnya sebagai penyelamat dan kita sebagai tuan rumah yang menghalang pula dianggap sebagai penentang dan penjenayah dan perlu dihukum dan disabitkan dengan pelbagai kesalahan.

Reflection...

Kalau hendak dikaitkan dengan apa yang berlaku pada 11/9, kebanyakkan kejadian yang berlaku masih disangsikan dan diragukan oleh pakar-pakar seperti para Arkitek, Jurutera-jurutera dan pakar bangunan yang lain sejak kebelakangan ini. Sebaliknya apa yang berlaku itu banyak kepada menyalahkan puak Islam sehingga digelarnya kita semua sebagai Terrorist. Kebencian mereka terhadap agama Islam begitu mendalam. Dengan peristiwa yang terjadi, habis semua orang Islam terbabit dan merasa cemas, merasa resah dan fobia dengan tohmahan atau fitnah itu. Terutamanya mereka yang menjadi minoriti di negara barat.

Begitulah juga apa yang telah terjadi di negara Iraq dengan kemasukan tentera Amerika dan bersekutu yang dipanggil sebagai penyelamat, dan mereka yang menghalang dan menentang itu sebagai pengganas walaupun mereka anak jati watan yang terkorban untuk berjuang kepada bangsa dan tanah mereka.

Di Afganistan pun begitu juga, puak Taliban dan rakyat Afganistan yang berjuang untuk tanah air mereka, dipanggil sebagai pengganas dan mereka di layan dengan buruk serta menghinakan dan layak menerima hukuman antarabangsa oleh puak tentera Amerika dan bersekutu.

Pihak media dan pencatat peristiwa yang menyebelahi mereka akan terus mencatat, peristiwa yang telah berlaku ini disebabkan oleh pengganas Islam dan seterusnya mengaitkan Islam sebagai agama yang menggalakkan keganasan. Siapakah yang lebih dominent di dalam mencatat sejarah yang berat sebelah ini. Tujuannya hanya untuk melagakan antara sama lain tanpa berasa belas dan kasihan. Yang lebih beruntung adalah mereka yang mempunyai agenda tertentu untuk penaklukan dan pencerobohan di alaf baru ini.

Begitu juga apa yang telah berlaku di Palestine. Peranan pihak British merampas tanah Palestine tidak akan dilupakan oleh orang-orang Islam. Pendatang Israel yang dibantu oleh British telah diangkut beramai-ramai dari serata tempat untuk datang mendiami dan merampas tanah orang-orang Palestine dan diberikan mandat atau authority dan mereka berhak berbuat apa sahaja. Akan tetapi orang-orang Palestine yang telah mendiami tanah air mereka sejak sekian lama, terus dihalau seperti 'anjing' dan dinafikan kewarganegaraan dan ditekan serta ditindas dengan kejam. Harta benda dan tanah kediaman dirampas oleh mereka. Mana-mana orang-orang Palestine yang bangun menentang mereka pula disabitkan sebagai penentang, penjenayah dan pengganas atau terrorist. Tidakkah pelik kejadian ini?...

Kisah para nabi dan rasul

Tetapi kita sebagai orang Islam patut merasa bersyukur kerana sejarah umat manusia, kisah para nabi dan rasul terdapat didalam Al Quran Karim dengan jelas, sahih dan tepat dan tidak mampu dipesongkan cerita oleh manusia yang bernafsu syaitan yang hanya untuk memihak dan berkepentingan mengikut hawa nafsu sendiri sahaja. Kalau hendak dibandingkan cerita ini dengan cerita Israeliat, ia memang jauh berbeza fakta dan jalan ceritanya. Begitulah agungnya wahyu Allah yang terus kekal menjadi pedoman dan rujukan kepada manusia.

Sekian...

abuzorief @ sheffield
8/9/2011, khamis