Pages

Friday 28 May 2010

Sibuk dan menyibukkan...


Mari kita merenung sejenak...

Demi masa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian... (Al Asr)

Siapa yang berada di dalam kerugian sebenarnya?. Itulah manusia yang diciptakan oleh Allah Taala. Walaupun manusia itu diciptakan sesempurna mungkin, tetapi Allah yang maha besar dan hebatnya ciptanya telah membuatkan manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian dan kelalaian. Sebabnya bukanlah Allah tetapi ialah disebabkan oleh hal keadaan manusia itu sendiri.

Orang yang bijak dan cemerlang adalah orang yang berjaya mengatur perjalanan hidupnya supaya dapat menjadi orang yang beriman dan beramal soleh.

Kita terpaksa menyibukkan diri dengan kerja-kerja harian yang tidak pernah jemu untuk melakukan ataupun untuk dilakukannya. Sama ada kerja itu perlu atau tidak, mesti atau tidak, kena buat atau tidak... semuanya adalah kerja, dan kerja itu pastinya sibuk dan menyibukkan. Inilah yang dikatakan sebagai lumrah kehidupan kita.

Tetapi kalau ianya diurus dengan baik maka pastinya kerja yang sibuknya tadi dapat diselesaikan dengan mudah.

Antara tips yang boleh dikongsikan bersama adalah:
  • Catat dahulu semua tugasan yang perlu diselesaikan
  • Selesaikan dahulu kerja yang paling mustahak dan penting atau utama.
  • Letakkan kerja utama ini di tingkat yang 'first priority' dan urutan kerja-kerja lainnya selepas itu.
  • Buat senarai semak dan senarai kerja tersebut mesti diletakkan tarikhnya dan juga tarikh 'action' (apabila selesai dilaksanakan)
  • Apabila ada tugasan baru maka perlu diletakkan tarikh baru.
  • Sentiasa semak semua senarai kerja yang belum dilaksanakan walaupun sudah berlalu tarikhnya.
  • Sekiranya ada kerja-kerja yang tidak dapat dilaksanakan, maka perlulah memaklumkan kepada pihak berkenaan supaya pihak berkaitan maklum akan masalah yang berlaku.
  • Meminta pandangan pihak lain sekiranya ada kerja yang memerlukan pandangan pihak lain.
  • Muhasabah setiap kerja yang telah dilakukan
  • Berdoa dan pasrah kepada Allah Taala supaya diberikan hidayah untuk keluar dari kemelut kesibukan da kepayahan.
  • Berzikir supaya diberikan ketenangan
Semuga ianya berguna... Wassalam

abuzorief @ darnall
28/5/2010 jumaat

Wednesday 19 May 2010

Poligami dan Politik


Isu poligami adalah isu hangat semasa. Sejak dulu hingga sekarang isu ini sentiasa segar diperbincangkan. Bagi kaum lelaki memang seronok berbincang tentang bab ini, manakala kaum wanita pula lebih ramai yang menentang kerana katanya menafikan hak-hak kesetaraan gender kewanitaan.
Desakan

Kes seorang ahli Parlimen yang dikenakan tindakan kerana berpoligami pun merupakan isu sensasi. Kerana beliau telah berpoligami dengan seorang artis terkenal. Kalau bukan dengan artis mungkin isu ini tidak sehangat sebegini.
 
Desakan dari beberapa NGO ke atas beliau, supaya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen kerana disabitkan dengan isu ini. Sebab musababnya, ialah kerana beliau adalah sebahagian daripada ahli parlimen yang menggubal undang-undang di Parlimen tetapi sebaliknya beliau sendiri yang melanggar undang-undang. Beliau sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada masyarakat.

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah kata orang tua-tua...

Penguatkuasaan

Namun, penguatkuasaan ke atas mereka yang berpoligami itu perlu diperketatkan supaya kaum wanita mempunyai hak kemanusian yang terpelihara dan tidak dizalimi.
Tetapi bukan memayahkan proses untuk berpoligami itu sendiri.
Maka, tidaklah timbul pula kaum-kaum wanita mengangkat sepanduk dan berdemo untuk menentang poligami di mana-mana. Kaum lelaki pula janganlah menjadikan poligami ini sebagai medan untuk memuaskan hawa nafsu sahaja. Tetapi sebaliknya mengambil sepenuh tanggungjawab mendidik isteri-isteri dan anak-anak ke arah keredhaan Allah supaya menjadi keluarga dan ummah contoh yang diredhai Allah Taala.
Bukankah itu yang sepatutnya dilakukan?...
 
Undang-undang ciptaan manusia

Itulah yang dinamakan undang-undang ciptaan manusia. Manusia yang selalu bermain-main dengan hukum-hakam Allah Taala. Kalau selesa maka diubahnya mengikut selera dan akal serta alasan logik masing-masing selagi mana masih berkuasa.

Asal hukumnya adalah harus tetapi menjadi sukar dan payah apabila hendak dilaksanakan. Semuanya kerana dirumitkan oleh manusia itu sendiri dengan berbagai-bagai penguatkuasaan keatasnya.
Dan jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi - dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil maka (nikahilah) seorang sahaja atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim. (AnNisa : 3)
Perlukah kita mempersoalkannya?... ketetapan Allah dan undang-undang manusia...
Bukan saya menafikan segala disiplin dan penguatkuasaan dilaksanakan. Semua itu adalah baik dan perlu diselaraskan. Tetapi lebih kepada insafnya diri sendiri kerana kita semua selalu menjatuhkan hukuman mengikut selera kita masing-masing. Sedangkan hukum Allah Taala itu pasti.
Jangan pula suatu hari nanti kaum-kaum wanita mengangkat sepanduk dan berdemo menentang ketetapan Allah di dalam Al Quran Karim pula... Nauzubillahiminzalik...
Sekian, wallahu 'alam

Nota: Hati dan perasaan sahaja yang membuatkan wanita itu menentang poligami, kerana hati manusia itu 1001 macam rasa dan semuanya tidak akan sama di antara satu sama lain... Yang dapat menenteramkanya ialah undang-undang dan janji-janji kemuliaan dari Allah Taala sahaja.

abuzorief @ sheffield
19/5/2010 rabu

Sunday 9 May 2010

Lesen judi yang halal...


Apa nak jadi dengan pemimpin negara kita pun tak tahulah. Kalau yang sudah jelas haram perbuatan itu, maka janganlah dihalalkan pula. Ada ke patut nak mengeluarkan lesen halal perjudian bola sepak piala dunia 2010. Apa dah tak keruankah pemikiran dan kemahuan nafsu sarakah?.
Sepatutnya sebagai pemimpin, diketatkan pengeluaran dan budaya perjudian, ini tidak, diberinya laluan mudah pula untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah Taala. Tidak ada kaedah yang boleh menghalalkan cara kalau benda itu sememangnya haram. Gelak besar dan seronoklah syaitan-syaitan sedunia dari mak bapak sehingga kepada tok nenek, cucu-cicit dan piut-piut sekeliannya kerana bodohnya manusia semacam ini. Berpesta syaitan anak beranak.
Janganlah cari bala kalau bala itu belum ditakdirkan ditimpa dan jatuh kedebum ke atas kepala kita semua. Insyaallah, selagi aku bernyawa, maka aku akan mendoakan kesejahteraan ummah di Malaysia supaya jangan sampai ditimpa bencana akibat perbuatan bodoh kita semua. Aku sayangkan keluarga, kawan taulan dan penjuang-pejuang Islam yang berhati ikhlas dan semuanya yang masih mengharapkan keredhaan dan naungan kasih sayang Allah Taala di muka bumi yang rahmah itu .

Jangan pula, hanya seorang dua yang membuat maksiat kepada Allah, maka Allah menimpa musibahnya kepada kita semua. Kalau kita semua belum diuji, maka janganlah kita meminta-minta supaya diuji. Sekali diberi ujian maka sudah pasti tidak tertanggunglah kita menanggung akibatnya. Sudah-sudahlah maksiat yang telah dilakukan, berapa banyak lagi maksiat yang hendak kita hiasi di bumi Malaysia itu... dari kes zina, murtad, menolak dan menafikan perlaksanaan hukum syariat, judi, arak, mempermainkan nama Allah, memperkecilkan dan menafikan peranan ulama dan sebagainya.
Rasulullah bersabda "Barang siapa membuat Allah redha dengan kebencian manusia, Allah akan melindunginya dari kejahatan manusia. Dan barangsiapa menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka mereka tidak akan mampu menolongnya walau sedikitpun dari azab Allah Taala. (HR Tirmidzi)

Sepatutnya sebagai pemimpin negara, takutnya mereka kepada amarah Allah taala itu kena lebih dari rakyat jelata. Kerana mereka mempunyai kuasa. Mereka menjaga amanah rakyat. Popular sebagai pemimpin bukan itu caranya.
Barangsiapa tidak memperhatikan urusan umat Islam, maka ia tidak termasuk di dalam golonganku.

Kalau pemimpin yang cerdik pula, mereka amat berhati-hati menggunakan kuasa yang telah diamanahkan oleh rakyat. Bukannya apabila berkuasa maka sewenang-wenangnya menggunakan kuasa tanpa ada rasa takut kepada amanah yang dipertanggungjawabkan. Ingatlah sama dengan takdir baik dan buruk dari Allah Taala.
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengkianati Allah dan Rasul-rasulnya dan janganlah kalian mengkianati amanah yang dipercayakan kepada kalian, sedang kalian mengetahuinya (Al Anfal:27)

Berkenaan dengan meluluskan lesen perjudian bola sepak piala dunia itu, lupakan sajalah. Jangan nak tunjuk hero atau popular tak tentu pasal. Janganlah mengikutkan sangat hawa nafsu syaitan. Ingat-ingatlah azab api neraka Allah Taala. Akibatnya amat besar dari nak membendung kemurkaan Allah Taala. Sekali Allah 'sapu' kita semua, bersih muka bumi Malaysia. Kejadian tsunami pun dah semakin hampir saja dengan tanah Malaysia. Itu pun masih tidak mahu mengambil i'tibar lagi. Apa nak jadi? Nak kata buta perut, tapi kenyang. Nak kata buta hati, tak tahulah...

Jangan buat keputusan mengikut hawa nafsu, tetapi buatlah dengan berlapik hukum hakam Allah Taala. Hayatilah ayat Allah selalu. Kalau Al Quran yang disimpan di dalam almari kayu jati itu cantik dijadikan perhiasan, maka keluarkanlah dan rajin-rajinlah membaca dan mentadabur isi kandungannya. Jadikanlah Al Quran itu sebagai perhiasan diri pula.
 
Dan juga, tengok-tengoklah dan pertimbanglah kehendak dan larangan dari rakyat.
 
Jangan pula kita menyesal bila jasad kita sudah ditanam, maka roh kita meronta-ronta dan merayu kepada Allah supaya Allah mengembalikan kita semula ke atas muka bumi ini.
Ya tuhan kami, kembalilah (kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang singkat, niscaya kami akan mematuhi seruanMu dan akan mengikuti rasul-rasul (Ibrahim:44)

Doa rakyat lagi makbul kerana mereka golongan yang tertindas... awas sedarlah wahai pemimpin. Menjadi pemimpin hanya sementara sahaja. Esok lusa boleh turun dan menjadi rakyat pula. Kalau elok rakyat puja dan kalau buruk rakyat caci dan benci untuk selama-lamanya...

Itu bukan popular namanya dan jagalah amanah rakyat sebagai mana menjaga nyawa sendiri...
 
Kita tidak akan membiarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya tetapi sebaliknya kita akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan si Luncai dengan segala isi perut labu-labunya...

abuzorief @ Sheffield
9/5/2010 sunday
 
Nota:
Salah satu dari usul 20 oleh Imam Hasan AlBanna adalah pendapat seorang imam dengan wakilnya tanpa berdasarkan nas yang menerangkan - yang mengandungi berbagai maslahat umum - boleh diperlakukan selama mana ianya tidak bertentangan dengan kaedah syariat dan mungkin dapat berubah suai dengan kondisi, adat dan kebiasaan. Adapun prinsip utama dalam kebiasaan adalah melihat rahsia, hikmah dan tujuannya.